Aidil Zafuan & Zaquan Adha

Keluarga Aidil Zafuan

Keluarga Zaquan Adha

LIKE jika suka :)

Selasa, 16 November 2010

Ayu Raudhah: Konsep Fairy Tale Wedding Jadi Pilihan

17 November 2010



KUALA LUMPUR 16 NOV 2010: Menghitung hari bakal bergelar ratu sehari, pelakon Ayu Raudhah mengakui berdebar menantikan saat tersebut. Bakal disatukan pada 21 Januari 2011 bersama Zaquan Adha di kampung halamannya, Alor Star, Ayu Raudhah mengakui masih lagi memilih konsep yang bersesuaian untuk majlis perkahwinannya.
Namun, sama seperti gadis lain, aktres berusia 26 tahun ini berharap impiannya untuk mengetengahkan konsep 'fairy tale' akan dapat direalisasikan.
"Saya berharap majlis perkahwinan nanti dapat buat konsep 'fairy tale'. Memang minat sangat dengan konsep tersebut tapi kalau buat tema sebegitu bukan baju atau pelamin sahaja yang kena ikut dengan tema serta konsepnya, tapi yang lain-lain pun sama.
"Maksud saya, orang ramai yang datang pun kenalah sporting dan mengayakan pakaian berkonsep macam itu sebagai sokongan. Jadi sekarang ini saya sedang memikirkan mengenainya dan berharap ia akan dapat terlaksana," katanya.
Ayu ditemui pada majlis pra tonton program baru Astro Warna, di Cathay, Cineleisure, Damansara, semalam menjelaskan, dia kini dalam proses melengkapkan dirinya untuk bergelar seorang isteri yang sempurna.
"Sekarang saya sedang belajar memasak sebab Zaquan ini jenis yang suka makan kat rumah. Dia tak suka sangat makan kat luar jadi saya sedang belajar masakan kegemarannya. antara ialah tempoyak ikan patin dan ayam. Insyaallah saya akan cuba menjadi isteri yang baik," jelasnya yang sudah pun menerima tajaan pakaian daripada beberapa pereka antaranya Calvin Thoo, Rizman Ruzaini dan Man Kajang.
Menyambung perbualan, adik kepada Rozita Che Wan ini berkata, selepas pertukaran status kelak, dia akan lebih selektif terhadap watak yang ingin diterima serta mungkin akan menghadkan aktiviti lakonannya.
"Setakat ini, dia bagi saya berlakon tapi saya sendiri mahu mengurangkan aktiviti lakonan sebab bimbang tak mampu bahagikan masa antara rumahtangga dan kerja. Tapi saya masih belum terfikir pula mahu berhenti berlakon kerana ini bidang kerjaya saya," kata anak ketujuh dari sembilan beradik ini.
Dalam pada itu, Ayu turut ditanya mengenai perselisihan faham antaranya dengan Rita Rudaini, jelas Ayu, dia seboleh mungkin tidak mahu lagi menyentuh mengenai urusannya dengan bakal birasnya itu.
"Kalau boleh saya tak mahu bercakap mengenai perkara ini sebab takut jadi lain pula. Tapi dakwaan yang mengatakan saya penyebar cerita memang saya sangkal kerana saya tak pernah masuk campur mengenai hal mereka. Apa pun saya sudah bersedia untuk menghadapi segalanya setelah berkahwin dengan Zaquan kelak dan menjadi sebahagiandaripada keluarganya," katanya tenang.


Ahad, 7 November 2010

Pertarungan hidup mati

08 November 2010


Menentang Kyrgysztan penentu hala tuju pasukan: Norhafiz 

WALAUPUN ia baru perlawanan pertama, pertemuan skuad bola sepak negara menentang Kyrgysztan dalam saingan Kumpulan A Sukan Asia Guangzhou 2010 petang ini, diibaratkan pertembungan ‘hidup dan mati’.



Sekiranya menang, ia akan membuka laluan skuad bimbingan K Rajagobal untuk melepasi pusingan pertama kerana empat pasukan terbaik yang menduduki tempat ketiga daripada enam kumpulan, layak mengiringi 12 pasukan yang muncul juara dan naib juara ke pusingan kedua.
Dan skuad yang dipimpin Norhafiz Zamani Misbah itu mengerti kekalahan pula akan menyempitkan peluang dan meletakkan mereka dalam situasi sama seperti sebelum ini – menjadi pasukan pertama kontinjen negara berkemas untuk pulang awal! 

“Kami mengerti perlawanan esok (hari ini) amat penting dalam menentukan hala tuju pasukan. Jadi, kami berjanji memberi persembahan terbaik untuk memenanginya,” kata Norhafiz ketika ditemui selepas sesi latihan, semalam. 

“Selepas itu, baru kita boleh merencana strategi terbaik untuk berdepan dua gergasi, Jepun (Rabu) dan tuan rumah China (Sabtu) untuk sekurang-kurangnya melakar kejutan dengan mengikat mereka,” katanya. 

Seperti biasa, Rajagobal tetap tenang berdepan ujian pertamanya di Sukan Asia walaupun sebelumnya kehilangan sebahagian besar pemain tonggak gara-gara kecederaan. 
“Kita tidak tahu sejauh mana kemampuan lawan (Kyrgysztan) tetapi kita turun dengan misi mencatat kemenangan,” katanya. “Jadi, ini adalah medan terbaik buat pemain yang diturunkan membuktikan kemampuan mereka menggantikan tonggak yang cedera,” katanya. 

Mengikut ranking FIFA, skuad negara menduduki tangga ke-149, manakala lawan ranking ke-173. Dan pencapaian terbaik skuad negara di Sukan Asia adalah meraih gangsa pada Tehran '74. 

Dalam pada itu, Kyrgyzstan terus menimbulkan misteri apabila kelibat mereka tidak kelihatan walaupun mengikut jadual sepatutnya menjalani latihan jam 11 pagi semalam di Stadium Huadu. 


Ada harapan benam Kyrgyzstan

08 November 2010




HARI ini perjuangan bermula buat K Rajagobal dan skuadnya sama ada untuk mengikut jejak pasukan negara terdahulu yang pulang awal atau melangkah setapak lagi memburu slot ke pusingan kedua bola sepak Sukan Asia Guangzhou.
Ia bukan mustahil berdasarkan format tempat ketiga setiap kumpulan berpeluang ke pusingan kedua jika melepasi perlawanan play-off.

Untuk itu kemenangan ke atas Kyrgyzstan pada saingan Kumpulan A di Stadium Huadu satu kemestian. Misi ini wajib menang.


Itulah yang ada dalam kepala Rajagobal. Sekalipun kehilangan 10 tonggak utama kerana kecederaan, barisan sedia ada mampu melaksanakan tugas.

Keyakinannya tinggi apa lagi kedegilan prinsipnya 'tiada yang mustahil' mampu menamatkan penantian pingat emas 20 tahun Sukan Sea tahun lalu di Laos.


