Aidil Zafuan & Zaquan Adha

Keluarga Aidil Zafuan

Keluarga Zaquan Adha

LIKE jika suka :)

Rabu, 6 Februari 2013

Apek perlu tangkas jika idam sekat Qatar

06 February 2013


Doha: Ketangkasan penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat pasti ditagih untuk menyekat hajat Qatar melakar kemenangan di laman sendiri pada aksi pertama kelayakan Piala Asia 2015 di Stadium Jassim Bin Hamad, Doha malam ini.
Khairul Fahmi, 24, dijangka diberi kepercayaan oleh ketua jurulatih, Datuk K Rajagobal untuk mengawal gawang negara biarpun penjaga gol utama skuad Piala AFF 2012, Mohd Farizal Marlias dan Norazlan Razali turut berada dalam skuad.

Khairul Fahmi atau turut dikenali sebagai Apek bertekad memberikan aksi terbaik bagi memastikan Harimau Malaya tidak pulang tangan kosong pada aksi pembukaan Kumpulan D itu.
“Memang sasaran utama menang perlawanan dengan Qatar ini tapi kalau dapat seri untuk bawa pulang satu mata sudah cukup baik,” kata penjaga gol Kelantan itu.

Kedudukan Khairul Fahmi sebagai penjaga gol nombor satu negara sebelum ini goyah apabila tidak mendapat tempat dalam kesebelasan utama sejak kekalahan 0-3 di tangan Singapura pada aksi peringkat kumpulan Piala AFF tahun lalu.

Tempatnya diisi Farizal, namun pemain itu baru-baru ini mengalami kecederaan jari sebelum mengikuti sesi latihan pusat sekali gus memberi ruang untuk Khairul Fahmi kembali beraksi ketika tewas 0-3 kepada Iraq pada perlawanan persahabatan di Dubai Jumaat lalu.
Foto
Khairul Fahmi Che Mat
Tanpa masalah kecederaan di barisan pertahanan, Rajagobal mampu menurunkan pemain terbaik bahagian belakang namun Khairul Fahmi mengingatkan rakan sepasukan supaya sentiasa waspada terutama mengikat pergerakan pemain tengah, Khalfan Ibrahim dan penyerang, Sebastian Soria.

“Jangan buat kesilapan mudah, komunikasi antara pemain amat penting.”
Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/06

Harimau Malaya hidu kelemahan Qatar

06 February 2013


KUALA LUMPUR - Harimau Malaya akan mendedahkan belang sebenar dengan memanfaatkan kelemahan daripada gandingan baharu pemain Qatar yang mungkin kurang serasi dalam pertemuan bola sepak Kumpulan D Kelayakan Piala Asia 2015, hari ini.

Pada kaca mata jurulatih negara, Datuk K. Rajagobal, kesempatan itu mampu mencari sekurang-kurangnya satu mata dari Stadium Jassim Hamad, Doha.

"Kami tahu tuan rumah tiada masalah kecederaan, ramai tonggak seperti pasukan Malaysia, malah semua bahagian lawan boleh dikatakan lengkap dan tiada masalah selain disokong sehingga tujuh atau lapan pemain naturalisasi.

"Namun, hakikat keserasian pemain mereka yang mungkin baharu, masih boleh diambil kesempatan oleh pasukan kita untuk cuba mendapatkan mata dalam perlawanan ini," katanya menjelang aksi sulung perlawanan sebenar Harimau Malaya itu pada tahun ini.

Di bawah bimbingan jurulatih tempatan, Fahad Abdullah Al Thani Alzraa yang menggantikan warga Brazil, Paulo Autuori, ramai muka baharu Qatar yang dibawa masuk sejak prestasi hambar mereka dalam Piala Negara-negara Teluk di Bahrain, bulan lalu.

Rajagobal dalam pada itu tidak menolak kemungkinan untuk kembali memperjudikan kesebelasan utama seperti ketika mereka dibenam Iraq 0-3 dalam perlawanan persahabatan di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Jumaat lalu.

Tanpa nama besar seperti Mohd. Safee Mohd. Sali, Norshahrul Idlan Talaha, S. Kunanlan dan Baddrol Bakhtiar, hanya gandingan Mohd. Khyril Muhymeen Zambri-Mohd. Amri Yahyah dapat diturunkannya.

