Aidil Zafuan & Zaquan Adha

Keluarga Aidil Zafuan

Keluarga Zaquan Adha

LIKE jika suka :)

Rabu, 30 Januari 2013

Benarkah Aidil perampas?

31 Januari 2013 (30 Januari 2013)


Mohd. Nazmi Faiz

AWAL pagi Isnin yang cerah, dunia seni dan dunia sukan tempatan dikejutkan dengan berita panas. Kisah ini ciptaan bintang bolasepak remaja kebangsaan, Mohd. Nazmi Faiz Mansor.

Walaupun Nazmi berada dalam dunia sukan, tetapi kes ini menjadi bertambah hangat apabila ia turut membabitkan nama-nama 'panas' yang lain.

Nazmi mendakwa, suami kepada pelakon Rita Rudaini iaitu Aidil Zafuan Abdul Radzak telah merampas dan menjalinkan hubungan sulit dengan bekas teman wanitanya yang dikenali sebagai Tengku Fiella.

Mohd. Nazmi Faiz, 19, yang kini bermain untuk kelab SC Beira-Mar mendakwa, Aidil yang kini mewakili Johor Darul Takzim telah memberikan sejumlah wang kepada Tengku Fiella untuk membolehkan bekas kekasihnya itu berbelanja di Johor.

Meskipun Mohd. Nazmi kemudian memadamkan dakwaan itu daripada twitternya tidak lama kemudian, ternyata kenyataan itu membawa kesan yang sangat hebat kepada Aidil sendiri.

Menurut Aidil, dia menjadi mangsa 'permainan' dan rasa kecewa wanita bernama Tengku Fiella itu. Hits dapat mendengar luahan hati Aidil pada petang Isnin lalu. Dalam pada itu, Rita Rudaini pula mengaku semakin 'geli' dengan pelbagai kisah cinta yang dikaitkan dengan suaminya akhir-akhir ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Hiburan/20130130/hi_04/Benarkah-Aidil-perampas#ixzz2JVI34RQu
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Raja! Cerita yang sebenar

31 Januari 2013



KOTA BHARU - Isu Mohd. Badri Radzi tidak disenaraikan dalam skuad kebangsaan pimpinan Datuk K. Rajagobal akan berterusan selagi jurulatih itu terus bersikap mengelak daripada menceritakan keadaan sebenar.

"Hanya Rajagobal yang boleh meredakan isu hangat antara dia dan Badri (Piya)," kata legenda bola sepak Kelantan, Dali Omar yang ditemui Utusan Malaysia di sini, semalam.

Menyifatkan tindakan itu amat 'tidak kena', Dali berkata, sebagai seorang jurulatih, Rajagobal sepatutnya memberitahu kesilapan dan kekurangan Piya, agar pemain itu dapat memperbaikinya dan tidak kempunan menyarung jersi kebangsaan.

Bagi Dali, Piya pada anggapannya pemain tengah terbaik di Malaysia buat masa ini, jauh lebih baik daripada pemain Johor Darul Takzim, Safiq Rahim yang menjadi pilihan utama Rajagobal tetapi digantung perlawanan.
Jelasnya, Piya mempunyai kelebihan daripada semua segi seperti kelebihan membuat sepakan sudut, pergerakan tangkas, kawalan serta hantaran bola.

"Saya hairan, apa masalah Rajagobal sebenarnya? Adakah kerana dia ada isu peribadi dengan sesiapa sehingga dia enggan ambil Piya? Tidakkah dia sedar bahawa Piya pemain tengah terbaik negara sekarang? Kalau dibandingkan antara Piya dan Safiq bagai langit dengan bumi, Piya lengkap segala segi tapi Safiq hanya pakar sepakan sudut sahaja.

"Anda kena jujur memberitahu kepada pemain corak permainan bagaimana yang anda mahu serta kelemahan mereka," ujarnya kepada Utusan Malaysia.

Beliau diminta mengulas tindakan Rajagopal yang terus menyisihkan Mohd. Badri daripada skuad kebangsaan yang akan memulakan kempen Kelayakan Piala Asia 2015 menentang Qatar pada 6 Februari ini.

Dali merupakan bekas pemain kebangsaan pada awal 1970-an dan selain Kelantan, dia pernah mewakili beberapa kelab di Australia selepas mengambil keputusan berhijrah sebelum mengakhiri karier sebagai jurulatih di negara berkenaan.

Menurut Dali, tindakan Rajagobal mengambil pemain muda bagi mengisi kekosongan pemain yang cedera akan membawa padah kepada pasukan negara dalam kempen Kelayakan Piala Asia.

Beliau berkata, untuk bermain di peringkat yang tinggi, Rajagobal sepatutnya menghantar pemain berusia 27 tahun ke atas kerana pada usia itulah pemain negara berada pada tahap paling matang sama ada dari sudut fizikal dan kawalan emosi.

Jelasnya, Rajagobal sepatutnya faham tahap pemain Malaysia tidak boleh dibandingkan dengan pemain Liga Perdana Inggeris yang matang lebih awal pada usia 22 dan 23 tahun.

"Kita tidak akan mencapai apa-apa dalam Piala Asia nanti dan apa-apa kejohanan sekalipun jika beginilah cara Rajagobal memilih pemain kebangsaan, seolah-olah macam memilih dan mencampak bahan masakan dalam periuk sahaja," katanya.

Dalam pada itu, Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan (kelate.net) menempelak sikap pengendali Harimau Malaya itu yang mengaitkan dua bekas pengendali The Red Warriors, Datuk M. Karathu dan B. Sathianathan sebagai punca kegagalannya menyenaraikan Piya.

Timbalan Presiden kelate.net Mahizi Mahmood menegaskan, tindakan tersebut mencermin sikap sebenar pengendali Harimau Malaya yang dilihat seolah-olah memperlekehkan kemampuan pemain paling berpengaruh dalam pasukan Kelantan.

"Menjadikan Karathu dan Sathianathan sebagai punca kenapa beliau tidak memilih Piya untuk beraksi dalam skuad kebangsaan adalah sesuatu yang tidak profesional dan boleh memberikan gambaran kurang baik kepada kedua-dua tokoh berkenaan.

"Selaku peminat bola sepak, kami tidak boleh menerima alasan tersebut, dan dalam hal ini beliau perlu berterus terang bagi membolehkan semua orang tahu kenapa Piya tiada dalam skuad negara.

"Tindakan ini menunjukkan seolah-olah beliau mahu 'cuci tangan' dalam isu ini. Hanya beliau yang mempunyai kuasa untuk memilih pemain bagi menyarung jersi kebangsaan atas kapasiti selaku ketua jurulatih," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20130131/su_01/Raja-Cerita-yang-sebenar#ixzz2JVHoCGWz
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Iraq uji keserasian Harimau Malaya

31 Januari 2013


KUALA LUMPUR - Sejauh mana keserasian pemain Harimau Malaya akan diketahui apabila menentang Iraq dalam aksi persahabatan, esok sebelum berlangsungnya perlawanan pembukaan Kelayakan Piala Asia 2015, Rabu depan.

Menentang Iraq juga bakal memberi pengalaman berharga buat skuad negara terutamanya dalam menangani corak permainan bola tinggi yang menjadi kegemaran lawan termasuk Qatar yang akan melayan Harimau di Doha selepas itu.