“Saya percaya kepada keupayaan pemain saya dan sesekali tidak pedulikan ranking mana-mana pasukan.




“Jepun dan China memiliki ranking tertinggi dalam kelompok Asia, manakala Kyrgyzstan pula berada di bawah Malaysia.

“Tetapi itu bukan jaminan di atas padang. Pasukan hebat di dunia sekalipun boleh tumbang. Lihat saja Brazil, Argentina, malah England. Mereka gagal di Piala Dunia Afrika Selatan.




“Saya lebih percaya kepada apa berlaku di atas padang dan perlawanan pertama menentang bekas negara Soviet itu cukup penting.

“Saya percaya mereka juga mahukan kemenangan, jadi kita harus muncul lebih baik lagi,” katanya.

Rajagobal mengakui set pemain yang beliau ada sekarang ini mampu memikul tugas itu. Mereka adalah yang terbaik dalam pasukan.

“Sekalipun tidak melihat aksi Kyrgyzstan, saya percaya keyakinan yang ada berdasarkan kesan daripada kejayaan di Laos mampu menyuntik aksi bertenaga pemain negara kelak.

“Saya sudah arahkan pemain supaya jangan pandang tinggi mana-mana pasukan, baik Kyrgyzstan, Jepun ataupun tuan rumah China. Kita harus ada sedikit sikap ego untuk lunturkan kesombongan mereka,” katanya.

Menjawab soalan, Rajagobal percaya skuad negara berpeluang mencipta kemenangan kerana ini satu-satunya cara untuk memecah badi kegagalan lampau.

“Kita ada peluang ke atas Kyrgyzstan, kenapa tidak rebutnya. Ini saya tekankan kepada pemain,” katanya.

Di Doha empat tahun lalu, Malaysia ketika itu dibimbing Norizan Bakar tewas semua perlawanan kepada Oman 1-3, China 1-3 dan Iraq 0-4.

Malaysia di zaman kegemilangannya meraih pingat gangsa pada temasya Sukan Asia Teheran 1974.

Rita Rudaini Mahu Tuntut Nafkah Daripada Aidil

07 November 2010

PETALING JAYA: Pelakon Rita Rudaini Mokhtar,32, berkemungkinan akan memfailkan tuntutan nafkah anak dan isteri terhadap suaminya, Mohd. Aidil Zafuan Abd. Radzak,23, selepas mendakwa lelaki itu mengabaikan tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga.

Peguam syarie, Datuk Mohd Zaidi Md. Zain berkata, tuntutan itu mahu dibuat selepas meneliti tuduhan daripada Aidil yang menuntut Rita kembali taat kepadanya serta memohon hak penjagaan kekal anak mereka, Airit Rayyan Rizqin yang berusia setahun tiga bulan.

Kata Mohd Zaidi, perkara itu masih lagi dalam pertimbangan kerana Rita bersedia untuk berbincang dengan Aidil bagi menyelesaikan kes melibatkan rumah tangga mereka itun secara baik.

“Anak guam saya menimbangkan untuk mengemukakan tuntutan itu kepada Aidil selepas melihat tuduhan yang dikemukakan oleh Aidil melalui mahkamah sebelum ini adalah tidak berasas,” katanya.

Pada 26 Oktober lalu Aidil Zafuan yang juga ketua pasukan bola sepak Negeri Sembilan memfailkan permohonan sulh (perbincangan) di mahkamah Tinggi Syariah, Seremban, termasuk menuntut hak penjagaan anak secara kekal (hadhanah).

Rita Rudaini dan Aidil Zafuan
Aidil juga menuntut perintah isteri taat (nusyuz) terhadap Rita.
Dalam mStar online 28 Oktober lalu, Aidil menafikan membuat tuntutan berkenaan sebaliknya kunjungan dia ke mahkamah untuk menangguhkan perintah tersebut yang dibuat ketika mereka menghadapi masalah rumah tangga pada Hari Raya Aidilfitri lalu.

Notis yang dikemukakan Aidil itu tidak diterima Rita kerana ia dipercayai dialamatkan di kampung wanita itu di Utan Aji, Kangar, Perlis.

Sementara itu Rita berkata dia telah hadir ke Mahkamah Tinggi Syariah Seremban pada 2 November lalu bersama peguamnya untuk mendapatkan notis tuntutan yang dikemukakan Aidil.

Notis itu turut menuntut Rita menghadiri majlis sulh yang akan diadakan pada 16 Disember ini di mahkamah yang sama.

Kata Rita dia terkejut selepas mendapati Aidil membuat sepuluh tuntutan termasuklah memohon mendapatkan hak penjagaan kekal anak mereka serta memohon Rita kembali taat kepada suami.
Rita berpendapat jika Aidil membuat tuntutan sedemikian, ia bermakna suaminya itu sudah tidak menyayanginya lagi dan dia bersedia untuk diadili di mahkamah.

“Saya kena kuatkan semangat dan bersedia untuk dibicarakan di mahkamah selepas suami sanggup membuat tuntutan itu,” katanya yang sedang mengandung tiga bulan, anak kedua mereka.

Tindakan Aidil itu kata Rita amat memeranjatkan kerana hubungan mereka yang keruh sebelum ini sebenarnya telah kembali pulih dan dia tertanya-tanya apakah motif Aidil membuat tuntutan sedemikian.
Pasangan tersebut berkahwin secara rahsia di Songkhla, Thailand pada 25 Februari 2008 tanpa pengetahuan keluarga lelaki yang pada mulanya tidak merestui perkahwinan itu.

Usah longlai, ayuh... lakar kejutan

07 November 2010

AMANAT... Tengku Abdullah (kiri) memberikan pesanan terakhir kepada pemain skuad bola sepak negara pada majlis penyerahan Jalur Gemilang di Wisma FAM Kelana Jaya, baru-baru ini. Skuad negara sudah berada di Guangzhou dan akan memulakan kempen Sukan Asia 2010 menentang Kyrgyzstan, esok

KUALA LUMPUR - Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berharap skuad negara mampu mempamer aksi terbaik, apabila memulakan kempen Sukan Asia menentang Kyrgyzstan, esok.

Menurut Tengku Abdullah, walaupun skuad bimbingan K. Rajagobal berhadapan masalah kecederaan pemain utama, ia bukan alasan untuk mereka mempamerkan aksi longlai.

"Pada perlawanan pembukaan nanti, saya berharap para pemain dapat melakukan kejutan, walaupun Kyrgyzstan merupakan antara pasukan terbaik Asia.

"Pemain negara tidak seharusnya rasa tertekan walaupun pemain utama mengalami kecederaan, sebaliknya jadikan situasi tersebut sebagai cabaran menentang pasukan gergasi Asia itu,'' katanya di sini semalam.

Tengku Abdullah merasmikan Pusat Perubatan dan Rehabilitasi WQ Park, di sini.

Kelmarin, 48 pemain serta pegawai skuad bola sepak dan pelayar negara, menjadi kontinjen pertama Malaysia berlepas ke Guangzhou, China, bagi menggalas cabaran pada temasya Sukan Asia pada 12 hingga 27 November ini.

