Aidil Zafuan & Zaquan Adha

Keluarga Aidil Zafuan

Keluarga Zaquan Adha

LIKE jika suka :)

Isnin, 31 Disember 2012

Berita Hiburan Paling Hangat 2012

01 Januari 2013




Seperti tahun-tahun sebelum ini, dunia hiburan tempatan tidak pernah sunyi daripada sebarang kontroversi. Maklumlah dunia hiburan sentiasa diintai oleh masyarakat. Sama ada suka atau tidak, seseorang artis itu perlu berhadapan dengan kontroversi yang menyapa diri. Jom! Kita imbas kembali berita-berita hiburan paling hangat sepanjang tahun ini.

1) Neelofa vs Anzalna

Pendatang baru dalam dunia hiburan ini menjadi perhatian kerana memiliki paras rupa yang jelita. Selain digilai peminat, Neelofa dan Anzalna Nasir turut menjadi perhatian penerbit dan pengarah drama mahupun filem. Masing-masing punya keistimewaan sendiri. Namun, kontroversi mula terpalit kepada kedua-dua individu ini apabila timbul desas-desus mengatakan mereka bermusuh kerana saling cemburu.



Kemuncaknya, Neelofa cuba mengambil tindakan undang-undang terhadap Anzalna gara-gara kenyataannya dalam akhbar sisipan BiPop yang bertajuk 'Anzalna Bidas Neelofa' pada 10 Jun 2012. Selain mendakwa Neelofa mahu menjatuhkan kariernya, Anzalna juga mendakwa Neelofa telah menghina dia dan keluarganya dengan perkataan-perkataan yang tidak elok.



Bagaimanapun, tindakan undang-undang terhadap Anzalna tidak diteruskan oleh Neelofa setelah Anzalna membuat permohonan maaf secara terbuka kepadanya selepas mendapat nasihat daripada pihak Persatuan Seniman Malaysia.

2) Video Lucah / Bogel Melia Aimellia

Melia Aimellia. Masih ingat dengan nama ini? Kalau tidak, GUA boleh ingatkan anda. Pemilik nama ini merupakan heroin filem 'Karipap-Karipap Cinta' arahan Othman Hafsham. Biarpun lakonannya tidak menjadi bualan hangat, namun penyebaran sebuah video lucah yang kononnya 'dibintangi' oleh Melia mendapat perhatian ramai.

Biarpun Melia menafikan individu terbabit adalah dirinya, namun ramai yang percaya Melia adalah pelakunya. Ini kerana cincin yang dipakai oleh individu tersebut sama dengan cincin yang juga dipakai oleh Melia. Selain itu, wajah gadis di dalam video itu juga sangat mirip dengan Melia.



Dek kerana tidak tahan dengan pelbagai tohmahan, Melia bersama ibunya telah mengadakan satu sidang media dengan kerjasama Seniman bagi mempertahankan maruah diri dan keluarganya.

Dalam sidang media itu, ibu Melia, Norita Abd Basir meminta masyarakat supaya tidak mempercayai fitnah yang ditabur kepada anaknya. Sebelum isu video lucah ini, Melia juga pernah dituduh hamil luar nikah dan menggugurkan kandungan pada usia 18 tahun.

3) Kelantangan Zed Zaidi
Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi juga tidak terlepas menjadi mangsa kritikan penggiat seni dan peminat dunia seni hiburan. Kelantangannya menyuarakan pendapat tentang kehadiran pelakon-pelakon dari negara jiran membuatkan ramai yang kurang senang. Namun, masih ramai juga yang menyokong perjuangan Zed ini.

Paling hangat diperkatakan apabila Zed menerusi akaun Twitternya telah melahirkan rasa tidak puas hati di atas kejayaan Aaron merangkul gelaran Anugerah Bintang Paling Popular Berita Harian 2011. Sudahlah begitu, Zed juga menyindir rakyat Malaysia yang kononnya telah merosakkan industri seni apabila mengundi Aaron. Akibatnya, Zed dikecam habis-habisan oleh peminat Aaron. Bahkan, segelintir penggiat seni turut mengutuk tindakannya itu.



Selepas isu bersama Aaron reda, Zed sekali lagi bersuara tentang penglibatan Randy Pangalila dalam sebuah program raya tempatan. Dia musykil bagaimana Randy mampu bekerja di sini tanpa permit kerja sedangkan perkara itu sudah pun termaktub di dalam undang-undang negara menerusi Finas.

Tindakan ini menyebabkan Michael Ang yang bertanggungjawab membawa Randy ke Malaysia berkecil hati dengan Zed. Jelas Michael, Zed perlu selidik dahulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan kepada pihak media. Bagaimanapun, Michael enggan mengulas tentang status permit kerja Randy.

Terbaru, Zed melancarkan perang Twitter dengan Julia Perez (Jupe), aktres dari Indonesia. Semuanya bermula apabila Jupe mengkritik sebuah produksi drama tempatan di akaun Twitter miliknya. Hasil siasatan Zed mendapati Jupe tidak mempunyai permit kerja untuk terlibat dalam filem 'Sumpahan Malam Pertama', arahan Murali Abdullah.

4) Aliff Aziz & Anne Ngasri

Apabila pasangan ini mendedahkan mereka menjalinkan hubungan cinta, ramai peminat yang berasa terkejut. Ada yang suka, ada yang kurang bersetuju. Sesetengah peminat beranggapan Aliff Aziz terlalu muda untuk Anne dan sesetengah lagi beranggapan Anne tidak sesuai dengan Aliff. Dalam masa yang sama, khabar angin mengatakan keluarga Anne tidak merestui percintaan mereka.



Ketika perhatian peminat tidak lagi tertumpu pada pasangan ini, tiba-tiba peminat dikejutkan dengan berita perpisahan mereka. Tambah hangat, selepas sebulan putus cinta dengan Aliff Aziz, Anne secara tiba-tiba melangsungkan pertunangan dengan Setiausaha Kerja Pemuda UMNO Malaysia Mohd. Sumali Reduan pada bulan November. Kini, Anne sudah pun sah bergelar isteri kepada Sumali.

5) Perkahwinan Farid Kamil & Diana Danielle + Kehamilan Diana Danielle
Pasangan popular ini boleh dikatakan mencipta kontroversi tanpa disengajakan. Selepas mengejutkan ramai pihak dengan pengumuman perkahwinan mereka, Diana Danielle mengundang bualan hangat apabila memaklumkan dirinya sedang hamil selepas 16 hari berkahwin. Perkara itu diumumkan menerusi akaun Twitter miliknya.

Biarpun berita itu sepatutnya menjadi khabar gembira kepada peminat Diana dan Farid Kamil, namun timbul bisik-bisik 'jahat' mengesyaki Diana hamil luar nikah. Ini kerana pasangan ini dilihat mengambil keputusan berkahwin secara tergesa-gesa. Tambah mencurigakan apabila Diana dan Farid dilihat cuba mengelakkan diri daripada pihak media.

Namun, bisik-bisik jahat ini akhirnya lenyap begitu sahaja apabila Farid tampil memberi komen tentang kehamilan isterinya. Jelas Farid, dia mendiamkan diri dan tidak menjawab panggilan media kerana berasa terkejut dengan kehamilan Diana yang berlaku dalam tempoh kurang sebulan daripada tarikh pernikahan mereka.



Selesai dengan isu ini, Farid dan Diana sekali lagi diusik dengan cerita kurang enak didengar. Kali ini tentang persalinan yang dipakai oleh Farid ketika majlis resepsi persandingannya di Taman Ekuestrian Putrajaya pada 1 Disember lalu. Timbul dakwaan kononnya Farid telah menyalahgunakan pakaian istiadat pegawai pasukan keselamatan berpangkat Majer Jeneral pada majlis itu.

Sehingga kini Farid belum memberikan sebarang kenyataan. Bagaimanapun, Pegawai Perhubungan Media, Unit Komunikasi, Kementerian Pertahanan, Leftenan Komander Rahimah Taib dalam satu laporan mengatakan pakaian Farid itu bersifat cacamarba dan tidak mewakili mana-mana pasukan keselamatan negara. Dalam masa yang sama mendedahkan pihaknya akan menghantar surat teguran kepada Farid supaya tidak mengulangi kesilapan tersebut. Namun tiada tindakan undang-undang akan diambil.

