Aidil Zafuan & Zaquan Adha

Keluarga Aidil Zafuan

Keluarga Zaquan Adha

LIKE jika suka :)

Khamis, 30 Jun 2011

Taktik bertahan Taiwan menjadi

30 Jun 2011 


Barisan pertahanan Taiwan menyekat penyerang negara, Safee Sali daripada melakukan tandukan pada perlawanan Kelayakan Piala Dunia di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam. - UTUSAN/Shahril Azman Zain



KUALA LUMPUR - Tewas 1-2 kepada Malaysia dalam perlawanan pusingan pertama kelayakan Piala Dunia 2014 di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam tidak bermakna perjuangan Taiwan sudah berakhir.

Malah jurulatihnya, Lo Chih-Tsung menganggap corak yang mereka pamerkan ketika beraksi di tempat lawan semalam, amat berbeza jika hendak dibandingkan ketika mereka bermain di gelanggang sendiri.

"Sekurang-kurangnya misi kami sudah tercapai memperoleh jaringan di tempat lawan, tetapi kami tidak akan mempamerkan corak seperti ini pada perlawanan timbal balik nanti, kami akan lebih menyerang," katanya.

Jelasnya, Taiwan lebih dikenali dengan corak permainan menyerang, namun beraksi menentang Malaysia di tempat lawan semalam, menyebabkan mereka terpaksa menukar taktik kepada bertahan.

"Kami akan menunjukkan kepada Malaysia bagaimana untuk bermain secara menyerang di sana nanti (Ahad ini), tidak ada siapa yang mahu kalah tetapi kami sudah cuba yang terbaik.

"Saya menerima dengan baik keputusan ini, berjaya menghasilkan satu gol di tempat lawan akan memberi kelebihan buat kami, kami sedar kami beraksi dengan sebuah pasukan yang kuat," katanya.

Chih-Tsung berkata, kehadiran penyokong yang ramai memberikan sedikit tekanan buat pasukannya, kerana mereka tidak pernah bermain dengan kuantiti stadium seramai lebih 45,000 penonton.

"Melihat kepada sejarah Taiwan memang kami beraksi di stadium yang bilangan penontonnya amat sedikit," katanya, yang masih berharap Taiwan mampu mencatat kemenangan walaupun tewas 1-2 di tempat lawan.

Rajagobal tetap optimis

30 Jun 2011





MESKIPUN sekadar mencatat kemenangan tipis 2-1 ke atas Taiwan pada aksi pertama pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia 2014 malam tadi, jurulatih skuad kebangsaan, Datuk K. Rajagobal tetap optimis mengenai peluang skuad kebangsaan untuk mara ke pusingan kedua.
Menurut Rajagobal, kemenangan itu tetap dilihat sebagai satu kelebihan buat skuad Harimau Malaya kerana mereka bakal berkunjung ke tempat lawan bagi menghadapi aksi kedua pada Ahad ini.
“Menang tetap menang. Kita bukannya seri ataupun tewas kepada Taiwan. Jadi saya percaya ia mampu memberi kelebihan buat kami (skuad kebangsaan) apabila menghadapi Taiwan pada aksi kedua nanti.
“Biarpun kita beraksi di tempat lawan, kita perlu yakin bahawa kita masih mampu mencatat kemenangan. Jika pemain-pemain memiliki tahap keyakinan seperti itu, tidak mustahil kejayaan memihak kepada kita,” kata Rajagobal kepada pemberita selepas tamat perlawanan malam tadi.
Pada aksi yang berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil itu, dua jaringan masih-masing satu daripada kapten, Safiq Rahim pada minit ke-27 dan tonggak pertahanan, Mohammad Aidil Zafuan Abdul Razak (ke-54) sudah cukup untuk memberi bekalan buat anak-anak buah Rajagobal sebelum berkunjung ke Taiwan.
Begitupun, kelekaan barisan pertahanan skuad kebangsaan dihukum apabila Chen Po Liang menjaringkan gol bagi merapatkan jurang buat Taiwan pada minit ke-75.
Kesilapan itu telah menghadirkan kebimbangan kepada Rajagobal yang tidak mahu ia berulang lagi ketika aksi kedua nanti.
“Kita tidak sepatutnya melepaskan gol mudah kepada Taiwan begitu sahaja. Apa yang saya dapat lihat ialah barisan pertahanan kita ‘tidur’ dan hilang tumpuan.
“Justeru, saya akan melakukan sesuatu bagi mengatasi kelemahan tersebut sebelum aksi kedua nanti,” jelas Rajagobal.
Sementara itu, jurulatih Taiwan, Lo Chih-Tsung yakin anak-anak buahnya akan kembali bangkit pada aksi kedua nanti.
Jelas Chih-Tsung, pasukan itu sebenarnya menampilkan corak permainan secara menyerang tetapi apabila beraksi di Malaysia, mereka perlu berhati-hati dan lebih banyak bertahan.
“Pada aksi kedua nanti, saya yakin kami akan kembali kepada corak permainan asal kami. Kami akan menerapkan corak permainan secara menyerang.
“Kami perlu mencari gol dalam usaha untuk mara ke pusingan kedua. Saya yakin kami masih memiliki peluang yang cerah untuk ke pusingan berikutnya,” jelas Chih-Tsung.

