Aidil Zafuan & Zaquan Adha

Keluarga Aidil Zafuan

Keluarga Zaquan Adha

LIKE jika suka :)

Selasa, 12 Mac 2013

Kem Johor DT bergolak?

12 March 2013


Safiq Rahim (kiri) bersaing dengan Amri Yahyah ketika Johor Darul Takzim menentang Selangor dalam aksi Liga Super di Stadium Shah Alam, kelmarin. Johor DT diaibkan 4-1.

KUALA LUMPUR - Kekalahan besar 4-1 kepada Selangor dalam perlawanan Liga Super kelmarin mencetus suasana panas dalam bilik persalinan skuad Johor Darul Takzim, dan pertengkaran sesama pemain mengejutkan sekumpulan wartawan sebaik sahaja tamat perlawanan di Stadium Shah Alam.

Desas desus mengenai wujudnya puak-puak dalam skuad yang dibarisi ramai bintang itu sudah kedengaran sejak akhir-akhir ini dan insiden kelmarin hanya menguatkan dakwaan.

Sejurus tamat perlawanan, wartawan menjalankan tugas dengan menemubual kedua-dua jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim (Selangor) dan Fandi Ahmad (Johor DT).

Ketika pengendali pasukan pelawat itu sedang menjawab soalan media, dia dipanggil oleh seseorang masuk ke dalam bilik persalinan.

Sebaik sahaja pintu dibuka olah Fandi, terdengar salah seorang menjerit: “Safiq!".

Ketika jurulatih tersebut masuk ke dalam bilik persalinan, wartawan juga dapat mendengar dengan jelas pergaduhan yang berlaku.

Sebaik keadaan reda, Fandi kembali membuka pintu dan meminta maaf kerana terpaksa menamatkan temuramah tersebut lebih awal.

Wartawan kemudian terpaksa menunggu sekitar 15 hingga 20 minit sebelum keseluruhan pasukan Johor DT keluar dari bilik persalinan, namun mereka tergesa-gesa menuju ke arah bas.

Berita mengenai kekecohan yang berlaku dalam bilik persalinan Johor DT turut tersebar meluas di laman-laman sosial dan portal sukan tempatan beberapa jam selepas tamat perlawanan.

Pengurus Safiq, Sharain Jalil dalam portal tersebut berkata, bintang tengah kebangsaan itu tidak terlibat dalam pergaduhan.

Sharain juga menegaskan, bekas pemain Selangor itu yang diejek oleh penyokong tuan rumah sepanjang perlawanan tidak ada kena mengena dengan pergaduhan tersebut.

Sementara itu pakar bola sepak Astro Arena yang juga kolumnis Liga Super Utusan Malaysia, Hasnizam Uzir mendedahkan dalam kolumnya hari ini bawah kekalahan besar pasukan Harimau Selatan itu berpunca daripada wujud sikap berpuak-puak dalam skuad Johor DT.

“Dalam bilik persalinan sebaik sahaja tamat perlawanan dikhabarkan pertelingkahan berlaku antara pemain dan pengurusan.

“Diharap, pihak pengurusan Johor DT dapat mengambil tindakan segera untuk mengembalikan kejernihan pasukan," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20130311/su_02/Kem-Johor-DT-bergolak#ixzz2NJiuVUG2
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Selangor kembali garang

12 March 2013



FORKEY Doe (kanan) turut menjaringkan gol untuk membantu Selangor menewaskan Johor DT 4-1 pada aksi Liga Super di Stadium Shah Alam malam kelmarin.


SELANGOR menamatkan kemarau jaringan dalam empat perlawanan dengan penuh bergaya selepas membelasah Johor Darul Takzim (Johor DT) 4-1 pada aksi Liga Super di Stadium Shah Alam malam kelmarin.
Pengendali Gergasi Merah, Irfan Bakti Abu Salim muncul sebagai individu paling ceria selepas menyaksikan barisan pemainnya bangkit daripada persembahan hambar sejurus tewas 0-2 kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan East Bengal (0-1) dalam saingan Piala AFC selain seri tanpa jaringan ketika menentang Selangor PKNS dan T-Team dalam empat perlawanan sebelum ini.
Untuk rekod, kali terakhir Selangor berjaya merakamkan tiga mata berharga ialah ketika menewaskan juara bertahan Liga Super, Kelantan di gelanggang yang sama pada 15 Februari lalu.
Mengulas lanjut, Irfan mendedahkan, keberkesanan pada jentera tengah Selangor dilihat sebagai salah satu faktor kejayaan Gergasi Merah memusnahkan cabaran Harimau Selatan pada perlawanan tersebut.
Bekas jurulatih Terengganu itu mengakui bahawa beliau kagum dengan semangat
perjuangan barisan pemain Selangor yang
terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas tonggak pertahanan import, Peter Charap- pan dilayangkan kad merah selepas mengasari penyerang Johor DT, Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-56.
“Sejujurnya, saya sangat gembira dengan kejayaan malam ini (kelmarin) kerana (bahagian) tengah Selangor mempamerkan aksi cemerlang untuk menyekat kemaraan dua penggempur berbisa Johor DT iaitu Daniel Guiza dan Norshahrul yang sering melakukan ancaman kepada kami.
“Anak-anak buah saya kini sudah kembali bangkit dan telah menunjukkan peningkatan prestasi yang sangat memberangsangkan,” tegas Irfan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0311&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz2NJeLdtFi 
Hakcipta terpelihara 

Jom Sertai Sesi WebChat Bersama Rita Rudaini Esok

12 March 2013

Jom Sertai Sesi WebChat Bersama Rita Rudaini Esok


KUALA LUMPUR, 12 MAC 2013: Sesi webchat bersama aktres Rita Rudaini dan aktor Adi Putra yang sepatutnya diadakan hari ini di portal Murai telah ditangguhkan atas sebab yang tidak dapat dielakkan.
Portal Murai.com.my meminta maaf di atas kesulitan ini.

Bagaimanapun sesi webchat bersama Rita Rudaini iaitu heroin siri Sehangat Asmara itu akan diadakan esok Rabu, 13 Mac 2013 pada waktu yang sama iaitu dari jam 11 pagi hingga 12 tengahari.

Kehadiran Rita Rudaini untuk sesi webchat berkenaan adalah untuk mempromosikan drama Sehangat Asmara yang kini sedang hangat ditayangkan di saluran Mustika HD (saluran 134) dan gandingannya bersama Adi Putra telah memberikan impak yang tersendiri.

Portal Murai memberikan peluang kepada anda selama sejam untuk mendekati Rita Rudaini bertanyakan pelbagai soalan kepada aktres tersebut. Anda juga berkesempatan mendengar sendiri suara Rita Rudaini yang mungkin ada ucapan istimewa untuk anda semua.