Bagi penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat yang hampir pasti merampas semula kedudukan penjaga gol No. 1 negara, bertemu Iraq sangat penting buat dia dan pasukan.

"Bertemu Iraq sangat penting buat kami, ini adalah ujian terakhir sebelum bertemu Qatar, setidak-tidaknya kami boleh mencari persefahaman berikutan ramai pemain baru kerana pemain senior kebanyakannya mengalami masalah kecederaan," katanya.

Mereka yang masih dibelenggu kecederaan ialah Safee Sali, Wan Zack Haikal Wan Nor, Norshahrul Idlan Talaha, K. Gurusamay, Gary Steven Robbat serta Mohd. Bunyamin Umar.

Khairul Fahmi berkata, baik pemain baru atau lama, masing-masing perlu memberi fokus terhadap corak permainan bola tinggi yang sering diguna pakai Qatar selain menumpukan perhatian kepada kelebihan fizikal pasukan tersebut.

"Pada pendapat saya, pasukan kita harus memberikan perhatian kepada bola tinggi ketika menentang pasukan seperti Qatar. kita kena mencabar dengan lebih agresif memandangkan pemain-pemain mereka memiliki fizikal yang lebih tinggi.

"Masa memang semakin suntuk, namun kami perlu cepat mencari keserasian terutama ketika beraksi menentang Iraq, ramai pemain telah cedera dalam skuad ini dan ada pemain-pemain (yang pernah beraksi bersama skuad kebangsaan) datang kembali bersama pasukan ini antaranya Amri Yahyah,'' ujarnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20130131/su_02/Iraq-uji-keserasian-Harimau-Malaya#ixzz2JVHcAyB1
© Utusan Melayu (M) Bhd 

'Bentuk kombinasi terbaik'

31 Januari 2013

KHAIRUL giat berlatih sebagai persediaan menghadapi kempen kelayakan Piala Asia 2015.


ADA pesanan penting yang mahu disampaikan penjaga gol Harimau Malaya, Khairul Fahmi Che Mat kepada rakan-rakan sepasukannya menjelang aksi pembukaan menentang Qatar pada kempen kelayakan Piala Asia 2015 di Doha, 6 Februari ini.
Menyedari Harimau Malaya tempang selepas kehilangan enam tonggak utama yang dibelenggu masalah kecederaan, Khairul berharap rakan-rakan sepasukannya membentuk persefahaman jitu dalam masa terdekat.
Esok, Harimau Malaya berpeluang menguji kekuatan sedia ada apabila dijadualkan menentang Iraq pada aksi persahabatan di Doha.
“Umum mengetahui bahawa ramai pemain cedera dan ada pemain-pemain (yang pernah beraksi bersama skuad kebangsaan) kembali diserapkan, antaranya Amri Yahyah.
“Dalam masa suntuk ini, kami harus mencari keserasian dengan cepat sebagai persediaan terbaik sebelum bertemu Qatar,” jelas Khairul kepada pemberita di Wisma FAM, Kelana Jaya kelmarin.
Enam pemain yang dibelenggu masalah kecederaan ialah Mohd. Safee Sali, Wan Zack Haikal Wan Nor, Norshahrul Idlan Talaha, K. Gurusamay, Gary Steven Robbat dan Mohd. Bunyamin Umar.
Mengulas pertemuan menentang Qatar, Khairul sedar kekuatan pasukan lawan itu yang sudah pasti menampilkan hantaran bola tinggi.
“Pada pendapat saya, kami harus memberikan perhatian kepada hantaran bola tinggi ketika menentang pasukan seperti Qatar.
“Ini kerana (hantaran) bola tinggi adalah kelebihan mereka dan apa yang pasti, kami harus memberi cabaran lebih agresif memandangkan pemain-pemain Qatar memiliki fizikal yang lebih tinggi,” katanya.
Sementara itu, pemain sayap Pahang, Azamuddin Akil mengakui yang dia teruja untuk beraksi buat kali pertama di pentas Piala Asia 2015.
Azamuddin kini nekad untuk membalas kepercayaan Rajagobal dengan mempamerkan persembahan cemerlang selain berusaha menampung kehilangan pemain sayap lincah Selangor, S. Kunanlan.
“Setiap pemain kini begitu bersungguh untuk bermain dan saya juga sangat teruja kerana ini merupakan aksi Piala Asia pertama saya sepanjang beraksi bersama Harimau Malaya.
“Pada saya, tiada masalah untuk bermain di posisi Kunanlan kerana ketika bersama Pahang, saya sudah biasa beraksi di sayap kiri,” katanya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0131&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz2JVGmuFis 
Hakcipta terpelihara 

Harimau Malaya Tidak Gentar Hadapi Qatar

30 Januari 2013


SEPANG: Penyerang kebangsaan, Norfarhan Muhammad berkata skuad Harimau Malaya tidak gentar menghadapi lawan pertama pada kempen kelayakan Piala Asia 2015 menentang Qatar di Doha, pada 6 Februari ini.
"Sungguhpun pasukan dihambat dengan isu kecederaan besar-besaran, namun itu tidak menjadi masalah untuk membentuk kombinasi mantap menjelang perlawanan itu nanti," kata Norfarhan yang merupakan tonggak baharu yang bakal ditampilkan ketua jurulatih, Datuk K. Rajagobal pada saingan tersebut.
Pemain tengah Kelantan itu yang kali terakhir menyarung jersi kebangsaan pada Piala AFF Suzuki 2008, mengakui barisan pemain baharu termasuk dirinya tidak menghadapi kesukaran untuk mencipta keserasian pada aksi perlawanan itu kelak. "Walaupun belum cergas sepenuhnya, saya akan membalas kepercayaan jurulatih jika terpilih untuk beraksi (menentang Qatar)," katanya kepada Bernama sebelum berlepas ke Dubai, Emiriah Arab Bersatu, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, Selasa.
Skuad Harimau Malaya akan mengadakan perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Iraq di Dubai pada Khamis ini, sebelum berlepas ke Doha untuk aksi kelayakan Piala Asia 2015 menentang Qatar. Dalam pada itu, pemain pertahanan, Mahali Jasuli turut senada dengan Norfarhan dan menurutnya, persiapan pasukan negara tidak terjejas sekalipun ramai pemain baharu mengisi senarai skuad kebangsaan bagi menggantikan pemain yang cedera.
Berikutan kepincangan dalam skuad negara akibat masalah kecederaan pemain utama, Rajagobal hanya menyenarai 24 pemain daripada perancangan asal 26 pemain.
Antara tonggak yang disisihkan ialah penyerang, Norshahrul Idlan Talaha dan Safee Sali selain pemain tengah, S. Kunalan, Wan Zack Haikal Wan Nor, Gary Steven Robbat dan K. Gurusamy. -BERNAMA

Harap semangat muka baru

30 Januari 2013

Sepang: Skuad Harimau Malaya berlepas ke Dubai, UAE, pagi semalam untuk aksi persahabatan menentang Iraq, Jumaat ini bagi mencari momentum menjelang aksi sulung Kelayakan Piala Asia 2015 bertemu Qatar di Doha, 6 Februari ini dengan semangat tinggi daripada pemain terutama muka baru. 

