Aidil Zafuan & Zaquan Adha

Keluarga Aidil Zafuan

Keluarga Zaquan Adha

LIKE jika suka :)

Memaparkan catatan dengan label Astro Arena. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Astro Arena. Papar semua catatan

Selasa, 4 Disember 2012

Sathia rasa bahang tanpa trio

05 Disember 2012

Kuala Lumpur: Tentera turun menghadapi Liga Malaysia (Liga M) musim depan dengan reputasi sebagai juara Liga Perdana dan finalis Piala Malaysia tetapi kini tanpa tiga pemain terbaik Aidil Zafuan Abd Radzak, adiknya, Zaquan Adha dan Azmi Muslim yang berpindah ke Johor. 

Ketua jurulatih pasukan, B Sathianathan, berkata ketiadaan pemain berkenaan memang dirasakan setelah bersama mengharungi cabaran semusim ini, namun tidak akan menjejaskan persiapan pasukan. 


Saya akan menyusun semula struktur pasukan terutama di bahagian pertahanan kerana ketiadaan tiga pemain berkenaan bagi mengekal keupayaan menghadapi saingan dan memastikan pasukan berada sekurang-kurangnya dalam kumpulan empat pasukan teratas Liga Super, katanya. 


Sementara kehadiran Shukor Adan, 33, dari Negeri Sembilan, Nor Fazly Alias dari T-Team dan penjaga gol Johor FC, G Jeevananthan bersama pasukan memudahkan tugasnya mengatur strategi baru. 

Kehadiran Shukor yang juga bekas ketua pasukan Selangor yang menjulang Merah Kuning menjuarai tiga gelaran pada 2005 dan membantu Negeri Sembilan menjulang piala Malaysia musim 2009 dan 2011, akan memudahkan lagi percaturan saya nanti, kata Sathia yang dinobatkan jurulatih terbaik Liga M musim ini. 

Kehadiran Jeevananthan yang pernah bermain sebagai penjaga gol Sabah dan Selangor memberi pilihan untuknya menggantikan penjaga gol utama Mohd Farizal Harun. 

Bagi musim 2013 Tentera menyenarai 25 pemain yang memulakan latihan di pangkalan TUDM Subang minggu lalu. Mereka akan mengadakan tiga aksi persahabatan di Thailand bermula 13 hingga 19 Disember menentang Tentera Darat Thailand, Bangkok Club dan juara Piala FA Thailand musim ini, pasukan Kelab Burinam.

Khamis, 14 Julai 2011

Harimau Muda bercita-cita sekat dominasi Jepun

15 Julai 2011


Image © D5 
Pemain tengah Harimau Muda A, Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria ketika beraksi menentang Pakistan dalam perlawanan kelayakan Sukan Olimpik di Stadium Bukit Jalil pada Februari lalu. (gambar arkib).

KUALA LUMPUR, (D5) - Meskipun Skuad Malaysia terpaksa bersaing dengan gergasi Asia, Jepun dalam kelayakan Olimpik Asia, namun jurulatih Ong Kim Swee jelas begitu optimistik skuadnya mampu melakukan kejutan.
Turut bersama Malaysia dalam kumpulan C ialah Syria dan Bahrain, yang mana ada pihak berpendapat skuad negara bakal menerima cabaran sukar dan tidak ketinggalan ada juga yang menganggap mereka bernasib baik. 
Apapun cabarannya, Kim Swee nyata mahu mengetepikan perasaan gusar dan gementar sebalikya menumpukan perhatian dalam memperkukuhkan corak permainan.
"Memang kami tahu, Jepun adalah pasukan terkuat Asia manakala Syria dan Bahrain juga banyak melibatkan diri dalam arena bola sepak antarabangsa. Pun begitu, ia tidak menjadi alasan untuk kami berasa gementar.
"Untuk menjadi pasukan yang hebat anda tidak boleh memilih pasukan lawan. Untuk itu, kami harus fokus dalam satu demi satu perlawanan. Apa yang pasti, bertemu Jepun adalah tugas paling mencabar," katanya ketika ditemubual.
Kim Swee juga menjelaskan pihaknya tidak akan membuat perubahan besar bagi menghadapi saingan itu, sebaliknya hanya akan memanggil beberapa pemain baru dari pasukan negeri.
"Kami akan membuat pemilihan pemain baru pada 11 Julai ini untuk memperkukuhkan jentera. Kami tidak akan membuat perubahan besar lebih-lebih lagi kerana kesuntukan masa," katanya.
Salah seorang Jurulatih berpengalaman, Datuk M. Karathu, turut diminta mengulas mengenai kemampuan Malaysia untuk bersaing dengan juara Asia itu dalam kumpulan C. Ini komen beliau:
"Jepun adalah pasukan yang kuat dan memiliki pemain bertahap lebih tinggi, jika dibandingkan dengan Syria dan Bahrain. Liga-J juga adalah antara liga yang terbaik di dunia. Jadi saya berpendapat, Jepun adalah pencabar paling sukar untuk Kim Swee.
"Pun begitu, ia tidak menjadi mustahil kepada Malaysia untuk melakukan kejutan. Saya percaya dengan strategi dan susunan pemain Kim Swee, Malaysia mampu menyerlah dalam saingan itu.
"Jika kita lihat sejak kebelakangan ini juga, Malaysia nyata memiliki ramai pemain muda yang berkebolehan, jadi ia menjadi tugas jurulatih menyusun strategi untuk menggunakan sepenuhnya keupayaan mereka," kata M. Karathu.
Sedikit sebanyak mengenai prestasi Jepun. Skuad matahari terbit itu adalah pasukan yang tidak asing dalam Sukan Olimpik dimana mereka layak pada setiap edisi sejak tahun 1996 iaitu selepas format baru (bawah 23) diperkenalkan.
skuad itu turut berjaya merangkul pingat gangsa pada 1968 di Mexico dan pernah menduduk tempat kelima terbaik pada edisi 2000 di Australia.
Pada Sukan Olimpik 2008 di Beijing, Jepun tersingkir di pusingan pertama selepas tewas 0-1 kepada Amerika Syarikat dan Belanda dan juga tumpas 2-1 di tangan Nigeria.
Pada esisi kali ini di London, mereka dijangka akan lebih menyerlah lebih-lebih lagi di bawah jurulatih Takashi Sekizuka, seorang penyerang semasa beraksi bersama Honda FC dalam Liga-J.