Pada saingan awal bola sepak Sukan Asia, Malaysia yang diundi dalam Kumpulan A, akan memulakan kempen menentang Kyrgyzstan esok, diikuti Jepun (10 November) dan tuan rumah, China (13 November).

Menurut Tengku Abdullah, diundi bersama pasukan gergasi Asia seperti Jepun dan China, boleh memberikan pengalaman berbeza kepada pemain.

Selain itu, beliau turut berharap supaya pemain negara tidak melakukan kesilapan mudah, yang merugikan peluang untuk melakar kejutan.

"Saya harap pemain memberikan saingan yang sengit kepada pasukan lawan, moga-moga mereka memperoleh kemenangan pertama pada Isnin ini, untuk meningkatkan moral pasukan," katanya.'

Dalam perkembangan lain, Tengku Abdullah meminta pasukan yang bertanding dalam Liga Malaysia 2011, melangsaikan semua hutang, seterusnya mendapat pelepasan daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), sebelum tarikh tutup penyertaan.

"Saya tidak mahu perkara tersebut mengganggu perjalanan liga, ketika FAM sedang giat meningkatkan mutu penganjuran Liga Malaysia, khususnya Liga Super pada 2012 untuk menjadikan ia lebih berprestij dan mampu menyaingi liga-liga bola sepak utama di rantau ini," katanya.



Khamis, 4 November 2010

Jangan sampai tersasar - Shabery

04 November 2010



Ahmad Shabery Cheek (kanan) menyerahkan Jalur Gemilang kepada ketua kontinjen negara ke Sukan Asia Guangzhou, Datuk Zolkples Embong di lobi Parlimen, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/SAIFUL BAHARI ASHARI


Ahmad Shabery Cheek (kanan) menyerahkan Jalur Gemilang kepada ketua kontinjen negara ke Sukan Asia Guangzhou, Datuk Zolkples Embong di lobi Parlimen, Kuala Lumpur, semalam.


Ahmad Shabery Cheek (kanan) menyerahkan Jalur Gemilang kepada ketua kontinjen negara ke Sukan Asia Guangzhou, Datuk Zolkples Embong di lobi Parlimen, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/SAIFUL BAHARI ASHARI



KUALA LUMPUR - Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berharap, kontinjen negara ke Sukan Asia tidak tersasar daripada matlamat mencari sembilan pingat emas yang ditetapkan di Guangzhou.

Menurut Ahmad Shabery, apa saja boleh berlaku pada hari sebenar pertandingan.

Katanya, kejutan memenangi emas daripada acara tidak diduga paling diharapkan tetapi tidak mustahil kejutan kehilangan emas daripada acara yang disasar juga mampu berlaku.

Justeru, beliau berharap sukan luar sasaran tetapi memiliki prospek seperti badminton, wusyu, pelayaran, karate, taekwondo serta sepak takraw dapat menghadirkan emas bagi menampung sasaran kontinjen negara seandainya tiga sukan utama - skuasy, berbasikal dan boling gagal menepati jumlah emas yang disasarkan.

Perkara yang sama berlaku pada Sukan Komanwel di New Delhi, bulan lalu apabila sukan seperti boling padang dan memanah gagal menghadirkan emas yang dijanjikan, namun ia digantikan oleh menembak, gimrama dan terjun.

Angkat berat turut menyumbangkan satu emas tambahan menerusi atlet muda Sabah, Aricco Jumitih.

"Berbasikal, skuasy dan boling menjadi sandaran utama untuk menyumbangkan emas Malaysia berdasarkan kredibiliti atlet dan prestasi mereka. Bagi sukan berbasikal, prestasi yang ditunjukkan pada Sukan Komanwel sangat cemerlang, namun standard yang bakal dihadapi di Sukan Asia lebih rendah, jadi kita mengharapkan beberapa emas daripada mereka.

"Begitu juga dengan skuasy. Pemain-pemain kita mempunyai standard yang tinggi di peringkat Asia, mungkin tiga emas boleh diharapkan daripada sukan ini terutama dengan pengenalan acara pasukan buat kali pertama. Bagi boling, pemain kita mempunyai rekod cemerlang dalam Sukan Asia, di temasya Doha empat tahun lalu kita meraih tiga emas.

"Memenangi tiga emas satu pencapaian yang diharapkan daripada boling, namun tidak mustahil lebih daripada itu mungkin boleh dibawa pulang,'' kata Ahmad Shabery selepas menyampaikan insentif kepada pemenang pingat emas Sukan Komanwel dan menyerahkan Jalur Gemilang kepada kontinjen Sukan Asia di Parlimen, semalam.

Malah, Ahmad Shabery turut berharap kejutan mungkin boleh berlaku di kolam renang menerusi acara terjun.

Pandelela Rinong, yang menghadiahkan kejutan memenangi emas 10 meter platform wanita di New Delhi, antara atlet yang menjadi sandaran.

Beliau juga menaruh harapan jaguh badminton No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei mampu memenangi pingat emas individu pertamanya di Sukan Asia, biarpun berdepan cabaran getir dari pemain China, Lin Dan dan Chen Jin, selain jaguh Indonesia seperti Taufik Hidayat serta Sony Dwi Kuncoro.

Malaysia akan menyertai 28 daripada 42 acara yang dipertandingkan.

Akademi di Pahang ada kelainan

04 November 2010

Tengku Abdullah Sultan Ahmad Syah menyerahkan Jalur gemilang kepada jurulatih, K. Rajagobal pada pelancaran jersi baru skuad kebangsaan di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.


PETALING JAYA - Tidak sama seperti akademi bola sepak yang ada sekarang termasuk di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ), itulah yang dijelaskan oleh Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah apabila ditanya tentang Akademi Bola Sepak bernilai RM20 juta yang bakal dibina di Pahang.

Menurut Tengku Abdullah, akademi yang telah diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan Bajet 2011 pada 15 Oktober itu akan saling melengkapi dengan akademi yang ada sekarang ini sebagai usaha untuk melahirkan pemain berbakat.

"Ini adalah kerjasama antara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersama FAM. Kedua-duanya saling memerlukan. Program ini bukannya dijalankan dalam jangka masa pendek tetapi sekurang-kurangnya membawa kepada 10 hingga 20 tahun," kata beliau pada sidang media selepas majlis pelancaran jersi baru skuad kebangsaan di Wisma FAM, semalam.

Jelasnya, semua perkara perlu diambil kira, ia termasuk dari segi infrastruktur dan mempunyai sedikit kelainan berbanding akademi terdahulu dan mengukuhkan apa yang ada sekarang ini.

"Kami masih mengumpul pelbagai maklumat dan pandangan bagi pembinaan akademi ini, sudah semestinya di akademi tersebut akan menyaksikan banyak pembinaan padang bola sepak tetapi mengenai tempat tinggal ia masih belum dibincangkan lagi.

