Aidil Zafuan & Zaquan Adha

Keluarga Aidil Zafuan

Keluarga Zaquan Adha

LIKE jika suka :)

Memaparkan catatan dengan label GUA. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label GUA. Papar semua catatan

Selasa, 28 Oktober 2014

"Kalau tak sanggup jangan tengok LBS3," - Iqram Dinzly

28 Oktober 2014



Pelakon, Iqram Dinzy berpendapat sekiranya suami gandingannya, Ayu Raudhah, Zaquan Adha tidak sanggup untuk menonton Lagenda Budak Setan 3 : Kasyah (LBS3), maka dia tidak perlu menonton filem tersebut.

“Kalau tak sanggup jangan tengok LBS3 kerana apa yang saya lakonkan adalah atas permintaan pengarah sendiri. Saya menghormati hak Zaquan sebagai seorang suami, namun dalam masa yang sama saya juga menegakkan serta mempertahankan kerjaya saya sebagai seorang pelakon.

Saya menjayakan watak sebagai 'alter ego' yang memerlukan saya untuk melakonkan adegan-adegan sebegitu. Malah pengarah juga enggan menggunakan 'camera trick' atau 'cutt' sebaliknya mahu menjalankan penggambaran sekali jalan sahaja,” ujar Iqram ketika dihubungi GUA sebentar tadi.

Menurut Iqram, dia difahamkan yang pada malam gala filem LBS3, Zaquan telah membawa keluar anaknya dari pawagam kerana menangis tidak sanggup melihat ibunya dipukul sebegitu. Iqram juga turut berkongsi yang Ayu turut melahirkan kegusarannya berhubung adegan-adegan tersebut ketika penggambaran berlangsung.

“Saya dapat rasakan yang Ayu agak kurang selesa dengan adegan tersebut dan ketika masuk adegan ke-3 dia masuk ke bilik kerana 'paranoid'. Saya kemudiannya duduk berbincang dengan Ayu dan memohon maaf sekiranya saya mengasarinya sepanjang penggambaran berlangsung.

Kami kemudiannya berbincang bagaimana untuk menjayakan adegan tersebut tanpa membuatkan Ayu merasa sakit. Babak tersebut juga berjaya dilakonkan dengan sekali 'take' sahaja dan saya juga berjaya mendalami watak tersebut sebaik mungkin,” ujar Iqram.

Menurut Iqram lagi, dia sememangnya mendambakan watak psiko sebegini yang menguji kebolehannya sebagai pelakon. Malah dia juga berpendapat dalam masa yang sama ia boleh dijadikan pengajaran kepada lelaki-lelaki di luar sana untuk tidak menjadikan perempuan sebagai tempat melepaskan kemarahan.

Rabu, 10 September 2014

"Saya suruh mereka lakonkan babak pukul dengan betul" - Pengarah LBS3

11 September 2014



Selepas mendapat komen daripada Ayu Raudhah dan Iqram Dinzly mengenai entri di akaun Twitter milik Zaquan Adha, GUA menghubungi pengarah dan penerbit filem ‘Lagenda Budak Setan 3: Kasyah Lagenda Berakhir’ (LBS3), Sharad Sharan untuk mendapatkan keterangan lanjut mengenai perkara ini.

“Mengenai babak pukul antara Iqram dan Ayu, itu semua berdasarkan novel LBS3. Itu pun sudah saya kurangkan sedikit, jika menurut novel tersebut, babak-babak tersebut lebih keras. Saya hanya merealisasikan apa yang diceritakan dalam novel tersebut dalam bentuk visual.

“Sebagai pengarah, saya tidaklah menyuruh Iqram memukul Ayu betul-betul, saya suruh mereka melakonkan babak pukul itu dengan betul agar ia nampak natural dalam skrin. Tetapi saya faham juga, sebagai pemegang watak, pelakon kadang-kadang boleh terlalu ‘get into the character’. Namun begitu, mereka semua telah melakukan tugas mereka dengan baik dalam filem ini,” jelas Sharad memulakan bicara.
GUA juga sempat bertanya kepada Sharad, adakah isu yang timbul ini bakal memberikan impak negatif kepada filem LBS3 yang mula ditayangkan pada 11 September ini?

“Mengenai impak yang bakal hadir, saya sendiri pun tak pasti sama ada impak tersebut positif atau negatif. Saya tak boleh jangka. Peminat dan penonton harus nilai sendiri bagaimanakah babak itu dihasilkan. Jadi saya harap semua dapat menonton di pawagam untuk melihat sendiri bagaimana.

Lagi pun, filem ini sudah ada pengikut sendiri semenjak dua siri filem terdahulu. Peminat novel LBS juga pastinya tidak sabar untuk melihat bagaimanakah kesudahan cerita cinta ini. Saya agak risau jika ada kesan buruk yang akan terpalit berkenaan dengan kontroversi ini, namun begitu, filem ini sudah ada pengikut tersendiri,” jelas Sharad lagi.

Ketika ditanya adakah Sharad sudah menghubungi Iqram atau pun Ayu dan berbincang dengan mereka mengenai kontroversi yang timbul, pengarah ini mengakui dia ada menghubungi kedua-dua pelakon tersebut.

“Saya sudah menghubungi Iqram, dia katakan kepada saya dia sendiri tidak tahu bagaimana isu ini boleh timbul kerana Iqram hanya bersikap profesional dengan mengikut kehendak watak. Saya juga turut menghubungi Ayu tetapi spanggilan saya gagal,” kata Sharad mengakhiri perbualan.

Ayu Raudhah Trauma & Sengsara Dipukul Iqram Dinzly

11 September 2014



Pelakon Ayu Raudhah mengakui pernah trauma ketika menjalani penggambaran filem ‘Lagenda Budak Setan 3 : Kasyah Lagenda Berakhir’ yang dilakukan sekitar awal tahun 2012.

Menurut adik kepada Rozita Che Wan ini, dia mengakui berasa sengsara untuk melakonkan watak sebagai Zahirah yang sering menjadi mangsa pukul suaminya, Shan yang dilakonkan oleh Iqram Dinzly.

“Saya mempunyai 18 babak dalam filem itu di mana majoritinya adalah babak isteri dipukul oleh suami. Bayangkan tiap-tiap hari shooting asyik kena pukul saja, jadi sedikit sebanyak timbul rasa trauma dalam diri. Tidak dinafikan memang sengsara melakonkan watak Zahirah yang dipukul, dicekik dan ditendang oleh suaminya, tapi saya rasa berbaloi apabila lakonan tersebut meninggalkan kesan kepada penonton,” tutur Ayu ketika dihubungi GUA sebentar tadi.

Lakonan mantap Ayu bukan sahaja meninggalkan kesan terhadap penonton, malah turut memberi kesan kepada suaminya, Zaquan Adha yang seolah-olah marah apabila isterinya diperlakukan sedemikian. Pemain bola sepak negara itu mendapat perhatian ramai apabila memuat naik status di Twitternya dengan menulis,‘SAYA TAK SANGGUP TENGOK ISTERI DIPERLAKUKAN SEBEGITU..LEPAS INI NO MORE SHOOTING!!!’. Ayu ketika dihubungi bagaimanapun mengakui agak terkejut dengan tindakan suaminya itu.

“Sewaktu menjalani penggambaran dulu, saya pernah cakap kepada dia tentang babak pukul itu dan pernah mengadu sakit. Tapi ketika itu tak adalah dia cakap apa pula sebab mungkin dia tidak nampak gambaran sebenar tentang babak saya. Tak sangka pula bila dia pergi menonton filem ini terus dia cakap kalau beginilah shooting tak payahlah berlakon lagi.

Pada mulanya tak terlintas langsung yang dia akan muat naik status sebegitu di Twitter dia. Memang tak sangkalah sebab ingat dia marah ketika itu saja, tapi nak buat macam mana, benda dah jadi isu. Apapun, saya pasti niat dia tulis sebegitu kerana tidak mahu terjadi apa-apa kejadian buruk kepada isterinya. Bagi saya itu reaksi spontan seorang suami yang mengambil berat tentang isterinya.
Saya pun dah kata kepada dia jangan layan isu ini kerana jika kita balas balik nanti mereka akan fikir bukan-bukan pula. Bagi saya, orang tetap akan mengata, jadi lebih baik kita tenang dan diam saja agar isu ini tidak diperbesarkan lagi. Apapun, suami saya tak ada masalah untuk saya berlakon, tapi mungkin tak ada lagi babak seperti itu,” ujar Ayu sambil memberitahu anak sulungnya yang berusia setahun setengah turut menangis ketika menonton babak ibunya dipukul.