Serangan cetus kegusaran Rajagobal

15 Julai 2011

BUKIT JALIL, (D5) - Ada sesuatu yang cukup merunsingkan jurulatih negara, Datuk K. Rajagobal ketika ini iaitu ketumpulan bahagian serangannya. 

Aksi menentang Arsenal telah memberi gambaran bahawa beliau perlu memberi tumpuan untuk mengatasi masalah di bahagian berkenaan.

Kebimbangan Rajagobal tercetus selepas melihat Norshahrul Idlan Talaha beraksi di bawah kemampuan sebenarnya dan gerakannya tidak selicik seperti yang dipamerkan bersama Kelantan musim ini. 

Dengan Ahmad Fakri Saarani yang masih belum cergas sepenuhnya, beliau akan memberi kesempatan menguji Safee Sali dengan memberinya lebih banyak masa untuk beraksi menentang Liverpool Sabtu ini. 

Dua perlawanan persahabatan dengan gergasi EPL, Arsenal dan Liverpool menjadi medan buat Rajagobal untuk mencongak strategi buat Harimau Malaya kerana 23 dan 28 haribulan depan mereka mempunyai misi lebih penting iaitu pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2014 menentang Singapura. 

"Kami sepatutnya sudah tiada alasan lagi ketika bertemu Singapura. 

"Para pemain saya mampu mencipta peluang ketika bertemu Arsenal dan saya harap mereka mampu mengulanginya ketika bertemu Singapura," katanya. 

Rajagobal turut mendedahkan, beliau berkemungkinan akan menyenaraikan perancang Terengganu, Ismail Faruqi sebagai persediaan menghadapi skuad Kota Singa nanti. 

"Kami memerlukan seorang pemain tengah kreatif yang agak berbeza," ulasnya dan menganggap kombinasi K. Gurusamy dan Mohd Shakir Shaari masih kurang memuaskan. 

Mengenai keputusannya menurunkan penjaga gol Perak, Nasril Nordin dalam kesebelasan utama, Rajagobal menganggap ianya sebagai persediaan bagi menghadapi kemungkinan jika berlaku sebarang perkara yang tidak ingini ke atas penjaga gol utama, Khairul Fahmi Che Mat dan Sharbinee Allawee Ramli. 

Rajagobal kecewa...

15 Julai 2011


Image © AREPKULAL 
BUKIT JALIL 13 Julai 2011 - Pemain Malaysia Mohd Ashaari Shamsudin cuba melepasi pemain Arsenal Johan Djourudalam perlawanan persahabatan Jelajah Asia di Stadium Nasional Bukit Jalil Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR, (D5) - Datuk K. Rajagobal bukannya sedih disebabkan Harimau Malaya dibelasah Arsenal, sebaliknya sedih kerana beberapa pemainnya gagal menyerlah seperti yang diharapkan. 