6) Norish Karman Dedah Pasal Anak
Cakap-cakap tentang kehadiran orang baru dalam hidup Norish Karman mula bertiup sejak penghujung tahun 2011 lagi. Bagaimanapun, cerita sensasi ini senyap seketika selepas Norish tampil membuat penafian. Namun, pada Jun lalu cerita ini kembali diperkatakan selepas beberapa foto yang dipercayai Norish  yang berada di hospital mula tersebar di Internet.



Foto itu jelas menunjukkan individu terbabit dengan seorang bayi yang baru dilahirkan. Rentetan itu, Norish sekali lagi tampil merungkai persoalan. Kali ini, Norish mengakui dia ada melahirkan seorang bayi di sebuah hospital swasta pada 24 September 2011. Dalam masa yang sama, Norish turut memperkenalkan anaknya itu Haq Lutfie Alexander yang kini berusia setahun tiga bulan.

Berkata kepada Utusan Malaysia, Norish  meminta semua pihak supaya tidak mempersoal status Haq Lutfie Alexander dalam hidup beliau. “Ini anak saya, hidup mati saya. Bagaimana ia hadir itu adalah urusan antara saya, keluarga dan Allah kerana saya tidak mahu mengenang lagi perkara yang lepas", ujar Norish.

7) Kemelut Rumahtangga Aidil – Rita Rudaini

Kemelut rumah tangga pasangan ini sudah lama menjadi perhatian umum. Aidil dan Rita dilihat tidak dapat menyelesaikan pertelingkahan mereka secara baik. Setiap kali kes perceraian mereka dibicara di mahkamah, pasti ada sahaja perkara baru yang didedahkan oleh pasangan ini.



Antaranya, Rita mendakwa Aidil gagal memberi nafkah kepada anak-anak sehingga memaksanya menghantar saman melalui peguam. Rita juga mendakwa Aidil telah bertindak meninggalkan rumah kelamin mereka tanpa berbincang dengannya terlebih dahulu.

Sementara itu, Aidil juga menyuarakan ketidakpuasan hatinya terhadap Rita. Menurut Aidil, Rita sering mengeluarkan kenyataan yang kononnya dia tidak pernah mempedulikan perihal kedua anaknya. Malah, Aidil juga mengakui berasa kesal dengan sikap Rita yang tidak memaklumkan pergerakkannya kepadanya. Sehingga kini, kes pasangan ini masih belum selesai. Aidil tetap mahu meneruskan niat untuk bercerai, manakala Rita tidak bersetuju.

8) Kisah Cinta Apek – Dahlia Teck - Leuniey
Kisah percintaan penjaga gol nombor satu negara ini juga tidak kurang hebat diperkatakan ramai. Biarpun Khairul Fahmi atau Apek tidak terlibat dalam dunia hiburan tempatan tetapi pergerakkannya sentiasa menjadi perhatian ramai.



Kisah percintaannya dengan Dahlia Teck menjadi bualan ramai kerana wanita itu didakwa menjadi punca putus tunangnya bersama Elia atau nama penanya ‘Jejari Runcing'. Namun, percintaan pasangan ini tidak ke mana-mana apabila Apek sekali lagi memaklumkan dia sudah kembali solo.



Tidak lama selepas itu timbul gosip mengatakan Apek sedang mabuk cinta dengan seorang gadis cantik yang juga berasal dari Kelantan. Malah gadis bernama Leuniey Natasha itu juga menjadi penyebab kepada perpisahannya dengan Dahlia Teck.



Biarpun Apek dan Leuniey menafikan perkara ini tetapi terdapat beberapa entri di laman Twitter yang mendakwa Apek tergila-gilakan tunangan orang sehingga menyebabkan Leuniey sanggup memutuskan pertunangannya yang baru berusia dua minggu.

9) Wan Shades Dituduh Rogol Anak
Berita ini cukup mengejutkan ramai pihak apabila sebuah akhbar tabloid menyiarkan laporan mengenai seorang bekas anggota kumpulan nyanyian didakwa merogol anak tirinya berumur 14 tahun pada Februari lalu. Ekoran daripada laporan itu, sebuah blog hiburan dengan berani mendakwa lelaki yang dimaksudkan itu adalah Wan Shades.



Namun, dakwaan itu terbukti fitnah apabila Wan Shades muncul memberikan maklum balas berhubung kontroversi tersebut dan menafikan dirinya sebagai suspek yang melakukan serangan seksual itu memandangkan dia masih belum berkahwin. Bukan itu sahaja, Wan Shades juga telah membuat laporan polis berhubung kontroversi itu. Dalam masa yang sama, Wan Shades juga mendesak pemilik laman blog terbabit membuat permohonan maaf bagi membersihkan imejnya yang telah tercalar.

10) Siti Fazurina Kahwin Lari
Menginjak ke penghujung tahun, kita dikejutkan dengan kisah kahwin lari atau kahwin tanpa restu oleh Siti Fazurina dan pasangannya, Hykal Zulkifli. Siti Fazurina melangsungkan perkahwinan tanpa pengetahuan pihak keluarga setelah dipercayai mendapat tentangan mereka. Berita perkahwinan ini tersebar selepas ahli keluarganya sendiri mendedahkan kepada pihak media gara-gara terkilan dengan tindakannya itu.



Selang beberapa hari selepas itu, Siti Fazurina dan suami mengadakan sidang media di Hotel Seri Malaysia Pulau Pinang untuk menjelaskan perkara sebenar. Dalam sidang media itu, Siti Fazurina memberitahu dirinya dan pihak suami tidak melakukan sebarang kesalahan kerana majlis pernikahan mereka dilakukan dengan cara yang betul dan mengikut hukum. Bagaimanapun, dia mengakui nekad berkahwin tanpa pengetahuan keluarga kerana sebelum ini niatnya untuk berkahwin sering mendapat tentangan daripada pihak keluarga sendiri.

Ahad, 30 Disember 2012

5 selebriti paling kontroversi sepanjang tahun

31 Disember 2012 (30 Disember 2012)


Antara selebriti paling kontroversi sepanjang tahun ini.
Antara selebriti paling kontroversi sepanjang tahun ini.
Sempena berakhirnya 2012, Zass senaraikan lima selebriti dengan kisah kontroversi sepanjang tahun.


Rita Rudaini & perang rumah tangga

Awal 2012, Rita Rudaini mengejutkan peminat dan media apabila bertelingkah dengan adik iparnya, Zaquan Adha yang juga pemain bola sepak negara menerusi laman sosial Twitter.

Mereka yang sememangnya tidak mesra sejak perkahwinan Rita dengan abang Zaquan, Aidil Zafuan dikatakan saling berbalas sindiran menerusi akaun Twitter masing-masing. Malah, isteri Zaquan, Ayu Raudhah, turut terheret sama dalam pertelingkahan ini, apabila
dikatakan menjadi batu api. Berikutan pertelingkahan itu, Aidil dikatakan bertindak keluar dari rumah tanpa sebarang alasan.

Tidak terhenti setakat itu, bermula daripada insiden keluar rumah itu, Rita dan Aidil mula naik turun mahkamah berkaitan isu penjagaan anak, kembali taat, dan kini berkaitan dengan kes penceraian pula. Kes berkaitan rumah tangga mereka masih berjalan sehingga kini di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya.

Dalam pada keretakan yang semakin parah itu, Jue Aziz pula dikaitkan sebagai orang ketiga dalam perkahwinan mereka dan menjadi penyebab Aidil untuk berubah hati.


Si cantik Neelofa

Neelofa menjadi artis pucuk muda paling diperkatakan pada tahun ini. Apa tidaknya, bintang utama Azura 2012 ini kini dikatakan hangat menjalinkan hubungan cinta dengan penerbit, pengarah dan pelakon, Hans Isaac. Lebih hangat lagi, mereka dikatakan bercuti bersama-sama di Thailand pada pertengahan tahun ini, namun akhirnya membuat penjelasan berada di lokasi berbeza.