Sementara itu, Fahad Abdullah berkata: "Sungguhpun ada ramai muka baharu dalam pasukan ini, saya lebih kenal kemampuan pemain saya sebab saya penolong jurulatih pasukan kebangsaan Qatar selama dua tahun (sebelumnya dibimbing dua warga Brazil). Jadi tidak timbul masalah.

"Kalau ada antara 11 dalam kesebelasan utama yang tidak menyerlah, ramai yang mampu menggantikannya. Memang ada segelintir yang tercedera tetapi saya yakin, mereka sempat pulih bagi perlawanan ini," katanya.
Antara tonggak Qatar yang wajar diberikan dalam perlawanan yang turut mempengaruhi ranking dunia ini ialah ketua pasukan, Ibrahim Majid dan seorang penyerang kelahiran Uruguay Sebastian Soria Quintana.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20130206/su_02/Harimau-Malaya-hidu-kelemahan-Qatar#ixzz2K6qA5tx3
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Dua kunci terbaik kekang Qatar

06 February 2013


PERSEFAHAMAN sesama pemain serta konsentrasi menjadi dua kunci terbaik Harimau Malaya untuk sekurang-kurangnya tidak dimalukan Qatar menjelang aksi pembuka tirai kempen kelayakan Piala Asia 2015 di Stadium Jassim Hamad, Doha malam ini.
Tempang tanpa beberapa pemain utama seperti Norshahrul Idlan Talaha dan Mohd. Safee Sali yang masih cedera selain kapten, Safiq Rahim yang menjalani hukuman penggantungan perlawanan, jurulatih, Datuk K. Rajagobal dilihat memiliki pilihan terhad bagi menurunkan skuad yang benar-benar ampuh bagi mengekang ancaman bertali arus Qatar malam ini.
Biarpun pemain Asia Timur itu dilihat memiliki kelebihan dari aspek fizikal, pemain-pemain negara enggan menjadikan perkara itu sebagai alasan untuk mempamerkan aksi sambil lewa.
Malam ini, tumpuan pastinya terarah kepada penjaga gol negara, Khairul Fahmi Che Mat yang dijangka mendapat kepercayaan Rajagobal mengawal kubu Harimau Malaya.
Apa yang pasti, Khairul Fahmi perlu kekal fokus dan tidak lagi mengulangi kesilapan mudah seperti mana ketika mengharungi saingan peringkat kumpulan kempen Piala Suzuki AFF tahun lalu.
Menurut Khairul, persefahaman sesama pemain mampu menjelmakan sesuatu keputusan yang positif biarpun baharu sahaja dibentuk ekoran kecederaan beberapa pemain utama.
"Konsentrasi sepanjang 90 minit permainan cukup penting, jadi kami perlu segera menyesuaikan diri dan membentuk persefahaman yang sempurna.
"Meskipun sedar Qatar bukan calang-calang, kami tidak mahu mengaku kalah sebegitu sahaja," katanya sebelum berlepas ke Doha baru-baru ini.
Nada positif yang sama juga dikongsi kapten pasukan, Aidil Zafuan Abdul Razak yang nekad untuk sekurang-kurangnya mencuri satu mata dalam perlawanan itu.
"Cuaca sejuk tidak menganggu fokus kami untuk memberikan yang terbaik.
"Selain berharap dapat memburu gol awal, saya juga mahu membantu mengemudi benteng pertahanan dengan baik supaya tidak dibolosi," kata Aidil.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0206&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz2K6pqMfCX 
Hakcipta terpelihara 

Harimau Malaya elak malu besar

06 February 2013



SKUAD Harimau Malaya turun dengan misi melakar kejutan ketika berdepan Qatar pada aksi pembuka tirai Kumpulan D kempen kelayakan Piala Asia 2015 di Doha malam ini.