SAFIQ (dua dari kiri) menerima ucapan tahniah daripada rakan-rakan sepasukannya selepas menjaringkan gol pertama Malaysia ketika menentang Taiwan pada pusingan pertamam Kelayakan Piala Dunia 2014 di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi. Malaysia menang 2-1.

Rabu, 29 Jun 2011

Harimau Malaya belum boleh tarik nafas lega

30 Jun 2011


Image © AFP 
Penyerang Malaysia, Abdul Hadi Yahya (kanan) dan pertahanan Taiwan Chang Yung-Hsien bersaing merebut bola ketika perlawanan pusingan pertama, Kelayakan Piala Dunia 2014 di Stadium Bukit Jalil, 29 Jun 2011.

BUKIT JALIL, (D5) - Malaysia mencatatkan kemenangan di Stadium Nasional Bukit Jalil namun menghadiahkan Taiwan gol di tempat lawan dalam pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia Zon Asia 2014 yang berkesudahan 2-1. 

Gol-gol Malaysia dijaringkan Safiq Rahim pada minit ke-27 disusuli gol daripada Aidil Zafuan Abdul Razak (m54) sebelum Chen Po-Liang menjadikan kedudukan 2-1. 

Beraksi di hadapan 45, 000 penyokong, barisan anak-anak buah Datuk K. Rajagobal menuntut sedikit kesabaran para penyokong untuk mendapatkan rentak sebenar. 

Harimau Malaya juga kerap memberi sepakan percuma kepada para pemain di kawasan bahaya. Pintu gol Malaysia sempat cemas, mujur Sharbinee Allawee berada di kedudukan tepat untuk menangkap tampanan Li Cheng-Yi. 

Minit ke-16, Baddrol Bakhtiar memaksa penjaga gol Lin Po-Cheng merebahkan badan menampan cubaan berbahaya itu.

Menyedari tempo permainan anak-anak buahnya tidak seperti yang diharapkan, Datuk K. Rajagobal segera membuat pertukaran dengan mengeluarkan bek kanan, Helmi Remeli dan memasukkan Abdul Hadi Yahaya. 

Abdul Hadi nyata membawa tuah dan berpunca daripada gerakannya, Safiq Rahim berjaya melepaskan rembatan kencang dari luar kotak penalti untuk menggegar gawang lawan. 

Kemasukkan penyerang Terengganu itu menyebabkan Amirulhadi Zainal diarahkan mengisi posisi bek kanan.

Sebaik permainan bersambung, Rajagobal sekali lagi merombak barisan hadapannya dan kali ini mengeluar Safee Sali yang bergelut sepanjang 45 minit pertama dengan memasukkan Ahmad Fakri Saarani dan dia berusaha keras memberi tekanan kepada kubu lawan. 

Pada minit ke-54, Bukit Jalil sekali lagi bergema selepas tandukan Aidil Zafuan menerjah gawang Taiwan. Pertahanan Negeri Sembilan itu naik membantu dalam situasi sepakan sudut yang diambil Safiq untuk gol kedua Malaysia. 

Bagaimanapun, momentum rancak para pemain kelihatan mulai terjejas selepas gol berkenaan. Para pemain kelihatan mula leka dan gagal memanfaatkan peluang yang ada di depan gol. 

Pada minit ke-62 Baddrol Bakhtiar gagal membaca hantaran lintang Amirulhadi sungguhpun pintu gol sudah terbuka luas disusuli rembatan Abdul Hadi yang sempat dihalang pertahanan lawan pada kedudukan yang sama. 

Taiwan berjaya mengambil kesempatan diatas kelekaan tuan rumah berpunca dari sudut kanan Malaysia, Chen Po-Liang menerima umpanan lalu melepaskan rembatan kencang menewaskan pintu gol yang dikawal Sharbinee Allawee Ramli. 

Hakikatnya, Taiwan langsung tidak berpeluang melakukan serangan ke arah pintu gol Malaysia. 

Lewat permainan, S. Kunanlan berjaya memintas bola daripada pertahanan lawan dan melakukan larian pantas, dua pemain lawan cuba menghambatnya. 

Pemain sayap itu dengan tenang mengawal dan melakukan hantaran tinggi yang ditanduk tinggi rakan sendiri namun Baddrol berada di posisi yang mampu melakukan tindakan penyudah.

FACEBOOK

29 Jun 2011


PERHATIAN ::

Page http://www.facebook.com/pages/Aidil-Zafuan-Zaquan-Adha/152840538088884  adalah page lama kembar ...
Sekrg page ini tidak digunakan lagi krn mempunyai masalah...
Admin sendiri tak tahu ape masalahnya...
Dah kami dah pun buat page yang t'baru...
Jom ramai kita "LIKE" page baru & "REPORT PAGE" yang ini ..
PAGE BARU KEMBAR ~ (ADMIN PAGE ADALAH ADMIN YANG SAMA)

Page baru kembar yang telah dibuat baru http://www.facebook.com/pages/Aidil-Zafuan-Zaquan-Adha-Fans-Club/221662951201367

Selasa, 28 Jun 2011

Taiwan tidak gentar beraksi depan penyokong tuan rumah

29 Jun 2011

BANGI, (D5) - Tiba di Malaysia sejak Sabtu lalu, Taiwan memulakan proses menyesuaikan diri di Ibu Kota sempena menghadapi perlawanan pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia Zon Asia 2014.

