Aidil Zafuan & Zaquan Adha

Keluarga Aidil Zafuan

Keluarga Zaquan Adha

LIKE jika suka :)

Memaparkan catatan dengan label myMetro. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label myMetro. Papar semua catatan

Jumaat, 31 Oktober 2014

Jersi baru suntik ‘mood’ Harimau

11 November 2014

Kuala Lumpur: Berbaki 23 hari sebelum bermulanya misi merampas kembali Piala AFF daripada Singapura penghujung bulan ini, menyaksikan barisan kendalian Dollah Salleh akan memakai jersi baru dalam kejohanan bola sepak serantau itu.
Ia seharusnya menyuntik 'mood' baru dalam jiwa setiap pemain ketika mengibar cabaran negara apabila syarikat jenama sukan terkenal dunia, Nike menampilkan jersi berwajah baharu dengan corak berjalur kuning-hitam yang mengambil inspirasi jersi skuad kebangsaan 1958.
Menurut Pengurus Pemasaran Nike Malaysia Robin Kok, jersi baru itu dicipta khas bagi menghadapi kejohanan Piala AFF yang akan berlangsung di Singapura di samping memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi buat meniupkan semangat pemain negara.
"Kami sentiasa berada di belakang pasukan negara dan untuk menghangatkan bahang kejohanan itu, Nike mengeluarkan reka bentuk baharu menggambarkan intipati semangat baharu pasukan ini serta sokongan daripada para peminat di seluruh negara.
"Menerusi inovasi serta teknologi terkini yang diterapkan dalam penciptaan reka bentuk jersi ini, ia memberi keselesaan maksimum kepada pemain ketika beraksi di atas padang," katanya ketika ditemui pada Pelancaran Jersi Baru Harimau Malaya di Pavilion, semalam.
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 November 2014 @ 5:05 AM
ROBIN (kanan) dan Pakar Produk Nike Malaysia Gari Arwin mempamerkan jersi baru.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/5702#sthash.Ye6fCDb7.dpuf

FAM tolak rayuan PBNJ

1 November 2014

Kuala Lumpur: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), menolak rayuan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) untuk menurunkan Aidil Zafuan Abd Radzak menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia 2014 Johor Darul Ta'zim (Johot DT) menentang Pahang di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini.
Menurut Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin keputusan dibuat selepas melihat tayangan video ketika pertahanan Johor DT itu dilayangkan kad kuning pada separuh akhir kedua menentang Felda United, Sabtu lepas.
"Ia jelas Aidil melakukan kekasaran yang menyebabkan dia dilayangkan kad kuning seterusnya digantung perlawanan kerana sudah mengumpul kad kuning sebelum ini," kata Hamidin.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Oktober 2014 @ 4:33 PM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/5011#sthash.7wUUSreD.dpuf

Rabu, 10 September 2014

Skuad B-23 negara tumbang di Qingdao

11 September 2014

Kuala Lumpur: Hasrat skuad bawah 23 tahun negara (B-23) untuk mendapat tonik terbaik sebelum beraksi di Sukan Asia Incheon Ahad ini tidak kesampaian apabila tumpas 0-2 pada aksi persahabatan menentang skuad B-23 China di Qingdao, semalam.
Anak buah Datuk Ong Kim Swee itu beraksi baik pada babak pertama apabila mengikat kedudukan 0-0, namun insiden layangan kad merah kepada penyerang Ahmad Hazwan Bakri pada awal separuh masa kedua memberi tekanan kepada mereka hingga dibolosi dua gol.

Ia kekalahan kedua dialami skuad muda negara selepas tumpas 0-1 kepada Yaman di Shah Alam, Sabtu lalu namun bagi Kim Swee, beliau tetap melihat daripada aspek positif dalam aksi pemanas badan terakhir sebelum berlepas ke Incheon esok.

“Memang kita harap dapat mengakhiri persiapan dengan kemenangan, tapi dua kekalahan ini memberi banyak pengajaran kepada pemain supaya mereka sedar apa yang perlu dilakukan pada kejohanan sebenar.
Foto
FADHLI (kanan) galas tugas sebagai kapten.

“Jika dibandingkan ketika menentang Yaman, pasukan ini beraksi lebih baik cuma kita dibolosi selepas kehilangan seorang pemain. Pemain sudah mula faham dengan konsep permainan yang saya mahukan tidak kira dari segi bertahan mahupun menyerang,” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Pada perlawanan itu, Kim Swee menggandingkan Ahmad Hazwan Bakri bersama Ferris Danial Mat Nasir di bahagian serangan dan menurunkan pemain lebih usia Mohd Nor Farhan Muhammad di posisi sayap kanan.

Kombinasi Brendan Gan dan Muhammad Nazmi Faiz Mansor juga menjadi di bahagian tengah manakala ketiadaan kapten Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak tidak dirasai pada babak pertama apabila pemain pertahanan Mohd Fadhli Shas, Mohammad Amer Saidin, Zubir Azmi dan Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham berjaya mengekang asakan tuan rumah.

Bagaimanapun aksi skuad B-23 negara terjejas pada separuh masa kedua apabila penyerang Selangor, Ahmad Hazwan diarah keluar padang apabila memijak pemain China sebagai tindak balas selepas dia dikasari.

“Kami bermain dengan sangat baik pada babak pertama dengan bertahan serta melakukan beberapa percubaan bahaya hingga China hanya mampu melakukan satu percubaan. 

“Namun pasukan tuan rumah mengambil kesempatan selepas Ahmad Hazwan dikenakan kad merah dengan menjaringkan dua gol,” kata Kim Swee.