Jadi, jangan lepaskan peluang untuk mendekati Rita Rudaini esok.

Sabtu, 9 Mac 2013

Liga Super: Selangor malukan Johor DT

10 March 2013 (09 March 2013)


KUALA LUMPUR 9 Mac - Selangor yang bermain dengan 10 orang membelasah Johor Darul Takzim FC 4-1 dalam perlawanan Liga Super di Stadium Shah Alam sebentar tadi.

Selangor terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila Peter Chrappan dilayangkan kad kuning kedua pada awal babak kedua.
Sementara it
u, Lions XII menundukkan Kelantan 1-0 di Stadium Jalan Besar, Singapura. - UTUSAN


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20130309/su_14/Liga-Super-Selangor-malukan-Johor-DT#ixzz2N7UpPJsD
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Selangor belasah Harimau Selatan

10 March 2013


Pemain Selangor, Francis Forkey Doe (dua dari kanan) meraikan jaringan gol menentang Johor Darul Takzim bersama rakan sepasukan dalam saingan Liga Super di Stadium Shah Alam, malam tadi. Selangor menang 4-1. - BERNAMA

SHAH ALAM - Selangor membuktikan Johor Darul Takzim masih lagi pasukan 'biasa' walaupun dengan kehadiran barisan bintang apabila mencatat kemenangan besar 4-1 dalam saingan Liga Super di sini, semalam.
Stadium Shah Alam menjadi saksi kehebatan Selangor yang bukan sahaja meraih tiga mata penuh tetapi memintas kedudukan Johor dan berkongsi mata dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang memiliki kelebihan jaringan.

Red Giants tidak menunggu lama untuk berada di depan apabila mereka berjaya menjaringkan gol seawal minit keempat selepas hantaran lintang S. Kunanlan dari sebelah kiri terus menerjah ke dalam gawang.

Tersentak dengan jaringan awal tersebut pasukan bimbingan Fandi Ahmad mula mengatur serangan bertali arus ke kubu Selangor, bagaimanapun percubaan demi percubaan yang dilakukan mereka gagal membuahkan hasil.

Sebaliknya, tuan rumah selesa dengan jaringan kedua pada minit ke-32, hantaran rendah Solihin Kanasian tepat menuju ke arah pemain import, Francis Forkey Doe yang mudah menampan bola ke dalam pintu gol lawan.
Dua minit selepas itu Johor memperoleh sepakan percuma di depan kotak penalti Selangor, namun rembatan Safiq Rahim berjaya diselamatkan penjaga gol tuan rumah, Norazlan Razali.

Ketinggalan 0-2 memaksa Johor melakukan pertukaran pemain secara mendadak, pemain import mereka, Simone Del Nero dikeluarkan dan digantikan dengan Muhd. Azniee Taib pada minit ke-39.

Kehadiran Azniee memberi impak pada separuh masa kedua apabila dia sempat menguji gawang Selangor pada minit ke-48, namun Norazlan sekali lagi bertindak cemerlang dengan menepis keluar bola tersebut.

Serangan bertubi-tubi Johor memaksa Selangor hanya mencari ruang melalui serangan balas pantas dan pada minit ke-54, mereka hampir menambah gol ketika apabila sepakan sudut Amri Yahyah disambut dengan rembatan deras Mahali Jasuli tetapi diselamatkan penjaga gol gantian pasukan pelawat, Muhd. Al-Hafiz Hamzah. 

Selangor terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada minit ke-56 apabila pemain import mereka, Peter Charappan dilayangkan kad kuning kedua kerana mengasari Norshahrul Idlan Talaha. 

Beraksi dengan 10 pemain langsung tidak menyekat semangat luar biasa Selangor, sebaliknya pada minit ke-67 dan 69 tuan rumah berjaya menyumbat lagi dua gol menerusi Mahali dan Amri. 

Johor seakan baru bangun tidur selepas ketinggalan 0-4 dan pelawat akhirnya memperoleh gol sagu hati melalui gerakan solo Norshahrul yang menewaskan beberapa pemain pertahanan sebelum masuk ke dalam petak penalti dan merembat bola ke dalam gawang.
Di Stadium Jalan Besar, Singapura, Lions XII mengalahkan penyandang juara, Kelantan 1-0.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20130310/su_03/Selangor-belasah-Harimau-Selatan#ixzz2N7UWdcfn
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Selangor ratah Johor DT

10 March 2013

AMRI (tengah) dihimpit dua pertahanan Johor DT pada aksi Liga Super di Stadium Shah Alam malam tadi. Pada perlawanan itu, Selangor menang 4-1.


SELANGOR tampil garang apabila menewaskan Johor Darul Takzim (Johor DT) 4-1 pada aksi Liga Super di Stadium Shah Alam, malam tadi.
Lebih manis, kejayaan itu turut menyaksikan skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim berjaya merampas kedudukan Johor DT di tangga kedua liga selain berkongsi mata dengan pendahulu Liga Super, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan mengutip 18 mata sepanjang 10 perlawanan.
Pada aksi malam tadi, Selangor tidak mengambil masa lama untuk membuka jaringan menerusi percubaan menarik daripada S. Kunanlan pada minit keempat.
Bekas pemain Negeri Sembilan itu bijak memperdayakan penjaga gol, Zamir Selamat yang gagal mendakap kemas percubaannya daripada luar kotak penalti.
Gergasi Merah terus mempamerkan persembahan cemerlang apabila menggandakan kedudukan menerusi penyerang import, Francis Forkey Doe pada minit ke-32.
Skuad kendalian Fandi Ahmad cuba bangkit namun keputusan 0-2 itu kekal sehingga tamat aksi separuh masa pertama.
Bersambung di babak kedua, Selangor terpaksa meneruskan permainan dengan 10 pemain apabila tonggak pertahanan import, Peter Charappan diarahkan keluar padang pada minit ke-56.
Ia gara-gara pemain kelahiran Slovakia itu menerima kad kuning kedua selepas mengasari penyerang Johor DT, Norshahrul Idlan Talaha berhampiran dengan kawasan kotak penalti Selangor.
Kehilangan Charappan nyata tidak menyekat keghairahan Selangor untuk mencari jaringan apabila Mahalli Jasuli meledak gol ketiga buat Gergasi Merah pada minit ke-67.
Dua minit kemudian, Mohd. Amri Yahyah terus menambah derita Harimau Selatan apabila menjaringkan gol keempat buat Selangor.
Harimau Selatan yang terdesak untuk mengurangkan jaringan, akhirnya berjaya membolosi gawang Gergasi Merah hasil gerakan solo Norshahrul pada minit ke-75.
Bagaimanapun, ia sudah terlewat bagi skuad Johor DT untuk bangkit dan kedudukan 4-1 kekal sehingga tamat perlawanan.
Sementara itu, Kelantan tewas 0-1 kepada Lions XII pada aksi yang berlangsung di Stadium Jalan Besar, Singapura manakala Felda United menewaskan Negeri Sembilan 1-0.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0310&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz2N7IvW6G5 
Hakcipta terpelihara 


Jumaat, 8 Mac 2013

Fandi ada strategi hadapi Red Giants di Shah Alam

08 March 2013


JOHOR BAHRU - Bakal berdepan Selangor dalam saingan Liga Super di Stadium Shah Alam, esok pendahulu liga, Johor Darul Takzim sudah merangka strategi terbaik dan bersedia untuk menyekat The Red Giants daripada menang.