Pemain berpengalaman seperti Nor Farhan Muhammad, Amri Yahyah, Abdul Hadi Yahaya, Ashari Samsudin dan Helmi Remeli kembali mendapat panggilan manakala Shukur Jusoh, Affize Faisal Mamat, K Reuben, Yong Kuong Yong dan Fauzi Roslan pula pasti mengintai peluang. 

Malah, tonggak sedia ada seperti Farizal Marlias, Khairul Fahmi Che Mat, Aidil Zafuan Radzak, Mahalli Jasuli, Fadhli Shas, Asraruddin Putra Omar, Azamuddin Akil, Shakir Shaari dan Khyril Muhymeen Zambri masih berada dalam senarai 24 pemain yang dibawa. 


Ini jelas menunjukkan situasi masih positif, sekali gus tidak sepatutnya membuatkan jurulatih kebangsaan, Datuk K Rajagobal menjadikan krisis kecederaan ramai pemain utama sebagai alasan andai Harimau Malaya tumbang kepada Qatar. 

Bagi Mahalli yang beraksi di posisi bek kanan, dia yakin kekuatan pasukan kali ini tidak banyak beza biarpun tanpa beberapa tonggak kerana pemain pengganti memiliki kemampuan lebih kurang sama. 

“Tak jauh beza sangat sebenarnya barisan pemain dalam skuad kali ini. Lagi pun muka baru dipanggil nampak cukup bersemangat dan bermotivasi tinggi untuk membuktikan mereka layak menyarung jersi skuad kebangsaan,” katanya sebelum berlepas, semalam. 

Amri, 32, pemain paling senior dalam skuad kali ini pula mengharapkan rakan lain tidak gentar, malah bersedia jika diturunkan berdepan Qatar nanti. 
“Memang teruja, sebab saya seorang saja paling senior. Saya harap dapat kerjasama daripada semua pemain. Tekanan memang ada kerana Harimau Malaya baru saja tewas separuh akhir Piala Suzuki AFF. 

“Jadi pemain yang dipanggil kali ini perlu menyahut cabaran ini dan jangan takut. Walaupun kita perlu realisitik dengan kekuatan lawan, kita perlu harungi juga kerana sasaran pasukan ialah untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia 2015,” katanya. 

‘Jawablah sendiri!’

30 Januari 2013

pix_topright


Kuala Lumpur: “Dia (Datuk K Rajagobal) sebagai ketua jurulatih perlu bersikap profesional. Kalau pihak media tanya soalan dia perlu jawab dan bukannya menyuruh orang lain memberikan jawapan. Dia sebagai ketua jurulatih sepatutnya lebih tahu kenapa Piya (Mohd Badhri Radzi) tidak dipanggil bermain dengan skuad kebangsaan dan bukannya orang lain,” jelas bekas jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu.
Pendirian Karathu itu menggambarkan beliau tidak senang dengan kenyataan Rajagobal yang meminta pihak media mendapatkan penjelasan lanjut kepadanya dan seorang lagi bekas jurulatih The Red Warriors, B Sathianathan mengenai alasan kenapa Badhri tidak mendapat tempat dalam skuad Harimau Malaya kali ini.

Karathu yang pernah membimbing Kelantan memenangi Liga Super pada 2011 berkata, setiap jurulatih mempunyai pandangan tersendiri dan Rajagobal tidak perlu menyerahkan tugas kepada orang lain ketika diminta mengulas kedudukan seseorang pemain.
“Dia ketua jurulatih boleh beritahu pandangannya tentang Piya, jangan mahu ‘cuci tangan’. Memang saya pernah melatih Piya tapi itu dua tahun dulu, mungkin sekarang prestasinya sudah berubah.

“Setiap jurulatih ada pandangan tersendiri dan dia sebagai ketua jurulatih juga berhak memberikan pandangan. Kalau mahu pilih 11 pemain untuk satu pasukan mungkin hanya tujuh pemain adalah pemain yang menjadi pilihan semua jurulatih dan selebihnya tidak sama. Kalau 10 jurulatih bagi pandangan yang sama pasti pasukan itu tidak menjadi,” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Badhri, kapten Kelantan yang menjulang tiga gelaran musim lalu bersama skuad negeri tidak pernah mendapat perhatian Rajagobal sebelum ini. Persoalan ini kembali dibangkitkan apabila Harimau Malaya terpaksa melupakan khidmat pemain tengah, Safiq Rahim yang digantung perlawanan bagi aksi persahabatan menentang Iraq di Dubai esok dan berdepan Qatar di Doha dalam kempen kelayakan Piala Asia 2015, 6 Februari ini.
Foto
M Karathu
Selain Safiq, pengendali negara itu turut mengeluh kerana kehilangan K Gurusamy dan Gary Steven Robbart di bahagian tengah namun tetap tidak menyenaraikan Badhri, 30.

Menurut Rajagobal dalam kenyataan yang disiarkan Arena Metro semalam, peminat boleh menyuarakan pendapat mengenai Badhri namun beliau lebih mengetahui mengenai pemain berdasarkan kesesuaian posisi dan taktikal pasukan.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/30

Tuntut maaf secara terbuka

30 Januari 2013


Kota Bharu: “Saya mahu dia (Nazmi) mohon maaf secara terbuka kerana mengaibkan saya,” kata model sambilan Tengku Norshufilla Tengku Muhammad Shubli, 21, atau Tengku Fiella, bekas teman wanita pemain bola sepak Nazmi Faiz Mansor, 19, yang didakwa pemain itu kononnya menjalin hubungan dengan pemain kebangsaan, Mohd Aidil Zafuan Abdul Razak, 26.
Harian Metro semalam melaporkan Nazmi menerusi Twitter dipercayai miliknya, menuduh Tengku Fiella curang dan menjalin hubungan sulit dengan Aidil. Kenyataan yang disiarkan pada jam 4.25 pagi itu bagaimanapun dipadam beberapa jam kemudian dan tidak dipastikan sama ada ia diceroboh atau ditulis Nazmi.
Menurut Tengku Fiella, dia kini bukan lagi teman wanita Nazmi kerana sudah memutuskan hubungan dengan pemain bola sepak kelab SC Beira-Mar, Portugal itu, tiga minggu lalu.

Katanya, selepas memutuskan hubungan, Nazmi ada menghubunginya, tetapi dia tidak menjawabnya sehingga Nazmi menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur ugutan mahu memalukan serta memburukkan namanya.
Foto
TENGKU Fiella membaca laporan kisahnya dalam Harian Metro.

“Saya ada melihat Twitter Nazmi yang memburukkan saya sebelum dia memadamnya.



Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/30

Pantang menyerah kalah

30 Januari 2013


Para pemain menuju ke bas yang membawa mereka ke KLIA, Sepang sebelum berlepas ke Dubai untuk aksi persahabatan menentang Iraq Jumaat ini. - UTUSAN/Safrizal Azmi

PETALING JAYA - Tiada istilah menyerah kalah sebelum berjuang buat Datuk K. Rajagobal walaupun menyedari lawan Harimau Malaya pada Kelayakan Piala Asia 2015, Qatar di Doha pada 6 Februari ini memiliki status jauh lebih hebat berbanding Malaysia.

Beliau berlepas bersama pemain skuad kebangsaan ke Dubai semalam untuk aksi perlawanan persahabatan dengan Iraq pada Jumaat ini.