"Terdapat dua atau tiga tempat yang telah dikenal pasti di Pahang, cuma sekarang ini tengah menunggu keputusan yang sesuai," kata Tengku Abdullah yang menganggap pemilihan di Pahang amat bersesuaian sekali kerana terletak di tengah-tengah Semenanjung Malaysia.

Kata beliau, perbincangan dengan KBS juga akan melibatkan tentang pemilihan pemain dan hala tuju pemain yang lahir daripada akademi tersebut.

Ditanya mengenai peluang skuad kebangsaan pada Sukan Asia XVI di Guangzhou yang memulakan aksi pada Isnin depan menentang Kyrgyzstan, Tengku Abdullah berkata, pemain tidak boleh leka dengan pencapaian terdahulu.

"Pemain perlu terus bercita-cita tinggi untuk meneruskan momentum selepas kejayaan merangkul pingat emas di Sukan SEA Laos tahun lalu," katanya.

Kien Keat pembawa Jalur Gemilang di Sukan Asia 2010

04 November 2010

 AHMAD Shabery (kanan) menyerahkan Jalur Gemilang kepada ketua kontinjen negara ke Sukan Asia 2010, Datuk Zolkples Embong di Parlimen semalam.

SELAIN satu penghormatan, pemain badminton beregu negara, Koo Kien Keat turut merasa memikul tugas berat apabila diberi tanggungjawab membawa Jalur Gemilang pada majlis pembukaan rasmi Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China bulan ini.

"Ia adalah satu beban yang besar dan saya akan cuba sedaya upaya untuk melakukan persembahan yang terbaik kerana sebagai pembawa Jalur Gemilang saya perlu tunjukkan contoh yang baik kepada kesemua 337 atlet dalam kontinjen negara," katanya selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara ke Sukan Asia Guangzhou di bangunan Parlimen semalam.

Penyerahan dilakukan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek.

Kian Keat berkata, perasaannya kali ini adalah berbeza apabila diberi kepercayaan untuk mengetuai atlet negara semasa acara perarakan kontinjen walaupun beliau telah banyak kali mewakili negara di kejohanan antarabangsa sebelum ini.

"Menjadi pembawa Jalur Gemilang bukanlah bermakna bahawa saya adalah atlet terbaik negara, namun saya akan berusaha untuk memberi motivasi kepada rakan-rakan yang lain," katanya.
Beliau berkata, kejayaanya memperoleh tiga pingat emas pada Sukan Komanwel New Delhi, India bulan lepas telah memberi keyakinan kepadanya untuk beraksi dengan lebih baik di Guangzhou.

"Saya tidak menjanjikan pingat emas namun akan berusaha yang terbaik bagi mendapat pingat di Guangzhou nanti," katanya.

Pada majlis yang sama, Kien Keat turut menerima Bayaran Skim Hadiah Kemenangan Sukan sebanyak RM95,000 setelah memenangi tiga emas di New Delhi dalam acara beregu lelaki, beregu campuran dan berpasukan.

Mengenai isu lain, beliau berkata, beliau kurang bersetuju dengan penetapan baru Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk membenarkan pemain menyertai kejohanan terpilih sahaja dan mesti membawa pulang gelaran juara di setiap kejohanan.

Kelmarin, Pengarah Prestasi Tinggi BAM, Datuk James Selvaraj membuat pengumuman tersebut agar pemain lebih fokus dan tidak tertekan.

Rabu, 3 November 2010

‘Program hendaklah berterusan’

04 November 2010

 JERSI baru skuad bola sepak negara yang dilancarkan di padang Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

“JANGAN program ini sekadar dilakukan secara ad hoc (tanpa perancangan awal) tetapi ia perlulah dilakukan secara berterusan dengan perancangan rapi untuk tempoh 10 hingga 20 tahun.”

Demikian pesan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah supaya peruntukan kerajaan sebanyak RM20 juta untuk pembinaan Akademi Bola Sepak Negara di Kuantan, Pahang memberi pulangan lumayan kepada pembangunan bola sepak negara.

“Dengan kewujudan akademi bola sepak ini, ia tidak bermakna kita akan mengubah program sedia ada di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) tetapi ia bakal menjadi pelengkap kepada program pembangunan akar umbi di negara ini.

“Kita perlu laksanakan program ini secara berterusan demi kepentingan skuad kebangsaan. Jika gagal dilaksanakan dengan baik, ia tidak bagus untuk perkembangan skuad kebangsaan,” katanya.

Tengku Abdullah juga berharap agar pihaknya dapat mengadakan perbincangan segera dengan Kementerian Belia dan Sukan bagi mengetahui dengan jelas apakah perancangan yang ingin dilakukan di akademi bola sepak tersebut.

Ditanya reka bentuk jersi baru skuad kebangsaan, Tengku Abdullah berkata: “Nampak cantik. Tapi yang penting jenamanya (Nike) dan juga mottonya iaitu Just Do It.”

Zaquan, Aidil senasib

03 November 2010

NASIB malang yang menimpa penyerang kebangsaan, Mohd Zaquan Adha Abd Radzak kini turut dialami abangnya, Mohd Aidil Zafuan yang terpaksa berehat panjang.
Tonggak pertahanan tengah kebangsaan dan Negeri Sembilan itu disahkan cedera Anterior Cruciate Ligament (ACL) pada lutut kanan sekali gus tidak dapat beraksi sekurang-kurangnya untuk tempoh enam bulan dan dijadual menjalani pembedahan Khamis ini.

Adiknya, Mohd Zaquan turut mengalami kecederaan ACL di lutut kiri September lalu ketika beraksi dalam perlawanan persahabatan menentang kelab Qatar, Al-Jaish dalam rangka persiapan skuad bawah 23 kebangsaan.

“Saya kecewa selepas menjalani ujian imbasan resonan bermagnet (MRI) dan diberitahu terpaksa berehat panjang serta terlepas Sukan Asia di China dan Piala Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) Disember ini,” kata ketua pasukan kebangsaan itu, semalam.

Menurutnya lagi dia mungkin akan kembali beraksi pada Mei 2011 dan berharap dapat menyumbang tenaga untuk skuad kebangsaan bagi menghadapi kejohanan lain seperti pusingan kelayakan Piala Dunia.

“Saya terpaksa menerima hakikat kerana ini adalah asam garam seorang pemain bola sepak,” katanya yang turut dipilih sebagai pemain pertahanan terbaik di Anugerah Kebangsaan 100PLUS-Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) 2010.

Harapan ke Piala AFF musnah

03 November 2010
PEMAIN pertahanan, Mohd. Aidil Zafuan Adha (kiri) tidak dapat beraksi mewakili negara gara-gara kecederaan yang dialaminya semasa mewakili Negeri Sembilan menentang Kelantan pada perlawanan akhir Piala Malaysia

PETALING JAYA – Malang bertimpa buat pertahanan Negeri Sembilan dan kebangsaan, Mohd. Aidil Zafuan Adha Abdul Razak selepas disahkan mengalami kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) dan bakal menjalani pembedahan, esok di Hospital Pantai, Ampang.