ATAS kertas, keupayaan skuad Harimau Malaya dan Qatar boleh diibaratkan sebagai ‘langit dan bumi’.
Berdasarkan ranking terkini Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang dikeluarkan pada 17 Januari lalu, skuad Asia Timur itu kini menduduki tangga ke-106 dunia, jauh meninggalkan Malaysia (158).
Biarpun enggan meletakkan harapan terlalu tinggi, barisan pemain negara tetap dituntut supaya berjuang habis-habisan menjelang pertemuan kedua-dua pasukan pada aksi pembuka tirai Kumpulan D kempen kelayakan Piala Asia 2015 di Stadium Jassim Hamad, Doha malam ini (11.30 malam waktu Malaysia).
Memang benar, kita perlu berpijak di bumi nyata. Namun, sekurang-kurangnya pemain Harimau Malaya perlu sedar betapa kekalahan dengan jumlah jaringan yang besar malam ini hanya akan berterusan mengundang prestasi skeptikal peminat setia tempatan.
Jurulatih Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal juga tidak lagi memiliki masa untuk ‘bereksperimen’ berhubung barisan pemain yang diturunkan malam ini, sebaliknya perlu menyenaraikan skuad terkuat biarpun tempang tanpa kehadiran beberapa pemain utama.
Bukan apa, ‘sudah terang lagi bersuluh’ betapa ‘eksperimen’ yang diterapkan Rajagobal dilihat tidak menjadi sebaik gagal mempertahankan Piala Suzuki AFF tahun lalu.
Justeru, aksi berkualiti perlu dipamerkan anak-anak buah beliau supaya tidak terlalu mudah diperkotak-katikkan Qatar malam ini.
Mungkin peminat negara masih boleh menerima kekalahan Harimau Malaya asalkan mereka tewas dengan cara bermaruah.
“Kita perlu sedar Qatar dan kita cukup berbeza. Bukan mahu memberikan alasan tetapi itu hakikat yang perlu kita terima.
“Jadi, saya akan menerangkan kepada pemain berhubung strategi permainan supaya memberikan cabaran kepada Qatar,” kata Rajagobal ketika ditemui media tempatan kelmarin.
Malam ini, Rajagobal dijangka mempertaruhkan gandingan Amri Yahyah dan Khyril Muhymeen Zambri membentuk sentuhan penyudah berkesan sambil dibantu Norfarhan Muhammad, Azamuddin Akil, Shakir Saari dan Abdul Shukor Jusoh dari bahagian tengah.
Kapten pasukan, Aidil Zafuan Abdul Razak pula dilihat perlu bekerja keras mengemudi benteng pertahanan negara sambil dibantu Amiridzwan Taj Tajuddin, Mohamad Fadhli Shas, Mahalli Jasuli dan Asraruddin Putra Omar.
Pada masa sama, Qatar juga pastinya enggan pulang dengan tangan kosong malam ini, sekali gus mencerahkan peluang mara ke pusingan akhir Piala Asia 2015.
Jurulatih baharu Qatar, Fahad Thani yang mengambil alih tugas jurulatih kelahiran Brazil, Paulo Autuori yang dipecat bulan lalu juga dilihat sudah ‘lulus ujian pertama’ sebaik anak-anak buahnya mengatasi Lubnan dengan kemenangan tipis 1-0 dalam satu aksi persahabatan minggu lalu.
Selepas bertemu Qatar nanti, Harimau Malaya bakal berdepan dua lagi pasukan Asia Timur iaitu Yemen dan Bahrain, masing-masing pada 22 Mac dan 15 Oktober depan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0206&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz2K6pXHJXQ 
Hakcipta terpelihara 

Doa Wan Zack iringi perjuangan Harimau Malaya

06 February 2013


PEMAIN sayap lincah, Wan Zack Haikal Wan Nor seakan-akan sudah sinonim dengan masalah kecederaan.
Selepas tersisih ketika skuad Harimau Muda merangkul pingat emas temasya Sukan SEA 2011 di Jakarta, Indonesia, Wan Zack sekali lagi terpaksa melupakan hasrat membantu Harimau Malaya mara lebih jauh pada kempen Piala Suzuki AFF tahun lalu.
Kali ini, skrip yang sama juga menimpa Wan Zack apabila mengalami kecederaan lutut kiri, sekali gus terpaksa diketepikan pengendali Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal ketika berdepan Qatar dalam aksi pembuka tirai Kumpulan D kempen kelayakan Piala Asia 2015 di Doha malam ini.
Begitupun, Wan Zack enggan menjadikan insiden sedemikian mematahkan semangatnya untuk terus cemerlang dalam bola sepak.
"Sudah tentu saya kecewa apabila sekali lagi terpaksa diketepikan gara-gara kecederaan.
"Justeru, saya berdoa supaya rakan-rakan dapat memberikan yang terbaik biarpun Qatar bukan lawan yang mudah," katanya kepada Kosmo!.
Selain Wan Zack, antara tonggak Harimau Malaya yang turut dilanda musibah kecederaan termasuklah Mohd. Safee Sali, Norshahrul Idlan Talaha, K. Gurusamy dan Amar Rohidan.
Kapten pasukan, Safiq Rahim pula terpaksa diketepikan gara-gara menjalani hukuman penggantungan perlawanan.
Dalam pada itu, Wan Zack mengakui yang dia kini sudah cukup bersedia sebelum menyertai kelab Jepun, FC Ryukyu, April depan.
"Saya harap lutut kiri saya sempat pulih sebelum ke Jepun nanti," katanya yang akan turut disertai rakan sepasukan daripada Harimau Muda, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0206&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz2K6pGHWZP 
Hakcipta terpelihara 