Cuma Rajagobal beliau meminta peminat supaya secara realistik melihat dan membandingkan standard Qatar dan Malaysia kerana tidak mahu memberi harapan palsu kepada peminat Harimau Malaya.

“Kami ke tempat lawan ketika skuad kebangsaan berdepan masalah kecederaan pemain tonggak seperti Norshahrul Idlan Talaha, Safee Sali, K. Gurusamy, Gary Steven Robbat dan ramai lagi.

“Inilah keadaan sebenarnya skuad kebangsaan dan kita harus akui peluang kita agak sukar apabila berdepan Qatar nanti.

“Namun sebagai jurulatih saya akan cuba melakukan yang terbaik walaupun dilanda masalah kecederaan pemain yang kritikal.

“Aksi persahabatan dengan Iraq Jumaat ini memberi peluang untuk saya melihat siapa pemain yang layak diturunkan dalam perlawanan pertama kelayakan Piala Asia 2015," katanya ketika ditemui di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam.

Jelasnya, Qatar mempunyai jurang yang sangat berbeza dengan Malaysia di tambah pula dengan masalah kecederaan kritikal yang dihadapinya.

“Qatar adalah antara pasukan terbaik di Asia, mereka hampir melayakkan diri ke Piala Dunia 1998 Perancis, skuad mereka mempunyai lapan pemain naturalisasi dari Brazil, Uruguay, Eropah, Ghana dan Senegal

“Saya kena fikir dengan fikiran yang positif dan ditambah dengan keyakinan, gunakan kesempatan yang terhidang kerana kita sukar untuk mendapat peluang beraksi dengan pasukan hebat seperti ini," katanya.

Rajagobal berkata, beliau sudah mendapat gambaran awal mengenai kekuatan Qatar selepas menyaksikan kejohanan Piala Teluk 2013 yang berlangsung di Bahrain 5 hingga 18 Januari lalu melibatkan lapan pasukan Bahrain, Iraq, Kuwait, Oman, Qatar, Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Yemen.

Harimau Malaya akan menentang Iraq dalam aksi persahabatan di Dubai, UAE Jumaat ini sebelum bertemu Qatar di Doha Rabu depan.

Selain Qatar negara lain yang turut berada dalam Kumpulan D kelayakan Piala Asia 2015 Australia, ialah Bahrain dan Yemen.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20130130/su_01/Pantang-menyerah-kalah#ixzz2JSL7t2AF
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Rajagobal pasrah

30 Januari 2013



PEMAIN-PEMAIN skuad Harimau Muda meninggalkan pusat penginapan mereka di Kelana Jaya untuk berlepas ke Dubai petang semalam.


‘BAGAIKAN telur di hujung tanduk’. Mungkin pepatah itu tidak keterlaluan untuk menggambarkan situasi terkini skuad Harimau Malaya menjelang aksi pembukaan kempen kelayakan Piala Asia 2015.
Ini kerana, usaha untuk menyaksikan skuad kendalian Datuk K. Rajagobal layak secara automatik ke pusingan akhir Piala Asia itu dilihat sukar selepas menyaksikan beberapa tonggak utama terus dihantui kecederaan.
Ketiadaan pemain skuad utama, antaranya Mohd. Safee Sali, S. Kunanlan dan Mohd. Bunyamin Umar, jelas memberikan tamparan hebat kepada pengendali berusia 57 tahun itu dalam usaha memberikan keputusan lebih positif ketika menentang Qatar pada aksi pembukaan kelayakan Piala Asia, 6 Februari nanti.
Selepas Rajagobal ‘mengintip’ kekuatan lawan pada kejohanan Piala Teluk 2013 yang berlangsung di Bahrain baru-baru ini, beliau menyedari skuad negara bakal berdepan dengan tugas sukar.
Walaupun menyedari jurang besar di antara Harimau Malaya dengan Qatar, Rajagobal tetap tidak gentar malah menuntut barisan pemainnya untuk memberi tentangan sebaik mungkin.
“Tidak dapat dinafikan bahawa Qatar adalah antara pasukan terbaik Asia, malah mereka hampir berjaya mara ke pusingan akhir Piala Dunia 1998 Perancis.
“Kini, Qatar tampil dengan pasukan berbeza apabila mereka memiliki lapan pemain dari Brazil, Uruguay, Eropah, Ghana dan Senegal.
“Biarpun kita dihantui dengan krisis kecederaan, saya lebih suka berfikiran positif dan mahukan semua pemain beraksi dengan sebaik mungkin untuk memberi tentangan.
“Bukan selalu kita dapat beraksi menentang pasukan hebat seperti ini. Jadi, saya berharap mereka akan lebih bersemangat dan berkeyakinan dalam usaha meraih keputusan yang positif,” katanya kepada pemberita di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.
Sementara itu, Rajagobal mengakui beliau masih belum pasti siapa yang bakal diturunkan dalam skuad utama ketika berkunjung ke Qatar kelak.
Apa yang pasti, beliau mahu menguji kesemua 24 pemain Harimau Malaya dalam satu perlawanan pemanas badan menentang Iraq esok sebelum bertemu Qatar pada 6 Februari ini.
“Saya akan menilai semula prestasi semua pemain sebelum membuat keputusan menurunkan kesebelasan utama pada aksi menentang Qatar kelak.
“Apa yang bermain di fikiran saya kini ialah mahu melihat dahulu prestasi anak-anak buah saya ketika menentang Iraq sebelum bertemu Qatar,” katanya.
Harimau Malaya akan memulakan kempen Piala Asia 2015 menentang Qatar (6 Februari) sebelum bertemu Yemen dan Bahrain pada 22 Mac dan 15 Oktober depan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0130&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz2JSJbcp9Q 
Hakcipta terpelihara 

'Kami tidak gentar'

30 Januari 2013



NORFARHAN mengakui tidak gentar berdepan pasukan hebat seperti Qatar.


PENYERANG skuad Harimau Malaya, Norfarhan Muhammad berkata, mereka tidak gentar menghadapi Qatar pada aksi pertama kempen kelayakan Piala Asia 2015 di Doha pada 6 Februari ini.
"Sungguhpun pasukan dihambat dengan isu kecederaan besar-besaran, namun itu tidak menjadi masalah untuk membentuk kombinasi mantap menjelang perlawanan itu nanti," kata Norfarhan yang merupakan tonggak baharu yang bakal ditampilkan ketua jurulatih, Datuk K. Rajagobal pada kempen kelayakan Piala Asia kali ini.
Pemain tengah Kelantan itu yang kali terakhir menyarung jersi skuad kebangsaan pada Piala Suzuki AFF 2008 mengakui, barisan pemain baharu termasuk dirinya tidak menghadapi kesukaran untuk mencipta keserasian pada perlawanan tersebut nanti.
"Walaupun belum cergas sepenuhnya, saya akan membalas kepercayaan jurulatih jika terpilih untuk beraksi (menentang Qatar)," katanya sebelum berlepas ke Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) semalam.
Skuad Harimau Malaya akan mengadakan perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Iraq di Dubai esok sebelum berlepas ke Doha untuk aksi kelayakan Piala Asia 2015 menentang Qatar.
Dalam pada itu, pemain pertahanan, Mahali Jasuli turut senada dengan Nor- farhan dan menurutnya, persiapan pasukan negara tidak terjejas sekalipun ramai pemain baharu mengisi senarai skuad kebangsaan bagi menggantikan pemain yang cedera.
Berikutan kepincangan dalam skuad negara akibat masalah kecederaan ke atas pemain utama, Rajagobal hanya menyenarai 24 pemain daripada perancangan asal 26 orang.
Antara tonggak yang disisihkan ialah penyerang, Norshahrul Idlan Talaha dan Mohd. Safee Sali selain pemain tengah, S. Kunanlan, Wan Zack Haikal Wan Nor, Gary Steven Robbat dan K. Gurusamy.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0130&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz2JSJOf2s1 
Hakcipta terpelihara 

Rajagobal perlekeh Badri

30 Januari 2013

PRESTASI cemerlang yang dipamerkan oleh Badri (kanan) ketika beraksi dengan Kelantan tetap gagal untuk menambat hati Rajagobal.