Skuad B-23 akan berlepas ke Incheon esok bagi mengharungi perlawanan pertama dengan tuan rumah Korea Selatan sebelum menentang Laos dan Arab Saudi bagi kempen Kumpulan A.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/11

Tuntutan Rita Rudaini ‘demi masa depan anak’

10 Sepember 2014

KUALA LUMPUR: “Saya bukannya mata duitan ataupun materialistik sebaliknya apa yang saya perjuangkan ini adalah untuk menuntut hak demi masa depan anak-anak.
“Jumlah tuntutan mutaah dan nafkah tertunggak mencecah setengah juta ringgit ini difailkan selepas saya berbincang lanjut dengan peguam.

“Bagaimanapun, jumlah itu tidak termasuk dengan tuntutan nafkah anak sebanyak RM5,392 sebulan dan untuk nafkah edah yang masih dalam perbincangan dengan peguam lagi,” kata pelakon terkenal Rita Rudaini Mokhtar, 38.

Rita berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tuntutan mutaah sebanyak RM300,000 dan nafkah tertunggak RM150,000 hingga menjadikan jumlah keseluruhan mencecah setengah juta ringgit terhadap bekas suaminya Mohamad Aidil Zafuan Abd Razak.
Foto
RITA Rudaini ketika hadir di perbicaraan kes permohonan tuntutan nafkah Mahkamah Subang Bestari, bulan lalu. FOTO Zulfadhli Zulkifli

Dalam laporan sebelum ini, pelakon itu memfailkan tuntutan mutaah di Mahkamah Tinggi Syariah dan sebutan semula kesnya akan berlangsung pada 11 September nanti. Manakala, tuntutan nafkah tertunggak pula sudah difailkannya pada Mac lalu.

Rita ditemui di majlis pelancaran kempen dan lagu salute Malaysia yang disempurnakan Datuk Lee Chong Wei di Universiti Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Berita selanjutnya dalam akhbar Harian Metro esok
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/03
DISYORKAN

Rita Rudaini tuntut mutaah RM300,000

10 Sepember 2014

Shah Alam: Pelakon terkenal Rita Rudaini memfailkan tuntutan mutaah sebanyak RM300,000 terhadap bekas suaminya Mohamad Aidil Zafuan Abd Razak di Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, hari ini.
Tuntutan itu dibacakan di hadapan Pendaftar Mahkamah Atrasina Mohd Zahrulail yang kemudiannya menetapkan 11 September ini untuk sebutan semula.
Rita Rudaini Mokhtar, 38, hadir bersama peguam syarie Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain manakala Mohamad Aidil mahu pun peguamnya tidak hadir ke mahkamah untuk mendengar prosiding itu.

Tuntutan mutaah iaitu pemberian saguhati daripada suami kepada isteri yang diceraikan tanpa sebab yang munasabah berdasarkan syarak.

Rita sahkan bercerai talak satu dengan Mohamad Aidil Zafuan Abdul Razak pada 5 September tahun lalu di Mahkamah Rendah Syariah Seremban dikurniakan dua anak lelaki Airit Rayyan Rizqin, 5, dan Airit Qaqa Arjuna, 3.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/25

Selasa, 5 Ogos 2014

Dollah mahu menang

05 Ogos 2014

Kelana Jaya: “Bukan sekadar melengkapkan jadual persahabatan”.
Itu keazaman tinggi ketua jurulatih negara Dollah Salleh yang dilihat memburu permulaan positif dalam aksi persahabatan Harimau Malaya menentang Tajikistan, Jumaat ini.

“Apa yang boleh saya katakan, kita akan cuba yang terbaik dan tidak ke sana untuk melengkapkan jadual persahabatan kerana kami mempunyai matlamat tersendiri. Selepas perlawanan ini saya hanya dapat mengumpul pemain pada September (pemain akan terbabit dalam saingan Piala Malaysia). Kami tidak pergi ke sana sebagai belasahan,” katanya.

Aksi persahabatan berkenaan tugasan pertama Dollah sejak dilantik sebagai pengendali Harimau Malaya dan ia pastinya memberikan seribu makna kepada jurulatih berusia 51 tahun itu yang sudah mengecapi pelbagai kejayaan dalam kancah domestik.

Skuad negara yang berada di ranking ke-151 akan turun menentang lawan yang berada di kedudukan lebih baik, 124 dunia pada perlawanan di Stadium Central Rapublican, Dushanbe yang dilaporkan menggunakan padang rumput tiruan.

“Saya dimaklumkan kami akan bermain di atas padang rumput tiruan, jadi ia sedikit-sebanyak bergantung kepada kesesuaian pemain. Selepas beberapa hari menjalani latihan (di padang rumput tiruan di Persatuan Bolasepak Malaysia dan Majlis Sukan Negara), kaki beberapa pemain melecet.
Foto
DOLLAH (kiri) bersama jurulatih dan pegawai serta pemain skuad negara berangkat ke KLIA, semalam.
“Jadi saya tidak menjalankan latihan terlalu lama bagi mengelakkan keadaan lebih teruk. Saya tidak mahu timbul sebarang masalah sebelum perlawanan,” katanya.

Mengulas mengenai undian Piala AFF 2014 yang berlangsung hari ini, Dollah bersedia untuk berada dalam mana-mana kumpulan sama di Singapura atau Vietnam pada kejohanan yang dijadualkan bermula penghujung November.
“Saya rasa semua pasukan di Asia Tenggara mempunyai tahap tidak jauh berbeza. Tiada pasukan yang saya mahu elak, bagi saya bukan satu masalah kerana keutamaan mempersiapkan pasukan sendiri terlebih dulu,” katanya.