Mereka sudah mampu membiasakan diri dengan cuaca lebih panas di Malaysia dan bersedia untuk mencatat sejarah mereka sendiri. 

Kehadiran pemain kelahiran Sepanyol, Victor Chou Hsieh belum cukup mampu melegakan pengendali itu buat memperkukuhkan benteng mereka, namun jurulatih pasukan 

itu, Lo Chih-tsung enggan meletakkan beban terlalu berat buat pemain itu. 

Victor, 19, kini mewakili Kelab Divisyen Dua Sepanyol, U.D. Salamanca dan mula mengetuk pintu skuad kebangsaan sekitar Mac lalu dan sempat dipelawa 

melihat pasukan itu beraksi kerana permohonannya untuk mewakili Taiwan masih belum mendapat lampu hijau.

Menurut Chih-tsung, "Victor masih muda dan fizikalnya dalam keadaan baik. Tetapi dia tidak akan menjadi tonggak utama kami ketika ini."

Namun hasil tinjuan Victor dilihat sudah sedia diturunkan kerana serasi berlatih bersama-sama rakan sepasukannya. 

Meskipun yakin dengan kemampuan pasukannya, pengendali berusia 55 tahun itu turut mendedahkan Taiwan tidak dapat membuat persiapan rapi ekoran kerana 

perlu memberi laluan kepada beberapa pemain menjalani peperiksaan akhir. 

Ini kerana, hampir separuh daripada 25 tonggak yang dibawanya kali ini merupakan pelajar kerana kebarangkalian dipengaruhi liga bola sepak Taiwan yang 

belum berlangsung secara amatur mungkin disebabkan bola sepak bukan sukan utama berbanding bola keranjang dan bola lisut. 

Tambah Chih-tsung, dia mahu para pemainnya beraksi di depan penyokong yang ramai kerana peluang ini jarang diperolehi dan berharap mereka lebih bersemangat kerana merasai bahang suasananya nanti. 

Bagaimanapun, sebelum menjejaki kaki ke Kuala Lumpur, Taiwan tetap membuat persiapan gigih dengan menjalani kem latihan selama dua minggu di Korea 

Selatan dengan mengaturkan beberapa perlawanan persahabatan dengan kelab tempatan dan terakhir mengadakan perlawanan ujian dengan menurunkan 

kesebelasan terbaik ketika bertemu pasukan simpanan Guangzhou FC yang menyaksikan mereka tewas 4-2. 

Sama ada cuba berselindung, Chih-tsung menjelaskan beliau sempat menilai kekuatan Harimau Malaya berdasarkan perlawanan terakhir Piala Suzuki AFF dengan menganggap Norshahrul Idlan Talaha dan Safee Sali sebagai gandingan bahaya. 

"Pemain nombor 10 (Safee) memiliki rembatan kencang," katanya. 

Mac lalu, Taiwan sempat berkampung di Malaysia beraksi dalam Piala Cabaran AFC di mana perlawanan telah berlangsung di Stadium MBPJ. 

'Semangat pemain ke-12 tiup kemenangan'

29 Jun 2011

‘PEMAIN ke-12’ semasa perlawanan skuad Harimau Malaya menentang Taiwan dalam pusingan pertama, kelayakan Piala Dunia 2014 akan menjadi pendorong utama kejayaan skuad kebangsaan, malam ini. 

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata pemain dimaksudkan adalah penyokong tempatan yang sangat diperlukan bagi menaikkan semangat skuad kebangsaan.
“Kita berharap peminat bola sepak tempatan dapat memenuhi ruang stadium esok (malam ini) untuk sama-sama memberi laungan dan kata-kata semangat buat pemain kita.
“Saya yakin, antara kekuatan yang menjadi sumber inspirasi pemain kita nanti adalah apabila mereka mendapat sorakan daripada penyokong sendiri dan itu pasti ditagih semua pemain,” katanya. 

Ahmad Shabery berkata, mengikut pemerhatiannya pemain negara dilihat kurang menjaringkan gol apabila bermain di tempat lawan terutama dalam perlawanan persahabatan sebelum ini menentang Vietnam dan Pakistan. 

“Di situ saja kita dapat simpulkan bahawa mereka memerlukan sokongan peminat tempatan,” katanya. 