Pasukan yang dibarisi ramai pemain berstatus bintang itu mempunyai misi mahu membawa pulang tiga mata penuh sekali gus terus kekal menduduki tangga teratas Liga Super dan tidak dirampas pasukan lain.

Ketua jurulatihnya, Fandi Ahmad yang tidak menafikan bakal berdepan satu perlawanan sukar kerana berdepan bukan calang-calang pasukan mahu anak buahnya memberi sepenuh tumpuan dengan semangat juang yang tinggi.

"Kita kini sudah ada di puncak, jadi perlu gandakan tenaga, usaha dan siapkan mental bagi memastikan kemenangan. Semua pemain perlu fokus dan memberikan yang terbaik," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Pada masa sama, beliau turut menuntut anak buahnya mengekalkan momentum sedia ada dan yang paling penting perlu cepat panas serta tidak tunggu hingga saat-saat genting untuk menyerlah bagi meraih kemenangan.

Fandi juga mahu pemain Johor Darul Takzim menunjukkan semangat berlawan dan tidak kenal erti putus asa seperti ketika pasukannya menewaskan Negeri Sembilan 2-1 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos Jumaat lepas.
Beliau percaya anak buahnya mempunyai skil masing-masing meminta mereka terus mempertingkatkan mutu permainan serta memperbaiki kelemahan sekali gus menunjukkan satu pasukan yang sentiasa mahukan kemenangan.

"Kita akan membuat perubahan berdasarkan pemain yang ada. Mat Yo (Norshahrul Idlan Talaha) juga sudah memulakan latihan. Kita tengok keadaan dia macam mana nanti. Safee (Safee Sali) pula masih belum cergas sepenuhnya.

"Apa yang pasti, semua pemain Johor Darul Takzim sudah bersedia untuk memberi tentangan hebat dan terbaik ketika menentang Selangor dan memastikan misi untuk meraih tiga mata penuh tercapai," katanya.
Pasukan bimbingan Fandi memenuhi reputasi sebagai skuad '5 bintang' apabila merampas takhta liga buat kali pertama dengan menumpaskan skuad Rusa 2-1 dengan gol-gol dijaringkan Kamarul Afiq Kamarudin dan Nurul Azwan Roya


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20130308/su_03/Fandi-ada-strategi-hadapi-Red-Giants-di-Shah-Alam#ixzz2Mw8QweCJ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

TMJ perlu terima apa jua keputusan

08 March 2013



Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

JOHOR BAHRU - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menasihati anakandanya, Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk menerima sebarang keputusan yang dibuat oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dengan hati terbuka.

Baginda juga secara peribadi akur dengan keputusan FAM sekali gus tidak mahu ada double standard biarpun Tunku Mahkota Johor yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) itu adalah anakandanya.
“Tunku Mahkota pun ada menghadap saya menyembah mengenai perkara tersebut dan saya kata kepadanya, apa sahaja keputusan FAM kita perlu terima dengan hati yang terbuka. Saya tak mahu ada double standard walaupun dia anak saya," titah baginda.

Tunku Ismail sebelum ini tidak berpuas hati dengan mutu pengadilan bola sepak tanah air sekali gus membolehkan beliau boleh disiasat atas kesalahan melanggar Artikel 88 Statut FAM atau peraturan lain yang terkandung dalam Perlembagaan FAM.

Sementara itu, Sultan Ibrahim turut mengingatkan penyokong bola sepak di negeri ini supaya menjaga tatatertib dan tidak melakukan perkara yang melanggar undang-undang semasa menonton perlawanan melibatkan pasukan negeri.

“Jaga tatatertib semasa menonton bola sepak, bersopan santun dan jangan buat perkara yang boleh mencemarkan nama Johor, sebaliknya tunjukkan kepada penyokong negeri-negeri lain bahawa kita berdisiplin
“Penyokong perlu sentiasa ingat keselamatan orang lain ketika berada di stadium untuk menyaksikan perlawanan bola sepak melibatkan pasukan negeri ini," tegas Sultan Ibrahim.

Dalam pada itu, baginda turut memuji inisiatif yang diambil oleh Tunku Mahkota Johor dalam mengembalikan era kegemilangan bola sepak negeri ini dengan memimpin PBNJ.

“Alhamdulillah, dalam tempoh yang singkat ini kita sudah dapat lihat hasilnya, orang ramai sudah mula membanjiri stadium untuk menonton bola sepak. Malah, saya difahamkan tiket setiap kali perlawanan habis dijual seawal pukul 10 pagi manakala penyokong hadir ke stadium seawal pukul enam petang," titah baginda.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20130308/su_01/TMJ-perlu-terima-apa-jua-keputusan#ixzz2Mw86LMb8
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Apa nasib Presiden PBNJ?

08 March 2013



Tengku Ismail

KUALA LUMPUR - Bersalah atau tidak? Itulah persoalan yang sedang bermain dalam fikiran peminat dan pemerhati bola sepak mengenai kedudukan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) Tengku Ismail Sultan Ibrahim apabila Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bersidang pada hari ini.

Sama ada Tengku Mahkota Johor itu bakal menjadi mangsa terbaharu Artikel 88 Statut FAM mengikut jejak langkah Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa dan Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Seri Shahidan Kassim, perkara itu belum dapat dipastikan.

Setelah pengerusinya, Datuk Taufik Abdul Razak pada persidangan kali terakhir 28 Februari lalu menyatakan belum bersedia memberikan keputusan walaupun telah meneliti secara mendalam dengan ahli jawatankuasa lain mengenai kes ini, beliau mahu mendapatkan rakaman video terlebih dahulu.
Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad, yang berkata, kes Tunku Ismail akan menjadi agenda terpenting pada mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib kali ke-35.

''Jawatankuasa Tatatertib FAM sudah mempunyai jawapan mengenai kes kenyataan Tunku Ismail dan keputusannya akan diberitahu pada pihak media selepas mesyuarat.

''Selain itu, isu pembakaran suar melibatkan penyokong Johor di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin ketika berdepan Negeri Sembilan juga bakal dibincang bersama pergaduhan pemain Selangor dan ATM (Angkatan Tentera Malaysia)," katanya ketika dihubungi, semalam.