Skuad kendalian Dollah seramai 23 pemain berlepas ke Tajikistan semalam berdepan tugas berat pada Piala AFF 2014 nanti apabila diletakkan sasaran untuk melangkah ke final selepas muncul juara buat kali pertama pada 2010.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/05


Aidil Zafuan kekal ketua pasukan Harimau Malaya

05 Ogos 2014

PETALING JAYA: Pemain pertahanan Aidil Zafuan Abdul Radzak kekal menerajui skuad Harimau Malaya sebagai ketua pasukan menjelang perlawanan persahabatan menentang Tajikistan pada Jumaat ini.
Jurulatih kebangsaan Dollah Salleh berkata, pemilihan Aidil Zafuan adalah berdasarkan pengalaman dan prestasi konsisten yang dipamerkan pemain Johor Darul Takzim (JDT) itu, di samping keserasian beliau dengan anggota pasukan lain. 

"Selepas perbincangan dengan penolong jurulatih dan beberapa yang lain, kita sebulat suara mengekalkan Aidil sebagai ketua pasukan dan Amri (Amri Yahyah) sebagai penolong ketua pasukan.

"Ia adalah berdasarkan pengalaman, karakter Aidil dalam padang yang boleh mengarahkan pemain dengan baik. Dari segi prestasi, saya agak selesa dengan cara Aidil bermain," katanya ketika ditemui di Wisma FAM di sini, hari ini.
Foto
AIDIL Zafuan (kanan) bersama Penolong Kapten Mohd Amri Yahyah. FOTO Osman Adnan

Aidil Zafuan, 27, mengambil alih tugas ketua pasukan daripada Safiq Rahim sepanjang tahun ini ketika skuad Harimau Malaya di bawah kendalian sementara Datuk Ong Kim Swee.

Skuad Harimau Malaya berlepas ke Dushanbe, Tajikistan hari ini untuk menentang skuad dari Asia Tengah itu pada Jumaat. 

Dalam pada itu, Dollah yang mengakui masih 'belum cukup puas' dengan tahap kecergasan pemain, berkata ia bukan alasan untuk pasukan kebangsaan tidak mencipta sesuatu pada perlawanan itu. 

"Saya tidak ada masalah untuk membentuk satu pasukan kerana mereka (pemain) semua dah berpengalaman cuma dari segi kecergasan sahaja masih belum cukup. 

"Yang pasti kita pergi ke sana tidak mahu sebagai team belasahan dan pastikan kita akan buat sesuatu," katanya. 

Walaupun masih belum mengenali pasukan lawan yang 'misteri' itu, beliau berkata pasukan yang berada di ranking ke-126 dunia itu dilihat sudah bersiap sedia untuk menentang Malaysia. 

Mengenai barisan pemain, Dollah berkata kesemua 23 pemain yang disenaraikan termasuk Ronny Harun yang baru menyertai kem latihan menggantikan Bunyamin Umar, boleh disenaraikan antara kesebelasan utama. 

"Cumanya, saya perlu pastikan kesebelasan pertama yang terbaik pada perlawanan itu nanti," katanya. 

Sementara itu, Aidil Zafuan berkata, beliau amat menghargai kepercayaan yang diberikan oleh Dolah untuk terus menerajui skuad Harimau Malaya. 

"Menjadi ketua pasukan adalah bonus dan ia satu tanggungjawab yang besar. Sebenarnya, saya lebih mengejar tempat dalam kesebelasan utama tapi saya hargai kepercayaan yang diberikan oleh jurulatih," katanya. 

Menurutnya apa yang penting ialah prestasi dan pencapaian pasukan pada perlawanan persahabatan kali ini untuk membaiki ranking di samping sebagai persediaan menghadapi Kejohanan AFF tidak lama lagi. - Bernama
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/04

Ahad, 15 Disember 2013

Kontroversi tak jejas promosi

16 Disember 2013



Peminat dunia seni tanah air tentunya sudah maklum mengenai filem terbaru Datuk Rosyam Nor berjudul Balistik yang turut menampilkan Adi Putra, Rita Rudaini dan artis keturunan Cina tempatan yang paling popular, Jack Lim.
Yang nyata, filem genre aksi drama terbitan syarikatnya RK Screen Sdn Bhd dan Datuk Kelvin Tan dengan kerjasama Asia Tropical Films Sdn Bhd (ATF) yang menelan belanja mencecah RM3 juta arahan Silver ini bakal berdepan ujian besar kerana akan disiarkan pada 9 Januari sekali gus membuka pentas industri perfileman tanah air pada 2014.
Menyelami perasaannya, pelakon dan penerbit berusia 46 tahun ini mengakui kos yang dikeluarkannya memang besar. Dek Kerana itulah dia mempertaruhkan Adi dan Rita bagi menarik perhatian peminat. Gandingan ini bukan asing lagi kerana Adi dan Rita pernah mencipta fenomena menerusi drama Sehangat Asmara. 

“Saya perlu ambil pelakon yang orang suka. Filem ini mempunyai naskhah menarik kerana gaya penceritaannya ada suspen, drama, aksi, sedih dan kekeluargaan. Justeru pemilihan mereka dilihat sesuai kerana masing-masing mempunyai penghayatan karakter yang baik.

