Aidil Zafuan & Zaquan Adha

Keluarga Aidil Zafuan

Keluarga Zaquan Adha

LIKE jika suka :)

Selasa, 25 Disember 2012

Sisih Rajagobal tidak akan bantu selesai masalah Harimau Malaya

25 Disember 2012


KUALA LUMPUR - Tindakan menyisihkan ketua jurulatih Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal bukan penyelesaian terbaik bagi memperbaiki kualiti pasukan kebangsaan, sebaliknya bantuan perlu dihulurkan kepada pengendali tersebut.

Itu pandangan sebilangan besar penggiat bola sepak tempatan yang menganggap Rajagobal masih lagi relevan membimbing Harimau Malaya ketika hampir kebanyakan penyokong mendesak agar jurulatih itu dipecat berikutan gagal mempertahankan kejuaraan Piala Suzuki AFF baru-baru ini.

Bekas pemain kebangsaan, Khalid Ali berpendapat, Rajagobal memerlukan pendedahan di luar negara berkaitan taktikal bagi membantu jurulatih tersebut menjana idea lebih meluas ketika membuat percaturan dalam sesuatu perlawanan.

Tambah Khalid, Sepanyol adalah destinasi paling sesuai untuk Rajagobal menimba ilmu kerana tahap kualiti bola sepak di negara itu dianggap terbaik di dunia.

"Mungkin idea ini boleh diteliti oleh FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) kerana bagi saya Rajagobal adalah jurulatih terbaik pernah dimiliki negara pada ketika ini.

"Bantuan perlu diberikan kepadanya terutama sebelum beraksi pada kelayakan Piala Asia tahun depan. Saya juga percaya melalui pendedahan yang dimiliki oleh Rajagobal selepas menjalani kursus di luar negara dapat diaplikasikan untuk peningkatan skuad kebangsaan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini.

Dalam pada itu, bekas jurulatih Kelantan, Datuk M. Karathu beranggapan satu pasukan penganalisis perlawanan bagi membantu ketua jurulatih wajar diwujudkan seperti yang telah diguna pakai oleh Jepun ketika ini.
Kata Karathu, peranan yang dimainkan oleh pasukan penganalisis tersebut amat penting kerana mampu membantu jurulatih menilai tahap keupayaan pemain.

"Pasukan penganalisis ini mestilah terdiri dalam kalangan jurulatih liga tempatan yang dapat menilai kekurangan atau kekuatan dalam pasukan kebangsaan dan setiap analisis tersebut perlu diteliti oleh ketua jurulatih sendiri.
"Dengan cara itu saya fikir pasukan kebangsaan mampu melangkah lebih jauh dan mencapai kejayaan tanpa menyingkirkan Rajagobal," jelas Karathu.

Dalam pada itu, jurulatih Perak, Mohd. Azraai Khor memberitahu, sumbangan idea baru bagi meningkatkan prestasi skuad kebangsaan amat diperlukan bagi mencapai sesuatu keputusan positif.

Malah, Mohd. Azraai turut mengakui selain perlu mendapatkan idea baru pasukan kebangsaan juga perlu banyak belajar daripada kesilapan lalu.

"Bagi saya sumbangan pasukan liga tempatan dalam menyumbang pemain mereka adalah satu bentuk bantuan yang positif untuk skuad kebangsaan.

"Selain memberikan idea baru saya juga yakin jurulatih Rajagobal pasti mengetahui apa yang perlu dilakukan," kata Mohd. Azraai.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20121224/su_02/Sisih-Rajagobal-tidak-akan-bantu-selesai-masalah-Harimau-Malaya#ixzz2G4A1G1RK
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...