Sambil menganggap kealpaan telah memberi penalti mudah pada awal permainan, pengendali itu berkata barisan pemainnya telah menampilkan permainan agresif dan berjaya memberi tekanan.

"Dalam kawasan bahaya ditempat lawan, pemain seperti tidak tahu untuk membuat keputusan, mereka tidak begitu tajam dan sekali lagi pertahanan tertidur sehingga memberi gol kepada lawan," katanya ketika ditemui dalam sidang media selepas perlawanan berakhir. 

Tambah Rajagobal, beliau lebih senang jika pasukan kebangsaan tewas dengan cara yang lebih baik sambil berpendapat pemain gantian juga tidak memberi perubahan kepada corak permainan negara. 

Sekaligus memberi amaran kepadanya untuk menilai di mana kesilapan pasukannya sehingga tertewas 4-0 kepada anak-anak buah Arsene Wenger. 

"Pemain tidak seharusnya gentar. 

"Ketika saya beraksi bersama skuad negara menentang pasukan Manchester United pada tahun 1981, kami tidak gentar. 

"Pemain tidak beraksi seperti biasa dan saya akan berbincang dengan pemain kerana bukannya tidak pernah bermain dalam suasana kapasiti di depan ribuan penyokong seperti di Indonesia. 

"Saya terkejut," luahnya. 

Arsene Wenger juga sependapat dengan Rajagobal mengenai corak permainan tuan rumah.

"Malaysia sebuah pasukan yang mampu membuat pergerakan, cukup tersusun. 

"Pantas mengubah daripada bertahan kepada serangan dan begitu juga sebaliknya. 

"Tetapi seperti yang dikatakan oleh rakan saya (Rajagobal), mereka tidak memiliki idea di kawasan bahaya," jelas Wenger yang berpuas hati dengan persembahan pertama pasukannya.

Rabu, 29 Jun 2011

Harimau Malaya belum boleh tarik nafas lega

30 Jun 2011


Image © AFP 
Penyerang Malaysia, Abdul Hadi Yahya (kanan) dan pertahanan Taiwan Chang Yung-Hsien bersaing merebut bola ketika perlawanan pusingan pertama, Kelayakan Piala Dunia 2014 di Stadium Bukit Jalil, 29 Jun 2011.

BUKIT JALIL, (D5) - Malaysia mencatatkan kemenangan di Stadium Nasional Bukit Jalil namun menghadiahkan Taiwan gol di tempat lawan dalam pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia Zon Asia 2014 yang berkesudahan 2-1. 

Gol-gol Malaysia dijaringkan Safiq Rahim pada minit ke-27 disusuli gol daripada Aidil Zafuan Abdul Razak (m54) sebelum Chen Po-Liang menjadikan kedudukan 2-1. 

Beraksi di hadapan 45, 000 penyokong, barisan anak-anak buah Datuk K. Rajagobal menuntut sedikit kesabaran para penyokong untuk mendapatkan rentak sebenar. 

Harimau Malaya juga kerap memberi sepakan percuma kepada para pemain di kawasan bahaya. Pintu gol Malaysia sempat cemas, mujur Sharbinee Allawee berada di kedudukan tepat untuk menangkap tampanan Li Cheng-Yi. 

Minit ke-16, Baddrol Bakhtiar memaksa penjaga gol Lin Po-Cheng merebahkan badan menampan cubaan berbahaya itu.

Menyedari tempo permainan anak-anak buahnya tidak seperti yang diharapkan, Datuk K. Rajagobal segera membuat pertukaran dengan mengeluarkan bek kanan, Helmi Remeli dan memasukkan Abdul Hadi Yahaya. 

Abdul Hadi nyata membawa tuah dan berpunca daripada gerakannya, Safiq Rahim berjaya melepaskan rembatan kencang dari luar kotak penalti untuk menggegar gawang lawan. 

Kemasukkan penyerang Terengganu itu menyebabkan Amirulhadi Zainal diarahkan mengisi posisi bek kanan.

Sebaik permainan bersambung, Rajagobal sekali lagi merombak barisan hadapannya dan kali ini mengeluar Safee Sali yang bergelut sepanjang 45 minit pertama dengan memasukkan Ahmad Fakri Saarani dan dia berusaha keras memberi tekanan kepada kubu lawan. 

Pada minit ke-54, Bukit Jalil sekali lagi bergema selepas tandukan Aidil Zafuan menerjah gawang Taiwan. Pertahanan Negeri Sembilan itu naik membantu dalam situasi sepakan sudut yang diambil Safiq untuk gol kedua Malaysia. 

Bagaimanapun, momentum rancak para pemain kelihatan mulai terjejas selepas gol berkenaan. Para pemain kelihatan mula leka dan gagal memanfaatkan peluang yang ada di depan gol. 

