Aidil Zafuan & Zaquan Adha

Keluarga Aidil Zafuan

Keluarga Zaquan Adha

LIKE jika suka :)

Selasa, 2 November 2010

Nasib Aidil dalam skuad belum pasti

2 November 2010




KEPUTUSAN sama ada kapten skuad bola sepak kebangsaan, Aidil Zafuan Abdul Radzak akan bersama 19 pemain lain berlepas ke Guangzhou, China pada Jumaat ini untuk saingan Sukan Asia 2010 hanya akan terjawab hari ini.

Menurut pemain pertahanan Negeri Sembilan berusia 23 tahun itu, ujian MRI (imbasan resonan bermagnet) bagi menentukan tahap keseriusan kecederaan pada lutut kanannya hanya akan dibuat pada hari ini.

"Sepatutnya hari ini (semalam) saya buat ujian MRI tetapi doktor tiada. Jadi saya hanya akan buat ujian MRI itu pada tengah hari esok (hari ini).

"Buat masa ini memang lutut saya masih sakit dan tak boleh nak bengkok. Tapi saya tak boleh nak katakan ia kecederaan serius atau tidak. Kena tunggu keputusan ujian," kata Aidil ketika dihubungi Kosmo! petang semalam.

Aidil mengalami kecederaan itu selepas dirempuh penyerang Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2010 di Stadium Nasional, Bukit Jalil Sabtu lalu.

Dalam pada itu, skuad kebangsaan bakal menghadapi ujian terakhir sebelum berlepas ke Guangzhou dengan menghadapi skuad B-23 Maldives di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada pukul 5 petang ini.

Jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal berkata, dia bersikap lebih realistik menjelang saingan Sukan Asia memandangkan mereka akan beraksi tanpa kekuatan sebenar berikutan masalah kecederaan yang melanda.

"Ujian doktor ke atas Baddrol Bakhtiar, Sabre Mat Abu, Azmi Muslim dan Sharbinee Allawee Ramli mendapati mereka tidak dapat pulih dalam masa terdekat ini.

"Farizal Marlias pula biarpun sudah kembali berlatih, namanya tiada dalam senarai ke Sukan Asia gara-gara kecederaan panjang yang dialaminya sebelum ini.

"Terdahulu kita sudah pun kehilangan Zaquan Adha Abdul Radzak dan Bunyamin Umar yang menjalani pembedahan lutut. Jadi jika Aidil turut terpaksa diketepikan, kita akan ke Sukan Asia tanpa lapan tonggak," kata Rajagobal.

Di Guangzhou nanti, Malaysia diundi dalam Kumpulan A dan akan berdepan Kyrgyzstan pada Isnin depan diikuti Jepun (10 November) dan tuan rumah, China (13 November).
KECEDERAAN Aidil bakal menyaksikan beliau terlepas aksi pada Sukan Asia di Guangzhou memandangkan acara bola sepak akan bermula Sabtu ini.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...