“Peminat yang rindukan lakonan saya dan Rita juga perlu menonton filem ini bagi mengubat kerinduan. Mereka pasti akan puas hati melihat gandingan hebat saya bersama Adi dan Rita menerusi filem ini. Saya sendiri puas hati dengan filem garapan Silver ini,” katanya yang menulis skrip Balistik bersama Silver.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/16

Khamis, 5 September 2013

Aidil, Rita sah bercerai

05 September 2013

Seremban: Mahkamah Rendah Syariah di sini mensabitkan lafaz cerai luar mahkamah yang dibuat pemain bola sepak negara, Aidil Zafuan Abdul Radzak, 26, terhadap isterinya, pelakon, Rita Rudaini Mokhtar, 37.
Hakim, Hamizan Mohd Nor memutuskan demikian selepas berpuas hati dengan keterangan yang diberikan Rita dan Aidil semasa prosiding berlangsung.
Aidil dalam keterangannya mengaku menghantar satu SMS kepada Rita pada 4 Ogos lalu bahawa dia menceraikan isterinya itu dengan talak satu antara jam 4 hingga 5 petang.

Aidil turut mengaku SMS itu dihantar dalam keadaan waras dan sedar tanpa dipengaruhi oleh sesiapa.

Rita dalam keterangannya juga mengaku menerima SMS itu dan membalasnya dengan perkataan 'Alhamdulillah' berserta simbol senyum.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/09/05

Isnin, 8 Julai 2013

Rita: Tumpu karier, perniagaan

08 Julai 2013

Krisis rumah tangganya dengan pemain bola sepak kebangsaan, Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak, 26, masih berlanjutan hingga hari ini. Namun, pelakon jelita Rita Rudaini, reda berdepan dengan ujian serta ketentuan Allah SWT itu.
Bagi pemilik nama sebenar, Rita Rudaini Mokhtar, 37, ini, anak-anak yang menjadi sumber kekuatannya untuk menempuhi cabaran hari mendatang. Biarlah dia bekerja keras siang dan malam di lokasi penggambaran, asalkan anak-anaknya dapat hidup dengan selesa.
“Saya tidak tertekan pun dengan apa yang berlaku dalam rumah tangga kami. Mungkin kerana saya sudah lali sebab kes mahkamah itu sudah berlanjutan selama setahun.

“Kini, fokus dan keutamaan saya ialah untuk membesarkan mereka dengan sempurna. Lebih baik saya fokus pada karier lakonan dan perniagaan diceburi kerana saya perlu bekerja keras untuk menyara diri dan anak-anak,” katanya.
Foto

Mengenai krisis rumah tangganya itu, Rita berkata, dia hanya menyerahkan kepada pihak mahkamah untuk memutuskannya nanti.



Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/07
http://www.hmetro.com.my/articles/Rita_Tumpukarier_perniagaan//Article

Jumaat, 14 Jun 2013

‘Wang TM tak bazir’

15 Jun 2013 

‘Wang TM tak bazir’

Kuala Lumpur: Wang penajaan Telekom Malaysia (TM) tidak membazir.
Itu yang dapat disimpulkan selepas ketua jurulatih negara Datuk K Rajagobal berpandangan matlamatnya ke Canberra dan Sydney, Australia selama dua minggu tercapai.

Di Australia, skuad negara dianggotai 26 pemain termasuk enam muka baru mengharungi tiga aksi persahabatan menentang Canberra FC (tewas 2-3), Sydney Olympic FC (menang 4-0) dan Marconi Stallions FC (tewas 0-2).
“Kami sudah mencapai matlamat apabila bermain dengan pasukan yang mempunyai fizikal lebih tegap. Saya puas hati dengan keberanian ditunjukkan pemain.

“Kami sudah memberi peluang kepada semua pemain dan saya sudah mendapat gambaran senarai 11, 18 atau 20 pemain. Ada pemain baru mempamerkan corak permainan yang bagus,” katanya.

Antara pemain baru yang menarik perhatian Rajagobal adalah pemain tengah berbakat PKNS FC, Mohd Nazmi Faiz Mansor dan pemain Negeri Sembilan, Nazrin Nawi.
“Kita sudah memberi ruang kepada Nazmi yang saya lihat mempunyai potensi baik, begitu juga Nazrin yang beraksi di sayap kiri. Saya ada nampak pemain baru yang bagus untuk memberi impak kepada pasukan walaupun ada beberapa pemain tidak disenaraikan.” Rajagobal turut gembira apabila penjaring terbanyak Piala AFF 2010, Safee Sali yang sering memanaskan bangku simpanan Johor Darul Takzim kembali cemerlang.

“Saya gembira Safee mendapat kembali keyakinannya. Ia petanda yang bagus.” Namun Rajagobal turut perlu memikirkan strategi terbaik andai penyerang berusia 29 tahun itu tidak dapat bersama skuad kebangsaan kerana ketumpulan jentera serangan negara terserlah tanpa kehadiran Safee menyebabkan mereka kecundang 0-2 pada perlawanan terakhir.
“Fizikal, teknik pemain Marconi Stallions amat bagus. Kita lebih banyak menyerang pada babak pertama tapi sentuhan penyudah agak tumpul. Pemain bermain dengan berani, menarik serta laju, aksi dipamer bagus berbanding dua perlawanan lalu.

“Namun tanpa Safee serta Safiq Rahim, aksi kita tidak begitu bagus. Pemain lain seperti Aidil Zafuan (Abd Radzak), Asraruddin (Putra Omar), Mahali (Jasuli) dan Norshahrul (Idlan Talaha) nampak keletihan kerana sudah beraksi tiga perlawanan,” katanya mengulas kekalahan kepada Marconi Stallions FC.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/15

Selasa, 12 Mac 2013

Johor DT sedia buat perubahan

12 March 2013


Johor Bahru: Johor Darul Takzim (DT) bakal berwajah baru pada pusingan kedua saingan Liga Super apabila mendapat khidmat empat pemain Johor yang beraksi dalam kancah Liga Perdana dan semua urusan perpindahan itu diselesaikan April ini mengikut peraturan ditetapkan Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM).
Difahamkan empat pemain itu adalah, kapten Mohd Farid Ramli, Muhammad Nazri Ahmad, Jasazrin Jamaludin dan pemain import, Andre Francisco Da Silva dan mereka akan memulakan latihan pertama skuad Harimau Selatan, Khamis ini.