Apa yang pasti, selepas pembedahan itu, Aidil terpaksa berehat sekurang-kurangnya enam bulan dan bukan sahaja terlepas peluang ke Sukan Asia malah terpaksa melupakan hasrat membantu skuad negara di Piala AFF.

Kecederaan itu mengikut jejak langkah kembarnya, Zaquan Adha Abdul Razak yang sebelum ini turut mengalami kecederaan ACL pada September lalu.

‘‘Melalui ujian imbasan bermagnet (MRI) yang dilakukan pada pagi tadi, doktor memberitahu ACL saya telah putus dan perlu menjalani pembedahan pada Khamis ini.

‘‘Jika sebelum ini saya fikirkan untuk beraksi di Piala AFF kerana menjangkakan hanya mengalami kecederaan meniskus tetapi keputusan MRI memusnahkan harapan saya,” katanya yang ditemui pada majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 100 Plus-FAM, semalam.

Aidil mendapat kecederaan tersebut pada perlawanan akhir Piala Malaysia baru-baru ini selepas dirempuh oleh penyerang Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha.

Ketiadaan Aidil mungkin memaksa jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal menyenaraikan pemain berpengalaman, Norhafiz Zamani Misbah di bahagian pertahanan untuk mengisi salah satu daripada tiga slot pemain senior di Sukan Asia.

Walaupun begitu, Aidil tetap berharap dapat membantu skuad kebangsaan di pusingan kelayakan Piala Dunia yang dijangka berlangsung pada bulan Mei atau Jun tahun hadapan.

‘‘Saya amat berharap Rajagobal dapat memberikan saya peluang beraksi bersama skuad negara selepas pulih nanti dan saya cuba untuk pulih secepat mungkin,” katanya.

Dalam masa sama, Aidil berkata, dia akan kekal bersama skuad Hoben Jang Hoben pada musim hadapan kerana masih mempunyai kontrak selama setahun.

‘‘Tahun hadapan, saya masih di Negeri Sembilan, begitu juga dengan kembar saya, Zaquan,” ujarnya.
Perkhabaran duka bagaimanapun terubat apabila Aidil diumumkan buat tahun kedua berturut-turut sebagai pemain pertahanan terbaik 2010.

‘‘Saya ucapkan terima kasih kepada panel pemilihan yang meletakkan saya sebagai pemenang di samping rakan-rakan dan jurulatih Negeri Sembilan, Wan Jamak Wan Hassan yang banyak membantu menaikkan karier saya sebagai pemain.” katanya.



PEMAIN pertahanan, Mohd. Aidil Zafuan Adha (kiri) tidak dapat beraksi mewakili negara gara-gara kecederaan yang dialaminya semasa mewakili Negeri Sembilan menentang Kelantan pada perlawanan akhir Piala Malaysia.

Aidil terlepas aksi Sukan Asia

03 November 2010

AIDIL (kanan) terpaksa melupakan aksi pada Sukan Asia di Guangzhou.

KAPTEN skuad bola sepak kebangsaan, Aidil Zafuan Abdul Radzak terpaksa berehat selama enam bulan setelah ujian MRI (imbasan resonan bermagnet) semalam menunjukkan dia mengalami kecederaan ACL (Anterior Cruciate Ligament) pada lutut kanannya.

Dengan perkembangan tersebut, Aidil, 23, terlepas untuk beraksi pada Sukan Asia 2010 di Guangzhou minggu depan dan Piala AFF Suzuki 2010 di Jakarta awal bulan depan.

“Hasil ujian MRI pagi tadi (semalam) menunjukkan bahawa ACL saya putus dan meniskus saya pula bengkak. Jadi saya terpaksa menjalani pembedahan pada Khamis ini (esok).

“Memang saya tak jangka ia akan seteruk ini. Sedih juga kerana saya jangka dapat kembali beraksi pada Piala AFF Suzuki tetapi kini hanya akan dapat kembali beraksi pada bulan Mei tahun depan,” katanya ketika ditemui Kosmo! selepas majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 100PLUS-FAM 2010
semalam.
Pada majlis tersebut, Aidil dipilih sebagai Pemain Pertahanan Terbaik dan menjadi satu-satunya pemain yang berjaya mempertahankan anugerah yang dimenangi tahun lalu dengan baki pemenang lain adalah penerima baru.

“Anugerah ini sekurang-kurangnya dapat mengubat kekecewaan saya. Tetapi inilah risiko dan asam garam sebagai pemain bola sepak. Saya akan kembali nanti hampir sama dengan adik kembar (Zaquan Adha Abdul Radzak) yang turut menjalani pembedahan ACL bulan lepas.

“Kami berdua juga masih ada baki kontrak semusim lagi bersama Negeri Sembilan. Jadi untuk musim 2011, kami akan kekal menyarung jersi Negeri Sembilan,” jelas Aidil.

Sementara itu, pemenang anugerah Pemain Tengah Terbaik, Bad- drol Bakhtiar yang turut terlepas ke Sukan Asia akibat kecederaan lutut membayangkan dia bakal meninggalkan Kedah musim depan selepas menerima tawaran daripada enam pasukan.

“Saya ada terima tawaran dari- pada Selangor, Kelantan, Negeri Sembilan, Felda United, Perak dan Sabah. Tetapi saya masih perlukan masa untuk fikir dan berbincang dengan keluarga sama ada mahu kekal di Kedah atau berhijrah ke pasukan baru.

“Semua ini akan saya putuskan dalam tempoh seminggu dua ini me- mandangkan saya tak dapat ke Sukan Asia kerana kecederaan lutut kiri ini hanya akan pulih dalam tempoh tiga minggu.

“Insya-Allah saya boleh kembali pada Piala AFF Suzuki bulan depan,” kata Baddrol yang turut ditemui pada majlis sama.

Selasa, 2 November 2010

Aidil harap raih Anugerah Bola Sepak Kebangsaan

2 November 2010

KAPTEN Negeri Sembilan, Mohd Aidil Zafuan Abdul Razak yang kecewa gagal meneruskan aksi final Piala Malaysia, Sabtu lalu, berharap dapat menebus detik berkenaan dengan meraih Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 100PLUS/FAM 2010, hari ini.

Aidil yang terpaksa dikeluarkan selepas bertembung dengan pemain Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha ketika Negeri Sembilan ditewaskan 2-1 oleh juara baru itu, dicalonkan bagi Anugerah Pemain Pertahanan Terbaik dan akan bersaing dengan Mod Nasriq Baharom dari Selangor, Azizi Mat Rose (Kelantan), Marzuki Yusof (Terengganu) dan Reithaudeen Emran (Sabah).

“Umum mungkin merasakan anugerah ini tidak sebesar mana, tetapi bagi seorang pemain, ia satu pengiktirafan atas usaha mereka. Saya bersyukur anugerah ini diwujudkan,” kata Aidil yang turut berpeluang merangkul Anugerah Pemain Paling Bernilai.
Aidil antara pemain paling konsisten bagi pasukan kebangsaan dan Negeri Sembilan sejak beberapa tahun lalu dan dia turut terbabit membantu Malaysia meraih pingat emas pada Sukan SEA Laos 2009.