Ditanya kepada pelakon 'Nur Kasih' ini mengenai status yang dimuat naik oleh Iqram di mana seolah-olah membalas kenyataan suaminya, Ayu tidak mahu mengulas lanjut dan menganggap semua yang berlaku adalah disebabkan salah faham.

“Saya pun tak tahulah, itu pun jadi hal juga. Padahal status Zakuan tak adalah apa sangat. Tapi bila Iqram mesej macam-macam, itu yang membuatkan isu ini jadi besar. Mungkin dia ingat Zakuan cakap dan tuju status itu untuk dia atau mungkin dia ingat Zakuan tak faham tentang tanggungjawab sebagai pelakon. Apapun saya tak komen lanjut kerana setakat ini saya belum sempat untuk cakap dengan Iqram mengenai isu ini. Apa yang pasti, saya tidak bergaduh dengan Iqram dan tiada masalah yang timbul antara kami,” tuturnya lagi.

Gambar menyusukan anak


Sebelum mengakhiri perbualan, GUA sempat bertanya kepada Ayu mengenai sekeping gambar di laman Instagram Zaquan yang mendapat kritikan ramai. Foto yang dimuat naik Zaquan itu memperlihatkan Ayu sedang menyusukan anaknya dan ia mendapat pertikaian ramai selain menganggap Zakuan tidak sepatutnya memuat naik foto yang bersifat agak peribadi itu.

“Sebenarnya ketika mengambil gambar itu, Zaquan tak perasan pun yang saya tengah menyusukan anak. Dia hanya tahu saya tengah menyusu bila ada orang komen gambar tersebut. Ketika itu dia memang ingat saya tengah dukung anak. Tapi bila tengok balik gambar itu, tak ada apa sangat pun. Bila orang ‘censored’ macam itu, itu yang nampak macam ada benda lain. Padahal bukan nampak apa pun,” jelas Ayu sambil memberitahu belum bersedia untuk kembali berlakon kerana masih menyusukan anaknya yang baru memasuki empat bulan.

Rabu, 18 Disember 2013

Rita Rudaini Nafi Hasut Anak-Anak Benci Aidil

19 Disember 2013



Rita Rudaini tampil menjawab tuduhan dan cakap-cakap orang yang mendakwa dia bertindak melampau apabila melakukan tuntutan nafkah sebanyak RM5392 daripada bekas suaminya, Mohamad Aidil Zafuan Abd Razak untuk dua orang anaknya, Airit Rayyan Rizqin dan Airit Rafqa Arjuna.

“Saya rasa tuduhan itu yang sebenarnya melampau. Mungkin mereka tidak pernah mempunyai anak ataupun tidak menjaga anak mereka. Saya memohon jumlah sebegitu untuk dua orang anak saya. Itu pun saya rasakan sikit kerana saya ada dua orang anak yang masing-masing sedang membesar,” ujar Rita memulakan bicara.

“Kalau ikutkan hati, saya enggan minta pada bekas suami kerana saya mampu. Tapi apabila difikirkan semula, saya perlu lakukan perkara tersebut kerana itu adalah hak anak-anak saya. Saya minta jumlah sebegitu pun kerana saya tahu dia mampu dan itu merupakan tanggungjawab dia sebagai ayah kepada anak-anaknya,” tutur heroin drama bersiri ‘Sehangat Asmara’ ini lagi.

Rita juga mengulas mengenai dakwaan sesetengah pihak yang menganggap Rita menghasut anak-anaknya untuk membenci ayah mereka.

“Tidak sama sekali. Dahulu semasa saya kecil, saya tidak mendapat kasih sayang seorang ayah kerana ayah saya menghilang. Sewaktu umur saya 17 tahun, saya berjumpa semula dengan ayah dan saya melayannya seperti biasa. Saya juga ada mengikutnya balik ke kampung dan sebagainya. Ibu saya tidak pernah ajar saya untuk membenci dan saya tidak akan buat perkara itu,” ujar Rita lagi ketika ditemui di Majlis Tayangan Filem Balistik di Cathay Cineleisure, Damansara pada Selasa.

Mengulas mengenai berita yang bekas suaminya bakal mendirikan rumah tangga pada tahun hadapan bersama wanita yang pernah digosipkan dengan Aidil, Rita memberitahu, dia sudah menjangkakan perkara tersebut dan dia tidak berasa terkejut. dengan berita itu.

“Saya boleh jangka dan tidak terkejut. Saya tak perlu ulas lanjut, orang boleh tengok sendiri dan nilai. Saya enggan komen kerana saya tidak terlibat dan perkara itu tiada kaitan dengan saya,” jelas Rita lagi.

Rita yang kini masih solo belum lagi memikirkan soal pengganti. Jelas Rita, perkara tersebut tidak pernah terlintas di benak fikirannya. Apa yang penting baginya sekarang adalah untuk memikirkan bagaimanakah caranya untuk dia mencari rezeki dalam menyara anak-anaknya.

Dalam perkembangan lain, filem ‘Balistik’ lakonan Rita bersama Dato’ Rosyam Nor, Adi Putra, Zul Ariffin dan ramai lagi bakal menjengah pawagam seluruh negara bermula 9 Januari 2014.

Jumaat, 13 Disember 2013

Ayu Raudhah Hamil Empat Bulan

12 Disember 2013



Pelakon Ayu Raudhah bukan saja gembira kerana menerima pelakon Zain Saidin sebagai abang iparnya, malah dia turut teruja kerana bakal menerima keluarga baru dalam hidupnya apabila kini disahkan mengandung empat bulan.
“Alhamdulillah, saya bakal mendapat anak kedua selepas disahkan mengandung oleh doktor. Saya kini hamil empat bulan dan insyaAllah jika tiada aral, saya akan bersalin pada Mei tahun depan,” kongsi Ayu ketika ditemui pada majlis pernikahan kakaknya, Rozita Che Wan, malam Rabu.
“Untuk kehamilan kedua ini, saya tidak mengalami sebarang masalah ataupun alahan. Saya juga tidak ada mengidam apa-apa, cuma suami saya saja yang mengalami pening dan muntah sewaktu awal-awal saya disahkan mengandung.”
Hasil perkongsian hidup dengan pemain bola sepak Zaquan Adha, Ayu dikurniakan seorang anak lelaki, Muhammad Aisy Qaiser yang kini bakal memasuki usia sembilan bulan. Bercerita mengenai perkembangan kerjaya seninya, Ayu memberitahu dia kini sedang berehat dan mengakui lebih gembira menjalani kehidupan sebagai seorang ibu serta isteri.
“Saya gembira dengan rumahtangga saya dan Alhamdulillah, semakin hari kami semakin bahagia. Buat masa ini saya gembira menjadi suri rumah dan hidup macam ini. Mengenai kerjaya lakonan, saya dah berehat dari berlakon sejak mengandungkan anak pertama lagi dan bukan tak rindu untuk berlakon, tapi saya tak nak menyusahkan orang. Bila anak dah besar nanti InsyaAllah baru saya akan berlakon kembali.”
Bercerita mengenai perkahwinan kakaknya, Ayu memberitahu mereka sekeluarga sangat gembira apabila kakaknya akan berkahwin walaupun pada mulanya agak terkejut kerana tidak tahu Che Ta dan Zain bercinta.
“Kami sekeluarga tidak tahu mereka bercinta memandangkan kakak saya sering dikaitkan dengan banyak lelaki. Jadi, bila keluar cerita kononnya mereka bercinta, kami anggap ia perkara biasa. Bila kakak menyuarakan hasrat untuk berkahwin, kami terkejut namun gembira dengan keputusan dia.
Saya merupakan orang paling gembira kerana tertunggu-tunggu bila dia akan berumahtangga. Sebelum saya kahwin, kami sangat rapat namun selepas saya kahwin, dia rasa agak sunyi. Kita tahu dia ada segalanya, kekayaan dan populariti, tapi dia tidak ada cinta dan kebahagiaan. 
Ini masanya untuk dia bahagia dan perkahwinan ini bukan saja satu kejayaan, tapi dugaan juga. Bila berkahwin bukan bermakna selesai segala masalah sebab orang akan tetap tak berpuas hati. Jadi saya harap mereka dapat hadapi perkahwinan ini bersama sehingga ke akhir hayat.”