"KENAPA tanya saya, beliau jurulatih, seharusnya beliau tahu pemain macam mana yang beliau mahu. Saya tak faham kenapa dia suruh tanya saya. Jawapan macam mana yang anda jangka boleh saya berikan?"
Itu komen ketua pasukan Kelantan, yang berjaya menjulang tiga piala musim lalu, Badri Radzi selepas namanya terus tersisih daripada kem skuad kebangsaan biarpun ketua jurulatih Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal kini dalam situasi terdesak selepas kehilangan 11 pemain akibat kecederaan.
Menurutnya, selepas berjaya membawa Kelantan ke tahap yang begitu tinggi termasuk memenangi tiga kejuaraan musim lalu, kelibatnya di padang masih tetap gagal memikat hati Rajagobal yang terus meragui keupayaannya.
“Saya tidak tahu apa masalahnya, komen beliau (Rajagobal) dalam akhbar hari ini (semalam) seolah-olah memberi gambaran bahawa corak permainan saya tidak sesuai dengan corak latihan beliau.
“Beliau tidak perlu mengajukan soalan berkenaan kepada saya atau bekas jurulatih saya, Datuk M. Karathu atau B. Sathianathan. Kami semua tidak ada jawapan kerana jawapan itu ada pada beliau sendiri,” kata Badri ketika dihubungi semalam.
Tambahnya, jika Rajagobal menganggap dia bukan seorang pemain yang bagus dan tidak menepati kriteria yang diperlukan, dia sedia menerima kritikan berkenaan kerana jurulatih skuad kebangsaan itu lebih berpengalaman.
Katanya, impiannya untuk bermain dan menabur bakti dalam skuad kebangsaan tidak pernah padam dan akan berusaha untuk terus memikat hati pengendali skuad kebangsaan itu.
“Sebagai pemain bola sepak, sudah tentu beraksi dengan pasukan kebangsaan adalah kemuncak dalam karier anda. Semua pemain mengidamkan untuk menyarung jersi kebangsaan, begitu juga saya. Kalau tidak baik tak payah main bola.
“Kali terakhir saya dipanggil pada tahun 2010, ketika itu dalam perjalanan pulang ke Kota Bharu selepas Kelantan muncul juara Piala Malaysia. Pembantunya (Tan Cheng Hoe) telefon saya minta nombor pasport.
“Dia beri tempoh dua jam untuk saya dapatkan nombor pasport, saya beritahu pasport ada di rumah, macam mana saya hendak beri. Sukar untuk saya dapatkan nombor pasport ketika itu kerana kami terpaksa singgah di Gua Musang dulu untuk menemui peminat. Selepas itu senyap begitu saja,” ujarnya.
Jelas Badri, sebelum ini ada yang berpendapat pemain sepertinya, Hairuddin Omar dan Indra Putra Mahayuddin hanya mampu bermain dalam tempoh 30 minit sahaja ekoran faktor usia, dan keputusan Rajagobal memilih pemain muda mungkin satu pilihan yang tepat.
Kali pertama dan terakhir ‘jeneral padang’ berusia 30 tahun itu menyarung jersi skuad kebangsaan adalah ketika membantu skuad Pilihan Malaysia di bawah bimbingan Ong Kim Swee berdepan Chelsea dalam aksi persahabatan di Kuala Lumpur dua tahun lalu.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0130&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz2JSIyKRIT 
Hakcipta terpelihara 

Comelnya Pelakon Ayu Raudhah Ketika Hamil!

30 Januari 2013

Comelnya Pelakon Ayu Raudhah Ketika Hamil!


KL, 30 JAN 2013: Rasanya sudah lama Murai Batu tak dengar khabar mengenai pelakon yang kini manis bertudung iaitu Ayu Raudah. Lebih-lebih lagi selepas berlakunya isu perbalahannya dengan birasnya, Rita Rudaini. Namun, apa yang Murai Batu tahu, dia kini telah disahkan hamil 3 bulan pada September lalu.

Khabarnya, Murai Batu dengar Ayu Raudah kali ini perlu lebih berhati-hati untuk menjaga kesihatan kandungannya itu sebab sebelum ini dia keguguran ketika disahkan hamil kali pertama.

Namun, baru-baru ini Murai Batu terlihat sekeping gambar yang dimuat naik oleh Ayu di laman sosial Facebook miliknya semalam. Comel sahaja Murai Batu tengok sebab perutnya sudah semakin kelihatan membesar!

Sangat sweet pula apabila gambar itu diambil bersama suaminya Zaquan Adha. Murai Batu pun cuba meneka berapa bulan kehamilannya itu. Jika September yang lalu, kandungan sudah berusia 3 bulan, maknanya bulan ini kandungannya dah masuk bulan ketujuhlah kan?

Patutlah perutnya sudah makin kelihatan dan Ayu pula nampak sihat dan ceria sahaja. Gembira dan seronok Murai Batu lihat pasangan ini, bahagia sahaja.

Tak sabar Murai Batu nak lihat anaknya lahir nanti, mesti comel sebab ikut wajah ibu bapanya itu. Disebabkan terlalu teruja Murai Batu pun cuba buat pengiraan lagi bila Ayu akan bersalin. Rasa-rasanya, mesti bulan Mac atau April ini! Wah tak lama sahaja lagi

Hahaha baiklah, apa-apa pun Murai Batu ingin ucapkan tahniah kepada pasangan ini kerana akhirnya bakal menimang cahaya mata mereka yang pertama tidak lama lagi.
MURAIBATU: Sibuk tunggu Jericho Rosales datang Malaysia...

Selasa, 29 Januari 2013

Piya tiada di hati Rajagobal

29 Januari 2013


Rajagobal (kiri) mengendali latihan skuad Harimau Malaya  di Wisma FAM, Kelana Jaya  sebelum berlepas ke Dubai, hari ini.Rajagobal (kiri) mengendali latihan skuad Harimau Malaya di Wisma FAM, Kelana Jaya sebelum berlepas ke Dubai, hari ini.
Kelana Jaya: Nama kapten Kelantan, Badhri Radzi atau Piya terus tidak mendapat tempat dalam skuad kebangsaan apabila jurulatih Datuk K Rajagobal mengumumkan senarai akhir 24 pemain, semalam meskipun ketika ramai tonggak utama digugurkan akibat krisis kecederaan. 