Harimau ghairah

29 Jun 2011


KETUA pasukan bola sepak Malaysia, Syafiq Rahim (kiri) bersalaman dengan ketua pasukan bola sepak Taiwan, Chen Yu Lin pada sidang akhbar perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia 2014 di Wisma FAM, Kuala Lumpur, semalam. - Foto Osman Adnan
KETUA pasukan bola sepak Malaysia, Syafiq Rahim (kiri) bersalaman dengan ketua pasukan bola sepak Taiwan, Chen Yu Lin pada sidang akhbar perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia 2014 di Wisma FAM, Kuala Lumpur, semalam. - Foto Osman Adnan
Kami sudah sedia kekang Taiwan: Safiq

"KAMI sudah bersedia dari segi mental dan fizikal!"
Itu keyakinan dilaungkan kapten skuad kebangsaan, Safiq Rahim menjelang pertemuan getir menentang Taiwan dalam pusingan pertama, kelayakan Piala Dunia 2014 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.
“Selama tujuh bulan lalu kami sekadar beraksi dalam perlawanan persahabatan dan ini peluang terbaik membuktikan kemampuan kami selepas kali terakhir menjulang Piala AFF Suzuki Disember, tahun lalu,” kata tonggak skuad Harimau Malaya itu.

“Sasaran kami adalah untuk pergi sejauh mungkin dalam pusingan kelayakan ini dan mengekal rekod tanpa kalah sepanjang tahun ini. Memang kami tidak sabar untuk beraksi dalam perlawanan sebenar pertama selepas kejohanan peringkat Asia Tenggara tahun lalu.”

Ketua pasukan Taiwan, Chen Yu Lian pula mengharapkan perlawanan nanti menjadi yang terbaik untuk mereka selepas gigih berlatih sekian lama.

“Misi kami ke Kuala Lumpur adalah untuk membawa pulang tiga mata sebelum membuat penentuan di laman sendiri Ahad ini,” kata bek kiri pasukan. 
Safiq juga berharap beberapa pemain skuad Olimpik yang turut mengisi skuad senior untuk pusingan kelayakan ini dapat mengulangi persembahan cemerlang seperti ketika menewaskan Lubnan 23 Jun lalu.

“Saya dan rakan sepasukan berjanji akan memberikan persembahan terbaik untuk terus meletak negara di landasan kemenangan,” kata Safiq. 

“Semangat kami cukup tinggi terutama apabila beraksi di depan penyokong sendiri.

“Kemenangan esok (malam ini) pasti memberi nafas baru baru buat bola sepak negara, terutama selepas skuad Olimpik turut cemerlang melakar kejayaan ke peringkat kelayakan terakhir.

“Kami akan cuba mencari bekal selesa sebelum bertandang ke Taiwan untuk perlawanan kedua Ahad ini.” 

Usah guna laser

29 Jun 2011


“JANGAN buat kecoh! Kami akan mengambil tindakan terhadap mereka yang tak bertanggung jawab mahu mengganggu perlawanan dengan menggunakan laser,” tegas Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin.
Beliau yang dihubungi Arena Metro berkata, pihak FAM tidak mahu perkara itu berulang pada perlawanan pusingan pertama kelayakan Piala Dunia 2014 membabitkan skuad kebangsaan menentang Taiwan di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Menurutnya, ini bagi mengelakkan sebarang kemungkinan tindakan dikenakan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang mungkin boleh mempengaruhi keputusan perlawanan itu.
“Laser memang tidak dibenarkan dibawa masuk ke stadium, jadi pihak polis akan memantau mana-mana individu yang melakukan perbuatan ini dalam perlawanan esok (hari ini). Selain itu penonton yang ada ternampak mereka menggunakan laser ini boleh memberitahu pihak berkuasa dengan segera.

“Masalah pancaran laser ini yang digunakan untuk mengganggu tumpuan pemain boleh memberi gambaran buruk terhadap Malaysia kerana ia sudah berlaku dua, tiga kali sebelum ini.

“Kalau perkara ini terjadi, kita takut AFC mungkin boleh mengenakan tindakan, bukan saja terhadap FAM, malah menilai semula keputusan perlawanan berkenaan, jadi saya berharap penyokong Malaysia supaya lebih berdisiplin,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM.
FAM jelas tidak mahu berkompromi dengan masalah pancaran laser yang semakin menjadi-jadi bukan saja dalam kancah bola sepak tempatan malah turut membabitkan perlawanan antarabangsa pasukan negara.

Kes baru terjadi ketika aksi kedua kelayakan Olimpik 2012 London membabitkan Malaysia menentang Lubnan, Khamis lalu apabila perlawanan dihentikan seketika pada babak pertama oleh pengadil Jepun, Toma Maasaki apabila beliau mengesan pancaran laser dari tempat penonton ke arah penjaga gol, Mohamad Dakramanji.
Mujurlah perlawanan itu dapat diteruskan selepas arahan dikeluarkan kepada penonton supaya menghentikan pancaran laser.

Isu penggunaan laser ini mula mendapat perhatian ketika saingan Piala Suzuki AFF, Disember lalu apabila Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) mendakwa penyokong Malaysia menggunakan laser sewaktu mereka tewas 3-0 pada perlawanan akhir pertama.

‘Kami tak sabar beraksi’

29 Jun 2011


LEDAKAN tiga gol pada perlawanan pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini perlu direalisasikan Harimau Malaya sekiranya mahu mematahkan semangat melawan Taiwan pada perlawanan timbal balik di laman lawan, Ahad ini.
Harapan itu disuarakan kapten negara, Mohd Safiq Rahim yang menaruh keyakinan tinggi kepada rakan sepasukannya untuk melepasi pusingan pertama kelayakan Piala Dunia 2014 itu.