Tidak lama selepas itu, Hans menerusi sebuah portal mengakui menjalinkan hubungan cinta dengan Neelofa, bagaimanapun akhirnya menegaskan ada salah faham dalam laporan itu.

Tidak cukup dengan kisah percintaan, nama Neelofa turut terpalit dengan kontroversi berikutan pergaduhannya dengan Anzalna dan Tasha Shila, apabila Neelofa dikatakan cemburu dan tidak berpuas hati dengan kemenangan Tasha Shila yang berjaya menewaskannya di dalam Anugerah Bintang Populuar 2011 menerusi kategori Artis Baru Wanita Popular.

Susulan daripada itu, Anzalna tampil mendedahkan sikap buruk Neelofa yang dikatakan sering menghinanya serta cuba menjatuhkannya ketika berada di dalam pertandingan program realiti itu. Kenyataan berani Anzalna itu bagaimanapun membawa padah kerana Neelofa kemudian mengambil tindakan mahkamah dengan menuntut Anzalna membuat kenyataan maaf dalam tempoh 7 hari.

Namun kes mereka dapat diselesaikan selepas campur tangan Presiden Seniman, Zed Zaidi.

Neelofa dan Anzalna kemudian berdamai selepas Anzalna mengeluarkan kenyataan maaf dalam sidang media yang dianjurkan Seniman.

Baru sahaja reda dengan kontroversi, nama Neelofa kembali menjadi perhatian apabila dikatakan bersikap biadab dan tidak profesional oleh pereka fesyen, Nurita Harith, yang menyediakan bajunya untuk program.

Namun, kes itu diam begitu sahaja selepas kedua-duanya berdiam diri.

Artis dan kontroversi sememangnya tidak dapat dipisahkan. Mungkin ada di antara selebriti tidak berniat untuk mencipta kontroversi, namun kerana status yang dikecapi, maka mereka tidak dapat lari dari menjadi perhatian bukan sahaja media, malahan peminat yang kini semakin peka dengan karier mereka.


Abby Abadi & Twitter

Penghijrahan Abby Abadi untuk berubah ke arah Muslimah sejati pada mulanya mendapat sambutan baik, bukan sahaja dari teman selebriti yang turut sama berubah, bahkan peminat dan media.

Namun, kontroversi bermula apabila Abby menyertai parti politik. Sejak itu, Abby dilihat semakin berani mengkritik bukan saja golongan selebriti bahkan orang kenamaan dan kerajaan.

Menggunakan medium Twitter dan Facebook, Abby mencetuskan kontroversi sebaik membuat pengakuan semakin sukar mendapat tawaran.

Bagaimanapun, perkara itu mendapat perhatian beberapa rakan artis sehingga ada yang tampil menempelak kenyataannya.

Abby sekali lagi mengundang kontroversi apabila berani menyelar Polis Diraja Malaysia (PDR M), sehingga menarik perhatian rakan seperjuangannya dalam drama Gerak Khas, Datuk AC Mizal untuk berdebat, namun perkara itu diam sebegitu sahaja.

Tidak terhenti di situ, Abby kembali mencuri perhatian apabila mempertikaikan kenyataan bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri, berhubung isu hudud.


Kisah cinta Rozita

Sejak awal tahun lagi, nama Rozita Che Wan hangat diperkatakan. Pelakon jelita ini didakwa berkahwin dengan Datuk K, suami kepada penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza.

Tidak terhenti dengan kisah Datuk K, nama Rozita kemudiannya dikatakan menjadi rebutan tiga jejaka, Beego, Shah Iskandar dan Zain Saidin. Semuanya garagara laporan sebuah akhbar yang mendedahkan kisah Rozita dan Beego jalan berpimpin tangan di sebuah pusat membeli-belah terkemuka.

Nama Rozita juga menjadi sebutan apabila percutiannya ke London bersama adiknya, Ayu ditaja oleh seorang ahli politik. Tidak cukup dengan kisah cinta, nama Rozita terus panas dengan kewujudan sekeping gambar bogelnya.

Namun, ia turut dinafikan oleh Rozita dan menganggap ia adalah pelanduk dua serupa.


Bila Zed Zaidi berkuasa

Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi mula mencetuskan kontroversi apabila mempertikaikan kemenangan Aaron Aziz sebagai Bintang Paling Popular di Anugerah Bintang Popular 2011. Ketika itu, Aaron belum lagi mendapat taraf kewarganegaraan.

Selain itu, Zed secara lantang, menyekat kemasukan artis luar secara berleluasa dan pernah mempersoalkan permit kerja dua artis Indonesia, Randy Pangalila dan Julia Perez.

Ketika Mesyuarat Agung Seniman yang lalu, pelantikan Zed turut dipertikaikan kerana ada beberapa isu berbangkit dalam persatuan yang belum selesai.

Namun, kini Zed menjadi Presiden persatuan yang paling aktif dan lantang bersuara dalam membela nasib artis tempatan.



Safee sesuai galas tugas pembantu penyerang

31 Disember 2012

Johor Bahru: Andai Johor Darul Takzim masih mahu menurunkan semua pemain berstatus bintang ketika aksi Liga Super bermula 8 Januari ini, formasi paling sesuai digunakan ialah 4-3-1-2 dengan meletakkan Safee Sali sebagai pembantu penyerang. 

Safee tampak sesuai membantu gandingan Daniel Guiza dan Norshahrul Idlan Talaha di posisi serangan kerana gemar beraksi dengan hantaran pendek dan melakukan rembatan deras dari luar kotak penalti. 

Guiza dan Mat Yo pula beraksi di posisi sayap kanan dan kiri sebelum menyusup ke dalam kotak penalti. 


Posisi tengah menyaksikan Safiq Rahim akan bergandingan bersama Simone Del Nero, namun andai pemain import dari Itali itu belum pulih dari kecederaan paha, Ahmad Ezrie Sazali tampak sesuai mengisi kekosongan di posisi tengah kiri sambil Nurul Azwan Roya di kanan. 

Benteng pertahanan tampak ampuh menerusi gandingan Muslim Ahmad dan Aidil Zafuan Abd Radzak dengan Azmi Muslim menguatkan bahagian kiri manakala Mohd Faizal Mansor di kanan tatkala kedua-dua pemain itu mampu melakukan serangan dengan bola hantaran lintang ke kawasan kubu lawan. 

Apa pun ketua jurulatih Johor Darul Takzim, Fandi Ahmad masih belum memutuskan kesebelasan utama yang akan dipertaruhkan dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) pada musim baru ini, sebaliknya masih berusaha mencari kombinasi terbaik. 

Kami sedang berusaha dan saya akan pastikan semua pemain kebangsaan yang berada dalam skuad Johor Darul Takzim diturunkan pada setiap aksi Liga Super kerana misi utama adalah memburu kemenangan. Formasi saya pratikkan semuanya bergantung kepada kerjasama pemain, katanya.

Carta artis kontroversi 2012

31 Disember 2012 (30 Disember 2012)



KALENDAR 2012 menemui tarikh hujungnya sebelum tahun baru 2012 menjelma sehari lagi. Seiring dengan itu, pentas hiburan tempatan tidak ketinggalan dihidangkan isu-isu kontroversi. Pancaindera senaraikan paparkan sorotan figura dunia hiburan tempatan mengikut carta.

MENGANDUNG PALING PANTAS

PASANGAN pengantin baru, Farid Kamil dan Diana Danielle menjuarai carta artis kontroversi 2012 setelah membocorkan rahsia kehamilan selepas 16 hari selamat melangsungkan pernikahan. Pasangan itu bernikah pada 3 November lalu di Ampang. Diana sendiri yang berkongsikan berita gembiranya itu melalui Twitter miliknya. Bagaimanapun, pasangan pelakon itu menggunakan pendekatan ‘tutup mulut’ untuk mengulas perkhabaran berita itu.