Pemain Johor DT yang akan mewarnai cabaran Johor pada saingan Liga Perdana pula adalah Mohd Ezaidy Khadar, K Sathiya, Azmi Muslim dan kemungkinan Simone Del Nero namun semua keputusan itu hanya akan diputuskan pengurusan Persatuan Bola sepak Negeri Johor (PBNJ).
Syarat ditetapkan FAM berhubung perpindahan pemain berkuatkuasa April ini membabitkan tiga pemain tempatan dan seorang pemain import dan jika diluluskan sudah pasti Johor DT di bawah kendalian Fandi Ahmad bakal merebut peluang itu. Apapun status Del Nero sama ada sanggup diturunkan pangkat beraksi dalam saingan Liga Perdana menjadi tanda tanya namun pengurusan PBNJ harus bijak menyelesaikan isu itu ketika mereka tidak memiliki pemain tengah berkualiti.

Malah bekas pemain Lazio itu masih belum mampu menonjolkan diri sebagai pemain yang memiliki sentuhan tepat.

Kehadiran Andre Francisco di posisi tengah bakal merungkai masalah pasukan ketika pemain dari Brazil itu memiliki karektor menarik sebagai perancang utama dan mampu bertindak selaku ‘jeneral padang’ selepas Safiq Rahim masih terkial-kial menguasai posisi itu sepanjang 10 perlawanan lalu.
Kelibat Mohd Farid dan Muhammad Nazri menguatkan posisi bek kiri dan kanan bagi menggantikan Azmi dan Irfan Abd Ghani yang belum menunjukkan permainan konsisten dan sering gagal menyekat larian pantas pemain lawan hingga mudah ditewaskan manakala Jasazrin mengukuhkan jentera tengah bagi mengambil alih tugas Ahmad Ezrie Shafize.

Andai rombakan pemain menjadi kenyataan dengan kehadiran muka baru itu, ia pasti memberi nafas baru buat barisan Fandi menjelang perlawanan berdepan Terengganu di laman sendiri, 30 Mac ini.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/12

Isnin, 4 Mac 2013

PBNJ bakal didenda

04 March 2013


Johor Bahru: Persatuan Bola sepak Negeri Johor (PBNJ) berdepan hukuman denda daripada FAM selepas tindakan segelintir penyokong yang membakar mercun menyebabkan kepulan asap tebal pada penghujung babak kedua memaksa aksi membabitkan Johor Darul Takzim (DT) dan Negeri Sembilan pada saingan Liga Super di Stadium Larkin, kelmarin terhenti selama tiga minit.
Semuanya berpunca daripada kegembiraan penyokong skuad Harimau Selatan yang menyambut gol penyamaan Kamarul Afiq Kamarudin pada minit ke-83 sebelum Nurul Azwan Roya muncul wira menjaringkan gol kemenangan pada minit terakhir perlawanan menang 2-1.

Sebelum itu, Johor DT dikejutkan dengan jaringan awal kapten Rashid Mahmud m-28 namun hasrat anak didik Divaldo Alves yang mengidamkan kemenangan per tama liga berkecai akibat kealpaan benteng pertahanan.
Kemenangan itu menyaksikan Harimau Selatan merampas takhta liga daripada ATM.

Jurulatih Fandi Ahmad berkata, tindakan penyokong membakar mercun dalam konteks permainan bola sepak memberi lebih semangat kepada pemain untuk memburu kemenangan.

“Pemain begitu bersemangat apabila melihat penyokong tidak berbelah bagi memberi sokongan dan ini membantu kita memburu kemenangan namun saya berharap insiden membakar mercun tidak berulang lagi.
“Mengenai corak permainan Johor DT yang sudah lima perlawanan terpaksa bangkit daripada ketinggalan, saya lihat senario itu cukup serius dan ia tidak harus berulang kerana ia cukup merugikan kita yang terpaksa berhempas pulas memburu jaringan.

“Karektok pemain sepanjang perlawanan begitu konsisten malah kita menguasai sepanjang aksi itu terutama semangat juang yang tinggi dan kemenangan itu juga memberi cabaran kepada mereka untuk mempertahankan takhta liga,” katanya.
Bagaimanapun, Fandi kehilangan penyerang, Nor Shahrul Idlan Talaha yang mengalami keretakkan di hidung, malah masih belum dapat menurunkan Safee Sali yang mengalami kecederaan pergelangan kaki.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/04

Jumaat, 1 Mac 2013

‘Pamer aksi terbaik’

2 March 2013


Barisan pemain berstatus bintang Johor Darul Takzim diingatkan untuk kembali fokus dan pamer aksi terbaik setimpal dengan nilai yang diterima ketika berdepan Negeri Sembilan pada saingan Liga Super di Stadium Larkin, malam ini.
Pengendali skuad bergelar Harimau Selatan, Fandi Ahmad mahu pemain yang bakal beraksi dalam skuad utama membuktikan mereka mempunyai kualiti dan sentiasa komited bagi memastikan kemenangan mampu diraih dalam usaha mengejar kelompok teratas liga.