“Kalau boleh biarlah keputusan seperti menentang Indonesia (perlawanan pertama Malaysia menang 3-0). Namun sekiranya kurang daripada itu, ia tidak akan menjejaskan kami. Apa yang penting kami mencapai kemenangan di laman sendiri,” katanya ketika ditemui pada sidang media semalam.
Pandangan perancang tengah berusia 24 tahun itu adalah berdasarkan pengalaman dilalui Harimau Malaya pada aksi separuh akhir dan akhir Piala AFF penghujung tahun lalu apabila mereka menang dengan keputusan selesa pada kedua-dua perlawanan pertama di Stadium Nasional sebelum beraksi dengan lebih tenang dan bertahan untuk menyingkirkan lawan pada perlawanan timbal balik.

Ketika itu Malaysia menewaskan Vietnam dengan keputusan 2-0 di separuh akhir sebelum menewaskan Indonesia 3-0.

Tambahnya rekod tanpa kalah dalam aksi persahabatan sejak menjuarai kejohanan itu juga membakar semangat mereka untuk terus memberikan aksi terbaik selain kejayaan skuad Olimpik negara yang layak ke saingan peringkat kumpulan benua Asia baru-baru ini.
“Kami sebenarnya sudah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk perlawanan malam esok (malam ini). Kami sebenarnya sudah tidak sabar untuk turun beraksi,” katanya.

Mengenai skuad lawan, Mohd Safiq berkata setiap pasukan mempunyai kelemahan dan kekuatan masing-masing jadi mereka akan cuba sedaya upaya untuk memberikan aksi terbaik bagi mengatasi Taiwan.

Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu adalah pada tahun 2000 dalam pusingan kelayakan Piala Asia dengan Malaysia mencatatkan kemenangan 3-2.

Hambat kemenangan

29 Jun 2011



K. RajagoBal (tiga dari kiri) sempat menguji kebolehan anak-anak buahnya pada sesi latihan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam. Malaysia akan menentang Taiwan pada perlawanan kelayakan Piala Dunia 2014, malam ini. - UTUSAN/ismail kamadin.


PETALING JAYA - Kurang tempoh 24 jam perlawanan pusingan pertama kelayakan Piala Dunia 2014 bertemu Taiwan, Datuk K. Rajagobal terus berteka-teki mengenai kesebelasan utama yang akan diturunkan di Stadium Nasiona,l Bukit Jalil, malam ini.

Tanpa mahu mendedahkan tahap kecederaan pemain-pemain utamanya seperti Khairul Fahmi Che Mat, Norshahrul Idlan Talaha dan Abdul Hadi Yahya, beliau berkata, mungkin akan terdapat kejutan dalam senarai kesebelasan utama yang akan diturunkan pada malam ini.

''Saya masih menunggu sehingga saat akhir perkembangan beberapa pemain utama yang mengalami kecederaan dengan mengambil kira pandangan nasihat dan pandangan pegawai fisioterapi.

''Seperti Khairul Fahmi, saya mungkin akan membuat keputusan selepas sesi latihan terakhir. Mungkin dia boleh bermain atau mungkin tidak. Seandainya dia tidak dapat diturunkan, mungkin perlawanan di Taiwan kelak, khidmatnya dapat digunakan.

''Saya tidak boleh menurunkan pemain yang baru pulih daripada kecederaan begitu sahaja, hanya pemain yang benar cergas sahaja saya akan turunkan pada perlawanan esok (hari ini).

''Anda semua boleh membuat analisis sendiri pemain mana yang akan diturunkan tetapi mungkin saya akan membuat kejutan dalam kesebelasan utama pada hari esok dengan mengambil kira semua faktor," katanya di Wisma FAM, semalam.

Bercakap selepas sidang media mesyuarat pengurus pasukan Malaysia dan Taiwan menjelang perlawanan malam ini, Rajagobal menegaskan, sasaran utama beliau adalah mendapat sebarang kemenangan tanpa terlalu mahu memikirkan soal mendapatkan bekalan selesa.

Pada sidang media berkenaan, delegasi Taiwan diwakili jurulatih, Lo Chih-Tsung dan kapten, Chen Yu-Lin sementara Harimau Malaya diwakili kapten pasukan, Safiq Rahim.

''Perkara pertama yang saya mahukan selepas pemain turun ke padang ialah bermain dengan baik dan cuba mendapatkan kemenangan walaupun ia sekadar 1-0.

''Soal mendapatkan bekalan selesa atau tidak itu perkara lain, bermain di gelanggang sendiri tidak semestinya boleh memberikan kemenangan besar.

''Saya tidak boleh ramalkan keputusan yang kita boleh menang, namun apa yang saya boleh harapkan pemain mengambil kesempatan di atas segala peluang yang terhidang tetapi sebagai jurulatih, saya cukup optimis dan rasa teruja mengenai peluang negara dalam pusingan kelayakan kali ini," ujarnya.

Menyentuh Taiwan yang akan ditemuinya, Rajagobal mengakui dia sama sekali tidak akan memandang mudah cabaran lawan sambil melihatkan ancaman pasti akan datang di bahagian sayap.