BERKAHWIN PALING CEPAT

PELAKON Anne Ngasri mengambil masa yang singkat untuk berkahwin dengan Mohd. Sumali Reduan. Perkahwinan mereka menjadi sensasi kerana berlaku selepas Anne berpisah dengan bekas kekasihnya, Aliff Aziz. Anne dilaporkan bersedia untuk bersatu dengan Aliff pada penghujung 2012. Lantaran itu timbul pelbagai spekulasi tentang perkahwinan Anne dengan Mohd. Sumali yang juga Setiausaha Kerja Pemuda UMNO Malaysia. Malah ada yang mempertikaikan tujuan Anne mengahwini lelaki berasal dari Johor itu.

BERGADUH SEBAB CEMBURU?

PUNCA pergaduhan antara Neelofa dan Anzalna bermula sewaktu sama-sama turut serta dalam pertandingan wanita tercantik. Ada silap kata dan tingkah yang tidak menyenangkan di antara dua pihak yang menyebabkan isu yang kecil menanah dan menjadi besar. Masing-masing memendam perasaan sehingga tercetus peperangan. Pun begitu mereka ada hujah mempertahankan diri sendiri.

DITUDUH MENCURI TAPI TAK ADA BUKTI

KEJADIAN memalukan yang melanda pelakon Awal Shaari dan Scha Al-Yahya ini ketika mereka sama-sama memperagakan baju sebuah butik terkenal. Dikatakan ada baju penganjur yang diambil oleh pasangan selebriti itu secara tak sengaja. Namun tak ada bukti khusus dibuat daripada penganjur mahupun daripada mana-mana pihak tentang perbuatan pasangan pelakon tersebut.

DITAJA TAPI TAK MENGAKU

TASHA Shilla yang populariti semakin mencanak naik dikatakan ‘disimpan’ oleh seorang lelaki kaya-raya. Lelaki yang dikenali sebagai Datuk J itu dikatakan sanggup menghadiah sebuah banglo sehinggalah kereta Audi yang dipandu olehnya asalkan sanggup berparti di kelab malam bersama. Pun begitu Tasha tetap dengan pendirian menyangkal sekeras-kerasnya tuduhan terhadap dirinya itu.

KISAH RUMAH TANGGA RITA RUDAINI

KRISIS rumah tangga Rita Rudaini dengan suaminya, pemain bola sepak kebangsaan, Aidil Zafuan Abdul Radzak menjadi tumpuan sepanjang tahun. Pelbagai cerita didedahkan di media sehingga menyebabkan orang luar membuat persepsi masing-masing. Pada 7 November lalu, Rita berjaya dalam permohonannya untuk membantah perintah kembali taat atau nusyuz yang difailkan oleh Aidil.

BERCINTA LAMA TAPI TAK KAHWIN-KAHWIN

SERI hubungan cinta antara pelakon Almy Nadia dan Fizz Fairuz semakin pudar selepas cerita mereka dilihat kerap didedahkan di media. Perubahan ketara selepas Fizz dapat anugerah yang mengganggu gugat hubungan cintanya dengan Almy. Banyak pihak buat spekulasi, ditambah pula dah enam tahun cerita tentang kahwin, tapi masih belum ada cerita perkahwinan sebenar.

IKA NABILA SERBA LENGKAP

NAMA penyanyi genit ini menjadi jelik sebab dikatakan terlibat dengan kes hubungan sejenis, minuman keras dan menyimpan alat permainan seks orang dewasa. Gosip kian panas apabila kru produksi menyampaikan bahawa Ika Nabila tanpa segan silu mengajak seorang aktres comel untuk mengadakan hubungan seks terlarang bersamanya yang katanya lebih menyeronokkan. Kesemua dakwaan itu disangkal Ika.

NABILA HUDA YANG SENSASI

KISAH kontroversi membabitkan Nabila Huda sering mencerminkan sisi negatif dirinya kepada khalayak. Dikatakan berpeluk sakan dengan kekasih gelap, Johan As’ari di lokasi penggambaran drama Pelangi Kasih. Ibu Keisha Laila ini juga panas dengan kontroversi pakaian seksinya pada acara karpet merah majlis Anugerah Blokbuster 2011 awal bulan Oktober lalu dan mencuri tumpuan umum apabila dituduh menghadiri parti liar menyambut Halloween pada hujung bulan yang sama.

SOAL CINTA HATI SHILA

JUARA rancangan realiti Asian Wave 2012 di Shanghai, China mencetuskan kontroversi gara-gara terlalu mendedahkan kisah cintanya dengan Shaarnaz Ahmad kepada khalayak. Perlakuan mencium tangan Sharnaaz secara tidak sengaja di satu majlis anugerah, pergaduhan dan lamaran tak rasmi di Twitter menyebabkan ada segelintir pihak kurang senang. Pun begitu, perkara peribadi itu bijak dikawal Shila seiring dengan kisah kerjayanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Hiburan/20121230/hi_06/Carta-artis-kontroversi-2012#ixzz2Gbwtg14F
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Hot Mama To Be 2013

31 Disember 2012



Tiada apa yang lebih menggembirakan pasangan yang sudah berumahtangga selain menerima khabar gembira yang si isteri disahkan hamil. Apa kata kita lihat senarai selebriti wanita yang hamil pada tahun ini, di mana ada di antara mereka yang sedang menunggu bila-bila masa sahaja untuk bersalin.

Natasha Hudson

                         

Pelakon cantik ini disahkan hamil sebulan oleh doktor pada 30 Ogos lalu. Ia merupakan kehamilan keduanya di mana beliau mempunyai seorang anak, Nessa Helena yang kini berusia empat tahun. Natasha berkahwin dengan Carleed Khaza pada 15 April lalu.

Fasha Sandha

                         

Mendirikan rumahtangga pada 27 April 2012, Fasha kini sedang hamil cahaya mata pertama hasil perkongsian hidup dengan suami tercinta, Jejai. Jika dihitung, usia kandungan pelakon ‘Runtun Qalbu’ ini sudah melebihi 20 minggu sekarang. Ketika trimester pertama kehamilan, Fasha mengakui beliau mengalami alahan pada ubat gigi. Fasha kini sudah tidak mengambil sebarang tawaran lakonan kerana mahu berehat.

Memey Suhaiza
Pelakon Memey Suhaiza begitu gembira apabila disahkan hamil enam minggu selepas sembilan bulan melayari bahtera perkahwinan bersama aktor Norman Hakim. Dijangka melahirkan anak pada Februari tahun depan, usia kandungan Memey kini dianggarkan berusia dalam tujuh bulan.

        

Walaupun mengalami alahan yang teruk sehingga usia kandungan mencecah empat bulan, namun Memey tetap teruja menanti kehadiran cahaya mata sulungnya di mana setiap hari beliau akan memandang cermin untuk melihat perutnya membesar. Malah, dek kerana terlalu teruja, pasangan ini juga sudah terlintas untuk memberikan nama anak mereka, Muhammad Darwish Hakim.

Ning Baizura

               

Spekulasi mengenai berita kehamilan Ning Baizura akhirnya terjawab apabila penyanyi bersuara soprano itu akhirnya berkongsi dalam sebuah majlis sidang media pada September lalu yang beliau kini sedang hamil lima bulan. Ning dan suami, Omar Sharif Christopher Layton cukup teruja dengan berita ini apatah lagi mereka sudah empat tahun menantikan kehadiran cahaya mata dalam perkahwinan mereka.

Diana Danielle
                         

Isteri kepada Farid Kamil ini disahkan hamil selepas enam belas hari mereka mendirikan rumahtangga. Tidak dinafikan ramai yang agak terkejut dengan berita gembira tersebut kerana menganggap ia berlaku terlampau cepat. Diana berkongsi berita kehamilannya itu di Twitter dan Instagram, dan menganggap bayi yang dikandungnya itu adalah anugerah terindah sempena hari jadinya yang ke-21.

Faezah Elai

                         

Mendirikan rumahtangga dengan pengarah, Heykal Hanafiah pada 9 September 2011, pelakon Faezah Elai kini sedang hamil sekitar lapan bulan. Pelakon ini sudah mula berehat dari mengambil sebarang tawaran lakonan sejak kandungannya berusia 2 bulan lagi kerana mengalami alahan yang teruk selain cepat penat sepanjang tempoh kehamilan.