Isnin, 19 Ogos 2013

Rita Rudaini Vs Zaquan Adha VS Aidil Zafuan

19 Ogos 2013




Umum telah mengetahui Rita Rudaini telah diceraikan oleh Aidil Zafuan pada 27 Ramadan lalu. Berita perceraian pasangan ini mendapat maklum balas yang pelbagai kerana Aidil bertindak menceraikan Rita dengan menghantar kiriman khidmat pesanan ringkas (SMS). Bukan diputuskan oleh mahkamah atau dilakukan secara bersemuka dengan isterinya itu.

Biarpun dalam laporan akhbar sebelum ini Rita ada memberitahu dia redha dengan keputusan bekas suaminya itu, namun pelakon ini sekali lagi tampil menempelak tindakan Aidil yang dianggap kejam kerana menceraikannya hanya beberapa hari sebelum umat Islam meraikan Aidilfitri. Bahkan, luahan perasaan Rita dalam satu laporan akhbar kali ini lebih lantang apabila dia menganggap hanya manusia yang kurang didikan agama sahaja yang sanggup menceraikan isterinya di bulan Ramadhan.

Kenyataan Rita itu bagaimanapun mengundang rasa tidak senang bekas asik iparnya, Zaquan Adha. Kembar kepada Aidil ini tampil membidas Rita melalui akuan twitternya. Entri-entri Zaquan jelas berbaur marah apabila dia meminta Rita jangan membabitkan orang tua dan pihak keluarga. Malah, Zaquan turut meminta Rita bersemuka selain meminta Rita berhenti daripada meraih simpati orang ramai.

Ekoran entri Zaquan itu, Rita membuat serangan balas, apabila melabelkan suami Ayu Raudhah itu gila glamor dan cuba masuk campur urusannya. Mungkin kerana tidak senang dengan situasi ini, Aidil yang lebih suka mendiamkan diri akhirnya tampil membuat kenyataan di akhbar Berita Harian hari ini. Jelas lelaki berusia 26 tahun ini, Rita sebenarnya tidak menceritakan perkara sebenar kepada pihak media terutamanya soal pemberian nafkah. Malah, Aidil juga mendakwa dia mempunyai bukti pemberian nafkah yang boleh dibawa ke mahkamah.
Dalam masa yang sama, Aidil turut memaklumkan dia sudah hilang sabar dengan Rita walaupun enggan mengulas lanjut tentang lafaz cerainya melalui SMS itu.

Rita dan Aidil telah melangsungkan pernikahan di Songkhla, Thailand pada 28 Februari 2008 lalu tanpa pengetahuan pihak keluarga. Bagaimanapun, berita pernikahan pasangan ini terbongkar apabila bapa Aidil tampil membuat kenyataan media mengenai 'kehilangan' anaknya itu. Sepanjang tempoh perkahwinan pasangan ini, mereka boleh dikatakan tidak henti-henti dilanda kontroversi sehingga membawa kepada perceraian.

Rita dan Aidil dikurniakan dengan dua cahayamata iaitu Airit Rayyan Rizqin, 4, dan Airit Rafqa Arjuna yang kini berusia setahun lebih.

 Foto Zaquan & Aidil diambil daripada Facebook

Selasa, 9 Julai 2013

Kerana Tiba Masanya, Ayu Raudhah Sanggup Tinggalkan Anak!

09 Julai 2013

Kerana Tiba Masanya, Ayu Raudhah Sanggup Tinggalkan Anak!

KUALA LUMPUR, 9 JULAI 2013: Perancangan awal dramatis jelita, Ayu Raudhah untuk kembali berlakon selepas Syawal tahun ini, nampaknya tidak menjadi sebaik saja menerima tawaran berlakon telemovie raya, Tiba Masanya terbitan Suhan Movies.
Mungkin ada yang tertanya, apa kelebihan yang ada pada naskhah Tiba Masanya hingga membuatkan Ayu Raudhah atau nama sebenarnya Raudhah Che Wan,28 terpanggil untuk menerima tawaran tersebut walaupun baru habis tempoh berpantang sekitar Mei lalu.
Nyata watak sebagai ibu tunggal kematian suami lakonan Azhan Rani yang dalam telemovie arahan Khairul Amri Khalid yang sarat dengan pelbagai pengajaran dan meruoakan sebuah realiti yang berlaku di dalam masyarakat kita telah membuatkan Ayu 'mungkir' pada janjinya dan sanggup berjauhan dengan putera sulungnya, Muhammad Aisy Qaiser yang lahir pada 29 Mac lepas.
"Saya pun tidak tahu mengapa saya boleh mengubah pendirian saya yang mahu kembali ke set atau menerima tawaran hanya selepas berakhirnya cuti raya nanti. Ini memang job pertama saya selepas bersalin Mac lepas.
"Keputusan untuk berehat itu memang dah lama saya buat sebab saya memang tak mahu cuti lama. Mungkin kerana tajuk telemovie ini 'Tiba Masanya' ia seperti memberi petunjuk mungkin sudah tiba masa saya kembali bekerja.
"Ini semua aturan dan rezeki daripada Allah SWT. Lagi pula ia akan ditayangkan untuk Aidilfitri. Saya menjadi ibu tunggal dengan 3 anak yang bekerja keras mencari nafkah untuk anak-anak sehingga mereka terabai dan melarikan diri.
"Lepas melihat jalan cerita, saya merasakan satu perasaan berbeza membawakan watak ibu kerana ini kali pertama saya bawak watak ibu dan seorang ibu memang mempunyai nalurinya yang tersendiri.
"Saya sangat merasakannya ketika di set dan teringatkan anak di rumah,"ceritanya mengenai projek pertama yang akan ditayangkan di TV AL-Hijrah pada hari raya Aidilfitri yang kedua setelah cuti bersalin sejak Mac.
Adik kepada ratu cantik, model dan pelakon sensasi Rozita Che Wan ini memilih untuk berimej sopan dengan mengenakan hijab sejak tahun lalu dan telah melangsungkan perkahwinan dengan penyerang pasukan bola sepak Malaysia, Zaquan Adha pada 20 Januari 2011. Selain berlakon, Ayu Raudhah turut untuk mengusahakan butik fesyen yang dinamakan sebagai Padusi yang diusahakan bersama kakaknya, Che Ta.

Ayu Raudhah Rindu Anak Di Lokasi

09 Julai 2013



Telemovie karya Khairul Amri Khalid yang berjudul 'Tiba Masanya' merupakan penampilan pertama Ayu Raudhah sejak bergelar ibu kepada cahaya mata sulungnya. Baru sahaja selesai tempoh berpantang, Ayu kembali berlakon setelah hampir setahun berehat dan mengakui agak sukar baginya untuk berjauhan dengan anak.

“Ini merupakan pertama kali saya nak meninggalkan anak kerana kerja dan saya rasa susah sangat untuk melakukannya. Pagi sebelum ke lokasi anak saya masih tidur manakala pada sebelah malam ketika saya balik, dia sudah tidur. Kadangkala saya menatap gambar-gambar anak saya jika saya rindukannya ketika berada di lokasi,” kata Ayu ketika ditemui di lokasi penggambaran telemovie raya tersebut di Alam Damai, Cheras, pada Isnin.

Mengikut perancangan awal, Ayu mahu aktif semula berlakon selepas raya, namun pintu hatinya terbuka untuk menerima tawaran berlakon kerana tertarik dengan plot cerita 'Tiba Masanya'. Jelas Ayu, nilai positif yang cuba disampaikan oleh pengarah bukan sahaja boleh menjadi pengajaran kepada penonton tetapi sebagai peringatan untuk dirinya sendiri.

Dalam masa yang sama, Ayu turut menggambarkan kehadiran cahaya mata sulungnya itu sebagai satu rahmat yang menjadikan keluarga kecilnya bersama suami menjadi lebih bermakna. Setiap pagi apabila celik mata perkara pertama yang dilakukannya adalah ingin melihat wajah anaknya.