''Dua pemain sayap mereka iaitu yang memakai jersi nombor 9 dan 10, cukup bagus di samping mempunyai penyerang yang cukup rajin. Begitu juga pertahanan mereka yang agak kuat," tegas Rajagobal.

Bukan mustahil layak ke Brazil

29 Jun 2011



SKUAD kebangsaan menjalani latihan sebagai persiapan terakhir menghadapi Taiwan di Stadium Nasional, Bukit Jalil petang semalam.


IMPIAN Malaysia untuk layak ke pusingan akhir Piala Dunia 2014 di Brazil bukan sesuatu yang mustahil.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheekberkata, impian itu hanya boleh menjadi kenyataan sekiranya skuad kebangsaan di bawah bimbingan Datuk K. Rajagobal mampu beraksi dengan baik mulai perlawanan pertama.
Jelasnya, keyakinan rakyat Malaysia terhadap kemampuan skuad Harimau Malaya perlu dijadikan sebagai pembakar semangat untuk mencari kemenangan sulung pada perlawanan pertama Kelayakan Piala Dunia bagi Zon Asia.
Malam ini, anak-anak buah Rajagobal akan mengharungi ujian sulung apabila menentang Taiwan di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
"Isyarat sokongan padu rakyat Malaysia jelas kelihatan apabila remaja hari ini menjadikan jersi skuad kebangsaan sebagai tren pakaian harian mereka.
"Mereka juga sanggup memenuhi stadium bagi memberi sokongan kepada skuad Olimpik negara yang berjaya melangkah ke pusingan akhir Zon Asia.
"Skuad senior kebangsaan perlu menjadikan kejayaan skuad Olimpik negara mengatasi Lebanon pada pusingan kedua Kelayakan Olimpik 2012 baru-baru ini sebagai pendorong untuk mencipta kejayaan yang sama," jelas Shabery semalam.
Shabery berkata, skuad kebangsaan memiliki reputasi tinggi selaku juara Asia Tenggara setelah menjulang trofi Piala Suzuki AFF 2010.
Menurutnya lagi, mereka mempunyai kelebihan berbanding Taiwan kerana bermain di tempat sendiri dan peluang tersebut perlu digunakan sebaik mungkin.
"Saya meramalkan bahawa skuad Harimau Malaya mampu mengatasi Taiwan 3-0 pada perlawanan pertama esok (hari ini)," katanya.
Beliau turut meminta rakyat Malaysia membanjiri stadium malam ini bagi memberi semangat kepada anak-anak buah Rajagobal.
"Saya ingin menyeru kepada semua rakyat Malaysia untuk memberi sokongan dengan datang ke stadium kerana kita tahu dalam bola sepak ada 12 orang pemain. Seramai 11 pemain berada di atas padang, manakala satu lagi penyokong.
"Mari kita tunjuk sokongan beramai-ramai kerana kehadiran penyokong membuahkan hasil dengan kemenangan Malaysia sewaktu menentang Indonesia, Vietnam dan Lebanon sebelum ini," katanya.

Safee, Norshahrul Mahu Gempur Taiwan, Rajagobal Ada 5 Pilihan Striker

28 Jun 2011


Penyerang berbisa tanah air, Safee Sali dan penyerang prolific Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha berazam memastikan kunjungan Taiwan ke Kuala Lumpur untuk mengharungi Pusingan Kelayakan Piala Dunia malam ini, berakhir dengan mimpi ngeri, apabila masing-masing tekad menjaringkan gol seterusnya membantu Malaysia membawa bekalan selesa menjelang aksi timbal balik, 3 Julai depan.

Safee, penyerang Pelita Jaya, yakin dapat meneruskan aksi cemerlangnya di pentas antarabangsa, meskipun tidak menjaringkan gol sejak meledak 5 gol yang membantunya muncul penjaring terbanyak Piala AFF Suzuki 2010, dan dia percaya dapat menemui semula sentuhan jaringannya bermula dengan perlawanan menentang Taiwan.

Safee, selepas latihan
Bukan mahu merendahkan kemampuan barisan serba ‘misteri’ Taiwan yang tidak begitu diketahui kekuatan dan kelemahan mereka, tetapi Safee yakin jika Malaysia mempraktikkan corak permainan menyerang dan menterjemahkan setiap peluang kepada gol, maka kemenangan mutlak adalah milik Harimau Malaya.

“ya, memang azam saya menjaringkan gol. Dan saya yakin boleh skor esok, sebagai penyerang saya perlu laksanakan tanggungjawab menjaringkan gol, itu tugas saya. Seperti kata coach, kita kena manfaatkan setiap peluang, kita tak boleh miss chances, kita akan turun dengan misi gempur habis-habisan, dan menjaringkan seberapa banyak gol dan gol awal adalah penting.”. – Safee Sali.

Manakala Norshahrul pula, pulih tepat pada waktunya selepas tersisih hampir 2 minggu gara-gara kecederaan dialami ketika perlawanan Liga Super menentang Perak, justeru menghadirkan ceria di kalangan penyokong setia Harimau Malaya yang mengagumi bukan sahaja kemahiran mengeleceknya, tetapi juga sentuhan penyudahnya yang cukup berkesan.