Panel pemilihan anugerah berkenaan terdiri daripada jurulatih kebangsaan, ahli Persatuan Penulis Sukan Malaysia (SAM) dan pegawai Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang mengeluarkan senarai calon kepada semua jurulatih dan ketua pasukan dalam Liga Super dan Liga Perdana untuk membuat pilihan.

Aidil pilihan Anugerah Bola Sepak Kebangsaan

2 November 2010

TONGGAK Negeri Sembilan, Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak kecewa kerana gagal mempertahankan Piala Malaysia hujung minggu lalu tetapi dia berharap Anugerah Kebangsaan 100PLUS-FAM 2010 menjadi miliknya kerana setidak-tidaknya, anugerah berkenaan sudah pasti mampu mengubati luka akibat ditundukkan Kelantan.
Tidak cukup dengan itu, perjuangan Aidil ketika perlawanan akhir Piala Malaysia juga gagal ditamatkan apabila aksinya sekadar terhenti separuh jalan akibat kecederaan.

“Ia satu kecederaan yang agak teruk dan saya harap rehat beberapa hari memadai untuk menyembuhkan kecederaan. Saya harap ia tidak memerlukan pembedahan kerana akan menjejaskan peluang saya untuk beraksi di Piala AFF bulan depan,” kata Aidil.

“Jika beberapa pemain kami tidak cedera, kami mungkin muncul pemenang tetapi itulah bola sepak. Kalah atau menang adat pertandingan. Mungkin ada yang beranggapan Anugerah Kebangsaan 100PLUS-FAM tidak bermakna tetapi bagi kami selaku pemain bola sepak, itulah anugerah yang mengiktiraf kerjaya ini.” Aidil dicalon untuk anugerah Pertahanan Terbaik dan bersaing dengan Mod Nasriq Baharom (Selangor), Azizi Mat Rose (Kelantan), Marzuki Yusof (Terengganu) dan Reithaudeen Emran (Sabah).

Selain itu, jika Aidil mendapat undi secukupnya, dia turut berpeluang memenangi anugerah Pemain Paling Berharga.

Anak keenam daripada tujuh beradik itu tonggak pasukan kebangsaan dan selain pernah memenangi pingat emas bersama skuad Sukma Negeri Sembilan 2004 serta Piala Malaysia musim lalu, dia turut menjadi nadi kejayaan Malaysia meraih pingat emas Sukan Sea 2009.

Bagi memastikan hanya individu terbaik dicalonkan untuk Anugerah Kebangsaan 100PLUS-FAM, panel pemilihan terdiri daripada jurulatih kebangsaan, ahli Persatuan Penulis Sukan Malaysia (SAM) dan pegawai FAM itu tampil dengan beberapa calon lain.

Senarai calon itu diedar kepada jurulatih serta kapten pasukan yang beraksi di Liga Super serta Perdana. Semua akan membuat pemilihan beberapa anugerah, termasuk Pemain Paling Berharga.

Selain tujuh anugerah dipilih panel, FAM turut mewujudkan anugerah untuk Persatuan Bola Sepak Terbaik, Kelab Terbaik dan Kelab Penyokong Terbaik.

Aidil berharap kecewa terubat

2 November 2010

AIDIL (kiri) berharap kekecewaannya terubat andai dipilih menerima Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2010 hari ini.
SELEPAS kecewa pada final Piala Malaysia Sabtu lalu, tonggak utama Negeri Sembilan, Mohd. Aidil Zafuan Abdul Radzak berharap untuk menebus kekecewaan itu dengan meraih Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 100PLUS-FAM hari ini.

Bukan sahaja Kelantan menghampakan juara bertahan, Negeri Sembilan daripada mengekalkan Piala Malaysia, perlawanan akhir itu juga menyaksikan Aidil terpaksa dikeluarkan pada pertengahan
perlawanan akibat kecederaan.

Aidil telah dicalonkan bagi Anugerah Pemain Pertahanan Terbaik dan akan bersaing dengan Mohd. Nasriq Baharom dari Selangor, Azizi Mat Rose (Kelantan), Marzuki Yusof (Terengganu) dan Reithaudeen Emran (Sabah).

Sekiranya beliau dapat mengumpul undi yang banyak, Aidil juga mempunyai potensi untuk merangkul Anugerah Pemain Paling Bernilai.

"Orang mungkin berpendapat anugerah ini tidak begitu besar tetapi bagi seorang pemain, ia satu pengiktirafan atas usaha mereka. Saya bersyukur kerana turut dicalonkan untuk anugerah ini,” kata Aidil.

Aidil merupakan pemain yang menunjukkan persembahan konsisten bagi pasukan kebangsaan dan Negeri Sembilan sejak beberapa tahun lalu dan antara pemain yang membantu Malaysia merangkul pingat emas pada Sukan SEA 2009 di Laos.

Bagi memastikan hanya pemain terbaik dipertimbangkan untuk anugerah tersebut, sebuah panel pemilih terdiri daripada jurulatih kebangsaan, ahli Persatuan Penulis Sukan Malaysia (SAM) dan pegawai Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah menyenaraikan beberapa calon yang layak untuk anugerah tersebut.

Nasib Aidil dalam skuad belum pasti

2 November 2010




KEPUTUSAN sama ada kapten skuad bola sepak kebangsaan, Aidil Zafuan Abdul Radzak akan bersama 19 pemain lain berlepas ke Guangzhou, China pada Jumaat ini untuk saingan Sukan Asia 2010 hanya akan terjawab hari ini.

Menurut pemain pertahanan Negeri Sembilan berusia 23 tahun itu, ujian MRI (imbasan resonan bermagnet) bagi menentukan tahap keseriusan kecederaan pada lutut kanannya hanya akan dibuat pada hari ini.

"Sepatutnya hari ini (semalam) saya buat ujian MRI tetapi doktor tiada. Jadi saya hanya akan buat ujian MRI itu pada tengah hari esok (hari ini).

"Buat masa ini memang lutut saya masih sakit dan tak boleh nak bengkok. Tapi saya tak boleh nak katakan ia kecederaan serius atau tidak. Kena tunggu keputusan ujian," kata Aidil ketika dihubungi Kosmo! petang semalam.

Aidil mengalami kecederaan itu selepas dirempuh penyerang Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2010 di Stadium Nasional, Bukit Jalil Sabtu lalu.

Dalam pada itu, skuad kebangsaan bakal menghadapi ujian terakhir sebelum berlepas ke Guangzhou dengan menghadapi skuad B-23 Maldives di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada pukul 5 petang ini.

Jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal berkata, dia bersikap lebih realistik menjelang saingan Sukan Asia memandangkan mereka akan beraksi tanpa kekuatan sebenar berikutan masalah kecederaan yang melanda.