“Tahun ini giliran beraya di kampung saya iaitu Alor Star. Pada tahun 2011 saya balik dengan suami sahaja, tetapi tahun ini saya akan pulang bersama dengan anak juga. Kami begitu teruja dengan persiapan untuk raya tahun ini terutamanya apabila memilih barang-barang untuk anak,” ujar Ayu lagi.

Memilih untuk bercuti sepanjang bulan Ramadan ini, Ayu menjelaskan suaminya, Zaquan Adha, tidak cerewet dalam pemilihan makanan kerana lauk asas yang paling penting adalah ayam. Makanan wajib yang sering dinantikan oleh Ayu ketika musim perayaan adalah Ketupat Daun Palas yang dimakan bersama susu pekat manis.

Jumaat, 26 April 2013

Rita Rudaini Mahu Seniman Bantu Selesai Kemelut

26 April 2013




Kalau sebelum ini, nama Rita Rudaini sering dihimpit dengan kontroversi tentang rumah tangganya yang belum menemui jalan penyelesaian. Terbaru, Rita menjadi mangsa sebuah produksi baru yang tidak profesional.
Baru empat hari menjalani penggambaran dengan produksi tersebut, Rita membuat keputusan untuk menarik diri kerana tidak selesa dengan cara mereka berkerja. Keputusan tersebut dibuat juga atas provokasi daripada pihak produksi yang meminta Rita untuk berhenti daripada terlibat dengan projek mereka.
“Sepatutnya penggambaran berjalan selama lebih kurang 40 hari. Tapi belum menjalani penggambaran lagi, saya sudah dapat lihat cara mereka yang tidak profesional”, kata Rita.
Tambah Rita, dia dan penerbit ada membincangkan tentang penarikan diri dengan produksi tersebut dan mereka bersetuju untuk melepaskan Rita. Namun, setelah Rita mengundurkan diri, mereka meminta pelakon itu untuk membayar ganti rugi bagi menjalankan penggambaran semula untuk babak-babak yang telah dilakonkan Rita.
“Saya tidak kisah membayar ganti rugi kepada mereka. Tapi jumlah yang mereka minta mencecah ratusan ribu Ringgit. Padahal penggambaran cuma dijalankan selama empat hari. Lagi pun, bagaimana pula dengan kerugian saya kerana telah menolak tawaran lain untuk terlibat dengan produksi ini?,” ujarnya.
Rita yang biasanya memilih untuk berlakon dengan produksi yang dikenalinya, akui melakukan kesilapan kerana menerima tawaran daripada produksi ini.
“Saya tidak pernah berlakon dengan produksi yang saya tak kenal.  Tapi tak tahu kenapa saya terbuka pintu hati untuk terima tawaran daripada produksi ini. Selepas apa yang terjadi, saya akan berpegang semula pada prinsip saya untuk tidak terlibat dengan mana-mana produksi yang saya tak kenal,” katanya.
Bagi menyelesaikan kemelut di antaranya dengan pihak produksi terbabit, Rita hadir ke pejabat
Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) di Taman Melawati pada Khamis untuk membuat laporan serta meminta bantuan daripada persatuan itu.

Jumaat, 29 Mac 2013

Ayu Raudhah Selamat Lahirkan Anak Sulung

29 March 2013




Selepas dikhabarkan dengan berita gembira kelahiran anak sulung Irma Hasmie dan suami Redza Syah, GUA menerima satu lagi berita gembira. Kali ini mengenai pasangan Ayu Raudhah dan Zaquan Adha yang juga sedang menanti kelahiran cahaya mata pertama mereka.
Baru sejam yang lalu melalui akaun Twitternya, Zaquan menulis "Alhamdullilah...isteri saya sudah selamat melahirkan putera sulong kami jam 2.17 ptg tadi."
   

Tahniah buat Ayu Raudhah & Zaquan!

Rabu, 20 Mac 2013

Bapa Mentua Kecewa Dengan Rita Rudaini

20 March 2013




Bapa mentua Rita Rudaini, Abd. Radzak Salleh,64, melahirkan rasa kecewa apabila menantunya itu gagal menghantar wakil bagi menganggotai jawatankuasa pendamai dalam proses permohonan cerai Rita dan Aidil Zafuan seperti yang diarahkan Mahkamah Rendah Syariah Seremban. 

Memetik laporan akhbar Utusan Malaysia hari ini (Rabu), Abdul Radzak hadir ke mahkamah bagi mewakili Aidil. Namun, Rita gagal menghantar wakil sehingga menyebabkan mahkamah menetapkan 3 April ini untuk Rita menghantar nama wakilnya dalam jawatankuasa berkenaan. 

"Saya berharap masalah mereka ini dapat diselesaikan dengan segera kerana lagi banyak masa diambil, bermacam-macam cerita yang tidak baik timbul. 

Saya sebagai orang tua mahu perkara ini diselesaikan dengan baik tetapi tindakan Rita ini (tidak menghantar wakil) menyebabkan saya berasa kecewa," katanya ketika ditemui di perkarangan Mahkamah Syariah pada Selasa. 

Sementara itu, peguam yang mewakili  Aidil Zafuan, Noor Ariff Delia Ramli memberitahu beliau ada menerima surat daripada peguam Rita pada Selasa yang memaklumkan bahawa wakil pelakon itu tidak dapat hadir kerana berada di luar daerah. 

Mahkamah pada 25 Februari lalu mengarahkan satu jawatankuasa pendamai ditubuhkan selepas permohonan cerai pemain bola sepak itu terhadap isterinya  dibantah oleh Rita. 

Dalam jawatankuasa tersebut, kedua-dua belah pihak dikehendaki menghantar seorang wakil yang terdiri daripada keluarga terdekat untuk mencari jalan penyelesaian sebelum hasil perbincangan itu dikemukakan kepada mahkamah. 

Rita dan Aidil mengundang kontroversi apabila bernikah secara rahsia di Songkhla, Thailand pada 28 Februari 2008. Sepanjang tempoh perkahwinan, pasangan ini dikurniakan dengan dua cahaya mata iaitu  Airit Rayyan Rizqin, 4, dan Airit Qaqa Arjuna, 2.

Adi Putra Kurang Pasti Status Rita Rudaini

20 March 2013


Baru-baru ini timbul dakwaan mengatakan aktres, Rita Rudaini dilarang berlakon di samping Adi Putra oleh suaminya, Aidil Zafuan. Mengulas tentang isu ini, Adi Putra yang ditemui baru-baru ini memberitahu dia langsung tidak tahu menahu mengenai perkara itu serta tidak begitu pasti dengan status perkahwinan Rita Rudaini. 

“Saya sama sekali tidak tahu siapa yang dimaksudkan oleh suami Rita itu. Malahan saya juga kurang pasti dengan status rumahtangga Rita dan merasakan hal ini terlalu peribadi untuk diulas dengan lebih lanjut,” ujar Adi ringkas. 

Bagaimanapun, pelakon kelahiran Singapura itu tidak keberatan memberikan pendapat peribadinya. Ujar Adi, sekiranya seseorang suami tidak menyukai isterinya melakukan sesuatu perkara, maka isterinya harus menghormati keputusan yang dibuat oleh suami. Ini kerana suami berperanan sebagai khalifah dan bertanggungjawab untuk membimbing keluarga. 

Berkongsi cerita tentang filem 'Suami Aku Ustaz' yang bakal diterbitkan oleh syarikatnya, NUR ADP, Adi memberitahu, filem itu bakal memulakan penggambaran di Melaka pada pertengahan bulan April hadapan. Namun dia masih merahsiakan identiti pelakon wanita yang memegang peranan utama. 

Sebagai teraju utama, Adi juga mengambil keputusan untuk memberi sepenuh perhatian kepada filem yang diadaptasikan dari novel itu. Dia juga menjelaskan bahawa plot filem itu mengikut naskah novel bagi memastikan keaslian jalan ceritanya tidak terjejas. 

“Saya sebolehnya ingin fokus kepada filem 'Suami Aku Ustaz' yang akan menjalani penggambaran tidak lama lagi. Saya memperuntukkan masa lebih kurang satu bulan untuk filem itu. Filem tersebut mengisahkan mengenai sesuatu perkara yang sering kita terlepas pandang dalam kehidupan seharian,” ujar Adi.