Skuad Harimau Malaya bakal berlepas ke Dubai, UAE, pagi ini untuk aksi persahabatan menentang Iraq, Jumaat ini dan seterusnya aksi sulung Kelayakan Piala Asia 2015 bertemu Qatar di Doha, 6 Februari depan. 
Rajagobal tidak dapat membawa 11 pemain iaitu Safee Sali, Norshahrul Idlan Talaha, Amar Rohidan, S Kunanlan, Wan Zack Haikal Wan Nor, Gary Steven Robbat, K Gurusamy, Bunyamin Umar, Zubir Azmi, Fitri Omar dan Shahrizal Saad kerana semuanya cedera. 


Namun, situasi berkenaan masih belum ‘membuka hati’ pengendali berusia 57 tahun itu untuk sekurang-kurangnya memanggil Badhri untuk kem latihan skuad kebangsaan. 


Tanya Piya sendiri 

“Saya fikir tumpuan saya lebih kepada persiapan menghadapi Qatar. Kamu boleh tanya sendiri kepada dia (Badhri). Bukan dia tak main baik, tetapi pemain apa yang kita perlukan pada masa sekarang untuk berdepan Qatar. 

“Itu adalah pendapat peminat. Kalau boleh, tanyalah kepada dua bekas jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu dan B Sathianathan. Mereka berdua boleh beri lebih penjelasan mengenai pemain Kelantan. 
“Tiap-tiap jurulatih ada cara atau pemilihannya,” kata Rajagobal ketika ditemui pada latihan terakhir di Wisma FAM, Kelana Jaya, petang semalam. 

Dalam pada itu, aksi persahabatan menentang Iraq, Jumaat ini berkemungkinan tidak berstatus A kerana Rajagobal bercadang berbincang dengan jurulatih Iraq untuk membenarkan lebih enam pertukaran pemain dibuat sepanjang perlawanan terbabit. 


Senarai 24 pemain Harimau Malaya: 


Penjaga gol: Khairul Fahmi Che Mat, Farizal Marlias, Norazlan Razali. 
Pertahanan: Aidil Zafuan Abd Radzak, Fadhli Shas, Amirizdwan Taj Tajudin, Faizal Muhammad, Nik Shahrul Azim Ab Halim, Mahalli Jasuli, K Reuben, Asraruddin Putra Omar, Azmi Muslim. 
Tengah: Shakir Shaari, Shukur Jusoh, Helmi Remeli, Affize Faisal Mamat, Yong Kuong Yong, Azammuddin Akil, Nor Farhan Muhammad, Ashari Samsudin. 
Penyerang: Khyril Muhymeen Zambri, Amri Yahyah, Abdul Hadi Yahaya, Fauzi Roslan

Aidil sedia pikul tanggungjawab

29 Januari 2013


Kelana Jaya: Pemain pertahanan tengah skuad Harimau Malaya, Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak sedia memikul tanggungjawab kapten jika mendapat kepercayaan Datuk K Rajagobal selepas ketiadaan Safiq Rahim bagi menghadapi perlawanan persahabatan antarabangsa dengan Iraq dan Piala Kelayakan Piala Asia 2015 menentang Qatar.
Aidil, 25, yang beraksi bersama Johor Darul Takzim musim ini dilihat calon terbaik memakai lilitan lengan selepas Safiq diketepikan kerana menjalani penggantungan perlawanan manakala penolong kapten, Mohd Safee Sali pula digugurkan akibat kecederaan buku lali.

“Saya akan melakukan yang terbaik jika mendapat kepercayaan sebagai kapten. Tapi keutamaan saya ketika ini hanyalah untuk fokus kepada tugasan negara,” katanya.
Berbanding senarai 24 pemain yang dibawa ke Dubai hari ini, Aidil dilihat lebih berpengalaman kerana pernah mengetuai skuad kebangsaan.

Bagi Aidil, dia tetap yakin dengan keupayaan pasukan yang akan berdepan Qatar pada 6 Februari biarpun hakikatnya Harimau Malaya ketika ini seakan tempang kerana kehilangan 11 pemain akibat kecederaan.

“Walaupun ramai pemain cedera, saya yakin pemain lain masih mampu menggalas tanggungjawab. Bagi saya keupayaan pemain lain dengan pemain utama hanyalah pengalaman,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/29

Rela guna tenaga muda

29 Januari 2013


Walaupun Datuk K Rajagobal kini ‘kesempitan’ pemain kerana ramai pemain yang menyerlah dalam Liga Malaysia (Liga-M) tidak dapat menyertai skuad kebangsaan akibat kecederaan namun nama kapten Kelantan, Mohd Badhri Mohd Radzi tetap tiada dalam senarai pilihannya.
Oleh Aziman Rosdi aziman@hmetro.com.my Kuala Lumpur Ketiadaan Badhri atau dikenali sebagai Piya menjadi buah mulut peminat tempatan yang hairan kenapa Rajagobal tidak mahu memberi ruang kepada pemain perancang pasukan juara tiga piala musim lalu itu bersama skuad bagi perlawanan persahabatan dengan Iraq di Dubai Khamis ini dan kempen kelayakan Piala Asia 2015 menentang Qatar di Doha pada 6 Februari. Tanpa pemain tengah, Safiq Rahim yang digantung perlawanan, pengendali kebangsaan itu lebih rela memanggil pemain lebih muda, Mohd Affize Faisal Mamat dan Abdul Shukur Jusoh manakala Yong Kuong Yong pula kekal dalam skuad biarpun bergelut dengan masalah kecergasan pada sesi latihan pusat kali ini.

Tapi Rajagobal yang cukup mengenali barisan pemainnya mempunyai alasan tersendiri biarpun ia tidak cukup jelas untuk menceritakan kedudukan sebenar Badhri dari kaca matanya.
“Tumpuan saya hanyalah perlawanan dengan Qatar. Anda kena tanya Badhri. Bukan mahu mengatakan dia tidak bermain dengan baik tapi kita perlu tahu pemain apa yang perlu sekarang.

“Sebagai jurulatih, saya perlu pastikan pemain yang diperlukan pada setiap posisi, fizikal dan taktikal. Kita kehilangan 11 pemain, adakah semua peminat tahu bagaimana corak permainan Qatar?” katanya ketika ditemui pemberita pada sesi latihan skuad kebangsaan semalam.

Tambahnya, lebih baik soalan mengenai Badhri ini turut diajukan kepada bekas jurulatih Kelantan, M Karathu dan B Sathianathan.
“Itu adalah pendapat peminat dan kalau boleh, tanya bekas jurulatih Kelantan, Karathu dan Sathianathan. Mereka akan beri penjelasan mengenai pemain Kelantan. Setiap jurulatih ada cara dan pemilihan sendiri,” jelas Rajagopal.

Badhri, 30, tidak pernah menyertai skuad Harimau Malaya kendalian Rajagopal bagaimanapun pernah beraksi bersama pasukan Pilihan Malaysia pada 2011 menentang Chelsea selepas mendapat panggilan jurulatih Harimau Muda A, Ong Kim Swee.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/29

‘Saya cadang tukar status perlawanan’

29 Januari 2013


Kelana Jaya: Masalah kecederaan yang menghimpit skuad kebangsaan memaksa ketua jurulatih Datuk K Rajagobal mengambil pendekatan berhati-hati bagi perlawanan antarabangsa menentang Iraq, Khamis ini di Dubai.
Memandangkan misi paling penting adalah perlawanan kelayakan Piala Asia 2015 menentang Qatar di Doha pada 6 Februari, beliau bercadang berbincang dengan rakan sejawat di Iraq, Hakeem Shakir bagi menukar status perlawanan persahabatan itu.