Eira Syazira

                         

Boleh dikatakan, isteri kepada Azad Jazmin ini sedang menghitung waktu untuk melahirkan cahaya mata sulungnya pada bila-bila masa saja. Berkongsi berita kehamilannya kepada umum sekitar Mei lalu, Eira Syazira dan suami begitu teruja untuk bergelar ibu dan bapa tidak lama lagi.

Ayu Raudhah

                          

Kesedihan akibat keguguran semasa mengandungkan anak pertama pada akhir tahun lalu terubat apabila Ayu Raudhah kini sedang hamil enam bulan. Isteri kepada pemain bola sepak, Zaquan Adha ini memberitahu yang beliau kini lebih bersikap berjaga-jaga bagi mengelakkan perkara yang sama berulang. Sepanjang tempoh kehamilan, Ayu tidak mengalami sebarang alahan yang teruk.

Shera Aiyob

                          

Setelah hampir setahun diijabkabulkan, pasangan suami isteri, Zahiril Adzim dan Shera Aiyob menerima berita gembira apabila Shera disahkan hamil. Berkongsi berita tersebut di laman Instagram, Shera kini sedang hamil tiga bulan.

Sabtu, 29 Disember 2012

Tunku Ismail yakin kemampuan Johor D.T

30 Disember 2012


Tunku Ismail Sultan Ibrahim bersalam dengan pemain pada majlis memperkenalkan skuad Johor Darul Takzim dan Johor di Plaza Angsana, Johor Bahru semalam.

JOHOR BAHRU - Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim tidak bimbang dengan kekalahan pasukan bintang Johor Darul Takzim pada perlawanan akhir Jemputan Empat Penjuru Piala Tunku Mahkota kelmarin.

Pada perlawanan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos itu, Johor Darul Takzim tewas 1-2 kepada skuad adik, Johor.
Tunku Ismail berkata, ini kerana menang atau kalah merupakan adat pertandingan, namun apa yang lebih penting baginya adalah kedua-dua pasukan di bawah PBNJ menunjukkan komitmen, semangat juang dan disiplin yang tinggi.

“Kita tidak boleh menjangkakan untuk menang 6-0 pada setiap perlawanan. Perlawanan itu hanyalah aksi pemanas badan dan melihat keberkesanan strategi yang dibuat. Saya masih percaya kita mempunyai peluang meraih kejayaan.

“Bagaimanapun saya gembira dengan perkembangan Johor, syabas dan ia jelas kita mempunyai dua pasukan yang mantap," katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Tunku Ismail berkata, adalah tidak adil untuk menghakimi aksi pasukan bintang Johor Darul Takzim selepas satu perlawanan yang lebih kepada sesi pemanas badan, satu kekalahan bukan bermakna ia adalah penamat bagi segala-galanya.

Sementara itu, beliau turut melahirkan keyakinan pasukan Johor Darul Takzim dapat beraksi pada waktu malam di Stadium Tan Sri Hassan Yunos sebaik saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan bermula.

Ia berikutan jaminan yang diberikan Tunku Ismail bahawa pihaknya sedang berusaha untuk memasang dan menaik taraf lampu limpah di stadium berkenaan mengikut spesifikasi ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“Insya-Allah kita akan selesaikan masalah ini sebelum 8 Januari. Saya yakin perlawanan di Stadium Larkin pasti akan diadakan pada waktu malam," katanya ketika diminta mengulas berhubung isu lampu limpah yang tidak mengikut spesifikasi.

Akhbar sebelum ini melaporkan, hanya tujuh stadium yang menjadi lokasi tuan rumah aksi Liga M menepati piawaian memiliki sekurang-kurangnya lampu limpah dengan tahap kecerahan 1,000 lux.

Stadium Tan Sri Hassan Yunos merupakan salah satu stadium yang tidak menepati piawaian ditetapkan FAM sekali gus menyebabkan perlawanan di lokasi tersebut perlu dijalankan pada waktu siang iaitu pukul 4.45 petang.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20121230/su_02/Tunku-Ismail-yakin-kemampuan-Johor-DT#ixzz2GUXAvYRs
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Khamis, 27 Disember 2012

Fandi puas hati prestasi pemain

28 Disember 2012


 Pemain Kelab Johor Darul Takzim Daniel Guiza (kiri) cuba melepasi pertahanan  Woodlands Wellington, di Stadium Larkin, kelmarin.Pemain Kelab Johor Darul Takzim Daniel Guiza (kiri) cuba melepasi pertahanan Woodlands Wellington, di Stadium Larkin, kelmarin.
Johor Bahru: Pelaburan lumayan Johor Darul Takzim mendapatkan khidmat pemain berstatus bintang menghadapi kancah Liga Malaysia (Liga-M) musim depan mula membuahkan hasil.

Ini berikutan kemenangan besar skuad kendalian Fandi Ahmad apabila membelasah kelab Liga Singapura (Liga-S), Woodland Wellington 5-1 pada saingan Jemputan Empat Penjuru Piala Tunku Mahkota Johor di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin, kelmarin. 
Kejayaan itu memberi gambaran awal skuad yang bergelar Harimau Selatan itu harus digeruni dalam usaha memburu tiga kejuaraan - Piala Liga, Piala FA dan Piala Malaysia musim depan. 


Kelemahan dikesan

“Untuk keseluruhan aksi itu, saya berpuas hati,” kata pengendali skuad Johor darul Takzim, Fandi Ahmad.

“Cuma pada 10 hingga 15 minit perlawanan pada babak pertama, ada kelemahan dikesan apabila pemain hilang arah dan gagal mengumpan bola dengan tepat namun semua dapat diatasi selepas mereka mula menjiwai perlawanan itu.”

Fandi berkata, beliau sengaja tidak menurunkan Norshahrul Idlan Talaha dan Aidil Zafuan Abd Radzak pada babak pertama bagi memberi ruang kepada pemain muda membuktikan kesungguhan untuk berada dalam skuad utama dan apa yang mereka sajikan tidak mengecewakan. 
Mengenai tugas Safiq Rahim, Fandi berkata pemain itu tampak lebih selesa apabila bergandingan dengan Ahmad Ezrie Sazali yang sering bertindak menyekat pergerakan lawan di kawasan tengah tatkala pemain tengah kebangsaan itu bebas melakukan gerakan tanpa perlu memikir untuk bertahan.

Keserasian terserlah

28 Disember 2012


GANDINGAN Daniel Guiza dan Safee Sali yang dipertaruhkan ketua jurulatih Johor Darul Takzim, Fandi Ahmad mula menunjukkan keserasian apabila saling membantu bagi menghasilkan gol pada Kejohanan Empat Penjuru Piala Tunku Mahkota Johor di Stadium Larkin, kelmarin.
Apapun bagi pemain import termahal kancah Liga M musim depan, Guiza yang memiliki reputasi tinggi selaku pemenang Kasut Emas La Liga Sepanyol ketika bersama Real Mallorca musim 2007 menganggap masih terlalu awal untuk melabelkan dia dan Safee penyerang paling digeruni.

“Ini baru permulaan dan belum lagi ada persefahaman jitu namun saya puas hati dengan aksi Safee sepanjang babak pertama apabila bijak mencari ruang kosong sebelum bertindak menyusup masuk ke dalam kotak penalti. Jika ada dua atau tiga lagi perlawanan mungkin saya akan serasi dengan corak permainan Safee.
“Hasil gerakan kami, saya dan Safee berjaya menjaringkan gol. Pada saya kombinasi begini amat penting dalam setiap perlawanan,” katanya.

Fandi yang sengaja tidak menurunkan Norshahrul Idlan Talaha dan Aidil Zafuan Abd Radzak pada babak pertama mempunyai alasan sendiri kerana kedua-dua pemain itu belum mencapai tahap kecergasan memuaskan selepas mengharungi kempen Piala AFF bersama skuad Harimau Malaya baru-baru ini.