Apa jua keputusan yang akan diberikan, kesannya boleh dilihat dalam dua segi yang boleh memberi kesan kepada dunia bola sepak tanah air sama ada Tunku Ismail dikenakan dakwaan atau sebaliknya.
Pertama, jika Tunku Ismail didapati bersalah di bawah Artikel 88, kontroversi penguatkuasaan undang-undang artikel itu yang berterusan menyekat kebebasan bersuara di kalangan ahli gabungan FAM.

Namun, seandainya Tunku Ismail hanya dikenakan amaran atau bentuk hukuman yang lebih ringan di bawah kod tatatertib yang berbeza, isu lain pasti akan timbul iaitu sejauh mana ketelusan FAM memberi bentuk hukuman yang adil kepada semua pihak.

Menjatuhkan hukuman berdasarkan pelaksanaan Artikel 88 telah menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan pemerhati kerana dikatakan boleh merencatkan perkembangan idea untuk memajukan bola sepak negara.

Jika tidak disiasat di bawah Artikel 88 yang mungkin membawa hukuman penggantungan maksimum selama dua tahun setengah seperti mana yang dialami Annuar Musa dan Shahidan, Tunku Ismail juga boleh didakwa di bawah Kod Tatatertib 4.5.8.

Menurut Artikel 88 peraturan 2010-2014 FAM, hanya Presiden dan Setiausaha Agung dibenarkan membuat kenyataan dan sekiranya ada di kalangan mereka yang di bawah naungan FAM ingin membuat kenyataan, mereka perlu meminta kebenaran kongres terlebih dulu.

Pada 20 Februari lalu, Tunku Ismail mempersoalkan mutu pengadilan bola sepak tanah air yang disifatkan tidak berkualiti selepas melalui tujuh perlawanan Liga Malaysia.

Menurutnya, masalah itu bukan sahaja melibatkan Johor Darul Takzim dan Johor tetapi turut melibatkan pasukan lain.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20130308/su_02/Apa-nasib-Presiden-PBNJ#ixzz2Mw7qSylA
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Bola sepak: Sultan minta penyokong Johor jaga disiplin

08 March 2013 (07 March 2013)


JOHOR BAHARU 7 Mac - Sultan Johor Sultan Ibrahim hari ini menasihatkan penyokong bola sepak negeri ini supaya menjaga tatatertib dan tidak melakukan perkara yang melanggar undang-undang ketika menyaksikan perlawanan Liga Super dan Liga Perdana.

Baginda bertitah semua penyokong perlu sentiasa mengingati keselamatan semua pihak ketika berada di stadium supaya tidak mencemarkan nama negeri ini.

"Jangan buat perkara yang mencemarkan nama negeri Johor seperti melempar barang-barang, asap dan mercun, sebaliknya tunjukkan kepada penyokong negeri lain bahawa kita berdisiplin," titah baginda kepada pemberita di Istana Pasir Pelangi, di sini.

Baginda turut memuji inisiatif yang dilakukan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail, yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), bagi mengembalikan kegemilangan bola sepak negeri ini.

"Sekarang saya tengok stadium penuh malah saya difahamkan tiket sudah habis seawal pukul 10 pagi dan penyokong hadir ke stadium seawal pukul 6 petang.

"Cara Tunku Mahkota memimpin PBNJ dalam masa terdekat sudah nampak hasilnya tetapi peminat jangan berharap pasukan terus menjadi juara, sebaliknya memberi tempoh masa untuk pasukan," titah baginda.

Mengulas mengenai tindakan yang bakal dikenakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ke atas Tunku Mahkota Johor kerana mengkritik mutu pengadilan, Sultan Ibrahim bertitah bahawa baginda akan akur dengan keputusan FAM.

Malah saya sendiri tidak pilih mana-mana pihak sama ada Tunku Mahkota Johor atau FAM kerana saya neutral dalam hal ini, titahnya.

"Tunku Mahkota Johor sendiri ada menghadap sembah kepada saya memberitahu mengenai perkara ini. Saya terima dengan hati terbuka malah tidak mahu berlaku "double standard" walaupun dia anakanda saya," titah baginda.

Selepas mengharungi sembilan perlawanan, pasukan Johor Darul Takzim kini menungguli carta Liga Super dengan 16 mata manakala Johor FA menghuni tangga ketiga dalam Liga Perdana dengan jumlah pungutan mata yang sama. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20130307/su_13/Bola-sepak-Sultan-minta-penyokong-Johor-jaga-disiplin#ixzz2Mw7SxwFo
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Selasa, 5 Mac 2013

'PBNJ kena tanggung'

05 March 2013


'PBNJ kena tanggung'Penonton di Stadium Larkin nyalakan ‘suar’ ketika merai kejayaan Johor DT menewaskan Negeri Sembilan 2-1.
Tengku Abdullah tegas FAM tidak akan kompromi insiden di Larkin

Temerloh: Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) harus bertanggungjawab ke atas tindakan penyokong yang menyalakan suar dan membakar mercun ketika perlawanan Liga Super antara Johor Darul Takzim (DT) dan Negeri Sembilan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Sabtu lalu.

Kenyataan tegas itu dikeluarkan sendiri Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang turut menegaskan insiden seumpama itu tidak ada kompromi dan tidak akan dibiarkan berleluasa oleh badan induk itu. 
“Di mana-mana sekalipun kalau kejadian itu berlaku, FAM kena panggil,” kata Tengku Abdullah. “Kita tidak boleh benarkan objek dan barangan yang membahayakan penonton dibawa ke dalam stadium. PBNJ wajar bertanggungjawab di atas insiden berkenaan.” 


Dalam perlawanan tempoh hari itu, perlawanan terpaksa dihentikan kira-kira lima minit pada lewat babak permainan akibat kepulan asap memenuhi padang gara-gara penyokong Johor DT membakar mercun dan menyalakan suar sejurus tuan rumah menjaringkan gol penyamaan.

Fandi rayu penyokong

Sementara itu, pengendali Johor DT, Fandi Ahmad merayu kepada penyokong supaya tidak mengulangi insiden itu hingga boleh mengakibatkan pasukan beraksi di stadium kosong.

Menurutnya, banyak cara dan gaya boleh dilakukan untuk menyambut jaringan atau kemenangan, tetapi tidak perlu sampai membakar mercun atau menyalakan suar kerana FAM tidak membenarkan bahan larangan berkenaan dibawa masuk ke dalam stadium. 
“Saya bimbang jika insiden seperti itu berulang, skuad kesayangan kita mungkin dikenakan hukuman beraksi di stadium kosong,” kata Fandi. “Jadi, ini akan merugikan semua pihak apa lagi penyokong jadi faktor penting menyemarakkan semangat pemain.”