Isnin, 25 Februari 2013

Aidil Zafuan - Saya Tak Sayang Rita Lagi

25 Februari 2013

\

Gambar: Arkib GUA

“Saya sudah tidak sayangkan dia lagi,” ujar pemain bola sepak kebangsaan Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak ketika menjawab soalan Hakim Syarie, Hamizan Mohd Nor sama ada dia masih menyayangi pelakon Rita Rudaini atau tidak.

Aidil berkata demikian ketika kes prosiding permohonan cerai yang berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah Seremban, Negeri Sembilan, pagi tadi. Walau bagaimanapun, prosiding tersebut terpaksa ditunda ekoran Rita tidak bersetuju dengan permohonan cerai yang dibuat oleh suaminya. Ini kerana pelakon drama ‘Sehangat Asmara’ ini mengakui masih menyayangi Aidil dan ingin mengetahui sebab jejaka berusia 26 tahun itu ingin bercerai.

“Selagi dia masih suami saya, saya tetap sayangkan dia. Saya hanya mahu tahu apa kesalahan saya sehingga dia mahu menceraikan saya,” ujar Rita dalam nada sebak.

Sehubungan itu, Rita yang diwakili peguam Datuk Mohd Zaidi Md Zain memohon untuk berbincang semula dengan suaminya itu melalui satu jawatankuasa pendamai. Mahkamah kemudian memutuskan agar satu jawatankuasa pendamai ditubuhkan bagi memberi peluang kepada pasangan suami isteri ini untuk berbincang.

Difahamkan proses tersebut bakal diadakan pada 8 Mac depan dengan dipengerusikan oleh pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan dan jika masih belum menemui jalan penyelesaian, barulah lafaz cerai boleh dilakukan.

Pergolakan rumahtangga Rita dan Aidil mula tercetus sejak lebih setahun lalu dan kes mereka masih tergantung walaupun sudah kerap kali naik turun mahkamah. Sebelum ini, Aidil pernah membuat permohonan cerai di Mahkamah Syariah Petaling namun permohonannya itu ditolak. Pemain pasukan Johor Darul Takzim ini nekad mahu bercerai kerana melihat tiada lagi keserasian antara mereka.

Aidil juga enggan meneruskan lagi perbicaraan tentang hal rumahtangga mereka memandangkan kes mereka sudah banyak kali dibincangkan di mahkamah dan masih tidak menemui jalan penyelesaian. Aidil dan Rita bernikah di Songkhla, Thailand pada 28 Februari 2008 dan hasil perkongsian hidup, pasangan ini dikurniakan dua cahaya mata Airit Rayyan Rizqin dan Airit Qaqa Arjuna.

Isnin, 28 Januari 2013

Kisah Cintan Cintun Nazmi Faiz

29 Januari 2013




Gambar dari Twitter Nazmi: Bersama ayahnya

Biasalah remaja belasan tahun, kecewa dalam percintaan. Bila dah 'frust', nak lepas kemarahan itu di mana? Di era yang serba canggih ini, laman sosial-lah jawabnya!

Alkisahnya, itulah yang berlaku semalam apabila pemain bola sepak muda Nazmi Faiz atau nama penuhnya, Muhamad Nazmi Faiz b Mansor menjadikan Twitter medan luahannya.

Terbeliak biji mata bila membaca status Nazmi. Bukan saja berat tuduhan yang dilemparkan tetapi individu yang dituduhnya itu cukup dikenali rakyat Malaysia.

Selain menuduh bekas kekasih Tengku Fiella seorang kaki cukur, Nazmi juga mendakwa bekas teman wanitanya itu mempunyai hubungan sulit dengan Aidil Zafuan, suami Rita Rudaini. Kononnya mereka berdua sudah dua, tiga minggu tinggal bersama di Johor.

Hendak dijadikan cerita, luahan semalam bukanlah yang pertama dari Nazmi. Mungkin disebabkan cuti hujung minggu yang panjang ditambah pula kurangnya cerita hiburan panas untuk dijadikan bahan, luahan kali ini mendapat perhatian ramai, lebih-lebih lagi bila nama Aidil Zafuan dikaitkan.

Pada 15 Januari 2013, Nazmi memberi amaran kepada pengikut-pengikut Twitternya supaya 
berwaspada dengan Tengku Fiella yang dikatakan seorang mata duitan dan "fake". Waktu itu, Nazmi siap 'tag' Johan As'ari, memberitahu "its your turn" dan "be happy".

Bagaimanapun, kesemua tweet tersebut telah dipadamkan, sama seperti kali ini. Yang berlainannya, insiden lalu melihat Nazmi memberi alasan akaun Twitternya "telah dihack oleh orang yang tak bertanggungjawab".

Kali ini, selain memohon maaf atas apa yang berlaku, Nazmi turut meminta supaya Aidil Zafuan tidak salahkan kerana dia tiada kaitan apa apa.

Nasihat GUA kepada Nazmi, yang berlalu tu biarlah berlalu. Adik masih muda, baru 18 tahun. Tidak perlulah difikirkan sangat hal-hal percintaan. Fokus dulu pada kerjaya. Jangan disia-siakan peluang bersama kelab S.C. Beira-Mar.

Pabila Aidil Zafuan Dituduh Bersekedudukan

29 Januari 2013


Awal pagi Isnin GUA dikejutkan dengan kisah Aidil Zafuan yang didakwa sedang menjalinkan hubungan cinta dengan seorang gadis Kelantan, Tengku Fiella.  Perkara itu didedahkan oleh pemain bola sepak kelab SC Beira-Mar Portugal, Nazmi Faiz menerusi akaun Twitter miliknya. Selain mendakwa mereka bercinta, Nazmi juga mendedahkan pasangan ini bersekedudukan.

Namun, GUA tidak begitu memberi perhatian kerana  agak meragui kesahihan cerita itu. Maklumlah, kalau membabitkan akaun Twitter ini, ramai yang tidak mengakui dengan entri yang dibuat . Sebaliknya memberi alasan akaun Twitter di ‘hacked’. 
Bagaimanapun, kisah Aidil dan Tengku Fiella ini mendapat perhatian beberapa blog hiburan. Malah, Aidil turut memberi kenyataan bahawa dia telah menghubungi Nazmi bagi mendapatkan penjelasan lanjut.

Dalam perbualan telefon itu, Aidil memberitahu Nazmi telah memohon maaf di atas perbuatannya itu dan mengakui telah melakukan kesilapan kerana terlalu mengikut kata hati.

Persoalannya, adakah benar beberapa entri yang dipos oleh Nazmi itu tidak benar? Atau ia adalah kisah sebenar yang cuba disembunyikan oleh kedua-dua bintang bola sepak ini? Kalau tiada angin masakan pokok bergoyang? Lagipun, ini bukan kali pertama insiden sebegini berlaku. 

Jika anda masih ingat, kisah Khairul Fahmi Che Mat (Apex) dan Leuniey pernah hangat dibualkan apabila seorang individu membuat beberapa entri tentang percintaan pasangan ini. Biarpun masing-masing menafikan saling mengenali, namun kini terbukti ada kebenarannya dakwaan itu memandangkan Apex dan Leuniey sudah berkahwin.

Jadi apa pendapat anda dengan kisah Aidil Zafuan dan Tengku Fiella ini? Dalam satu laporan akhbar, isteri kepada Aidil, Rita Rudaini, tanpa berselindung memberitahu dia tidak terkejut kerana ini bukan kes pertama suaminya itu dikaitkan dengan wanita lain. Menurut Rita, dia sudah tidak mahu memikirkannya, cuma berharap Aidil segera menyelesaikan kes perceraian mereka di mahkamah dan bertanggungjawab kepada anak-anak. 

Walau apa pun, GUA berpendapat perkembangan terbaru ini  sedikit sebanyak pasti  akan mempengaruhi  kes mahkamah  Aidil dan Rita. 

Sementara itu, Tengku Fiella menafikan dia mengenali Aidil Zafuan dan mendakwa Nazmi seorang yang kuat cemburu sehingga bertindak memburuk-burukkannya di Twitter.  Gadis ini meminta orang ramai tidak mengambil serius kenyataan Nazmi itu.

