Aidil Zafuan & Zaquan Adha

Keluarga Aidil Zafuan

Keluarga Zaquan Adha

LIKE jika suka :)

Sabtu, 9 Mac 2013

Selangor ratah Johor DT

10 March 2013

AMRI (tengah) dihimpit dua pertahanan Johor DT pada aksi Liga Super di Stadium Shah Alam malam tadi. Pada perlawanan itu, Selangor menang 4-1.


SELANGOR tampil garang apabila menewaskan Johor Darul Takzim (Johor DT) 4-1 pada aksi Liga Super di Stadium Shah Alam, malam tadi.
Lebih manis, kejayaan itu turut menyaksikan skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim berjaya merampas kedudukan Johor DT di tangga kedua liga selain berkongsi mata dengan pendahulu Liga Super, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan mengutip 18 mata sepanjang 10 perlawanan.
Pada aksi malam tadi, Selangor tidak mengambil masa lama untuk membuka jaringan menerusi percubaan menarik daripada S. Kunanlan pada minit keempat.
Bekas pemain Negeri Sembilan itu bijak memperdayakan penjaga gol, Zamir Selamat yang gagal mendakap kemas percubaannya daripada luar kotak penalti.
Gergasi Merah terus mempamerkan persembahan cemerlang apabila menggandakan kedudukan menerusi penyerang import, Francis Forkey Doe pada minit ke-32.
Skuad kendalian Fandi Ahmad cuba bangkit namun keputusan 0-2 itu kekal sehingga tamat aksi separuh masa pertama.
Bersambung di babak kedua, Selangor terpaksa meneruskan permainan dengan 10 pemain apabila tonggak pertahanan import, Peter Charappan diarahkan keluar padang pada minit ke-56.
Ia gara-gara pemain kelahiran Slovakia itu menerima kad kuning kedua selepas mengasari penyerang Johor DT, Norshahrul Idlan Talaha berhampiran dengan kawasan kotak penalti Selangor.
Kehilangan Charappan nyata tidak menyekat keghairahan Selangor untuk mencari jaringan apabila Mahalli Jasuli meledak gol ketiga buat Gergasi Merah pada minit ke-67.
Dua minit kemudian, Mohd. Amri Yahyah terus menambah derita Harimau Selatan apabila menjaringkan gol keempat buat Selangor.
Harimau Selatan yang terdesak untuk mengurangkan jaringan, akhirnya berjaya membolosi gawang Gergasi Merah hasil gerakan solo Norshahrul pada minit ke-75.
Bagaimanapun, ia sudah terlewat bagi skuad Johor DT untuk bangkit dan kedudukan 4-1 kekal sehingga tamat perlawanan.
Sementara itu, Kelantan tewas 0-1 kepada Lions XII pada aksi yang berlangsung di Stadium Jalan Besar, Singapura manakala Felda United menewaskan Negeri Sembilan 1-0.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0310&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz2N7IvW6G5 
Hakcipta terpelihara 


Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...