“Mat Yo dan Aidil Zafuan belum 100 peratus cergas dan saya tidak mahu ambil risiko untuk menurunkan mereka sepanjang 90 minit perlawanan. Apapun saya memasukkan mereka di babak kedua dan corak permainan yang disajikan tidak mengecewakan malah Mat Yo mampu mencipta jaringan.
“Bagaimanapun saya tidak mahu terlalu berpuas hati dengan persembahan pemain kerana dalam tempoh 10 hingga 15 minit di babak pertama, masih ada kelonggaran yang dipamerkan namun semuanya dapat diatasi selepas pemain mula menunjukkan kesungguhan dan bekerjasama antara satu sama lain,” katanya.

Skuad bergelar Harimau Selatan itu layak ke final saingan itu dan akan beraksi malam ini sama ada bertemu Pahang atau Johor dan barisan Fandi perlu melakar kejuaraan pada kejohanan yang julung kali diadakan dan berjaya menggamit kehadiran lebih 20,000 penyokong untuk membanjiri stadium.
“Saya berterima kasih kepada penyokong yang hadir dan ini isyarat kepada saya dan pemain untuk memberi persembahan terbaik sepanjang kempen Liga M bermula bulan depan.”
Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/28

Harimau Selatan baham Wellington

27 Disember 2012


KELAB Johor Darul Takzim yang dianggap pasukan paling mahal dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan memberi amaran awal untuk pencabar mereka apabila mudah meratah kelab Liga Singapura (Liga S), Woodlands Wellington, 5-1 dalam aksi pra musim Jemputan Empat Penjuru Piala Tunku Mahkota Johor di Stadium Larkin, malam tadi.
Walaupun tanpa kelibat Simone Del Nero yang mengalami kecederaan hingga memaksa ketua jurulatih, Fandi Ahmad melakukan perubahan taktik dengan merehatkan Norshahrul Idlan Talaha, Aidil Zafuan Abd Radzak dan Nurul Azwan Roya di babak pertama, penguasaan jelas milik skuad bergelar Harimau Selatan itu.

Sebaik aksi memasuki minit kesembilan, gema ‘Sorakan Larkin’ yang sekian lama menyepi menyambut jaringan Daniel Guiza hasil bola sepakan percuma yang terbias benteng Woodlands Wellington dengan penjaga gol, Ahmadulhaq Che Omar terpaku melihat bola menerjah jaring. Gandingan Safee Sali-Guiza sering mengkucar-kacirkan benteng pertahanan pelawat apabila bertali arus melakukan percubaan berbahaya ke pintu gol namun masih belum menemui penyudah berkesan ketika Ahmadulhaq tampak bertungkus lumus menghalang pintu golnya daripada dibolosi.
Keserasian Safee dan Guiza sudah mula mempamerkan taring dengan gerakan pemain import termahal Liga M dari Sepanyol itu pada minit ke-39 yang melorongkan bola tepat kepada penyerang kebangsaan itu untuk mudah menolak masuk bagi menewaskan Ahmadulhaq.

Sepanjang babak pertama benteng pertahanan skuad Harimau Selatan yang membabitkan gandingan kapten Ahmad Tharmimi Saiban dan Muslim Ahmad tampak begitu kebal apabila barisan serangan Woodlands Wellington jelas sukar untuk melakukan percubaan berbahaya.

Ketika aksi babak pertama berbaki seminit, Safee Sali yang tampak lesu pada saingan Piala AFF meledakkan rembatan deras untuk memastikan Johor Darul Takzim selesa mendahului 3-0.
Sebaik babak kedua bermula, Woodlands Wellington merapatkan jurang gol pada minit ke-51 selepas Khalid Hamdaoui merembat kencang dari luar kotak penalti, menewaskan penjaga gol, Al-Hafiz Hamzah. Fandi yang tampak mahu menggunakan perlawanan itu bagi mencari barisan mantap memasukkan Norshahrul Idlan dan Aidil Zafuan ketika mereka cuba memperagakan corak permainan pantas dan hasilnya, pada minit ke-82, Safiq Rahim meledakkan rembatan deras menerusi sepakan percuma sebelum Norshahrul turut menjaringkan gol ketika aksi berbaki dua minit.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/2

Sorotan Penceraian Selebriti Sepanjang 2012 Di Murai

27 Disember 2012

Sorotan Penceraian Selebriti Sepanjang 2012 Di Murai


ada Adi Putra, awal tahun lalu. Dalam pada itu ada juga yang mahu merujuk semula sepertimana yang dilakukan Datuk Aziz Sattar selepas 9 bulan berpisah dengan isterinya.
Tidak kurang juga kisah panas mengenai perceraian para selebriti tempatan yang masih tidak dapat disahkan oleh mana-mana pihak seperti Erra dan suami, Engku Emran serta kisah penceraian yang tiada kesudahan di antara Rita Rudaini dan Aidil Zafuan serta A.Aida dengan suaminya.
Berikut adalah senarai penceraian yang telah disahkan berlaku sepanjang 2012 ini.
Hattan & Farah Asyikin
Pada 12 Januari 2012, penyanyi rock popular, Hattan, 48, dan Farah Asyikin Othman, 34, disahkan bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Pilah walaupun baru sahaja dua bulan disatukan sebagai suami isteri. Mereka telah berkahwin pada November tahun lalu sebelum tersebarnya gambar panas melibatkan Farah dengan jejaka lain.
Sharifah Aleya & Ashraf
Sharifah Aleya dan Ashraf dilaporkan telah menjalani proses bercerai secara baik , di atas persetujuan kedua-dua belah pihak dalam satu proses tertutup pada 29 Februari 2012 di Mahkamah Rendah Syariah Subang Bestari. Perkara ini mengejutkan para media dan peminat kerana sebelum ini tiada khabar bertiup mengenai pasangan yang bernikah pada 2007 itu. Hasil perkahwinan mereka, pasangan ini dikurniakan sepasang kembar perempuan iaitu Aza Ameena dan Asha Ameena.
Adda Butterfly & Ridzuan Mohammad
Setelah kisah perkahwinan penyanyi kumpulan Butterfly, Adda yang dirahsiakan pada awalnya telah dapat dihidu media, namun ia hanya bertahan selama 17 hari. Jejaka berstatus duda, Ridzuan Mohammad yang dikahwininya dikatakan menyembunyikan status sebenar dirinya. Adda Butterfly bagaimana pun tidak mahu mengulas lanjut mengenai kekeliruan status suaminya dan menerima ketentuan menjadi janda di usia muda.
Safee Sali & Sabrina Yusof
Bintang bola sepak negara, Safee Sali, 28, telah melafazkan cerai talak satu terhadap isterinya, Sabrina Yusof pada April lepas di hadapan Hakim Syarie Fouzi Mokhtar di Mahkamah Syariah Shah Alam. Pasangan ini mempunyai dua anak perempuan iaitu Nur Syaza Syaqina berumur tiga tahun dan Nursyasya Safirna berumur satu tahun. Mereka telah mendirikan rumah tangga pada 2007 ketika Safee masih bermain untuk negeri Sarawak. Punca penceraian tidak dapat dikenalpasti.
Jimmy Shanley & Nursuhaila
Setelah pelbagai isu berbangkit mengenai perceraian pasangan Jimmy Shanley dan anak pengasas produk Natasya, Nursuhaila bertebaran, akhirnya mereka disahkan bercerai secara tebus talak pada 10 Oktober 2012 di Mahkamah Syariah Subang Bistari. Jimmy hanya perlu membayar RM1 kepada Nursuhaila sebagai bayaran tebus talak dan ianya telah dilakukan pada hari tersebut. Pasangan ini memiliki seorang cahayamata daripada perkahwinan ini.
Sasha Saidin & Salyo
Bekas anggota kumpulan Elite, Sasha Saidin telah sah bercerai dengan suami, Salyo yang dinikahinya lima tahun lalu pada 10 Julai 2012. Pasangan ini bercerai di Mahkamah Rendah Syariah Gombak selepas Salyo, 37, yang berasal dari Indonesia melafazkan cerai talak satu terhadap Sasha, 36, di hadapan Hakim Shaiful Azli Jamaluddin. Punca penceraian sebenar tidak diketahui namun mereka menjelaskan ini adalah cara terbaik menyelesaikan kemelut yang berlaku dalam rumahtangga mereka.
Raja Azmi & Jailani Sidek
Mohamed Jalani Mohamad Sidek, 49 dan produser kontroversi, Raja Azmi telah disahkan bercerai talak satu di hadapan Hakim Syarie, Shaiful Azli Jamaludin pada pukul 3.25 petang pada 27 Jun lalu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Keramat. Pasangan yang sudah 28 tahun mendirikan rumahtangga ini memilih haluan sendiri setelah munculnya pelbagai kisah mengaitkan mereka. Menurut Raja Azmi, dia tidak senang melihat Jalani dituduh dayus dan sebagainya membuatkan dia rela berpisah demi maruah bekas suaminya itu.
Ana Dahlia & Chef Riz
Setelah genap setahun bergelar suami isterin Ana Dahlia dan Chef Riz akhirnya disahkan bercerai secara rasmi dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Kajang, Selangor pada 10 Disember lalu. Mereka yang melangsungkan pernikahan pada 11 Disember 2011 dilanda kemelut rumahtangga yang dirahsiakan punca sebenarnya. Namun Chef Riz yang juga anak kepada Chef Wan memberitahu usia perkenalan yang singkat antara sebab tiada sefahaman diantara mereka.
Datuk Aziz Sattar & Datin Hashimah Delan
Walaupun seniman veteran, Datuk Aziz Sattar berjaya menyembunyikan kisah perceraiannya dengan bekas isteri, Datin Hashimah Delan selama 9 bulan, namun akhirnya perkara tersebut sampai ke pengetahuan media pada November lalu. Mereka dilaporkan telah bercerai pada 3 Mac lalu. Punca dikatakan berlaku sedikit perselisihan faham di antara mereka. Namun Pak Aziz kini dalam proses untuk kembali merujuk isterinya itu tidak lama lagi.