Nazmi juga telah membuat permohonan maaf seperti yang diminta oleh Aidil Zafuan menerusi akaun Twitter miliknya kira-kira pukul 9 malam Isnin. Dia juga meminta semua pihak tidak menyalahkan Aidil.

"Saya minta maaf mengenai perkara yang lepas, jangan salahkan Aidil Zafuan. Dia tiada berkaitan apa-apa.”

Khamis, 17 Januari 2013

Rita Rudaini Tak Kenal Adi Putra

17 Januari 2013


Gandingan serasi pasangan pelakon dalam sesebuah filem mahupun drama memang menjadi satu faktor yang mampu memberi impak kepada penonton. Jika tiada keserasian, minat penonton untuk mengikuti sesebuah cerita akan berkurangan. Jadi, pengarah mahupun penerbit harus bijak membuat pilihan untuk watak hero dan heroin.

Antara gandingan yang berjaya mencuri perhatian penonton ialah Aaron Aziz dan Siti Saleha, Aaron Aziz dan Nadiya Nissa, Remy Ishak dan Maya Karin serta Aaron Aziz dan Maya Karin.

Kini anda boleh melihat gandingan pertama kali Adi Putra dan Rita Rudaini sebagai hero dan heroin untuk drama bersiri, 'Sehangat Asmara', arahan Mohd Feroz Khan yang diadaptasikan daripada novel dengan judul yang sama. Mampukah pasangan ini menambat hati peminat atau sebaliknya.

Mengulas tentang hero terbarunya itu, Rita Rudaini mengakui pada mulanya dia berasa agak janggal apabila bergandingan dengan Adi Putra. Ini kerana dia tidak begitu mengenali karakter aktor tampan itu. Sebaliknya hanya dipertemukan di lokasi penggambaran iaitu di Sydney, Australia.

“Pada mulanya memang agak susah hendak dapat keserasian sebagai pasangan kerana selalunya saya sering digandingkan dengan Rosyam Noor dan Aqasha yang merupakan kawan saya sendiri. Sikap pendiam Adi juga menyukarkan saya untuk mendekatinya.Namun, keserasian itu hadir selepas seminggu kami terlibat dengan penggambaran,” ujar Rita ketika pelancaran drama bersiri 'Sehangat Asmara' di Publika, Solaris Dutamas pada Selasa.

Dalam masa yang sama, Rita turut memberitahu yang dia sebenarnya sedikit gusar dengan watak Kamilia Najwa biarpun begitu teruja apabila ditawarkan watak itu. Baginya, watak itu agak berat kerana dia harus banyak bermain air mata.

“Saya membaca balik novel tersebut sebaik sahaja menerima tawaran berlakon. Tetapi terpaksa berhenti di bahagian pertama kerana merasakan novel itu terlalu berat dan sedih. Kadangkala saya rasa ia jadi bebanan kerana watak itu menuntut saya banyak mengalirkan airmata. Namun, saya gunakan pengalaman yang ada agar tidak terlalu tertekan,” ujar Rita.

Sementara itu, Adi Putra sempat mengulas bahawa dia tidak begitu bimbang dengan maklumbalas yang bakal diterima daripada penonton selepas 'Sehangat Asmara' ditayangkan bagi menggantikan drama popular Adam Dan Hawa. Tegas Adi, novel Sehangat Asmara itu sendiri sudah menjadi fenomena.

“Bagi saya novel hasil nukilan Aisya Sofea itu sendiri sudah mempunyai pengikutnya sendiri, jadi ia sudah menjadi fenomena sebelum dibawa ke skrin televisyen, ” ulas Adi Putra.

'Sehangat Asmara' yang akan bersiaran sebanyak 33 episod ini bakal menemui penonton pada setiap hari Isnin hingga Rabu pada jam 10 malam bermula 21 Januari ini hanya di saluran 134, Astro Mustika.

Rabu, 16 Januari 2013

Rita Rudaini Halang Fauzi Nawawi Berada Di Lokasi

16 Januari 2013 




Tahun 2006 dunia hiburan dihangatkan dengan kisah pergaduhan di antara Rita Rudaini dan Lisdawati di mana kedua-dua pelakon ini bercakaran ketika melakonkan salah satu babak dalam drama berjudul 'Kau Yang Ku Sayang'. Bermula detik itu, Rita dan Lisdawati tidak lagi digandingkan bersama.

Namun, baru-baru ini kedua-dua pelakon ini bersetuju untuk berdamai dan bersedia untuk digandingkan bersama selepas ditawarkan berlakon dalam drama bersiri 'Kerana Sarah'.

"Lebih baik kita tutup cerita lama. Yang penting, silaturrahim antara saya dan Kak Rita telah pulih dan kembali terjalin. Saya bersyukur maklumbalas daripada dari Kak Rita juga baik. Saya harap tiada pihak yang cuba mengeruhkan lagi keadaan", ujar Lisda ketika ditemui di majlis Malam Bersama Bintang anjuran TV3 baru-baru ini.

Setelah mendapatkan penjelasan Lisdawati mengenai hal ini, Gua turut berkesempatan untuk menemubual Rita Rudaini bagi mendapatkan reaksinya. Ternyata dengan tenang Rita turut meluahkan rasa lega kerana persengketaan di antaranya dengan Lisdawati telah berakhir. Baginya perkara yang lepas biarkan ia berlalu.
Biarpun begitu, Rita tanpa berselindung mengakui bahawa dia ada meletakkan satu syarat kepada pihak produksi sebelum membuat keputusan untuk terlibat dalam drama itu. Jelas Rita, dia tidak mahu suami kepada Lisdawati iaitu Fauzi Nawawi berada di lokasi penggambaran ketika adegan yang membabitkan dirinya. Bagaimanapun, Rita enggan mendedahkan sebab dia berbuat demikian.

Mengulas tentang kes polis yang membabitkan pergaduhannya dengan Lisdawati dahulu, Rita memberitahu semuanya telah selesai kerana siasatan ke atas kes itu telah pun selesai.

“Kes polis itu pun sudah tutup dan saya ingin membuka buka baru dengan bersikap professional sepanjang penggambaran 'Kerana Sarah'. Saya juga tidak mempunyai masalah dengan Lisda dan kami fokus untuk kerja masing-masing,” ujar Rita ketika ditemui di majlis pelancaran drama 'Sehangat Asmara' di Publika, Solaris Dutamas, pada Selasa.

Jelas Rita lagi, sepanjang tempoh penggambaran dia dan Lisdawati ada bertegur-sapa namun bersikap lebih berhati-hati agar insiden lalu tidak berulang lagi. 

Jumaat, 11 Januari 2013

Lisdawati - Rita Rudaini Digandingkan Dalam Kerana Sarah

11 Januari 2013



Pasti masih ramai yang ingat insiden pergaduhan dalam kolam renang antara aktres Lisdawati dan Rita Rudaini yang berlaku pada tahun 2006. Disangkakan mereka benar-benar menghayati watak untuk drama 'Kau Yang Ku Sayang' sedangkan mereka sedang bergaduh. Setelah insiden tersebut, Lisda dan Rita tidak lagi digandingkan dalam layar perak mahupun sesi bergambar.

Tetapi nampaknya, dua pelakon ini memulakan 2013 dengan cara yang lebih matang apabila mereka telah bersetuju untuk digandingkan dalam drama terbaru arahan Murali Abdullah, 'Kerana Sarah'.

                           

Drama 20 episod ini menampilkan Rita yang memegang watak Sarah, seorang gadis kampung yang lemah lembut dan sopan santun. Manakala Lisda pula membawa watak antagonis yang bersikap kejam terhadap Sarah.

Kata Lisdawati, dia tidak perlu risau perbezaan watak mereka akan mengingatkan kembali insiden yang berlaku dulu kerana mereka bersikap profesional dan yang lebih penting, kedua aktres ini telah buang perkara yang keruh dan ambil yang jernih.

                           

"Lebih baik kita tutup cerita lama. Yang penting, silaturrahim antara saya dan Kak Rita telah pulih dan kembali terjalin. Saya bersyukur respond dari Kak Rita juga baik. Saya harap tiada pihak yang cuba mengeruhkan lagi keadaan", kata Lisda ketika ditemui di majlis Malam Bersama Bintang anjuran TV3.