Selasa, 5 Februari 2013

Ada strategi benam Qatar

05 February 2013


Doha: Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Datuk K Rajagobal sudah mendapat ilham untuk menerapkan strategi terbaik bagi berdepan skuad Qatar yang tampak seperti pasukan ‘Singapura Timur Tengah’ kerana dibarisi ramai pemain naturalisasi.
Biarpun sedar faktor fizikal tidak memihak kepada Harimau Malaya, pengendali negara itu mahu anak buahnya turun beraksi pada aksi sulung kelayakan Piala Asia 2015 di Stadium Jassim Bin Hamad esok tanpa perasaan gentar.

“Kita perlu sedar pasukan ini di tahap berbeza, Saya akan beritahu pemain, apa game plan (strategi permainan) kita untuk beri cabaran kepada Qatar.

Harimau Selatan menang aksi persahabatan

05 February 2013


Pemain Johor Darul Takzim, Muhd. Haidin Azman melepasi pemain Geylang International FC dalam perlawanan persahabatan di Tan Sri Hassan Yunos, Larkin kelmarin.

JOHOR BAHRU - Bagi pasukan lain, tempoh rehat Liga Malaysia ketika ini mungkin digunakan untuk menjalani latihan ringan.

Namun tidak bagi pasukan Johor Darul Takzim yang mempunyai beberapa siri perlawanan persahabatan dengan pasukan dari negara jiran, Singapura.

Kelmarin, pasukan Harimau Selatan tetap 'mengaum' walaupun tanpa ramai pemain tonggak yang cedera apabila menewaskan pasukan Geylang International FC di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin di sini.
Perancang berbisa Johor Darul Takzim, Daniel Guiza terus menampil kejituan penyudah apabila menyumbat gol tunggal perlawanan menerusi sepakan percuma setelah penjaga gol lawan, Takuma Ito dipersalahkan apabila menangkap bola di luar kotak penalti pada minit ke-88.

Walaupun turun tanpa ramai pemain utama, namun kesungguhan dan komitmen pemain simpanan mendapat pujian pengendali Johor Darul Takzim, Fandi Ahmad.

"Pasukan yang dibarisi pemain simpanan kecuali Daniel Guiza dan Nurul Azwan Roya telah menunjukkan komitmen dan disiplin yang tinggi," katanya selepas perlawanan tersebut.

Bagaimanapun, Fandi mengakui banyak lagi kelemahan yang perlu diperbaiki terutamanya dari segi kreativiti kerana terdapat beberapa pemain yang masih mencari rentak masing-masing.

"Bermain di padang basah memang menguji tahap fizikal pemain tetapi saya tetap memuji barisan pertahanan kerana berjaya mengekang asakan pemain pasukan lawan yang rata-ratanya dibarisi pemain import seperti Stefan Milosevic dan Norihiro Kawakami," katanya.

Pada perlawanan persahabatan itu, beberapa pemain utama seperti Mohd. Muslim Ahmad tidak dapat diturunkan kerana demam, manakala ketua pasukan Safiq Rahim, Safee Sali dan Norshahrul Idlan Talaha masih dibelenggu kecederaan.

Perlawanan persahabatan seterusnya adalah menentang Singapore Arm Forces dan Young Lions di Singapura sebelum Harimau Selatan meneruskan cabaran dalam Liga Super pada 17 Februari ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20130205/su_06/Harimau-Selatan-menang-aksi-persahabatan#ixzz2K2Yr8hTn
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Seri dengan Qatar sudah cukup baik

05 February 2013


PETALING JAYA - Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) meletakkan harapan agar skuad Harimau Malaya berupaya mendapatkan sekurang-kurangnya satu mata pada perlawanan Kelayakan Piala Asia 2015 Kumpulan D menentang Qatar, di Stadium Al-Sadd Doha, esok.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata, perlawanan kelayakan itu juga akan menjadi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) buat ketua jurulatih Datuk K. Rajagobal bersama pasukan kebangsaan.