Walaupun dihimpit masalah menurunkan kesebelasan terbaik ketika penyerang, Safee Sali dibelenggu kecederaan serta pemain tengah, Ahmad Ezrie Shafizie digantung satu perlawanan selepas mengumpul tiga kad kuning dan kelibat Simone Del Nero masih samar dalam skuad utama, skuad Harimau Selatan tidak harus melepaskan peluang meraih tiga mata di laman sendiri.
“Buat masa ini hanya Mat Yo dilihat bersungguh-sungguh mempamerkan aksi terbaik apabila kerap berkerja keras menggempur benteng lawan biarpun tidak dapat menjaringkan gol namun saya tetap puji komitmen ditunjukkannya dan saya mahu pemain lain mencontohi sikap positifnya.

“Kami masih kehilangan Safee yang cedera manakala tempat Ahmad Ezrie akan diganti namun saya belum putuskan siapa yang bergandingan bersama Safiq Rahim yang kini pulih daripada kecederaan.

“Kami tidak memandang rendah Negeri Sembilan walaupun pasukan itu belum meraih kemenangan dan saya mahu pemain memberi tumpuan penuh kerana tidak sanggup keciciran mata lagi selepas seri 2-2 dengan LionsXII pada saingan liga,” katanya.
Mengulas kerapuhan benteng, Fandi menegaskan belum memutuskan barisan terbaik mengemudi jentera itu, antara Aidil Zafuan Abd Radzak, Muslim Ahmad atau Kamarul Afiq Kamarudin.

Beliau mengaku kagum corak permainan Kamarul Afiq yang tampak konsisten ketika perlawanan pusingan kedua Piala FA menentang Kedah, Jumaat lalu biarpun pemain itu baru pulih daripada kecederaan.
“Benteng perlu ampuh dan saya akan putuskan pemain yang akan beraksi sebelum perlawanan dan saya harap pemain tidak mengulangi kesilapan dalam dua perlawanan lalu apabila membiarkan lawan menjaringkan gol awal.”
Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/02 - See more at: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/2013030202353320130302023533/Article/index_html#sthash.KT9PGewH.dpuf

Khamis, 28 Februari 2013

Fandi puas hati

28 Februari 2013


Johor Bahru: Tidak keterlaluan melabel kesebelasan utama Johor Darul Takzim (DT) sebagai wira apabila bangkit daripada ambang kekalahan untuk menewaskan Kedah 5-4 menerusi sepakan penalti selepas terikat 2-2 pada aksi pusingan kedua Piala FA di Stadium Darulaman, kelmarin.
Biarpun ketinggalan 0-2 pada babak pertama, skuad Harimau Selatan menunjukkan kesungguhan untuk mengikat kedudukan 2-2 hasil ledakan penyerang sensasi, Daniel Guiza yang sentiasa berkerja keras bagi mengelak diaib skuad Kenari.

Kemenangan itu melegakan pengendali Fandi Ahmad yang masih dalam dilema mencari kesebelasan terbaik tatkala sering dihimpit kecederaan tonggak utama hingga terpaksa menaruh sandaran kepada pemain sedia ada mengharungi kempen saingan kalah mati itu termasuk aksi liga.
“Kita bangkit hasil semangat berpasukan walaupun agak sukar mencari gol ditambah pula ketinggalan 0-2 namun karektor setiap pemain yang positif dan tidak mahu pulang tangan kosong, bangkit memberi persembahan terbaik untuk melakar kemenangan.

“Mungkin Guiza dianggap wira kerana dua gol dan sepakan penalti terakhirnya memastikan kita layak ke suku akhir tapi bagi saya semua pemain memberi komitmen masing-masing dan saya puas hati dengan kerja keras Norshahrul Idlan Talaha biarpun dia tidak menjaringkan gol sebaliknya banyak membuka ruang buat Guiza,” katanya.

Apapun, Fandi mengaku kelemahan pada babak pertama perlu diatasi kerana barisan pertahanan masih gagal menyerap tekanan hingga memberi ruang kepada lawan mencipta jaringan malah posisi tengah juga tidak memiliki pemain yang bergelar ‘Jeneral’ untuk merancang strategi.
Kemasukan Simone Del Nero akhirnya menghidupkan kembali rentak Johor DT.

“Saya akan kaji semula kelemahan semua posisi dan akan segera memperbaikinya kerana tempoh rehat cukup singkat. Kami akan berdepan Negeri Sembilan pada saingan Liga Super, Sabtu ini dengan misi tiga mata,” kata Fandi.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/28 - See more at: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Fandipuashati/Article/index_html#sthash.M1F5DVMh.dpuf

Selasa, 26 Februari 2013

‘Saya dah tak sayang’

26 Februari 2013


Seremban: Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam diberitahu bahawa pelakon jelita, Rita Rudaini Mokhtar pernah dua kali meminta cerai sepanjang tempoh perkahwinannya dengan pemain bola sepak kebangsaan, Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak.
Mohd Aidil Zafuan, 26, berkata demikian pada prosiding permohonan cerai kali kedua selepas tidak bersetuju dengan kenyataan isterinya untuk tidak bercerai di mahkamah berkenaan.
Rita, 37, tiba di mahkamah jam 9 pagi sambil ditemani beberapa rakan manakala Aidil Zafuan, 26, tiba bersama bapa dan abangnya kira-kira jam 10.45 pagi.

Prosiding di hadapan Hakim Syarie Hamizan Mohd Nor yang mengambil masa 30 minit itu dimulakan dengan peguam Aidil Zafuan Noor Ariff Delia Ramli memaklumkan permohonan cerai itu difailkan anak guamnya pada 31 Januari lalu.
Foto
RITA di mahkamah rendah syariah, semalam.
Foto
AIDIL Zafuan mengaku sudah tidak sayangkan Rita.
Peguam syarie Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain yang mewakili Rita mengesahkan perkara itu dan memaklumkan anak guamnya tidak bersetuju dengan permohonan Aidil Zafuan selaku plaintif, malah Mohd Zaidi juga mencadangkan supaya diadakan perbincangan melalui Jawatankuasa Pendamai untuk kedua-dua pihak bersemuka selepas plaintif meninggalkan rumah lebih setahun lalu.



Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/26

Khamis, 21 Februari 2013

Aksi buruk hantui JDT

21 Februari 2013


Johor Bahru: Aksi tidak konsisten terus menghantui Johor Darul Takzim selepas hanya mampu seri 2-2 dengan LionsXII pada saingan Liga Super walaupun memiliki kelebihan beraksi di laman sendiri, kelmarin.
Apa tidaknya, skuad Harimau Selatan bermula lesu pada babak pertama sebelum bangkit mempamerkan aksi lebih garang pada babak kedua namun sudah terlambat apabila sekadar berpuas hati mengutip satu mata ketika harapan menggunung diletakkan pada skuad kendalian Fandi Ahmad meraih tiga mata.

Senario itu mengundang rasa kurang puas hati Fandi yang begitu kecewa dengan persembahan kesebelasan utamanya selepas tidak mengikut strategi dirancang apabila benteng terlalu leka dan memudahkan lawan merobek gawang.
“Kami bermain baik pada babak kedua apabila sering mengasak kubu LionsXII. Bagaimanapun saya terkejut dengan corak permainan lawan yang begitu disiplin dan konsisten. Itu yang tidak ada pada pemain saya apabila gagal menyamai rentak permainan lawan.

“Mungkin ramai yang hairan kenapa saya keluarkan Aidil Zafuan Abd Radzak pada minit ke-36 selepas dia mengalami kecederaan otot perut dan terpaksa digantikan. Apapun pemain perlu lebih bertanggungjawab dan beberapa pemain berpengalaman belum beraksi dengan baik.

“Sehingga perlawanan ketujuh, saya belum dapat mengumpul kesebelasan terbaik ketika Zaquan Adha Abd Radzak masih dibelenggu kecederaan dan ia menjejaskan perancangan membentuk barisan mantap namun saya yakin pemain mampu atasi tekanan dan belajar daripada kesilapan,” katanya.
Mengenai tindakannya mengeluarkan kapten Safiq Rahim, beliau menegaskan pemain tengah itu mengalami kecederaan buku lali dan terpaksa melakukan rombakan.

Bagaimanapun, Fandi puas hati komitmen Daniel Guiza yang berkerja keras dengan Simone Del Nero mencorakkan permainan terutama pada babak kedua dan asakan bertali arus membuahkan hasil menerusi jaringan penyamaan Norshahrul Idlan Talaha.
“Kami boleh menang atau mungkin tewas pada perlawanan itu. Apapun sikap positif pemain pada 20 minit terakhir mula beri tekanan kepada LionsXII membolehkan kami mencipta gol penyamaan.”
Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/21

Pengadil di tahap amatur

21 Februari 2013


Johor Bahru: Selepas sekian lama berdiam diri akhirnya Presiden Persatuan Bola sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim (gambar) meluahkan rasa tidak puas hati dengan mutu pengadilan saingan Liga Malaysia (Liga M) yang boleh ditakrif masih berada di tahap amatur ketika bola sepak di Malaysia sudah lama di era profesional.
Tunku Ismail nyata kecewa dengan mutu pengadilan yang langsung tidak berkualiti apabila kerap membuat keputusan meragukan, terutama kesalahan yang begitu jelas dilakukan pasukan lawan, bagaikan tidak endah sebaliknya menghukum kesalahan yang dilakukan pemain Johor Darul Takzim.

Katanya, mutu pengadil yang tidak berada di tahap memuaskan bukan saja membabitkan aksi Johor Darul Takzim, malah boleh dikatakan semua pasukan yang bersaing pada kancah Liga M juga kecewa dengan kegagalan pengadil mengawal perlawanan dan sudah tiba masa Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) mengambil langkah drastik untuk meningkatkan lagi mutu pengadilan.
“Saya hormati Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah dan Timbalan, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah tetapi apa yang saya ingin persoalkan tindakan lanjut daripada pegawai FAM berhubung mutu pengadilan yang lemah dan saya difahamkan ketika saingan liga berehat selama tiga minggu semua pengadil menjalani kursus namun tiada sebarang peningkatan yang ditunjukkan.

“FAM harus bertindak segera untuk memperbaiki apa jua kelemahan yang membabitkan pengadil dalam saingan Liga M dan harus memastikan semua pengadil yang bertugas pada aksi liga berkualiti.

“Kita sudah buat pelaburan besar bagi memastikan mutu bola sepak di Johor ditingkatkan tetapi usaha itu akan sia-sia seandainya pengadil gagal berfungsi dengan baik yang menjejaskan rentak permainan bukan saja kepada Johor Darul Takzim bahkan membabitkan pasukan lain dalam saingan Liga M,” katanya pada sidang media tergempar di Hotel Thistle, di sini, tengah malam kelmarin.
Foto
Tunku Ismail Sultan Ibrahim
Bagi mengukuhkan bukti betapa mutu pengadilan masih lemah, Tunku Ismail menegaskan satu salinan rakaman perlawanan membabitkan Johor Darul Takzim dan beberapa pasukan lain akan diserahkan kepada FAM untuk dinilai dan turut disusuli dengan surat rasmi.