Selain sibuk dengan penggambaran 'Kerana Sarah', Lisda dan suami Fauzi Nawawi sedang melebarkan sayap mereka dalam bidang perniagaan yang akan diumumkan tak lama lagi.

Jumaat, 4 Januari 2013

Trend Solekan AJL 2013

05 Januari 2012


GUA berkesempatan berbual-bual santai dengan jurusolek Tiar Zainal mengenai trend solekan 2013 dan secara tidak langsung bertanyakan perihal solekan di permaidani merah Anugerah Juara Lagu 27 (AJL 27)yang akan berlangsung pada Ahad ini.
Menurut Tiar, trend di Hollywood kini semula jadi dan segar. Solekan dikenakan sangat ringkas. Tetapi bagi Malaysia yang bercuaca panas, kita perlu sesuaikan dengan keadaan kita.
“Saya tak mengikut trend tetapi lebih suka mencipta trend. Bagi mata, gandingkan warna keemaan, perang dan ungu atau hijau. Bibir pula lebih cantik dengan merah jambu polos dan merah. Dua-dua warna ini masih in,” ujar Tiar yang baru dilantik sebagai jurucakap produk kecantikan Cosmoderm.
Walaupun tema AJL tahun ini 'Ekspresi Seni' tetapi bagi Tiar dia yakin solekan di permaidani merah masih lagi solekan cantik, menawan dan elegan. Padanya jurusolek tidak perlu bereksperimen bukan-bukan di karpet merah kerana ini pertandingan nyanyian. Seandainya solekan berkaitan tema itu dibawa ke pentas mungkin lebih praktikal.
“Bagi saya wajah itu kanvas. Tema itu lebih mudah buat jurusolek berkarya tetapi biarkan kena pada tempat. Ramalan saya selebriti akan bersolek cantik dan tidak terlalu avant-garde atau terlalu art ketika di karpet merah,” ujarnya lagi.
AJL 27 ini Tiar Zainal memberi khidmatnya menyolek Liyana Jasmay dan Dafi. Dia sudah 12 tahun dalam dunia solekan, kali pertama menyentuh wajah ketika di usia 12 tahun. Tiga tahun kemudian barulah dia belajar dan mula dikenali ramai. Selain solekan pengantin dan selebriti, Tiar juga pernah tampil di majalah InTrend, Nona, WW, Glam dan banyak lagi. Dia tersenarai sebagai 10 mekap artis perkahwinan terbaik di dalam Glam. Pernah bekerjasama dengan Maybelline menyediakan video tutorial.

Isnin, 31 Disember 2012

Berita Hiburan Paling Hangat 2012

01 Januari 2013




Seperti tahun-tahun sebelum ini, dunia hiburan tempatan tidak pernah sunyi daripada sebarang kontroversi. Maklumlah dunia hiburan sentiasa diintai oleh masyarakat. Sama ada suka atau tidak, seseorang artis itu perlu berhadapan dengan kontroversi yang menyapa diri. Jom! Kita imbas kembali berita-berita hiburan paling hangat sepanjang tahun ini.

1) Neelofa vs Anzalna

Pendatang baru dalam dunia hiburan ini menjadi perhatian kerana memiliki paras rupa yang jelita. Selain digilai peminat, Neelofa dan Anzalna Nasir turut menjadi perhatian penerbit dan pengarah drama mahupun filem. Masing-masing punya keistimewaan sendiri. Namun, kontroversi mula terpalit kepada kedua-dua individu ini apabila timbul desas-desus mengatakan mereka bermusuh kerana saling cemburu.



Kemuncaknya, Neelofa cuba mengambil tindakan undang-undang terhadap Anzalna gara-gara kenyataannya dalam akhbar sisipan BiPop yang bertajuk 'Anzalna Bidas Neelofa' pada 10 Jun 2012. Selain mendakwa Neelofa mahu menjatuhkan kariernya, Anzalna juga mendakwa Neelofa telah menghina dia dan keluarganya dengan perkataan-perkataan yang tidak elok.



Bagaimanapun, tindakan undang-undang terhadap Anzalna tidak diteruskan oleh Neelofa setelah Anzalna membuat permohonan maaf secara terbuka kepadanya selepas mendapat nasihat daripada pihak Persatuan Seniman Malaysia.

2) Video Lucah / Bogel Melia Aimellia

Melia Aimellia. Masih ingat dengan nama ini? Kalau tidak, GUA boleh ingatkan anda. Pemilik nama ini merupakan heroin filem 'Karipap-Karipap Cinta' arahan Othman Hafsham. Biarpun lakonannya tidak menjadi bualan hangat, namun penyebaran sebuah video lucah yang kononnya 'dibintangi' oleh Melia mendapat perhatian ramai.

Biarpun Melia menafikan individu terbabit adalah dirinya, namun ramai yang percaya Melia adalah pelakunya. Ini kerana cincin yang dipakai oleh individu tersebut sama dengan cincin yang juga dipakai oleh Melia. Selain itu, wajah gadis di dalam video itu juga sangat mirip dengan Melia.



Dek kerana tidak tahan dengan pelbagai tohmahan, Melia bersama ibunya telah mengadakan satu sidang media dengan kerjasama Seniman bagi mempertahankan maruah diri dan keluarganya.

Dalam sidang media itu, ibu Melia, Norita Abd Basir meminta masyarakat supaya tidak mempercayai fitnah yang ditabur kepada anaknya. Sebelum isu video lucah ini, Melia juga pernah dituduh hamil luar nikah dan menggugurkan kandungan pada usia 18 tahun.

3) Kelantangan Zed Zaidi
Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi juga tidak terlepas menjadi mangsa kritikan penggiat seni dan peminat dunia seni hiburan. Kelantangannya menyuarakan pendapat tentang kehadiran pelakon-pelakon dari negara jiran membuatkan ramai yang kurang senang. Namun, masih ramai juga yang menyokong perjuangan Zed ini.

Paling hangat diperkatakan apabila Zed menerusi akaun Twitternya telah melahirkan rasa tidak puas hati di atas kejayaan Aaron merangkul gelaran Anugerah Bintang Paling Popular Berita Harian 2011. Sudahlah begitu, Zed juga menyindir rakyat Malaysia yang kononnya telah merosakkan industri seni apabila mengundi Aaron. Akibatnya, Zed dikecam habis-habisan oleh peminat Aaron. Bahkan, segelintir penggiat seni turut mengutuk tindakannya itu.



Selepas isu bersama Aaron reda, Zed sekali lagi bersuara tentang penglibatan Randy Pangalila dalam sebuah program raya tempatan. Dia musykil bagaimana Randy mampu bekerja di sini tanpa permit kerja sedangkan perkara itu sudah pun termaktub di dalam undang-undang negara menerusi Finas.

Tindakan ini menyebabkan Michael Ang yang bertanggungjawab membawa Randy ke Malaysia berkecil hati dengan Zed. Jelas Michael, Zed perlu selidik dahulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan kepada pihak media. Bagaimanapun, Michael enggan mengulas tentang status permit kerja Randy.

Terbaru, Zed melancarkan perang Twitter dengan Julia Perez (Jupe), aktres dari Indonesia. Semuanya bermula apabila Jupe mengkritik sebuah produksi drama tempatan di akaun Twitter miliknya. Hasil siasatan Zed mendapati Jupe tidak mempunyai permit kerja untuk terlibat dalam filem 'Sumpahan Malam Pertama', arahan Murali Abdullah.

4) Aliff Aziz & Anne Ngasri

Apabila pasangan ini mendedahkan mereka menjalinkan hubungan cinta, ramai peminat yang berasa terkejut. Ada yang suka, ada yang kurang bersetuju. Sesetengah peminat beranggapan Aliff Aziz terlalu muda untuk Anne dan sesetengah lagi beranggapan Anne tidak sesuai dengan Aliff. Dalam masa yang sama, khabar angin mengatakan keluarga Anne tidak merestui percintaan mereka.



Ketika perhatian peminat tidak lagi tertumpu pada pasangan ini, tiba-tiba peminat dikejutkan dengan berita perpisahan mereka. Tambah hangat, selepas sebulan putus cinta dengan Aliff Aziz, Anne secara tiba-tiba melangsungkan pertunangan dengan Setiausaha Kerja Pemuda UMNO Malaysia Mohd. Sumali Reduan pada bulan November. Kini, Anne sudah pun sah bergelar isteri kepada Sumali.