Peminat beri kerjasama 

Timbalan Setiausaha Kelab Penyokong Johor (Johor Fan Club), Azman Jalil berkata, pihaknya difahamkan pembakaran mercun dilakukan di luar stadium dan tidak menyangka peminat menyalakan suar yang menyebabkan kepulan asap meliputi kawasan padang akibat ditiup angin.

"Kita akan pastikan insiden itu tidak berulang namun saya berharap peminat yang datang memberi kerjasama bagi memastikan perlawanan membabitkan pasukan kesayangan kita, sama ada di laman sendiri atau di tempat lawan, tidak terganggu,” kata Azman.

Johor FA patut dipersalah insiden bakar mercun - Tengku Abdullah

05 March 2013 (04 March 2013)


TEMERLOH 4 Mac - Johor FA, selaku penganjur perlawanan antara Johor Darul Takzim (JDT) dengan Negeri Sembilan patut dipersalahkan atas insiden penyokong tuan rumah menyalakan suar dan membakar mercun pada perlawanan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Sabtu lepas.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, tindakan terhadap penganjur perlu diambil kerana ia melibatkan keselamatan para penonton.
"Ini tamparan kepada Johor FA (selaku tuan rumah) mereka kena bertindak, kita sepatutnya tidak boleh benarkan mercun atau bahan-bahan yang membahayakan penonton dibawa masuk," katanya.

Baginda bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Temerloh, Lancang, di sini hari ini.

Penyokong tuan rumah didakwa membakar mercun sebagai meraikan jaringan penyamaan Kamarul Afiq Kamarudddin pada minit-83 selepas mereka ketinggalan 0-1 sebelum jaringan Nurul Azwan Roya yang membawa kemenangan pasukan JDT pada minit akhir perlawanan.

Mengulas lanjut, Tengku Abdullah berkata, FAM mungkin akan memanggil penganjur bagi menjawab isu berkenaan.

"Selagi ia berulang kena ambil tindakan, ini kerana penganjur yang bertanggungjawab, bukan FAM, perkara ini telah dipersetujui oleh semua pihak dalam komuniti pertandingan (bola sepak).

"Ini soal keselamatan penonton yang tak berdosa, jadi saya nasihatkan janganlah bawa bahan-bahan yang merbahaya macam mercun (ke perlawanan bola sepak)," katanya. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20130304/su_09/Johor-FA-patut-dipersalah-insiden-bakar-mercun---Tengku-Abdullah#ixzz2MfGxZKd5
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Isnin, 4 Mac 2013

Johor DT cari pasal !!

04 March 2013


Kepulan asap kelihatan di Stadium Larkin selepas penyokong menyalakan suar dan membakar mercun, malam kelmarin.Kepulan asap kelihatan di Stadium Larkin selepas penyokong menyalakan suar dan membakar mercun, malam kelmarin.
FAM tegur peminat lebih berdisiplin, ambil iktibar denda ke atas Kelantan, Terengganu

Kuala Lumpur: Johor Darul Takzim (DT) mungkin terpaksa membayar harga mahal untuk berada di persada Liga Super - terima kasih kepada segelintir penyokongnya yang terlalu ghairah hingga mengabaikan aspek keselamatan. 
Dalam perlawanan menentang Negeri Sembilan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin malam kelmarin, permainan terpaksa dihentikan kira-kira lima minit gara-gara kepulan asap memenuhi padang berikutan tindakan penyokong tuan rumah menyalakan suar dan membakar mercun. 

Peruntukan peraturan sudah ada dan tambahan pula dengan siaran langsung, insiden sebegini boleh mengundang tindakan daripada jawatankuasa tatatertib. Mereka perlu mengambil iktibar daripada negeri lain yang sudah didenda FAM," Datuk Azzuddin Ahmad, Setiausaha Agung FAM

Tindakan penyokong Harimau Selatan itu bagi meraikan jaringan penyamaan Kamarul Afiq Kamaruddin pada minit ke-83 selepas mereka ketinggalan 0-1 sebelum jaringan Nurul Azwan Roya memastikan kemenangan menjadi milik skuad bimbingan Fandi Ahmad itu pada minit akhir perlawanan.

FAM minta peminat disiplin

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad menyeru peminat bola sepak tempatan supaya lebih berdisiplin dan mengelak daripada melakukan perkara yang mampu mengundang masalah kepada pasukan masing-masing.

“Saya mohon penonton jangan terlalu ghairah sehingga terbabit dalam perkara tidak diingini,” kata Azzuddin ketika diminta mengulas mengenai insiden di Stadium Larkin kelmarin. 
“Peruntukan peraturan sudah ada dan tambahan pula dengan siaran langsung, insiden sebegini boleh mengundang tindakan daripada jawatankuasa tatatertib. Mereka perlu mengambil iktibar daripada negeri lain yang sudah didenda FAM.”

PBNJ mungkin kehilangan presiden

Selain insiden berkenaan, Johor DT ada beberapa kes lain yang masih dalam pemantauan FAM antaranya tindakan penyokong merampas kain rentang daripada anggota keselamatan ketika perlawanan menentang FELDA United di Stadium MBPJ, Kelana Jaya 22 Februari lalu.

Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) juga mungkin kehilangan presidennya, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sekiranya orang kuat Johor DT itu dikenakan hukuman penggantungan kerana mengkritik mutu pengadilan Liga Malaysia sebelum ini.

Sebelum ini, Johor DT berdepan hukuman denda RM3,000 gara-gara ‘kecuaian' mereka tidak memainkan lagu Negaraku serta lagu negeri pasukan pelawat ketika Johor Darul Takzim bertemu Perak pada aksi pusingan pertama Piala FA di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, 26 Januari lalu.

Tahun ini saja, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) masing-masing dikenakan denda RM62,500 dan RM50,000 akibat salah laku penyokong.

“Tidak salah memberikan sokongan padu kepada pasukan masing-masing, tetapi sikap negatif sebegini akan membunuh semangat kesukanan selain memberikan imej buruk kepada Liga Malaysia,” kata Azzuddin.

Peluang Selangor rampas pendahulu

04 March 2013

Kuala Lumpur: Peluang kini terbuka luas buat Selangor merampas tangga teratas Liga Super daripada Johor Darul Takzim (DT) dengan syarat mereka perlu menewaskan pasukan kedua tercorot, T-Team di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, petang esok. 

Namun, kerisauan menjelma memandangkan jentera depan Selangor gagal menjaringkan gol sepanjang tiga perlawanan terakhir - tewas 2-0 kepada Tentera, seri 0-0 dengan PKNS serta tewas 1-0 kepada Kingfisher East Bengal pada aksi sulung Piala AFC di Kolkata, India, Rabu lalu. 