Rabu, 26 Disember 2012

Aidil kekok beralih posisi

26 Disember 2012


'PASUKAN MAHAL' MULA LATIHAN...Skuad Johor Darul Takzim mengadakan latihan pertama disertai bintang baru, Safee Sali (dua daru kanan), Muslim Ahmad, Safiq Rahim dan Nurul Azwan Roya di bawah bimbingan Fandi Ahmad (kiri) di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin, semalam. - Foto OMAR AHMAD'PASUKAN MAHAL' MULA LATIHAN...Skuad Johor Darul Takzim mengadakan latihan pertama disertai bintang baru, Safee Sali (dua daru kanan), Muslim Ahmad, Safiq Rahim dan Nurul Azwan Roya di bawah bimbingan Fandi Ahmad (kiri) di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin, semalam. - Foto OMAR AHMAD
Johor Bahru: Selepas sekian lama mendominasi posisi pertahanan tengah, Aidil Zafuan Abd Radzak bakal memulakan kempen saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan bersama kelab Johor Darul Takzim di posisi pertahanan kanan.

Pemain pertahanan Harimau Malaya mengakui dirinya agak kekok selepas ketua jurulatih skuad yang bergelar Harimau Selatan, Fandi Ahmad meletakkannya beraksi di posisi itu buat pertama pada sesi latihan pertama bersama skuad itu di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin, semalam. 
"Ini adalah pertama kali dalam karier bola sepak saya beraksi di posisi pertahanan kanan dan saya akui agak kekok pada sesi latihan pertama namun sebagai pemain profesional masalah itu mampu diatasi dan saya yakin segala kerumitan yang dihadapi akan dapat diselesaikan. 


"Apapun semuanya bergantung kepada jurulatih (Fandi Ahmad) yang mencorakkan taktikal pasukan, dan dengan adanya latihan sebelum saingan Liga Super bermula sudah pasti saya akan bersedia menggalas tugas di posisi baru," kata Aidil Zafuan.

Bagi Fandi perubahan itu perlu dilakukan memandangkan pasukan itu sudah ada pemain pertahanan tengah yang mantap gandingan Ahmad Tharmimi Saiban dan Muslim Ahmad malah tindakan itu juga bagi memastikan posisi pertahanan kanan memerlukan pemain berpengalaman seperti Aidil Zafuan.

"Salah satu faktor yang menyebabkan saya mengubah posisi Aidil Zafuan lebih terarah kepada perlu pemain pertahanan kanan yang mampu melakukan larian pantas untuk membuat serangan di posisi sayap kanan dan saya lihat beliau amat sesuai untuk diletakkan di posisi itu.

"Saya yakin dalam tempoh terdekat, beliau akan dapat menyesuaikan diri dengan posisi baru itu dan bakal bergandingan bersama kembarnya, Zaquan Adha (Abd Radzak) yang akan beraksi di posisi sayap kanan," katanya. 
Fandi juga berpuas hati dengan komitmen dari lima pemain kebangsaan, Safee Sali, Safiq Rahim, Aidil Zafuan, Azmi Muslim dan Norshahrul Idlan Talaha yang memulakan latihan pertama bersama skuad Harimau Selatan yang tampak bersemangat tatkala masih perlu menyesuaikan diri dengan corak permainan Johor Darul Takzim.

"Kita akan harungi saingan empat penjuru yang bermula malam esok namun kelima-lima pemain mempunyai tempoh singkat untuk menyesuaikan diri. 

Bagaimanapun sebagai pemain profesional dan pernah beraksi dengan beberapa pasukan, saya yakin tidak timbul masalah buat mereka mempraktikkan corak permainan yang saya terapkan," kata Fandi.

Tugas berat bintang Johor

26 Disember 2012


Safee Sali (kanan) dan Norshahrul Idlan Talaha antara bintang baru dalam skuad Johor musim 2013.

JOHOR BAHRU - Selepas dua tahun tidak menyertai liga elit domestik, penyerang baru Johor Darul Takzim, Safee Sali nyata teruja menjalani latihan bersama pasukan barunya, sekali gus berjanji memberikan yang terbaik.

Sambil menyifatkan keputusan untuk menyertai skuad Harimau Selatan adalah tepat terutama dalam usaha menyelamatkan karier bola sepaknya, Safee jelas gembira dan bersemangat pada sesi latihan pertamanya.

Sesi latihan pertama bagi lima pemain kebangsaan yang bermain untuk pasukan yang dilabel sebagai termahal dalam Liga Malaysia (Liga M) itu diadakan di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin kelmarin.
Selain, Safee, kelibat Norshahrul Idlan Talaha, Safiq Rahim, Aidil Zafuan Abdul Razak dan Azmi Muslim juga kelihatan bersemangat pada sesi latihan dikendalikan ketua jurulatih, Fandi Ahmad dan pembantunya, Ismail Ibrahim.

Safee mengakui dia mempunyai tugas berat terutama dalam peringkat awal kerana mahu mendapatkan keserasian bersama skuad Harimau Selatan yang baru disertainya itu.

"Saya gembira dapat bersama menjalani latihan dengan rakan lain dan sudah pasti untuk mendapatkan keserasian yang sempurna memerlukan masa, mungkin dalam lima hingga perlawanan lagi," katanya kepada pemberita di sini.

Pendapat dan perasaan sama turut diluahkan Pemain Paling Bernilai 2012, Norshahrul atau Mat Yo yang kini mendapat gelaran baru iaitu Wak Lan, yang menekankan tentang persefahaman antara rakan pasukan lain sebagai perkara penting.

Ini kerana, katanya, persefahaman antara satu sama lain perlu dipertingkatkan sejajar usaha untuk menjadikan pasukan lebih yakin dalam mengharungi saingan dalam setiap perlawanan apabila Liga-M bermula tidak lama lagi.

"Ini baru sesi latihan pertama dan sudah pasti keserasian itu masih longgar, namun saya percaya dengan komitmen diberikan setiap pemain, segala yang diajar semasa latihan mampu diterapkan," ujarnya.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai lambakan pemain bintang terutamanya di bahagian jentera serangan, kedua-dua mereka, Safee dan Norshahrul menyifatkan ia satu perkembangan positif dan petanda baik untuk pasukan.