Pada minit ke-62 Baddrol Bakhtiar gagal membaca hantaran lintang Amirulhadi sungguhpun pintu gol sudah terbuka luas disusuli rembatan Abdul Hadi yang sempat dihalang pertahanan lawan pada kedudukan yang sama. 

Taiwan berjaya mengambil kesempatan diatas kelekaan tuan rumah berpunca dari sudut kanan Malaysia, Chen Po-Liang menerima umpanan lalu melepaskan rembatan kencang menewaskan pintu gol yang dikawal Sharbinee Allawee Ramli. 

Hakikatnya, Taiwan langsung tidak berpeluang melakukan serangan ke arah pintu gol Malaysia. 

Lewat permainan, S. Kunanlan berjaya memintas bola daripada pertahanan lawan dan melakukan larian pantas, dua pemain lawan cuba menghambatnya. 

Pemain sayap itu dengan tenang mengawal dan melakukan hantaran tinggi yang ditanduk tinggi rakan sendiri namun Baddrol berada di posisi yang mampu melakukan tindakan penyudah.

Selasa, 28 Jun 2011

Taiwan tidak gentar beraksi depan penyokong tuan rumah

29 Jun 2011

BANGI, (D5) - Tiba di Malaysia sejak Sabtu lalu, Taiwan memulakan proses menyesuaikan diri di Ibu Kota sempena menghadapi perlawanan pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia Zon Asia 2014.

Mereka sudah mampu membiasakan diri dengan cuaca lebih panas di Malaysia dan bersedia untuk mencatat sejarah mereka sendiri. 

Kehadiran pemain kelahiran Sepanyol, Victor Chou Hsieh belum cukup mampu melegakan pengendali itu buat memperkukuhkan benteng mereka, namun jurulatih pasukan 

itu, Lo Chih-tsung enggan meletakkan beban terlalu berat buat pemain itu. 

Victor, 19, kini mewakili Kelab Divisyen Dua Sepanyol, U.D. Salamanca dan mula mengetuk pintu skuad kebangsaan sekitar Mac lalu dan sempat dipelawa 

melihat pasukan itu beraksi kerana permohonannya untuk mewakili Taiwan masih belum mendapat lampu hijau.

Menurut Chih-tsung, "Victor masih muda dan fizikalnya dalam keadaan baik. Tetapi dia tidak akan menjadi tonggak utama kami ketika ini."

Namun hasil tinjuan Victor dilihat sudah sedia diturunkan kerana serasi berlatih bersama-sama rakan sepasukannya. 

Meskipun yakin dengan kemampuan pasukannya, pengendali berusia 55 tahun itu turut mendedahkan Taiwan tidak dapat membuat persiapan rapi ekoran kerana 

perlu memberi laluan kepada beberapa pemain menjalani peperiksaan akhir. 

Ini kerana, hampir separuh daripada 25 tonggak yang dibawanya kali ini merupakan pelajar kerana kebarangkalian dipengaruhi liga bola sepak Taiwan yang 

belum berlangsung secara amatur mungkin disebabkan bola sepak bukan sukan utama berbanding bola keranjang dan bola lisut. 

Tambah Chih-tsung, dia mahu para pemainnya beraksi di depan penyokong yang ramai kerana peluang ini jarang diperolehi dan berharap mereka lebih bersemangat kerana merasai bahang suasananya nanti. 

Bagaimanapun, sebelum menjejaki kaki ke Kuala Lumpur, Taiwan tetap membuat persiapan gigih dengan menjalani kem latihan selama dua minggu di Korea 

Selatan dengan mengaturkan beberapa perlawanan persahabatan dengan kelab tempatan dan terakhir mengadakan perlawanan ujian dengan menurunkan 

kesebelasan terbaik ketika bertemu pasukan simpanan Guangzhou FC yang menyaksikan mereka tewas 4-2. 

Sama ada cuba berselindung, Chih-tsung menjelaskan beliau sempat menilai kekuatan Harimau Malaya berdasarkan perlawanan terakhir Piala Suzuki AFF dengan menganggap Norshahrul Idlan Talaha dan Safee Sali sebagai gandingan bahaya. 

"Pemain nombor 10 (Safee) memiliki rembatan kencang," katanya. 

Mac lalu, Taiwan sempat berkampung di Malaysia beraksi dalam Piala Cabaran AFC di mana perlawanan telah berlangsung di Stadium MBPJ. 

Ahad, 26 Jun 2011

Kemenangan selesa penting untuk Malaysia ketika menentang Taiwan - Ahmad Shabery

26 Jun 2011

MELAKA, (Bernama) - Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata beliau yakin skuad bola sepak negara mampu mencatat kemenangan ketika menentang Taiwan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Rabu ini.