Bagaimanapun, kata Azzuddin, pihaknya sedia menerima keputusan sukar andai harapan untuk menang dan seri tidak dapat direalisasikan.

"Jika kalah kami perlu dapatkan alasan daripada jurulatih tentang keputusan tersebut.

"Tetapi kami harap pasukan kebangsaan mampu untuk menang atau seri ketika menentang Qatar nanti," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat berhubung status Nazmi Faiz Mansor bersama PKNS di Wisma FAM, sini, semalam.

Harimau Malaya berkunjung ke Qatar untuk perlawanan kelayakan tersebut dengan ketiadaan banyak pemain utama kerana kecederaan.

Malah Rajagobal juga mengakui persiapan kali ini adalah paling buruk pernah dihadapinya sepanjang mengendalikan skuad Harimau Malaya.

Antara pemain utama yang mengalami kecederaan adalah Safee Sali, Norshahrul Idlan Talaha, Amar Rohidan dan Zubir Azmi manakala penjaga gol Farizal Marlias masih belum pasti dapat bermain kerana belum pulih sepenuhnya.

Pemain tonggak lain yang turut terlepas aksi menentang Qatar termasuk Wan Zack Haikal Wan Noor, Gary Steven Robbat dan Fitri Omar.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20130205/su_02/Seri-dengan-Qatar-sudah-cukup-baik#ixzz2K2XyrosL
© Utusan Melayu (M) Bhd 

FAM tetap 'sayang' Rajagobal

05 February 2013



BARISAN pemain skuad Harimau Malaya sudah bersedia untuk berdepan Qatar pada aksi pembuka tirai kempen kelayakan Piala Asia 2015 di Doha esok.


SUKA atau tidak, Datuk K. Rajagobal tetap menjadi 'anak emas' Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Apa tidaknya, kedudukan beliau sebagai jurulatih masih tidak terjejas sekalipun Harimau Malaya tewas kepada Qatar dalam aksi pembuka tirai kempen kelayakan Piala Asia 2015 di Stadium Jassim Hamad, Doha esok.
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad berkata, badan induk itu sentiasa mempercayai kredibiliti Rajagobal yang menggalas tanggungjawab itu sejak Julai 2009.
Menurut beliau, aksi berdepan Qatar bukannya penentu masa depan Rajagobal, sebaliknya FAM akan menunggu sehingga kempen kelayakan tamat sebelum membuat sebarang keputusan.
"Kalau kalah (berdepan Qatar), kena terimalah. Kami tetap akan menunggu sehingga hujung tahun. Sebagai majikan, kami sentiasa percaya dengan kemampuan Rajagobal.
"Biarpun perlawanan itu merupakan sebahagian daripada KPI (indeks prestasi utama) Rajagobal, kami perlu menilai secara keseluruhan," katanya.
Ketika ini, masa depan Rajagobal selaku jurulatih dilihat berada di ambang bahaya ekoran krisis kecederaan beberapa pemain utama Harimau Malaya seperti Mohd. Safee Sali dan Norshahrul Idlan Talaha dan tugas penggempur kini digalas Amri Yahyah dan Khyril Muhymeen Zamri.
Bagaikan 'meludah ke langit', kata-kata Rajagobal sebelum ini yang akan meletak jawatan sekiranya gagal membantu Harimau Malaya juga seolah-olah 'menanti masa' sebelum menjerat diri sendiri.
Beliau dilaporkan berkata sedemikian selepas dikecam hebat pemerhati bola sepak tempatan gara-gara gagal mempertahankan trofi Piala Suzuki AFF tahun lalu.
Begitupun kata Azzuddin, pihaknya tetap menuntut penjelasan Rajagobal sekiranya gagal mara ke pusingan akhir Piala Asia 2015.
"Beliau masih perlu memberikan penjelasan (jika gagal) tetapi ada baiknya membenarkan Rajagobal melaksanakan tugasnya terlebih dahulu.
"Tidak perlu membuat sebarang andaian selagi tugas beliau belum tamat. Sebagai manusia biasa, sudah tentu (Rajagobal) terkilan jika berterusan dihentam," katanya.
Selepas bertemu Qatar nanti, Harimau Malaya bakal berdepan dua lagi pasukan Asia Timur iaitu Yemen dan Bahrain pada 22 Mac dan 15 Oktober depan.
Dalam pada itu, Azzuddin mengesahkan masih belum menerima sebarang usul daripada mana-mana pihak berhubung panel pemilihan pemain yang bakal mewakili skuad kebangsaan selepas ini.
Begitupun jelas beliau, kewujudan panel itu dikhuatiri menimbulkan pelbagai masalah lain termasuk mengehadkan kuasa mana-mana jurulatih kebangsaan selepas ini.
"Berdasarkan pengalaman saya sebagai pemain sebelum ini, saya khuatir timbul masalah lain jika panel pemilihan dilaksanakan."


