Aidil Zafuan & Zaquan Adha

Keluarga Aidil Zafuan

Keluarga Zaquan Adha

LIKE jika suka :)

Khamis, 28 April 2011

Astro Arena rai kecemerlangan atlet di pentas sukan

29 April 2011



MENDAPAT PENGIKTIRAFAN: Sebahagian daripada para atlet yang dilantik sebagai Duta dan Legenda Terbaru Astro Arena malam kelmarin.
KUALA LUMPUR: Saluran Astro Arena telah mengadakan Malam Keraian Sukan Malaysia sempena dengan sambutan ulang tahun pertamanya yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di sini, malam kelmarin.
Pada majlis gilang-gemilang itu, beberapa atlet yang pernah mengharumkan nama negara dalam bidang sukan dipilih untuk memenangi beberapa kategori seperti Atlet Lelaki Pilihan Berpasukan, Atlet Wanita Pilihan Berpasukan, Atlet Muda Pilihan, Kebangkitan Pilihan dan Anugerah Meja Sukan Pilihan (Media Cetak).
Kategori Atlet Lelaki Pilihan Berpasukan dimenangi oleh Safee Sali (bola sepak) diikuti Nur Ayuni Abd Halim (menembak) bagi kategori Atlet Wanita Pilihan Berpasukan sementara atlet angkat berat, Amirul Hamizan Ibrahim memenangi kategori Kebangkitan Pilihan.
Seorang lagi atlet iaitu Khairul Fahmi Che Mat (bola sepak) dipilih untuk memenangi kategori Atlet Muda Pilihan manakala akhbar Kosmo telah menerima Anugerah Meja Sukan Pilihan (Media Cetak).
Sementara itu, seramai 22 orang atlet turut dipilih sebagai Duta Terbaru Astro Arena dan sembilan lagi atlet dipilih sebagai Legenda Terbaru Astro Arena.
Mereka yang dilantik sebagai duta ialah Alex Liew (boling), Azizulhasni Awang (lumba basikal), Azlan Iskandar (skuasy), Bryan Nickson (terjun), Daniel Bego (renang), Khairul Fahmi Che Mat (bola sepak), Datuk Lee Chong Wei (badminton), Leong Mun Yee (terjun), Low Wee Wern (skuasy), P.Mariappan (paralimpik, angkat berat), Aidil Zafuan Abdul Razak (bola sepak), Zaquan Adha Abdul Razak (bola sepak), Safee Sali (bola sepak) serta Datuk Nicol David (skuasy).
Atlet-atlet lain yang turut dilantik ialah Nor Shahrul Idlan Talaha (bola sepak), Nur Suryani Mohd Taibi (menembak), Pandelela Rinong (terjun), S.Kumar (hoki), Suhan Kumar (kriket), Yamini Gopalasamy (karate), Zandra Aziela (boling) dan Zamri Baba (Cub Prix).
Manakala Lagenda Terbaru Astro Arena yang dipilih ialah Ishtiaq Mubarak (olahraga), Marina Chin (olahraga), Tan Sri Dr. M.Jegathesan (olahraga), Mirnawan Nawawi (hoki), Datuk Misbun Sidek (badminton), Datuk Rahim Razali (pengulas sukan), Datuk Soh Chin Aun (bola sepak), Datuk R.Yogeswaran (hoki) dan R.Puvaneswaran (karate).
Astro Arena telah mengadakan sambutan selama sebulan bagi meraikan ulang tahunnya dan kemuncaknya pada majlis itu adalah memberi pengiktirafan kepada jagoan sukan negara.
Saluran itu turut membuka peluang kepada rakyat di negara ini untuk mengundi para atlet pilihan mereka di mana sebanyak 12,582 pengundi telah mengundi untuk anugerah yang pertama dianjurkan seumpama ini.
Majlis itu disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja’afar, Pengerusi Astro Malaysia Holdings Sdn Bhd, Dato’ Badri Masri serta para tetamu kehormat yang lain.
Astro Arena merupakan satu-satunya saluran sukan tempatan yang bersiaran selama 24 jam dengan menfokuskan perkembangan sukan dan atlet di negara ini dan disampaikan sepenuhnya dengan menggunakan Bahasa Malaysia.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...