Beliau berkata kemenangan selesa adalah penting buat skuad bola sepak negara di bawah bimbingan Datuk K.Rajagobal, sebagai "bekal" ketika bermain di Taiwan kelak.

"Saya percaya anak buah Rajagobal sudah membuat segala persiapan, pemain terbaik kita sudahpun berada di sini, bersama bakat-bakat baru," katanya kepada pemberita selepas bermain futsal pada perlawanan persahabatan antara Kementerian Belia dan Sukan dengan Kelab Media Massa Melaka serta Majlis Gabungan Belia Malaysia Melaka di Ayer Keroh hari ini.

Sehubungan itu, Ahmad Shabery meminta orang ramai memenuhi stadium bagi menyokong pasukan Malaysia pada perlawanan kelayakan Piala Dunia tersebut.

Herbalife taja lima atlet negara

26 Jun 2011


Image © D5 
(Dari kiri) Perenang Khoo Cai Lin, pemain skuasy Low Wee Wern, pemain bola sepak Mohd Zaquan Adha Abdul Razak dan atlet berbasikal Azizulhasni Awang bergambar ketika majlis pengumuman duta Herbalife.

KUALA LUMPUR, (D5) - Syarikat pemakanan nutrisi, Herbalife mengumumkan penajaan terhadap lima personaliti sukan terkenal dalam satu majlis yang diadakan di Plaza See Hoy Chan di Kuala Lumpur, semalam.
Herbalife menjadi penaja rasmi produk pemakanan untuk pelumba nombor satu Malaysia, Azizulhasni Awang, pemain skuasy Low Wee Wern, perenang Khoo Cai Lin dan pasangan kembar pemain bola sepak tempatan, Mohd Aidil Zafuan dan Mohd Zaquan Adha Abdul Razak.
Semua atlet kecuali pasangan kembar akan memakai lencana Herbalife pada pakaian sukan mereka dan bersedia untuk membuat kemunculan dalam pelbagai promosi Herbalife.
Azizulhasni yang akan berlepas ke Melbourne bulan depan bagi meneruskan latihan beliau, melahirkan kegembiraan dengan pelantikan tersebut.
"Selepas ditawarkan untuk menjadi duta pada awal tahun ini, saya membuat sedikit penyelidikan mengenai produk dan syarikat. Saya kagum apabila mendapat tahu bahawa Lionel Messi turut menggunakan Herbalife," kata Azizulhasni.
"Atlet seharusnya memahami kepentingan mengenai makanan tambahan, jadi saya merebut peluang ini untuk menjadi sebahagian daripada Herbalife."
Menurut Naib Presiden dan Pengarah Urusan Herbalife Asia Tenggara, Dato 'Dr Ronie Tan, atlet bakal melibatkan diri dalam beberapa usaha kebajikan yang dijalankan oleh syarikat.
"Herbalife akan menganjurkan lelongan amal di mana setiap daripada mereka akan meletakkan peralatan sukan mereka untuk dilelong. Hasil daripada lelongan itu akan disampaikan kepada badan amal Yayasan Keluarga Herbalife," kata Ronie.
"Kami juga sedang mengkaji untuk mengenengahkan beberapa nama lain, tetapi ia masih dalam peringkat rundingan. Calon yang disebut-sebut ialah Safee Sali," tambahnya.
Herbalife kini menaja 100 atlet bertaraf dunia, pasukan dan pelbagai acara di seluruh dunia, mencerminkan komitmen syarikat kepada kecemerlangan gaya hidup, kesihatan dan aktif.

Selasa, 21 Jun 2011

Lawan skuad negara belum diketahui

21 Jun 2011

KUALA LUMPUR, (D5) - Peminat pasukan kebangsaan terpaksa menunggu sedikit masa lagi untuk mengetahui siapakah lawan yang bakal menguji Harimau Malaya yang dijadual dilangsungkan pada 24 Julai ini selepas empat pasukan yang diundangan, Maldives, Macau dan Laos menolak pelawaan FAM sementara Filipina membisu. 

Perlawanan ini dirangka sebagai persiapan skuad negara sebelum turun dalam kelayakan Piala Dunia bertemu Taiwan hujung bulan ini. 

"Saya masih lagi belum mendapat jawapan. Kalau tidak saya perlu melakukan sesuatu untuk mengatasi situasi ini apa yang terbaik untuk skuad kebangsaan," ujar Datuk K. Rajagobal di sesi latihan pasukan di Wisma FAM. 

Jika tiada pilihan, Rajagobal mungkin akan memilih untuk mengaturkan sebuah perlawanan dengan pasukan negara atau kelab sebagai medan terakhir sebelum bertemu Taiwan. 