“Itu yang saya mahukan iaitu jentera depan kembali menggegar. Saya yakin kehadiran semula S Kunanlan dan K Gurusamy yang sudah pulih sepenuhnya mampu menambah kekuatan pasukan. Kami juga sedar, kemenangan bakal meletakkan Selangor di tangga teratas liga,” kata jurulatih Selangor, Irfan Bakti Abu Salim ketika dihubungi, semalam.


Cari calon ganti Ramez 

Namun Irfan tidak dapat membawa dua pemain sayap, Solihin Kanasian dan Raimi Md Nor ke Kuala Terengganu kerana masih cedera manakala khidmat pertahanan import, Ramez Dayoub sudah boleh dilupakan selepas dia digantung seumur hidup oleh Persatuan Bola Sepak Lubnan (LFA) baru-baru ini akibat dakwaan mengatur perlawanan. 

“Mengenai import baru menggantikan Ramez, itu saya serahkan kepada FAS (Persatuan Bola Sepak Selangor). Mungkin kami akan letakkan Peter Chrappan mengisi tempat Ramez,” jelas Irfan. 

Chrappan dan Michal Kubala dua pemain import Selangor yang didaftarkan untuk saingan Piala AFC manakala Ramez dan Francis Forkey Doe didaftarkan untuk beraksi di Liga Super dan Piala AFC.

PBNJ bakal didenda

04 March 2013


Johor Bahru: Persatuan Bola sepak Negeri Johor (PBNJ) berdepan hukuman denda daripada FAM selepas tindakan segelintir penyokong yang membakar mercun menyebabkan kepulan asap tebal pada penghujung babak kedua memaksa aksi membabitkan Johor Darul Takzim (DT) dan Negeri Sembilan pada saingan Liga Super di Stadium Larkin, kelmarin terhenti selama tiga minit.
Semuanya berpunca daripada kegembiraan penyokong skuad Harimau Selatan yang menyambut gol penyamaan Kamarul Afiq Kamarudin pada minit ke-83 sebelum Nurul Azwan Roya muncul wira menjaringkan gol kemenangan pada minit terakhir perlawanan menang 2-1.

Sebelum itu, Johor DT dikejutkan dengan jaringan awal kapten Rashid Mahmud m-28 namun hasrat anak didik Divaldo Alves yang mengidamkan kemenangan per tama liga berkecai akibat kealpaan benteng pertahanan.
Kemenangan itu menyaksikan Harimau Selatan merampas takhta liga daripada ATM.

Jurulatih Fandi Ahmad berkata, tindakan penyokong membakar mercun dalam konteks permainan bola sepak memberi lebih semangat kepada pemain untuk memburu kemenangan.

“Pemain begitu bersemangat apabila melihat penyokong tidak berbelah bagi memberi sokongan dan ini membantu kita memburu kemenangan namun saya berharap insiden membakar mercun tidak berulang lagi.
“Mengenai corak permainan Johor DT yang sudah lima perlawanan terpaksa bangkit daripada ketinggalan, saya lihat senario itu cukup serius dan ia tidak harus berulang kerana ia cukup merugikan kita yang terpaksa berhempas pulas memburu jaringan.

“Karektok pemain sepanjang perlawanan begitu konsisten malah kita menguasai sepanjang aksi itu terutama semangat juang yang tinggi dan kemenangan itu juga memberi cabaran kepada mereka untuk mempertahankan takhta liga,” katanya.
Bagaimanapun, Fandi kehilangan penyerang, Nor Shahrul Idlan Talaha yang mengalami keretakkan di hidung, malah masih belum dapat menurunkan Safee Sali yang mengalami kecederaan pergelangan kaki.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/04

Fandi mahu Harimau mengaum

04 March 2013


JOHOR BAHRU - Pemain Johor Darul Takzim diseru mengekalkan momentum kemenangan dalam saingan Liga Super bagi membolehkan skuad Harimau Selatan itu terus 'mengaum' dan mampu terus kekal berada di takhta liga.

Ketua jurulatih, Fandi Ahmad yang nyata gembira dengan pencapaian itu menyifatkan ia satu kejayaan hasil kerja keras berpasukan dan mahu semangat juang tinggi diteruskan pada perlawanan akan datang.

Namun, pada masa sama, bekas pemain kebangsaan Singapura itu turut meminta anak buahnya supaya cepat 'panas' dan memberikan persembahan terbaik mereka dan tidak tunggu hingga saat-saat genting untuk menyerlah.

Beliau berkata, sudah lima kali skuad Harimau Selatan ketinggalan pada separuh masa pertama dan berjaya bangkit pada babak kedua untuk mencipta kemenangan termasuk perlawanan menentang Negeri Sembilan kelmarin.

"Semangat berlawan dan tidak kenal erti putus asa pemain tidak pernah padam dan ini merupakan satu perkembangan positif. Namun saya perlu ingatkan, kita tidak boleh selalu berada pada situasi seperti itu.

"Apa-apa pun saya dan semua gembira dengan kemenangan ini dan kita perlu kekalkan momentum kemenangan seperti itu," katanya yang sentiasa senyum sepanjang sidang akhbar selepas perlawanan.

Pasukan bimbingan Fandi memenuhi reputasi sebagai skuad '5 bintang' apabila merampas peneraju liga buat kali pertama dengan menumpaskan skuad Rusa 2-1 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin kelmarin.

Pada masa sama, beliau turut mengingatkan pasukan supaya tidak boleh terlalu bergantung kepada seorang pemain seperti Daniel Guiza, sebaliknya mahu komitmen serta kerjasama setiap pemain dipertingkatkan.

Ditanya mengenai perlawanan menentang Selangor di Stadium Shah Alam pada Sabtu ini, Fandi berkata, beliau perlu menyusun strategi tertentu kerana The Red Giants bukan calang-calang pasukan dan pasti akan memberi tentangan sengit.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20130304/su_03/Fandi-mahu-Harimau-mengaum#ixzz2MYeJWZkX
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Dua kunci kejayaan Johor DT

04 March 2013



PENYERANG Johor DT, Norshahrul Idlan Talaha (kanan) dicabar pemain Negeri Sembilan pada aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Johor Bahru kelmarin.