“saya tak sure main ke tak, tapi yang pasti saya dah boleh main, memang saya tak push sangat time training, tapi tengoklah, diberi peluang, azam saya satu jer, skor gol dan menang..”, komen ringkas Norshahrul.

Norshahrul merupakan penjaring terbanyak Liga Super dengan 17 gol, dan kehadirannya menambahkan pilihan barisan depan yang ada buat Rajagobal. Selain Safee dan Norshahrul, barisan serangan turut diperkuatkan dua lagi penyerang yang pulih dari kecederaan, Abdul Hadi Yahya dan Ahmad Fakri Saarani selain WINGER COMES FORWARD, Ashaari Shamsudin.

Dengan Rajagobal mahu anak buahnya mencari kelebihan selesa sebelum bertandang ke tempat lawan, gambaran awal yang dapat dilihat, Safee akan bertindak sebagai TARGET MAN, dengan dibantu seorang daripada 4 nama yang disebut tadi, manakala seperti biasa posisi FLANKER yang lazimnya diisi Amirulhadi Zainal, Baddrol Bakhtiar, S.Kunanlan dan Ashaari - dijangka menjadi ‘ASSET’ merencana serangan.

“Kita memang ada pilihan penyerang yang ramai, tapi saya tak kisah apa posisi dia, saya juga main bersama player (sessi latihan), sebab saya nak tengok sendiri kesungguhan dan pemain yang saya bayangkan dalam kesebelasan utama. Saya sudah ada bayangan, dan saya yakin dengan pemain yang akan main esok. kita kena main dengan baik, tiap2 kali kita serang, saya nak pemain guna peluang terhidang, membuat serangan, jaringkan gol secepat mungkin tapi jangan sebab nak skor, lupa disiplin corak permainan, jangan hilang fokus, kalau kita dapat gol awal keyakinan akan bertambah..”. – Datuk K.Rajagobal.

Isnin, 27 Jun 2011

Jangan terlalu yakin

28 Jun 2011


PETALING JAYA - Pemain negara diingatkan jangan bersikap terlalu yakin mereka boleh mencatat kemenangan mudah ke atas Taiwan di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.

Ingatan itu dinyatakan oleh Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin yang berharap skuad Harimau Malaya agar jangan terlalu leka dibuai kejayaan silam.

''Walaupun Taiwan mempunyai ranking lebih rendah berbanding Malaysia dan rekod pertemuan banyak menyebelahi kita, itu bukan satu jaminan yang kita boleh menang dengan mudah.

''Buat pemain, jangan begitu yakin dan memandang rendah akan kemampuan lawan sebaliknya fokus sepenuhnya dalam usaha mencatat kemenangan ke atas Taiwan," katanya yang dihubungi, semalam.

Tambah Hamidin, kejayaan menakluki Piala Suzuki AFF dan mengekalkan rekod tanpa kalah sepanjang tahun 2011 harus dilupakan seketika.

''Lupakan seketika kejayaan lepas, kita ada misi yang lebih besar dalam pusingan kelayakan Piala Dunia. Saya amat harap skuad Harimau Malaya mampu melepasi pusingan pertama dan melakukan perhitungan dengan Singapura pada peringkat seterusnya," ujarnya.

Norshahrul, Hadi sudah kembali

28 Jun 2011



BARISAN pemain negara giat menjalani latihan di padang Wisma FAM, Kelana Jaya semalam menjelang aksi Kelayakan Piala Dunia 2014 menentang Taiwan malam esok.


NAMA Norshahrul Idlan Talaha dan Abdul Hadi Yahaya berada dalam senarai terakhir 23 pemain untuk aksi Kelayakan Piala Dunia 2014 menentang Taiwan malam esok seperti diumum jurulatih kebangsaan, Datuk K. Rajagobal semalam.
Tujuh pelatih digugurkan iaitu Syed Adney Syed Hussein, K. Sasikumar (penjaga gol), Azmi Muslim, Rizal Fahmi Rosid, Hisyamudin Shaari (pertahanan), Yong Kuong Yong (sayap) dan Shahrizal Saad (penyerang).
"Pemain yang digugurkan ini mengalami kecederaan atau baru pulih daripada kecederaan seperti Adney, Azmi dan Shahrizal.
"Manakala bagi Rizal dan Hisyamudin, saya mempunyai ramai pilihan di posisi pertahanan tengah," kata Rajagobal ketika ditemui pada sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya petang semalam.
Dengan penyenaraian Norshahrul dan Hadi yang telah menjalani latihan penuh semalam, Rajagobal mempunyai pilihan besar di posisi penyerang selain Safee Sali, Baddrol Bakhtiar dan Ahmad Fakri Saarani.
Empat pilihan untuk mengemudi jentera tengah ialah Safiq Rahim, Amar Rohidan, Shakir Shaari dan K. Gurusamy manakala bahagian sayap digerakkan Amirulhadi Zainal, S. Kunanlan, Ashari Samsudin dan S. Chanthuru.
Posisi pertahanan tengah pasti memeningkan Rajagobal dengan empat pemain mampu menggalas tugas tersebut iaitu Aidil Zafuan Radzak, Muslim Ahmad, Fadhli Shas dan Farisham Ismail.
Posisi pertahanan kanan bakal diisi Helmi Remeli, pertahanan kiri Asraruddin Putra Omar manakala Mahali Jasuli bersedia beraksi di kedua-dua posisi tersebut andai diperlukan.
"Kecederaan Azmi menyebabkan hanya Asraruddin di posisi pertahanan kiri, tetapi kita masih memiliki dua pemain yang boleh beraksi di posisi tersebut iaitu Mahali dan Fadhli.
"Saya tak kata barisan 23 pemain ini yang terbaik, tetapi inilah pemain yang kita miliki untuk menghadapi Taiwan," jelas Rajagobal.
Bagi posisi penjaga gol, Rajagobal menyenaraikan Khairul Fahmi Che Mat, Sharbinee Allawee Ramli dan Nasril Nourdin.
Ditanya tentang pasukan lawan, Rajagobal berkata, dia telah menunjukkan video corak permainan Taiwan ketika Kelayakan Piala Cabaran AFC 2012 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya, Mac lalu kepada anak-anak buahnya.
"Tapi kita tak boleh anggap ia pasukan Taiwan yang sama kerana mungkin kali ini mereka menyenaraikan beberapa pemain baharu yang lebih baik.
"Jadi di sini saya pentingkan persiapan pasukan sendiri dan pada masa sama menghormati juga lawan biarpun ranking mereka lebih rendah," tegas Rajagobal.
Pada Kelayakan Piala Cabaran AFC itu, Taiwan tewas ketiga-tiga perlawanan kepada India (0-3), Turkmenistan (0-2) dan Pakistan (0-2).