5) Perkahwinan Farid Kamil & Diana Danielle + Kehamilan Diana Danielle
Pasangan popular ini boleh dikatakan mencipta kontroversi tanpa disengajakan. Selepas mengejutkan ramai pihak dengan pengumuman perkahwinan mereka, Diana Danielle mengundang bualan hangat apabila memaklumkan dirinya sedang hamil selepas 16 hari berkahwin. Perkara itu diumumkan menerusi akaun Twitter miliknya.

Biarpun berita itu sepatutnya menjadi khabar gembira kepada peminat Diana dan Farid Kamil, namun timbul bisik-bisik 'jahat' mengesyaki Diana hamil luar nikah. Ini kerana pasangan ini dilihat mengambil keputusan berkahwin secara tergesa-gesa. Tambah mencurigakan apabila Diana dan Farid dilihat cuba mengelakkan diri daripada pihak media.

Namun, bisik-bisik jahat ini akhirnya lenyap begitu sahaja apabila Farid tampil memberi komen tentang kehamilan isterinya. Jelas Farid, dia mendiamkan diri dan tidak menjawab panggilan media kerana berasa terkejut dengan kehamilan Diana yang berlaku dalam tempoh kurang sebulan daripada tarikh pernikahan mereka.



Selesai dengan isu ini, Farid dan Diana sekali lagi diusik dengan cerita kurang enak didengar. Kali ini tentang persalinan yang dipakai oleh Farid ketika majlis resepsi persandingannya di Taman Ekuestrian Putrajaya pada 1 Disember lalu. Timbul dakwaan kononnya Farid telah menyalahgunakan pakaian istiadat pegawai pasukan keselamatan berpangkat Majer Jeneral pada majlis itu.

Sehingga kini Farid belum memberikan sebarang kenyataan. Bagaimanapun, Pegawai Perhubungan Media, Unit Komunikasi, Kementerian Pertahanan, Leftenan Komander Rahimah Taib dalam satu laporan mengatakan pakaian Farid itu bersifat cacamarba dan tidak mewakili mana-mana pasukan keselamatan negara. Dalam masa yang sama mendedahkan pihaknya akan menghantar surat teguran kepada Farid supaya tidak mengulangi kesilapan tersebut. Namun tiada tindakan undang-undang akan diambil.

6) Norish Karman Dedah Pasal Anak
Cakap-cakap tentang kehadiran orang baru dalam hidup Norish Karman mula bertiup sejak penghujung tahun 2011 lagi. Bagaimanapun, cerita sensasi ini senyap seketika selepas Norish tampil membuat penafian. Namun, pada Jun lalu cerita ini kembali diperkatakan selepas beberapa foto yang dipercayai Norish  yang berada di hospital mula tersebar di Internet.



Foto itu jelas menunjukkan individu terbabit dengan seorang bayi yang baru dilahirkan. Rentetan itu, Norish sekali lagi tampil merungkai persoalan. Kali ini, Norish mengakui dia ada melahirkan seorang bayi di sebuah hospital swasta pada 24 September 2011. Dalam masa yang sama, Norish turut memperkenalkan anaknya itu Haq Lutfie Alexander yang kini berusia setahun tiga bulan.

Berkata kepada Utusan Malaysia, Norish  meminta semua pihak supaya tidak mempersoal status Haq Lutfie Alexander dalam hidup beliau. “Ini anak saya, hidup mati saya. Bagaimana ia hadir itu adalah urusan antara saya, keluarga dan Allah kerana saya tidak mahu mengenang lagi perkara yang lepas", ujar Norish.

7) Kemelut Rumahtangga Aidil – Rita Rudaini

Kemelut rumah tangga pasangan ini sudah lama menjadi perhatian umum. Aidil dan Rita dilihat tidak dapat menyelesaikan pertelingkahan mereka secara baik. Setiap kali kes perceraian mereka dibicara di mahkamah, pasti ada sahaja perkara baru yang didedahkan oleh pasangan ini.



Antaranya, Rita mendakwa Aidil gagal memberi nafkah kepada anak-anak sehingga memaksanya menghantar saman melalui peguam. Rita juga mendakwa Aidil telah bertindak meninggalkan rumah kelamin mereka tanpa berbincang dengannya terlebih dahulu.

Sementara itu, Aidil juga menyuarakan ketidakpuasan hatinya terhadap Rita. Menurut Aidil, Rita sering mengeluarkan kenyataan yang kononnya dia tidak pernah mempedulikan perihal kedua anaknya. Malah, Aidil juga mengakui berasa kesal dengan sikap Rita yang tidak memaklumkan pergerakkannya kepadanya. Sehingga kini, kes pasangan ini masih belum selesai. Aidil tetap mahu meneruskan niat untuk bercerai, manakala Rita tidak bersetuju.

8) Kisah Cinta Apek – Dahlia Teck - Leuniey
Kisah percintaan penjaga gol nombor satu negara ini juga tidak kurang hebat diperkatakan ramai. Biarpun Khairul Fahmi atau Apek tidak terlibat dalam dunia hiburan tempatan tetapi pergerakkannya sentiasa menjadi perhatian ramai.



Kisah percintaannya dengan Dahlia Teck menjadi bualan ramai kerana wanita itu didakwa menjadi punca putus tunangnya bersama Elia atau nama penanya ‘Jejari Runcing'. Namun, percintaan pasangan ini tidak ke mana-mana apabila Apek sekali lagi memaklumkan dia sudah kembali solo.



Tidak lama selepas itu timbul gosip mengatakan Apek sedang mabuk cinta dengan seorang gadis cantik yang juga berasal dari Kelantan. Malah gadis bernama Leuniey Natasha itu juga menjadi penyebab kepada perpisahannya dengan Dahlia Teck.



Biarpun Apek dan Leuniey menafikan perkara ini tetapi terdapat beberapa entri di laman Twitter yang mendakwa Apek tergila-gilakan tunangan orang sehingga menyebabkan Leuniey sanggup memutuskan pertunangannya yang baru berusia dua minggu.

9) Wan Shades Dituduh Rogol Anak
Berita ini cukup mengejutkan ramai pihak apabila sebuah akhbar tabloid menyiarkan laporan mengenai seorang bekas anggota kumpulan nyanyian didakwa merogol anak tirinya berumur 14 tahun pada Februari lalu. Ekoran daripada laporan itu, sebuah blog hiburan dengan berani mendakwa lelaki yang dimaksudkan itu adalah Wan Shades.



Namun, dakwaan itu terbukti fitnah apabila Wan Shades muncul memberikan maklum balas berhubung kontroversi tersebut dan menafikan dirinya sebagai suspek yang melakukan serangan seksual itu memandangkan dia masih belum berkahwin. Bukan itu sahaja, Wan Shades juga telah membuat laporan polis berhubung kontroversi itu. Dalam masa yang sama, Wan Shades juga mendesak pemilik laman blog terbabit membuat permohonan maaf bagi membersihkan imejnya yang telah tercalar.

10) Siti Fazurina Kahwin Lari
Menginjak ke penghujung tahun, kita dikejutkan dengan kisah kahwin lari atau kahwin tanpa restu oleh Siti Fazurina dan pasangannya, Hykal Zulkifli. Siti Fazurina melangsungkan perkahwinan tanpa pengetahuan pihak keluarga setelah dipercayai mendapat tentangan mereka. Berita perkahwinan ini tersebar selepas ahli keluarganya sendiri mendedahkan kepada pihak media gara-gara terkilan dengan tindakannya itu.



Selang beberapa hari selepas itu, Siti Fazurina dan suami mengadakan sidang media di Hotel Seri Malaysia Pulau Pinang untuk menjelaskan perkara sebenar. Dalam sidang media itu, Siti Fazurina memberitahu dirinya dan pihak suami tidak melakukan sebarang kesalahan kerana majlis pernikahan mereka dilakukan dengan cara yang betul dan mengikut hukum. Bagaimanapun, dia mengakui nekad berkahwin tanpa pengetahuan keluarga kerana sebelum ini niatnya untuk berkahwin sering mendapat tentangan daripada pihak keluarga sendiri.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...