SEMANGAT juang tinggi serta tidak kenal erti putus asa menjadi faktor utama Johor Darul Takzim (Johor DT) melakar kemenangan 2-1 ke atas Negeri Sembilan pada aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos malam kelmarin.
Pengendali JDT, Fandi Ahmad mengakui, anak-anak buahnya sering berada dalam situasi genting termasuk aksi menentang Negeri Sembilan sehingga mereka mencabar diri sendiri untuk memberikan yang terbaik buat pasukan.
“Sudah lima kali (perlawanan) kami ketinggalan pada separuh masa pertama tetapi berjaya bangkit pada babak kedua untuk mencipta kemenangan.
“Sesuatu yang pasti, semangat berlawan dan berjuang para pemain tidak pernah padam. Ini merupakan sesuatu perkembangan yang positif, namun saya perlu ingatkan, kami tidak boleh selalu berada pada situasi seperti ini.
“Pasukan juga tidak boleh bergantung kepada seorang pemain seperti (Daniel) Guiza sahaja, sebaliknya komitmen serta kerjasama semua para pemain perlu ditingkatkan,” kata Fandi pada sidang akhbar selepas perlawanan kelmarin.
Menurut Fandi, beberapa pemain yang mengalami kecederaan dan digantung perlawanan menjadi punca Johor DT tampak goyah pada awal permainan.
Dalam aksi kelmarin, Johor DT dikejutkan gol pembukaan Negeri Sembilan menerusi pemain tengah, Rashid Mahmud pada minit ke-28.
Bagaimanapun, Johor DT bangkit pada babak kedua sebelum memperoleh dua gol hasil sumbangan Kamarul Afiq Kamarudin dan Nurul Azwan Roya.
Kemenangan tersebut berjaya melonjak Johor DT ke tangga teratas liga buat pertama kali apabila mengumpul 16 mata selepas mengharungi sembilan perlawanan.
Mengulas perlawanan menentang Selangor Sabtu ini, Fandi berkata, beliau harus menyusun strategi tertentu memandangkan Gergasi Merah merupakan pasukan handalan yang amat berpengalaman.
“Saya pasti Selangor akan memberi tentangan sengit buat kami tetapi saya akan cuba merangka formasi terbaik bagi menghadapi mereka nanti,” katanya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0304&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz2MYdWR49e 
Hakcipta terpelihara 

Sabtu, 2 Mac 2013

Rita Rudaini Sangkal Dakwaan Aibkan Aidil Di Media

03 March 2013

Rita Rudaini


Berikutan kenyataan yang dikeluarkan oleh pelakon cantik, Rita Rudaini Isnin lalu yang menyatakan dirinya masih lagi menyayangi Aidil Zafuan selagi pemain bola sepak tersebut sah sebagai suaminya, Aidil telah tampil mempersoalkan kenyataan tersebut menerusi sebuah portal online.
Kalau dia sayangkan saya, kenapa dia masih buat macam-macam kenyataan di media yang mengaibkan saya sendiri sebagai suami dia dan juga mengaibkan keluarga saya? Dia juga tahu kenapa saya keluar rumah. Tak perlulah saya bercerita tentang hal peribadi kami. Biar saya dan dia saja yang tahu. Sekarang ini saya mahu bercerai secara baik. Jangan bawa lakonan dia diluar masuk mahkamah. Depan hakim dia cakap dia sayang saya, tapi depan saya dia cakap tak sayang, saya tak tahu apa yang dia nak.
Namun begitu, menerusi sebuah laporan yang berlainan hari ini, Rita telah menyangkal dakwaan tersebut dan mempersoalkan mengenai gosip Aidil dengan beberapa wanita lain sebelum ini.
Kalau dia kata saya aibkan dia, daripada segi apa? Saya sudah pun menjaga tingkah laku saya sebagai perempuan, ibu dan isteri. Sebelum ini, dia yang banyak dikaitkan dengan beberapa wanita lain. Kalau tidak benar, kenapa nama dia banyak dipetik dan bukannya saya?
Malah orang di luar sana yang sering datang menyampaikan khabar kepada saya tentang kononnya mereka ternampak Aidil keluar dengan perempuan lain. Pada saya pula, apa gosip yang berlaku selepas krisis rumahtangga kami, itu adalah urusan Aidil dengan Allah SWT. – dipetik dari Murai.com

Keputusan Liga Super

03 March 2013


KUALA LUMPUR: Berikut keputusan tiga perlawanan Liga Super malam Sabtu:
Felda United FC 0 Lions XII 0
Johor Darul Takzim 2 Negeri Sembilan 1
Selangor PKNS FC 0 Terengganu 2 -BERNAMA

Johor Darul Takzim Rampas Takhta Liga Super

03 March 2013


KUALA LUMPUR: Pasukan berstatus bintang, Johor Darul Takzim merampas kedudukan pendahulu Liga Super selepas mengalahkan Negeri Sembilan 2-1 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin malam Sabtu.
Skuad yang terkenal dengan jolokan 'Harimau Selatan' itu memintas pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan kelebihan satu mata selepas mengutip 16 mata daripada sembilan perlawanan.
Negeri Sembilan terlebih dahulu membuka jaringan pada minit ke-28 menerusi pemain tengah, Rashid Mahmud. Namun kegembiran skuad Negeri Sembilan tidak kekal lama apabila Johor Darul Takzim berjaya menyamakan kedudukan menerusi tandukan pemain pertahanan, Kamarul Afiq Kamaruddin pada minit ke-82.
Mohd Nurul Azwan Roya muncul wira pasukan Johor Darul Takzim apabila menjaringkan gol kemenangan minit ke-91.
Di Stadium Shah Alam, Terengganu mengalahkan Selangor PKNS 2-0.
Penyerang berbisa skuad Penyu, Jean Emmanuel Effa Owona membuka jaringan seawal minit kelapan sebelum Abdul Manaf Mamat menggandakan jaringan pada minit ke-27.
Sementara itu, pada sebelah petang, wakil kelab dari Singapura, Lions XII sekadar terikat seri tanpa jaringan dengan Felda United di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MPPJ), Selangor.
Pemain pertahanan Lions XII, Baihakki Khaizan dikenakan kad merah pada minit ke-62.-BERNAMA

Johor DT 5 bintang

03 March 2013


PENYERANG Johor Darul Takzim, Norshahrul Idlan Talaha (tengah) diasak pemain Negeri Sembilan, Azmeer Yusof pada aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunus Larkin, semalam.

JOHOR BAHRU - Johor Darul Takzim akhirnya memenuhi reputasi sebagai skuad '5 bintang' apabila merampas peneraju Liga Super buat kali pertama dengan menumpaskan pasukan tercorot, Negeri Sembilan 2-1 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin semalam.

Kemenangan bagaimanapun tidak diraih dengan mudah, malah skuad Harimau Selatan memerlukan dua gol lewat minit dan bangkit daripada ketinggalan sebelum menceriakan 30,000 penyokong yang memenuhi stadium sejak petang.

Negeri Sembilan terlebih dulu mengejutkan tuan rumah dengan membuka jaringan menerusi kapten, Rashid Mahmud yang berjaya membolosi penjaga gawang Mohd. Zamir Selamat menerusi tendangan leret pada minit ke-28.