"Ujian doktor ke atas Baddrol Bakhtiar, Sabre Mat Abu, Azmi Muslim dan Sharbinee Allawee Ramli mendapati mereka tidak dapat pulih dalam masa terdekat ini.

"Farizal Marlias pula biarpun sudah kembali berlatih, namanya tiada dalam senarai ke Sukan Asia gara-gara kecederaan panjang yang dialaminya sebelum ini.

"Terdahulu kita sudah pun kehilangan Zaquan Adha Abdul Radzak dan Bunyamin Umar yang menjalani pembedahan lutut. Jadi jika Aidil turut terpaksa diketepikan, kita akan ke Sukan Asia tanpa lapan tonggak," kata Rajagobal.

Di Guangzhou nanti, Malaysia diundi dalam Kumpulan A dan akan berdepan Kyrgyzstan pada Isnin depan diikuti Jepun (10 November) dan tuan rumah, China (13 November).
KECEDERAAN Aidil bakal menyaksikan beliau terlepas aksi pada Sukan Asia di Guangzhou memandangkan acara bola sepak akan bermula Sabtu ini.

Kenapa Fizz Beriya Minta Maaf Pada Ayu-Zaquan?

2 November 2010

2 NOV 2010: Sekarang ini, Murai Batu pasti ramai peminat sudah tahu bahawa pelakon cantik, Ayu Raudah dan pemain bola sepak negara, Zaquan Adha sudah pun bertunang. Malah, mereka juga sudah pun merancang untuk berkahwin pada 20 Januari 2011.

Berita ini telah disahkan serta dimaklumkan sendiri oleh Zaquan ketika mereka menghadiri majlis hari ulang tahun kelahiran pelakon popular, Fizz Fairuz yang ke-31 yag telah diadakan di Red Box, The Gardens, Mid Valley, baru-baru ini.

Bagaimanapun, sewaktu kejadian tersebut berlaku, Murai Batu dapat tahu, Fizz Fairuzz dikatakan telah memohon maaf secara berulangkali kali kepada Ayu dan Zaquan. Hai, apa tujuannya si Fizz berbuat sedemikian kepada Ayu dan Zaquan. Yelah, sedangkan itu majlis hari jadinya?

Selepas mengorek rahsia sebenar apa yang terjadi, barulah Murai Batu dapat tahu, yang sebenarnya Fizz sendiri tidak menyangka bahawa majlis hari ulang tahun kelahirannya itu telah dihadiri ramai rakan wartawan.

Disebabkan itu, Fizz rasa bersalah sangat dengan Ayu kerana dia sama sekali tidak terfikir jemputan yang diberikan kepada Ayu untuk menghadiri majlis berkenaan bertukar menjadi majlis sidang media Ayu dan Zaquan hingga mereka telah mengumumkan berita tergempar yang berkaitan dengan hal pertunangan dan perkahwinan mereka kepada wartawan.

Dengarnya, Ayu mengaku pada Fizz yang dia memang sedikit kecewa dengan apa yang terjadi dan Ayu sebenarnya sama sekali tidak tahu majlis itu turut didatangi pihak media.

Apa sekalipun, Murai Batu difahamkan, kedatangan media pada hari itu adalah satu kejutan buat Fizz. Ini kerana segala jemputan yan dibuat kepada pihak media bukanlah dilakukan oleh Fizz. Sebaliknya ia diuruskan sendiri oleh kelab peminat Fizz yang juga bertindak sebagai penganjur.

Jadi, rasanya Ayu tidak patutlah menyalahkan Fizz dalam keadaan ini. Pun begitu, Murai Batu merasakan, sebagai public figure, tidak kiralah Ayu atau Zaquan, mereka seharusnya faham bahawa kebarangkalian perkara sebegini pasti akan terjadi.

Dah namanya selebriti, jadi tidak kisahlah ke mana anda pergi, pasti ramai mahu ambil berat akan hal anda.

Murai Batu berharap, dengan apa yang Murai Batu sampaikan ini tidaklah membuatkan hubungan Fizz dan pasangan sensasi ini bermasam muka. Anggaplah ia sebagai kejadian yang tidak dirancang. Apa kes pun, benda baik tidak perlu dirisaukan.
MURAI BATU: Kenapa Almy Nadia tak hadir di hari istimewa pakwenya Fizz Fairuz?

Isnin, 1 November 2010

Kecederaan Aidil jejas skuad Sukan Asia

1 November 2010

PERSIAPAN skuad bola sepak ke Sukan Asia Guangzhou yang hanya berbaki beberapa hari disentak dengan perkhabaran kapten Bawah 23 kebangsaan, Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak mungkin tidak akan menyertai penerbangan ke China selepas terbabit dalam kecederaan teruk ketika final Piala Malaysia, kelmarin.

Pertahanan tengah 23 tahun itu terbabit dalam pelanggaran dengan penyerang Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha pada separuh masa kedua dan terpaksa diusung keluar. Tanpanya, Kelantan menembusi pertahanan Negeri Sembilan dua kali untuk kemenangan 2-1.

Adik kembar, Zaquan Adha yang ditemui pada majlis tandatangan ucapan khas anjuran Astro Arena buat atlit Sukan Asia di Sunway Pyramid semalam, berkata ia adalah kecederaan serius dengan Aidil bakal mengetahui nasibnya apabila bertemu doktor hari ini.
“Esok abang jumpa doktor untuk mengetahui tahap kecederaannya. Buat masa ini dia sedang berehat di rumahnya di KL.

“Dia memberitahu saya dia tidak dapat bangun dan kakinya tak boleh bengkok,” kata Zaquan.

Zaquan turut berkongsi kekecewaan dengan Aidil berikutan penyerang itu juga diketepikan sehingga Mac selepas mengalami kecederaan lutut pada perlawanan persahabatan menentang kelab Qatar, Al-Jaish dalam rangka persiapan pasukan B-23, September lalu.

Aidil kecewa Negeri Sembilan tewas

1 November 2010

PERASAAN kecewa tidak dapat dibendung Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak yang diberi tanggungjawab sebagai kapten pasukan Negeri Sembilan di final Piala Malaysia malam kelmarin.
Aidil bukan hanya terpaksa menerima hakikat pasukan negerinya tewas, malah kecewa kerana terpaksa meninggalkan rakan-rakannya berjuang dan akur kecederaan menghalangnya daripada mempertahankan kotak penalti mereka yang kebal sebelum dia dikeluarkan.

“Saya tidak lihat jaringan itu kerana sudah berada di luar padang. Tapi memang saya amat kecewa tidak dapat mempertahankan kejuaraan,” kata Aidil di luar bilik persalinan.

Kelantan menyamakan kedudukan menerusi tandukan Hairuddin Omar yang menerima hantaran lintang daripada Norshahrul Idlan Talaha, seminit selepas Aidil diganti Mohd Firdaus Azizul.

Ketiadaan Aidil memaksa Shukor Adan berkerja keras kerana hanya dia pemain yang banyak pengalaman di benteng pertahanan Negeri Sembilan.