“Saya bercadang berbincang dengan jurulatih Iraq sama ada kita boleh menukar ramai pemain gantian pada perlawanan itu. Kalau boleh tukar ramai pemain, perlawanan itu bukan lagi berstatus A.
“Saya tak nak ambil risiko, saya tidak boleh menurunkan pemain utama bermain sepanjang 90 minit,” katanya ketika ditemui pemberita pada sesi latihan terakhir skuad kebangsaan sebelum berlepas ke Dubai hari ini.

Mengikut peraturan Fifa, setiap pasukan hanya dibenarkan menggantikan enam pemain dalam perlawanan persahabatan berstatus A.

Kerana masalah kecederaan Rajagobal hanya dapat membawa 24 pemain ke Dubai hari ini dengan 11 pemain terpaksa digugurkan akibat kecederaan termasuk dua penyerang utama, Mohd Safee Sali dan Norshahrul Idlan Talaha.
Bagi jurulatih yang membimbing Harimau Malaya memenangi pingat emas Sukan Sea 2009 dan Piala AFF 2010 itu, beliau tetap berharap dapat menurunkan barisan terbaik bagi aksi menentang Iraq bagi mendapatkan momentum sebelum berdepan Qatar.

“Tak semestinya saya tidak menurunkan pemain utama (menentang Iraq) kerana saya mahu pemain mendapatkan momentum serta menyesuaikan diri dengan taktik permainan. Mungkin selepas 65 minit atau 70 minit permainan, saya akan mengubah barisan pemain.”
Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/29


Isnin, 28 Januari 2013

Aidil calon ketua pasukan

29 Januari 2013


PETALING JAYA - Ketiadaan beberapa pemain senior dalam skuad kebangsaan memberi ruang buat pertahanan negara, Aidil Zafuan Abdul Radzak untuk memakai lilit ketua pasukan dalam pertemuan dengan Qatar 6 Februari ini di Doha.

Pemain pertahanan Johor Darul Takzim (DT) itu menerima dengan hati terbuka jika jurulatih, Datuk K. Rajagobal memberi kepercayaan kepadanya menggalas tugas sebagai ketua pasukan dalam perlawanan kelayakan Piala Asia 2015.

"Saya tidak memikirkan sangat tentang tugas sebagai ketua pasukan, paling penting buat saya adalah perlawanan yang akan kami hadapi nanti, dalam erti kata lain saya lebih fokus kepada persediaan pasukan," katanya kepada media di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam.

Selain Safiq Rahim yang digantung perlawanan, beberapa lagi pemain senior lain seperti Safee Sali, Norshahrul Idlan Talaha dan Amar Rohidan juga tidak berada dalam pasukan ke Doha akibat masalah kecederaan.

"Saya akui masalah kecederaan yang kami alami ketika ini adalah yang paling ramai dalam pasukan kebangsaan tetapi perkara ini normal bagi sesebuah pasukan, ada pemain yang mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan Safee dan Norshahrul.

"Dari segi semangat sepasukan saya rasa ia tidak menjadi masalah kerana kami sudah pun mengenali antara satu sama lain, cuma yang membezakan adalah pengalaman di antara pemain baru dan lama," katanya.

Jika dilihat daripada posisi yang diletakkan Rajagobal dalam latihan semalam, Aidil dijangka bergandingan semula dengan pemain Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Amirizwan Taj Tajuddin pada bahagian pertahanan tengah.

Kedua-dua pemain tersebut pernah bergandingan bersama musim lalu ketika Aidil beraksi bersama ATM sebelum berhijrah ke Johor DT musim ini.

"Semua pemain dalam skuad kebangsaan sekarang saya lihat mempunyai kekuatan yang sama, dari segi rangkaian pertahanan tidak banyak berubah kerana tidak ramai pemain di posisi ini yang mengalami kecederaan.

"Bahagian serangan sedikit terjejas berikutan masalah kecederaan tetapi bola sepak bukanlah permainan individu ia melibatkan satu pasukan semuanya terletak kepada jurulatih untuk mengharungi perlawanan nanti," katanya.

Tambahnya, bertemu pasukan terkuat Asia seperti Qatar adalah satu pengalaman yang amat berguna buat pasukan kebangsaan dan mereka juga masih mempunyai masa untuk memperbaiki segala kekurangan menjelang perlawanan persahabatan menentang Iraq Jumaat ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20130129/su_03/Aidil-calon-ketua-pasukan#ixzz2JJjNzRt6
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Harimau Malaya tempang

29 Januari 2013

SKUAD negara kehilangan beberapa tonggak utama akibat kecederaan bagi menghadapi kempen kelayakan Piala Asia 2015.


HARIMAU Malaya tempang, namun perjuangan tetap diteruskan.
Adakah kepincangan ini membawa petanda buruk atau sebaliknya, ketika kempen kelayakan Piala Asia 2015 semakin hampir untuk membuka tirainya.
Prestasi buruk di pentas antarabangsa kebelakangan ini, masalah kecederaan yang dialami beberapa pemain utama serta momentum yang tidak konsisten dalam beberapa perlawanan yang diharungi, semuanya seolah-olah membawa petanda bahawa Harimau Malaya akan terus dihimpit derita.
Bukan untuk merendahkan kewibawaan skuad yang ada, tetapi suasana yang kurang enak menyelubungi skuad bimbingan Datuk K. Rajagobal itu, bagaikan memberi petunjuk awal terhadap hala tuju mereka dengan tugasan-tugasan di pentas antarabangsa selepas ini.
Bukan itu sahaja, prestasi hambar yang dipamerkan oleh beberapa pemain kebangsaan dalam saingan Liga Malaysia ketika ini, juga menghadirkan seribu satu macam kebimbangan.
Bagi mengharungi aksi pembuka tirai kempen kelayakan Piala Asia 2015 menentang Qatar di Doha pada 6 Februari ini, Harimau Malaya tampil dengan barisan yang serba baharu, yang masih terlalu cetek pengalaman beraksi pada kejohanan berprestasi tinggi seperti itu.
Namun, itu adalah pilihan terbaik ketika ramai pemain senior sedang mengalami kecederaan mahupun masalah penggantungan.
Atas kertas, misi untuk melepasi saingan pembuka tirai memang dilihat payah kerana barisan pemain yang disenaraikan, boleh dikatakan sebagai kurang berdaya saing di pentas antarabangsa.
Bukan untuk merendahkan kewibawaan mereka, tetapi inilah hakikat yang perlu diterima kerana sebahagian besar pemain yang ada dalam skuad negara ketika ini dilihat kurang berpengalaman bersaing di pentas antarabangsa.
Nama-nama besar seperti Mohd. Safee Sali, Norshahrul Idlan Talaha, Wan Zack Haikal Wan Noor, S. Kunanlan, Bunyamin Omar, K. Gurusamy, Amar Rohidan serta Safiq Rahim tercicir daripada senarai akibat kecederaan serta penggantungan.
Semalam, 24 pemain disenaraikan untuk mengharungi kempen kelayakan Piala Asia 2015 berdepan Qatar dan beberapa muka baharu diberi kepercayaan untuk menggalas cabaran.
Meskipun berada dalam keadaan yang serba tidak lengkap, pengurus pasukan negara, Datuk Seri Subahan Kamal belum mahu menyerah kalah.
Ketika mengesahkan masalah kecederaan yang dialami Norshahrul, Subahan tetapi yakin pemain yang dipilih itu mampu menjalankan tugas mereka dengan baik.
"Hanya 24 pemain sahaja yang akan berlepas esok (hari ini) bagi berdepan Iraq dalam satu aksi persahabatan (Khamis ini) sebelum menentang Qatar, minggu depan," katanya ketika ditemui di Wisma FAM, Kelana Jaya petang semalam.
"Saya anggap ini sebagai cabaran dan tidak adil menyalahkan jadual perlawanan liga yang ketat sehingga menjadi punca beberapa pemain utama negara mengalami kecederaan.
"Tambahan pula, FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) telah mengambil kira segala faktor ketika memperkenalkan jadual liga termasuk mengelak daripada beraksi pada Ramadan dan sebagainya.
"Saya harap pemain negara dapat memberikan yang terbaik kali ini dan jangan tewas sebelum berjuang," kata Subahan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0129&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz2JJiE71a6 
Hakcipta terpelihara 