Sabtu, 18 Jun 2011

M'sia nyaris kenduri gol di Kota Bharu

19 Jun 2011


Image © D5 
Amirulhadi Zainal (kanan) menjaringkan gol pertama buat pasukan Malaysia ketika bertemu Myanmar di Kota Bharu. (gambar arkib)

KUALA LUMPUR, (D5) - Hanya penyudah tumpul menyaksikan Malaysia terlepas peluang menang besar ke atas Myanmar apabila menang 2-0 di Stadium Muhammad Ke-IV di Kota Bharu. 

Gol Malaysia dijaringkan setiap separuh masa menerusi Mohd Amirulhadi Zainal pada minit ke-27 dan Baddrol Bakhtiar (m54). 

Perlawanan dimulakan dengan keadaan padang yang becak sebelum perlawanan sehingga menjejaskan corak permainan kedua-dua pasukan. 

Pintu gol cemas seketika apabila kesilapan penjaga gol, Mohd Sharbinee Allawee tersilap mengagak hantaran lintang pada minit ke-9. 

Abdul Hadi Yahaya yang turun sebagai penyerang utama bagaimanapun sukar mencari ruang untuk mengancam kubu tuan rumah. 

Rakan gandingannya, Baddrol Bakhtiar lebih mencuri tumpuan dan sering dipertanggungjawab untuk memikul tugas mengambil sepakan percuma selepas lebih lima peluang terhidang di luar kotak penalti ekoran corak permainan agresif lawan. 

Pada minit ke-23, kegagalan Sharbinee membaca hantaran rendah dengan baik nyaris memakan diri dan mujur Helmi Remeli menyelamatkan keadaan.

Amirulhadi akhirnya memecah kebuntuan selepas berada di kedudukan tepat menyambut kesilapan pemain pertahanan lawan yang cuba mengeluarkan bola dalam kotak penalti. 

Rentak anak-anak buah Datuk K. Rajagobal lebih meyakinkan dan mendominasi sebahagian besar separuh masa kedua. 

Sembilan minit permainan bersambung Baddrol melakukan penyudah menarik selepas tidak dikawal untuk pintu gol Myanmar dibolosi buat kali kedua. 

Bagaimanapun tonggak Kedah itu terlepas dua peluang keemasan untuk melebarkan kedudukan apabila rembatannya (m65) tepat ke arah penjaga gol lawan dan berselang seminit kemudian tolakannya tidak menepati sasaran. 

Namun, corak permainan masih tetap meyakinkan dengan kesebelasan pemain banyak menggunakan segenap inci padang untuk mencipta gerakan baik dari kawasan tengah mahupun pemain sayap. 

Dalam pada itu, Aidil Zafuan terpaksa dikejarkan ke hospital dan tahap kecederaan kaki kirinya dilihat agak membimbangkan selepas berlaga dengan pemain lawan. 

Menurut Rajagobal yang ditemui sejurus permainan tamat, "Keseluruhannya saya nampak pemain seperti biasa memberi komitmen dalam situasi hujan dan padang becak. 

"Saya lihat kombinasi-kombinasi dan akan menilai persembahan pemain sebelum menyenaraikan nama-nama pemain. 

"Saya memang menjangkakanMyanmar bermain dengan laju dan agresif. Itu yang saya mahu tengok."

Jumaat, 17 Jun 2011

Harimau Malaya bakal diuji Myanmar esok

18 Jun 2011


Image © AFP
Malaysia perlu mengambil peluang aksi kelayakan Piala Dunia untuk memperbaiki ranking FIFA. Pemain Mohammad Safee Mohammad Sali (kanan), Safiq Rahim (kiri) dan Ahmad Fakri Saarani meraikan gol pertama skuad Malaysia, ketika menentang Hong Kong dalam perlawanan persahabatan di Stadium Shah Alam, 9 Disember 2010. (gambar arkib)