Begitupun, tuan rumah membalas pada minit ke-83 menerusi Kamarul Afiq, sebelum Nurul Azwan Roya mengesahkan kemenangan mereka pada minit ke-90.
Pada separuh masa pertama, Johor Darul Takzim membuat dua pertukaran iaitu membawa masuk Nurul Azwan menggantikan Mohd. Tuah Iskandar pada minit ke-35 dan Mohd Akram Mahinan menggantikan Norshahrul pada minit ke-39.
Kegigihan skuad Harimau Selatan untuk memburu kemenangan membuahkan hasil apabila Kamarul Afiq berjaya menyamakan kedudukan selepas menanduk bola hasil hantaran Simone Del Nero.
Dalam rancak memburu gol, permainan di stadium terpaksa dihentikan pada minit ke-86 selama tiga minit ekoran gangguan asap dihasilkan mercun yang dilempar penyokong tuan rumah sebelum gol kemenangan dijaringkan Nurul Azwan.
Hadir sama, menyaksikan perlawanan penuh dramatik itu ialah Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan jurulatih skuad kebangsaan, Datuk K. Rajagobal.
Dalam satu lagi perlawanan, Terengganu meneruskan momentum kebangkitan dengan meraih kemenangan kedua berturut-turut dengan membenam PKNS 2-0 di Stadium Shah Alam.
Jean Emmanuel Effa Owona membuka tirai jaringan pada minit ke-7 sebelum Abdul Manaf Mamat menggandakan kelebihan skuad pelawat pada minit ke-25 menerusi percubaan dari jarak 25 meter.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20130303/su_01/Johor-DT-5-bintang#ixzz2MRNee7Zt
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Jumaat, 1 Mac 2013

‘Pamer aksi terbaik’

2 March 2013


Barisan pemain berstatus bintang Johor Darul Takzim diingatkan untuk kembali fokus dan pamer aksi terbaik setimpal dengan nilai yang diterima ketika berdepan Negeri Sembilan pada saingan Liga Super di Stadium Larkin, malam ini.
Pengendali skuad bergelar Harimau Selatan, Fandi Ahmad mahu pemain yang bakal beraksi dalam skuad utama membuktikan mereka mempunyai kualiti dan sentiasa komited bagi memastikan kemenangan mampu diraih dalam usaha mengejar kelompok teratas liga.

Walaupun dihimpit masalah menurunkan kesebelasan terbaik ketika penyerang, Safee Sali dibelenggu kecederaan serta pemain tengah, Ahmad Ezrie Shafizie digantung satu perlawanan selepas mengumpul tiga kad kuning dan kelibat Simone Del Nero masih samar dalam skuad utama, skuad Harimau Selatan tidak harus melepaskan peluang meraih tiga mata di laman sendiri.
“Buat masa ini hanya Mat Yo dilihat bersungguh-sungguh mempamerkan aksi terbaik apabila kerap berkerja keras menggempur benteng lawan biarpun tidak dapat menjaringkan gol namun saya tetap puji komitmen ditunjukkannya dan saya mahu pemain lain mencontohi sikap positifnya.

“Kami masih kehilangan Safee yang cedera manakala tempat Ahmad Ezrie akan diganti namun saya belum putuskan siapa yang bergandingan bersama Safiq Rahim yang kini pulih daripada kecederaan.

“Kami tidak memandang rendah Negeri Sembilan walaupun pasukan itu belum meraih kemenangan dan saya mahu pemain memberi tumpuan penuh kerana tidak sanggup keciciran mata lagi selepas seri 2-2 dengan LionsXII pada saingan liga,” katanya.
Mengulas kerapuhan benteng, Fandi menegaskan belum memutuskan barisan terbaik mengemudi jentera itu, antara Aidil Zafuan Abd Radzak, Muslim Ahmad atau Kamarul Afiq Kamarudin.

Beliau mengaku kagum corak permainan Kamarul Afiq yang tampak konsisten ketika perlawanan pusingan kedua Piala FA menentang Kedah, Jumaat lalu biarpun pemain itu baru pulih daripada kecederaan.
“Benteng perlu ampuh dan saya akan putuskan pemain yang akan beraksi sebelum perlawanan dan saya harap pemain tidak mengulangi kesilapan dalam dua perlawanan lalu apabila membiarkan lawan menjaringkan gol awal.”
Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/02 - See more at: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/2013030202353320130302023533/Article/index_html#sthash.KT9PGewH.dpuf

Sama - sama :)

2 March 2013



Fandi Ahmad

JOHOR BAHRU - Pemain pasukan Johor Darul Takzim diingatkan supaya tidak lokek tenaga sekali gus perlu bekerja keras pada perlawanan saingan Liga Super menentang Negeri Sembilan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos di sini, malam ini.

Peringatan tersebut dibuat ketua jurulatih, Fandi Ahmad yang turut memberi amaran tidak teragak-agak untuk mengeluarkan mana-mana pemain yang dilihat tidak mempunyai disiplin biarpun baru beraksi tidak sampai 15 minit.

Tanpa berselindung, beliau turut melahirkan rasa kecewanya terhadap beberapa pemain yang disifatkannya masih mempunyai sikap sambil lewa dan kurang mahu kerah tenaga dalam usaha memastikan kemenangan berpihak kepada mereka.

"Tidak kira siapa lawan kita sama ada pasukan di atas ke di bawah ke kerana dalam bola sepak apa-apa pun boleh terjadi. Jadi, sebagai pemain profesional mereka (pemain) perlu memberikan yang terbaik setiap kali turun 'berperang'.

"Saya tidak menafikan 'nama' penting, namun hakikatnya kejayaan lebih penting daripada 'nama'," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas sesi latihan pasukan Johor Darul Takzim di padang Seri Gelam di sini, semalam.

Sehubungan itu, Fandi yang juga merupakan pengurus pasukan mahu anak buahnya memberikan persembahan terbaik mereka ketika menentang skuad Rusa dalam misi memastikan pasukan Harimau Selatan itu mampu memungut tiga mata penuh.

Beliau tidak menafikan anak buahnya mempunyai gaya dan skil permainan yang baik sekali gus mahu kesilapan dilakukan ketika bertemu Kedah dalam aksi Piala FA Selasa lalu perlu dijadikan iktibar dan tidak seharusnya diulangi.

Fandi turut memuji pemain import, Daniel Guiza dan Norshahrul Idlan Talaha yang dilihat sebagai gandingan serasi di barisan hadapan, namun turut mengingatkan bekas pemain Getafe itu supaya tidak terlalu bergerak ke seluruh padang.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, Safee Sali dan Muslim Ahmad masih lagi dibelenggu kecederaan manakala Ahmad Ezrie Shafizie Sazali pula tidak dapat diturunkan kerana digantung perlawanan.

Fandi turut mengesahkan Safiq Rahim dan Aidil Zafuan Abdul Razak sudah pulih dan dapat turun beraksi malam ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20130302/su_05/Jangan-lokek-tenaga---Fandi#ixzz2MLTLPP8g
© Utusan Melayu (M) Bhd 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...