“Kekalahan ini tidak akan mematahkan semangat kami. Bagi saya jaringan Kelantan itu bukan kerana ketiadaan saya, tapi kerana nasib menyebelahi mereka. Bola sepak permainan berpasukan, anda tidak boleh kata ketiadaan saya membolehkan Kelantan menjaringkan gol, saya yakin kami akan bangkit tahun depan,” tambahnya.

Kecederaan lutut dialami Aidil mungkin menjejaskan peluang beraksi di Sukan Asia bulan ini.

“Saya tidak boleh buat sebarang kenyataan kerana belum tahu sejauh mana situasi sebenar. Saya akan ke hospital untuk membuat ujian imbasan MRI dan tunggu keputusan doktor,” kata Aidil.

Alif tempang tanpa Aidil

1 November 2010

MOHD ALIF SAMSUDIN mungkin boleh dianggap punca kekalahan Negeri Sembilan di tangan Kelantan pada final Piala Malaysia, kelmarin.

Alif, 21, diturunkan dalam kesebelasan utama skuad Hoben Jang Hoben bagi memperkuatkan jentera pertahanan pasukan dibelenggu kecederaan itu hanya bermain dengan baik ketika ada dua pemain berpengalaman, Shukor Adan dan Mohd Aidil Zafuan Abd Razak di atas padang.

Namun, sebaik Aidil dikeluarkan, Alif mula goyah sekali gus mempengaruhi corak pertahanan Negeri Sembilan yang pantas menutup ruang di babak pertama, bertukar longgar.

Alif yang kali pertama beraksi di final mengakui gementar sebaik permainan dimulakan. Namun dengan arahan daripada Aidil dan Shukor, dia berjaya bertindak dengan baik sehinggalah Aidil mengalami kecederaan.

“Saya amat kecewa kerana banyak melakukan kesilapan. Sepatutnya saya dapat kejar Badri (Mohd Radzi), tapi saya gagal,” kata Alif mengakui kesilapannya itu.

Badri atau lebih dikenali dengan gelaran 'Piya' memperoleh peluang melarikan bola hasil lorongan cantik Mohd Norfarhan Muhamad dari sayap kanan, meluru ke gawang Negeri Sembilan sebelum melepaskan rembatan kencang. Alif yang berada di posisi terbaik untuk memintas dan mengeluarkan bola dari kawasan bahaya, hanya bertindak mengejar Badri yang ternyata lebih tangkas.

“Saya tidak perhatikan betul-betul situasi bola ketika itu, ternyata saya silap membaca permainan” kata Alif.

Negeri Sembilan bermain cemerlang di separuh masa pertama, biarpun menggunakan hanya satu penyerang.

Mereka mendahului 1-0 menerusi jaringan penalti Shahurain Abu Samah selepas S Kunalan dijatuhkan penjaga gol Kelantan, Khairul Fitree Ishak dalam kotak penalti pada minit ke-13.

Aidil Tetap Fokus Walau Dihambat Krisis Rumahtangga!

1 November 2010

11 NOV 2010: Gomo Kelate Gomo, Hobin Jang Hobin...itulah dua pepatah yang berleluasa pada hari Sabtu lalu sempena perlawanan akhir Piala Malaysia edisi 2010. Murai Batu yang turut berada di Stadium Nasional, Bukit Jalil terpana sebentar apabila melihat lautan manusia membanjiri perkarangan stadium itu sejak pukul 2 petang lagi. Dianggarkan 90, 000 manusia hadir menyemarakkan suasana.

Murai Batu bukanlah sokong mana-mana pasukan, tapi hadir sebagai menunjukan semangat sukan negara dan kerana cintanya kepada sukan No. 1 dunia itu. Hadir sebagai peneman kepada rakan media, Murai Batu memang teruja sekali nak tahu siapa yang menang. Lagipun Murai Batu nak tengok kelibat seorang pemain handalan ni, macam mana mutu permainan dia malam ini di saat dia sendiri berhadapan dengan krisis peribadi.

Tepat pukul 8.45 malam, muncullah kelibat 22 orang lelaki (tidak termasuk pengadil dan penjaga garisan) di tengah padang yang menjadi tunggak harapan masing-masing. Satu pasukan berbaju kuning hitam manakala satu lagi putih merah. Mata Murai Batu tertumpu pada seorang lelaki yang memakai jersi No. 7 dari pasukan kuning hitam tu. Riak wajahnya serius dan tergambar kegusaran.

Rasanya hampir semua penyokong Negeri Sembilan dan sebahagian besar peminat industri hiburan tanahair kenal dengan nama Aidil Zafuan ni. Ketua pasukan Negeri Sembilan serta suami kepada aktres, Rita Rudaini ini sememangnya dikenali sebagai antara pemain pertahanan terbaik negara.

Namun kebelakangan ini bukan kisah kehandalannya di atas padang yang menjadi perbualan, sebaliknya kisah krisis rumah tangganya dengan isteri sehingga khabarnya Aidil telah memfailkan permohonan sulh dan hak penjagaan anak.

Jadi adakah krisis peribadi itu akan mengganggu fokus Aidil malam ini? Jangkaan Murai Batu meleset, 45 minit separuh masa pertama, Aidil menjadi tunjang pasukannya di barisan belakang untuk menyekat kemaraan Kelantan. Gaya permainannya bersemangat dan fokusnya tinggi, seolah-olah tiada perkara lain yang mengganggu fikirannya ketika itu.

Selepas Negeri Sembilan mendapat gol pertama, Aidil terus berjuang berhabis-habisan untuk mengekang asakan pemain Kelantan dari mendapat gol penyamaan. Kagum habislah Murai Batu dengan pemain berusia 23 tahun ini.

Tapi setakat itu sajalah perjuangan Aidil. Masuk babak awal separuh masa kedua, kecergasan Aidil terbantut akibat kecederaannya sehingga terpaksa diusung keluar. Dia kemudian digantikan dengan pemain lain, dan akibatnya Negeri Sembilan tewas malam itu. Kelantan dinobatkan sebagai juara, dan Negeri Sembilan pulang berduka.

Mungkin bola itu bulat, tapi sekiranya Aidil terus bermain 90 minit, Murai Batu rasa mungkin ada perubahan dari segi keputusan perlawanan. Setidak-tidaknya, kehadiran Aidil mampu memberi semangat kepada rakan sepasukannya yang lain.

Dikesempatan ini, Murai Batu ingin ucapkan sekali tahniah kepada kedua-dua pasukan kerana bermain dengan begitu bersemangat sekali. Tahniah dan tabik juga Murai Batu kepada Aidil, meskipun hadir pada malam itu dengan pelbagai masalah peribadi, fokusnya untuk menang tetap tinggi.

Kekalahan itu mungkin perit kerana ianya hadir di saat-saat begini tapi Murai Batu harap Aidil tabah menghadapinya dari segi mental sepertimana Aidil tabah menghadapi cabaran dari segi fizikal pada malam itu.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...