KOTA BAHARU, (Bernama) - Perlawanan persahabatan antarabangsa antara Malaysia dan Myanmar di Stadium Sultan Mohammed ke-IV di sini esok bakal menguji  kemampuan pemain di persada antarabangsa.
Jurulatih skuad kebangsaan Datuk K. Rajagobal berkata beliau yakin pemain kesebelasan utama akan menampilkan persembahan terbaik bagi sajian peminat di luar Kuala Lumpur.
"Perlawanan ini akan menguji tahap keupayaan pasukan negara menghadapi Taiwan pada perlawanan kelayakan Piala Dunia pada 29 Jun ini," katanya kepada  pemberita selepas majlis suaikenal pemain pasukan Malaysia dan Myanmar di sini, hari ini.
Rajagobal berkata walaupun tidak dapat menurunkan lima pemain utama akibat kecederaan namum beliau menaruh harapan kepada penyerang Abdul Hadi Yahya untuk membawa kejayaan menentang Myanmar.
Seorang wira 'Red Warriors' Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha turut tidak dapat diturunkan esok kerana mengalami kecederaan urat pelipat lutut ketika perlawanan Liga Super menentang Perak dua hari lepas.
Selain, Norshahrul, pasukan Harimau Malaya turut dibantu oleh empat tonggak Kelantan yang lain iaitu S. Chanturu, Mohd Shakir Shaari, Rizal Fahmi Rosid dan Farishan Ismail.
Sementara itu, ketua pasukan negara, Mohd Shafiq Rahim, yang juga penyerang Selangor, memberi jaminan pasukannya akan menunjukkan permainan terbaik menentang  Myanmar.
"Ini bagi memenuhi hasrat peminat bola sepak Pantai Timur yang pertama kali diberi peluang menyaksikan perlawanan berprestij di peringkat antarabangsa ini  yang diadakan di luar Kuala Lumpur," katanya.
Sementara itu, Persatuan Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan "Kelate.net", Mahizi Mahmood berharap penyokong dan peminat di negeri itu akan menunjukkan  disiplin dan semangat kesukanan yang tinggi ketika menyaksikan perlawanan persahabatan itu.

Rabu, 15 Jun 2011

Tiket Malaysia lawan Liverpool, Arsenal dan Chelsea dapat sambutan menggalakkan

16 Jun 2011

PETALING JAYA, (Bernama) - Tiket bagi perlawanan bola sepak persahabatan antara Malaysia dan tiga pasukan handalan Inggeris -- Liverpool, Arsenal dan Chelsea -- yang akan berlangsung di sini bulan depan mendapat sambutan menggalakkan sejak mula dijual lima hari lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif ProEvents International Sdn Bhd Julian Kam berkata setakat ini 20,000 tiket bagi perlawanan melibatkan Liverpool dijual.

Bagi perlawanan dengan Arsenal, sebanyak 16,500 tiket telah dijual dan dengan Chelsea, 15,000 telah dijual.

"Saya rasa tiket akan habis dijual menjelang hujung bulan ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

ProEvents adalah penganjur ketiga-tiga perlawanan itu. 

Tiket berharga antara RM58, RM68, RM108 dan tiket VIP terhad RM388 boleh didapati di kedai sukan terpilih seperti Adidas dan kedai Ticketpro.

Malaysia akan menentang Arsenal pada 13 Julai, Liverpool pada 16 Julai dan Chelsea pada 21 Julai. Perlawanan dengan Liverpool bermula pada 5.45 petang manakala dua perlawanan lagi bermula pada 8.45 malam.

Rajagobal hadapi dilema penyerang

16 Jun 2011

KUALA LUMPUR, (D5) - Jurulatih bola sepak negara, Datuk K. Rajagobal terpaksa melupakan khidmat Norshahrul Idlan Talaha bagi tugasan skuad negara akibat kecederaan hamstring. 

Pemain itu membayar harga sebaik menjaringkan gol tunggal ketika merakamkan kemenangan ke atas Perak Selasa lalu. 

Rajagobal menganggap kecederaan seumpama itu hanya akan pulih selepas dua hingga tingga minggu, sekali gus bakal terlepas perlawanan persahabatan menentang Myanmar dan kelayakan Piala Dunia bertemu Taiwan 29 Jun ini. 

Bahagian serangan mengundang resah buat pengendali Harimau Malaya itu apabila tiga daripada mereka mengikut jejak Norshahrul termasuk Shahrizal Mohd Saad, Mohamad Hisyamudin Mohamed Shaari dan S. Chanturu. 

Bagaimanapun Rajagobal masih memiliki khidmat Abdul Hadi Yahaya, Mohd Safee Sali dan Yong Kuong Yong. 

Seramai 18 pemain telah melaporkan diri untuk latihan pusat di Wisma FAM kecuali empat tonggak Terengganu yang menghadiri jamuan makan malam dengan Yang di-Pertuan Agong Sultan Mizan Zainal Abidin serta empat pemain Harimau Muda A yang kini bersama Ong Kim Swee di Doha. 