Kisah Cintan Cintun Nazmi Faiz

29 Januari 2013




Gambar dari Twitter Nazmi: Bersama ayahnya

Biasalah remaja belasan tahun, kecewa dalam percintaan. Bila dah 'frust', nak lepas kemarahan itu di mana? Di era yang serba canggih ini, laman sosial-lah jawabnya!

Alkisahnya, itulah yang berlaku semalam apabila pemain bola sepak muda Nazmi Faiz atau nama penuhnya, Muhamad Nazmi Faiz b Mansor menjadikan Twitter medan luahannya.

Terbeliak biji mata bila membaca status Nazmi. Bukan saja berat tuduhan yang dilemparkan tetapi individu yang dituduhnya itu cukup dikenali rakyat Malaysia.

Selain menuduh bekas kekasih Tengku Fiella seorang kaki cukur, Nazmi juga mendakwa bekas teman wanitanya itu mempunyai hubungan sulit dengan Aidil Zafuan, suami Rita Rudaini. Kononnya mereka berdua sudah dua, tiga minggu tinggal bersama di Johor.

Hendak dijadikan cerita, luahan semalam bukanlah yang pertama dari Nazmi. Mungkin disebabkan cuti hujung minggu yang panjang ditambah pula kurangnya cerita hiburan panas untuk dijadikan bahan, luahan kali ini mendapat perhatian ramai, lebih-lebih lagi bila nama Aidil Zafuan dikaitkan.

Pada 15 Januari 2013, Nazmi memberi amaran kepada pengikut-pengikut Twitternya supaya 
berwaspada dengan Tengku Fiella yang dikatakan seorang mata duitan dan "fake". Waktu itu, Nazmi siap 'tag' Johan As'ari, memberitahu "its your turn" dan "be happy".

Bagaimanapun, kesemua tweet tersebut telah dipadamkan, sama seperti kali ini. Yang berlainannya, insiden lalu melihat Nazmi memberi alasan akaun Twitternya "telah dihack oleh orang yang tak bertanggungjawab".

Kali ini, selain memohon maaf atas apa yang berlaku, Nazmi turut meminta supaya Aidil Zafuan tidak salahkan kerana dia tiada kaitan apa apa.

Nasihat GUA kepada Nazmi, yang berlalu tu biarlah berlalu. Adik masih muda, baru 18 tahun. Tidak perlulah difikirkan sangat hal-hal percintaan. Fokus dulu pada kerjaya. Jangan disia-siakan peluang bersama kelab S.C. Beira-Mar.

Pabila Aidil Zafuan Dituduh Bersekedudukan

29 Januari 2013


Awal pagi Isnin GUA dikejutkan dengan kisah Aidil Zafuan yang didakwa sedang menjalinkan hubungan cinta dengan seorang gadis Kelantan, Tengku Fiella.  Perkara itu didedahkan oleh pemain bola sepak kelab SC Beira-Mar Portugal, Nazmi Faiz menerusi akaun Twitter miliknya. Selain mendakwa mereka bercinta, Nazmi juga mendedahkan pasangan ini bersekedudukan.

Namun, GUA tidak begitu memberi perhatian kerana  agak meragui kesahihan cerita itu. Maklumlah, kalau membabitkan akaun Twitter ini, ramai yang tidak mengakui dengan entri yang dibuat . Sebaliknya memberi alasan akaun Twitter di ‘hacked’. 
Bagaimanapun, kisah Aidil dan Tengku Fiella ini mendapat perhatian beberapa blog hiburan. Malah, Aidil turut memberi kenyataan bahawa dia telah menghubungi Nazmi bagi mendapatkan penjelasan lanjut.

Dalam perbualan telefon itu, Aidil memberitahu Nazmi telah memohon maaf di atas perbuatannya itu dan mengakui telah melakukan kesilapan kerana terlalu mengikut kata hati.

Persoalannya, adakah benar beberapa entri yang dipos oleh Nazmi itu tidak benar? Atau ia adalah kisah sebenar yang cuba disembunyikan oleh kedua-dua bintang bola sepak ini? Kalau tiada angin masakan pokok bergoyang? Lagipun, ini bukan kali pertama insiden sebegini berlaku. 

Jika anda masih ingat, kisah Khairul Fahmi Che Mat (Apex) dan Leuniey pernah hangat dibualkan apabila seorang individu membuat beberapa entri tentang percintaan pasangan ini. Biarpun masing-masing menafikan saling mengenali, namun kini terbukti ada kebenarannya dakwaan itu memandangkan Apex dan Leuniey sudah berkahwin.

Jadi apa pendapat anda dengan kisah Aidil Zafuan dan Tengku Fiella ini? Dalam satu laporan akhbar, isteri kepada Aidil, Rita Rudaini, tanpa berselindung memberitahu dia tidak terkejut kerana ini bukan kes pertama suaminya itu dikaitkan dengan wanita lain. Menurut Rita, dia sudah tidak mahu memikirkannya, cuma berharap Aidil segera menyelesaikan kes perceraian mereka di mahkamah dan bertanggungjawab kepada anak-anak. 

Walau apa pun, GUA berpendapat perkembangan terbaru ini  sedikit sebanyak pasti  akan mempengaruhi  kes mahkamah  Aidil dan Rita. 

Sementara itu, Tengku Fiella menafikan dia mengenali Aidil Zafuan dan mendakwa Nazmi seorang yang kuat cemburu sehingga bertindak memburuk-burukkannya di Twitter.  Gadis ini meminta orang ramai tidak mengambil serius kenyataan Nazmi itu.

Nazmi juga telah membuat permohonan maaf seperti yang diminta oleh Aidil Zafuan menerusi akaun Twitter miliknya kira-kira pukul 9 malam Isnin. Dia juga meminta semua pihak tidak menyalahkan Aidil.

"Saya minta maaf mengenai perkara yang lepas, jangan salahkan Aidil Zafuan. Dia tiada berkaitan apa-apa.”
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...