"Sememangnya bahagian serangan skuad Harimau Selatan mempunyai pilihan, situasi itu pada saya adalah satu persaingan sihat dalam pasukan. Semua ada kualiti masing-masing dan harap semuanya dapat beraksi baik untuk musim akan datang," kata Safee.

Norshahrul pula menjawab: "Bagi saya lambakan penyerang bukan satu isu, malah ia satu persaingan sihat supaya setiap pemain berusaha lebih gigih untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama."


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20121226/su_01/Tugas-berat-bintang-Johor#ixzz2GAps9vMc
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Selasa, 25 Disember 2012

Sisih Rajagobal tidak akan bantu selesai masalah Harimau Malaya

25 Disember 2012


KUALA LUMPUR - Tindakan menyisihkan ketua jurulatih Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal bukan penyelesaian terbaik bagi memperbaiki kualiti pasukan kebangsaan, sebaliknya bantuan perlu dihulurkan kepada pengendali tersebut.

Itu pandangan sebilangan besar penggiat bola sepak tempatan yang menganggap Rajagobal masih lagi relevan membimbing Harimau Malaya ketika hampir kebanyakan penyokong mendesak agar jurulatih itu dipecat berikutan gagal mempertahankan kejuaraan Piala Suzuki AFF baru-baru ini.

Bekas pemain kebangsaan, Khalid Ali berpendapat, Rajagobal memerlukan pendedahan di luar negara berkaitan taktikal bagi membantu jurulatih tersebut menjana idea lebih meluas ketika membuat percaturan dalam sesuatu perlawanan.

Tambah Khalid, Sepanyol adalah destinasi paling sesuai untuk Rajagobal menimba ilmu kerana tahap kualiti bola sepak di negara itu dianggap terbaik di dunia.

"Mungkin idea ini boleh diteliti oleh FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) kerana bagi saya Rajagobal adalah jurulatih terbaik pernah dimiliki negara pada ketika ini.

"Bantuan perlu diberikan kepadanya terutama sebelum beraksi pada kelayakan Piala Asia tahun depan. Saya juga percaya melalui pendedahan yang dimiliki oleh Rajagobal selepas menjalani kursus di luar negara dapat diaplikasikan untuk peningkatan skuad kebangsaan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini.

Dalam pada itu, bekas jurulatih Kelantan, Datuk M. Karathu beranggapan satu pasukan penganalisis perlawanan bagi membantu ketua jurulatih wajar diwujudkan seperti yang telah diguna pakai oleh Jepun ketika ini.
Kata Karathu, peranan yang dimainkan oleh pasukan penganalisis tersebut amat penting kerana mampu membantu jurulatih menilai tahap keupayaan pemain.

"Pasukan penganalisis ini mestilah terdiri dalam kalangan jurulatih liga tempatan yang dapat menilai kekurangan atau kekuatan dalam pasukan kebangsaan dan setiap analisis tersebut perlu diteliti oleh ketua jurulatih sendiri.
"Dengan cara itu saya fikir pasukan kebangsaan mampu melangkah lebih jauh dan mencapai kejayaan tanpa menyingkirkan Rajagobal," jelas Karathu.

Dalam pada itu, jurulatih Perak, Mohd. Azraai Khor memberitahu, sumbangan idea baru bagi meningkatkan prestasi skuad kebangsaan amat diperlukan bagi mencapai sesuatu keputusan positif.

Malah, Mohd. Azraai turut mengakui selain perlu mendapatkan idea baru pasukan kebangsaan juga perlu banyak belajar daripada kesilapan lalu.

"Bagi saya sumbangan pasukan liga tempatan dalam menyumbang pemain mereka adalah satu bentuk bantuan yang positif untuk skuad kebangsaan.

"Selain memberikan idea baru saya juga yakin jurulatih Rajagobal pasti mengetahui apa yang perlu dilakukan," kata Mohd. Azraai.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20121224/su_02/Sisih-Rajagobal-tidak-akan-bantu-selesai-masalah-Harimau-Malaya#ixzz2G4A1G1RK
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Safee, Norshahrul mula sertai sesi latihan Johor

25 Disember 2012


Fandi Ahmad memberikan arahan kepada pemain ketika sesi latihan skuad Johor Darul Takzim di Stadium Larkin, Johor Bahru , semalam.

JOHOR BAHRU - Pemain kebangsaan yang beraksi untuk Johor Darul Takzim bagi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan memulakan latihan bersama skuad Harimau Selatan buat pertama kali di Stadium Tan Sri Hassan Yunus di sini, semalam.

Pada sesi latihan itu, Safee Sali, Norshahrul Idlan Talaha, Safiq Rahim, Aidil Zafuan Abdul Razak dan Azmi Muslim bersemangat menjalani latihan, bagaimanapun mereka dilihat masih mencari rentak dan keserasian bersama rakan pasukan yang lain.

Hanya Daniel Guiza tidak menyertai latihan semalam kerana diberi pelepasan untuk meraikan sambutan Krismas.
Pengurus pasukan yang juga ketua jurulatih, Fandi Ahmad berkata, semangat yang ditunjukkan kelima-lima pemain kebangsaan itu untuk menjalani latihan bersama rakan pasukan lain disifatkan sebagai 'lumayan' dan petanda terbaik bagi pasukan Johor Darul Takzim.

Pada masa sama, beliau percaya semua mereka memerlukan masa sekurang-kurangnya menyertai lima atau enam perlawanan akan datang bagi mendapatkan rentak permainan dan yakin setiap pemain Johor Darul Takzim mampu menerapkan apa yang telah diarahkan.

"Sebagai pemain profesional saya yakin mereka dapat adaptasi corak permainan kita kerana mereka pernah bermain dengan banyak pasukan lain dan yang berubah mungkin dari segi serangan dan pertahanan, yang penting adalah disiplin mereka.

"Saya berpuas hati dengan komitmen diberikan, mereka kelihatan bersemangat berlatih bersama yang lain, keadaan mereka juga bagus sekali gus ini memberi gambaran 'lumayan' untuk pasukan," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas sesi latihan.

Dalam pada itu, bagi penggempur baru skuad Harimau Selatan, Safee dan Norshahrul atau Mat Yo, masih terlalu awal untuk menilai kemampuan mereka beraksi sebagai satu pasukan kerana semua pemain baru berkumpul.
Bagaimanapun, kedua-dua mereka yakin persefahaman dalam kalangan pemain dapat disatukan tidak lama lagi apabila mereka mula bermain sebagai satu pasukan.

Sementara itu, bagi menguji kehebatan barisan pemain Johor Darul Takzim sebelum mengharungi saingan Liga M musim depan, Fandi berkata, pasukan akan beraksi pada saingan empat penjuru kalah mati bermula esok hingga Jumaat.

Beliau berkata, selain Johor Darul Takzim, pasukan lain yang akan menyertai saingan yang julung kali diadakan dalam fasa akhir mempersiapkan skuad Harimau Selatan adalah Johor, Pahang dan kelab dari Liga Singapura, Woodlands Wellington FC.

"Pertandingan empat penjuru itu adalah satu platform terbaik untuk kita uji dan lihat pemain-pemain beraksi dan saya harap dapat menggunakan peluang tersebut untuk memantapkan lagi pasukan sebagai persiapan akhir sebelum saingan Liga-M bermula," katanya.

"Saya tidak merancang untuk menurunkan semua mereka sebagai kesebelasan utama, namun akan cuba memasukkan mereka sebagai pemain gantian bagi memberi ruang untuk mendapat keserasian dengan corak permainan yang kita terapkan," ujarnya.

Justeru, Fandi berharap pasukannya mampu memberikan aksi terbaik mereka di mana Johor Darul Takzim akan menentang Woodlands Wellington FC manakala Johor akan bertemu Pahang dan pemenang perlawanan itu bakal bertemu pada perlawanan akhir.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20121225/su_02/Safee-Norshahrul-mula-sertai-sesi-latihan-Johor#ixzz2G49SAcit
© Utusan Melayu (M) Bhd 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...