“Hargailah keringat pemain yang bertungkus lumus di padang kerana mereka menjalani latihan pada sesi pagi dan petang dan beraksi pada saingan Liga M tapi jika mutu pengadilan tidak berkualiti ia pasti menjejaskan rentak permainan sekali gus menjatuhkan moral pemain itu,” kata Tunku Ismail.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/21

Rabu, 20 Februari 2013

Mat Yo penyelamat maruah Johor DT

20 Februari 2013


Johor Bahru: Jaringan Norshahrul Idlan Talaha pada penghujung perlawanan menjadi penyelamat buat Johor Darul Takzim yang terpaksa berpuas hati seri 2-2 dengan LionsXII pada saingan Liga Super di Stadium Larkin, malam tadi.
Bagaimanapun tuan rumah yang terlebih dulu tersentak dengan gol awal pada minit ketiga akibat kelekaan pemain pertahanan Harimau Selatan yang gagal menutup ruang apabila percubaan kapten LionsXII, Shahril Ishak membuka peluang buat Harris Harun menyambar bola sebelum merembat kencang bagi menewaskan penjaga gol, Zamir Selamat.

Peluang terbaik Harimau Selatan menyamakan jaringan hadir pada minit kesembilan namun bola sepakan kapten Safiq Rahim mengecewakan apabila sekadar melambung tinggi ketika Daniel Guiza tampak lebih bersedia mengambil sepakan itu.
Bagaimanapun usaha berterusan skuad Harimau Selatan membuahkan hasil pada minit ke-12. Nurul Azwan Roya mengelirukan benteng pertahanan LionsXII apabila melintangkan bola tepat kepada Simone Del Nero untuk menanduk bola menewaskan penjaga gol, Izwan Mahbud.

Serangan bertali arus skuad Harimau Selatan hampir menambah jaringan pada minit ke-26 selepas umpanan Nurul Azwan kepada Guiza yang berjaya menggelecek dua pertahanan lawan merembat kencang, namun sempat dihadang Isa Halim bagi mengelak bola daripada menuju ke pintu gol.

Rombakan terpaksa dilakukan pengendali Harimau Selatan, Fandi Ahmad yang mengeluarkan Aidil Zafuan Abd Radzak kerana dilihat masih belum cergas sepenuhnya daripada kecederaan otot perut dengan memasukkan Irfan Abd Ghani.
Namun percaturan itu nyata tidak menjadi, sebaliknya LionsXII mengambil kesempatan mencipta gol kedua, berpunca daripada sepakan percuma Shahril pada minit ke-38 yang mudah ditanduk Baihakki Khaizan untuk meletakkan skuad bimbingan V Sundramoorthy di depan 2-1 hingga berakhir babak pertama.

Tertekan dengan kedudukan itu, Fandi terpaksa memasukkan Safee Sali bagi menguatkan jentera serangan dan percaturan itu tampak berkesan apabila serangan bertali arus tuan rumah menghasilkan gol penyamaan pada minit ke-81 hasil bola rembatan leret Norshahrul bagi memastikan skuad Harimau Selatan tidak berakhir dengan tangan kosong.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/20

Sabtu, 16 Februari 2013

Del Nero kembali!

16 Februari 2013

Pemain import Johor Darul Takzim, Simone Del Nero akan diturunkan sebagai pemain utama selepas pulih daripada kecederaan apabila melayani kunjungan T-Team pada saingan Liga Super di Stadium Larkin, malam ini.
Del Nero yang tidak beraksi pada empat perlawanan lalu termasuk saingan Piala FA sebelum saingan liga elit domestik berehat selama tiga minggu, pulang ke Itali bagi mendapat rawatan kecederaan yang dialami dan kini sudah cergas sepenuhnya dan bersedia diturunkan menentang skuad bimbingan Peter Butler.

Perkhabaran itu menggembirakan pengendali skuad Harimau Selatan, Fandi Ahmad (gambar) selepas terpaksa merombak pertahanannya kerana terpaksa melupakan khidmat Aidil Zafuan Abd Radzak yang mengalami kecederaan selepas aksi kelayakan Piala Asia 2015 di Doha, Qatar.
“Simone sudah cergas dan saya tidak teragak-agak menurunkannya dalam kesebelasan utama bagi menguatkan posisi tengah bergandingan bersama Safiq Rahim namun perubahan taktikal perlu dilakukan selepas Aidil Zafuan tidak dapat beraksi.

“Tempat Aidil Zafuan bakal diganti Ahmad Tharmimi Saiban yang beraksi konsisten sepanjang aksi persahabatan dan dia akan bergandingan bersama Muslim Ahmad bagi mengukuhkan benteng pertahanan.

“Zaquan Adha Abd Radzak juga tidak tersenarai dalam skuad Harimau Selatan kerana masih dibelenggu kecederaan dan saya agak terkilan selepas masih belum mampu menurunkan barisan mantap sejak saingan liga bermula akibat tonggak utama mengalami kecederaan,” katanya.
Apapun, Fandi tetap optimis aksi di laman sendiri mampu menjelmakan keceriaan andai pemain sedia ada mengikut arahan tanpa membuat kesilapan mudah tatkala T-Team yang diperkuat kehadiran dua tenaga import, George Boateng dan Caleb Forlan mampu menidakkan impian memburu kemenangan.

Kehadiran semula Safee Sali dan Norshahrul Idlan Talaha menguatkan jentera serangan menjadi taruhan terbaik buat skuad Harimau Selatan tatkala bergandingan bersama bintang Sepanyol, Daniel Guiza menggempur benteng skuad Titans.
“Saya mahu pemain bersikap positif dan memberi sepenuh tumpuan tanpa membuat kesilapan mudah kerana kami tidak harus mensia-siakan peluang terbaik mencipta kemenangan di laman sendiri.”
Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/16
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...