Tiket Msia menentang kelab EPL mula dijual

16 Jun 2011

KUALA LUMPUR, (Bernama) - Tiket bagi perlawanan bola sepak persahabatan antara Malaysia dan tiga pasukan handalan Inggeris -Liverpool, Arsenal dan Chelsea  yang akan berlangsung di sini bulan depan, mula dijual di Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini.
ProEvents, syarikat yang menganjurkan perlawanan-perlawanan itu, berkata dalam satu kenyataan di sini hari ini bahawa, tiket untuk perlawanan antara pasukan  negara dan Liverpool mula dijual pada 5.45 petang hari ini manakala tiket untuk perlawanan dengan Arsenal dan Chelsea akan dijual esok.
Malaysia akan menentang Arsenal pada 13 Julai, Liverpool pada 16 Julai dan Chelsea pada 21 Julai. Perlawanan dengan Liverpool bermula pada 5.45 petang  manakala dua perlawanan lagi bermula pada 8.45 malam.
Tiket berharga antara RM58 dan RM388.

Khamis, 28 April 2011

Astro Arena rai kecemerlangan atlet di pentas sukan

29 April 2011



MENDAPAT PENGIKTIRAFAN: Sebahagian daripada para atlet yang dilantik sebagai Duta dan Legenda Terbaru Astro Arena malam kelmarin.
KUALA LUMPUR: Saluran Astro Arena telah mengadakan Malam Keraian Sukan Malaysia sempena dengan sambutan ulang tahun pertamanya yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di sini, malam kelmarin.
Pada majlis gilang-gemilang itu, beberapa atlet yang pernah mengharumkan nama negara dalam bidang sukan dipilih untuk memenangi beberapa kategori seperti Atlet Lelaki Pilihan Berpasukan, Atlet Wanita Pilihan Berpasukan, Atlet Muda Pilihan, Kebangkitan Pilihan dan Anugerah Meja Sukan Pilihan (Media Cetak).
Kategori Atlet Lelaki Pilihan Berpasukan dimenangi oleh Safee Sali (bola sepak) diikuti Nur Ayuni Abd Halim (menembak) bagi kategori Atlet Wanita Pilihan Berpasukan sementara atlet angkat berat, Amirul Hamizan Ibrahim memenangi kategori Kebangkitan Pilihan.
Seorang lagi atlet iaitu Khairul Fahmi Che Mat (bola sepak) dipilih untuk memenangi kategori Atlet Muda Pilihan manakala akhbar Kosmo telah menerima Anugerah Meja Sukan Pilihan (Media Cetak).
Sementara itu, seramai 22 orang atlet turut dipilih sebagai Duta Terbaru Astro Arena dan sembilan lagi atlet dipilih sebagai Legenda Terbaru Astro Arena.
Mereka yang dilantik sebagai duta ialah Alex Liew (boling), Azizulhasni Awang (lumba basikal), Azlan Iskandar (skuasy), Bryan Nickson (terjun), Daniel Bego (renang), Khairul Fahmi Che Mat (bola sepak), Datuk Lee Chong Wei (badminton), Leong Mun Yee (terjun), Low Wee Wern (skuasy), P.Mariappan (paralimpik, angkat berat), Aidil Zafuan Abdul Razak (bola sepak), Zaquan Adha Abdul Razak (bola sepak), Safee Sali (bola sepak) serta Datuk Nicol David (skuasy).
Atlet-atlet lain yang turut dilantik ialah Nor Shahrul Idlan Talaha (bola sepak), Nur Suryani Mohd Taibi (menembak), Pandelela Rinong (terjun), S.Kumar (hoki), Suhan Kumar (kriket), Yamini Gopalasamy (karate), Zandra Aziela (boling) dan Zamri Baba (Cub Prix).
Manakala Lagenda Terbaru Astro Arena yang dipilih ialah Ishtiaq Mubarak (olahraga), Marina Chin (olahraga), Tan Sri Dr. M.Jegathesan (olahraga), Mirnawan Nawawi (hoki), Datuk Misbun Sidek (badminton), Datuk Rahim Razali (pengulas sukan), Datuk Soh Chin Aun (bola sepak), Datuk R.Yogeswaran (hoki) dan R.Puvaneswaran (karate).
Astro Arena telah mengadakan sambutan selama sebulan bagi meraikan ulang tahunnya dan kemuncaknya pada majlis itu adalah memberi pengiktirafan kepada jagoan sukan negara.
Saluran itu turut membuka peluang kepada rakyat di negara ini untuk mengundi para atlet pilihan mereka di mana sebanyak 12,582 pengundi telah mengundi untuk anugerah yang pertama dianjurkan seumpama ini.
Majlis itu disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja’afar, Pengerusi Astro Malaysia Holdings Sdn Bhd, Dato’ Badri Masri serta para tetamu kehormat yang lain.
Astro Arena merupakan satu-satunya saluran sukan tempatan yang bersiaran selama 24 jam dengan menfokuskan perkembangan sukan dan atlet di negara ini dan disampaikan sepenuhnya dengan menggunakan Bahasa Malaysia.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...