Norshahrul, Hadi sudah kembali

28 Jun 2011



BARISAN pemain negara giat menjalani latihan di padang 
Wisma FAM, Kelana Jaya semalam menjelang aksi 
Kelayakan Piala Dunia 2014 menentang Taiwan malam esok.


NAMA Norshahrul Idlan Talaha dan Abdul Hadi Yahaya berada dalam senarai terakhir 23 pemain untuk aksi Kelayakan Piala Dunia 2014 menentang Taiwan malam esok seperti diumum jurulatih kebangsaan, Datuk K. Rajagobal semalam.
Tujuh pelatih digugurkan iaitu Syed Adney Syed Hussein, K. Sasikumar (penjaga gol), Azmi Muslim, Rizal Fahmi Rosid, Hisyamudin Shaari (pertahanan), Yong Kuong Yong (sayap) dan Shahrizal Saad (penyerang).
"Pemain yang digugurkan ini mengalami kecederaan atau baru pulih daripada kecederaan seperti Adney, Azmi dan Shahrizal.
"Manakala bagi Rizal dan Hisyamudin, saya mempunyai ramai pilihan di posisi pertahanan tengah," kata Rajagobal ketika ditemui pada sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya petang semalam.
Dengan penyenaraian Norshahrul dan Hadi yang telah menjalani latihan penuh semalam, Rajagobal mempunyai pilihan besar di posisi penyerang selain Safee Sali, Baddrol Bakhtiar dan Ahmad Fakri Saarani.
Empat pilihan untuk mengemudi jentera tengah ialah Safiq Rahim, Amar Rohidan, Shakir Shaari dan K. Gurusamy manakala bahagian sayap digerakkan Amirulhadi Zainal, S. Kunanlan, Ashari Samsudin dan S. Chanthuru.
Posisi pertahanan tengah pasti memeningkan Rajagobal dengan empat pemain mampu menggalas tugas tersebut iaitu Aidil Zafuan Radzak, Muslim Ahmad, Fadhli Shas dan Farisham Ismail.
Posisi pertahanan kanan bakal diisi Helmi Remeli, pertahanan kiri Asraruddin Putra Omar manakala Mahali Jasuli bersedia beraksi di kedua-dua posisi tersebut andai diperlukan.
"Kecederaan Azmi menyebabkan hanya Asraruddin di posisi pertahanan kiri, tetapi kita masih memiliki dua pemain yang boleh beraksi di posisi tersebut iaitu Mahali dan Fadhli.
"Saya tak kata barisan 23 pemain ini yang terbaik, tetapi inilah pemain yang kita miliki untuk menghadapi Taiwan," jelas Rajagobal.
Bagi posisi penjaga gol, Rajagobal menyenaraikan Khairul Fahmi Che Mat, Sharbinee Allawee Ramli dan Nasril Nourdin.
Ditanya tentang pasukan lawan, Rajagobal berkata, dia telah menunjukkan video corak permainan Taiwan ketika Kelayakan Piala Cabaran AFC 2012 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya, Mac lalu kepada anak-anak buahnya.
"Tapi kita tak boleh anggap ia pasukan Taiwan yang sama kerana mungkin kali ini mereka menyenaraikan beberapa pemain baharu yang lebih baik.
"Jadi di sini saya pentingkan persiapan pasukan sendiri dan pada masa sama menghormati juga lawan biarpun ranking mereka lebih rendah," tegas Rajagobal.
Pada Kelayakan Piala Cabaran AFC itu, Taiwan tewas ketiga-tiga perlawanan kepada India (0-3), Turkmenistan (0-2) dan Pakistan (0-2).
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...