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0205&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz2K2WxQ0Ui 
Hakcipta terpelihara 

Isnin, 4 Februari 2013

‘Saya tak peduli agenda luar’

04 Februari 2013


Sebahagian daripada anak buah Rajagobal menjalani latihan di   hotel  penginapan, semalam.Sebahagian daripada anak buah Rajagobal menjalani latihan di hotel penginapan, semalam.
Doha, Qatar: Lupakan agenda mendesak ketua jurulatih kebangsaan, Datuk K Rajagobal meletak jawatan andai pengendali itu gagal mengutip mata di Doha, Rabu ini. 

Malah, Rajagobal juga tidak akan melayan sebarang tekanan ke atasnya kerana sehingga saat ini, menurut beliau belum ada kegagalan sepanjang skuad kebangsaan di bawah kendaliannya. 

Tak anggap kegagalan 


“Saya tidak anggap kempen Piala Suzuki AFF lalu satu kegagalan,” kata Rajagobal yang kini dalam persiapan menghadapi Qatar untuk perlawanan sulung kelayakan Piala Asia. 

“Kami berjaya mara ke separuh akhir dan pada perlawanan itu berapa ramai pemain negara tidak dapat beraksi kerana kecederaan. Saya tidak anggap itu satu kegagalan. Saya tak peduli apa agenda di luar sana kerana fokus saya sekarang ialah mendapatkan hasil terbaik daripada pasukan sekarang.” 


Enggan komen Nazmi 

Berkenaan isu kapten juara tiga kejuaraan musim lalu, Badhri Radzi dari Kelantan, Rajagobal menjelaskan, memang pemain itu berada dalam senarainya yang didaftarkan kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), tetapi tidak didedahkan kepada umum. 
Rajagobal juga enggan mengulas berkenaan isu pemain muda negara, Nazmi Faiz Mansor yang pulang mengejut dari Portugal selepas kontraknya bersama SC Beira-Mar ditamatkan minggu lalu. 

“Kami ke sini untuk fokus kepada perlawanan Qatar sambil mengharapkan momentum daripada pertemuan dengan Iraq diteruskan. Lupakan apa yang berlaku sebelum ini dan saya harap sesuatu dapat dicapai di sini,” katanya.

Kelemahan kita adalah komunikasi: Aidil

04 Februari 2013

Doha: Pemain perlu lebih berkomunikasi di atas padang jika mahu mendapat keputusan positif bertemu Qatar, Rabu ini. 

Itu kesimpulan dibuat kapten kebangsaan, Aidil Zafuan Abdul Radzak selepas perlawanan persahabatan bertemu Iraq Jumaat lalu. 

“Kelemahan kita adalah komunikasi,” kata Aidil berkenaan skuad kendalian Datuk K Rajagobal yang mengalami rombakan besar-besaran selepas kehilangan 10 pemain dari kempen Piala Suzuki AFF lalu. 



Qatar ada kelebihan 

Sementara itu, Qatar di bawah kendalian ketua jurulatih baru, Fahad Thani dilihat ada kelebihan ke atas Malaysia. 

Penyerang import FELDA United, Mohamed Ghaddar yang bersama pasukan kebangsaan Lubnan pada perlawanan persahabatan dengan Qatar ,Khamis lalu mengakui hakikat berkenaan. 

“Fizikal pemain Qatar jauh lebih mantap berbanding Malaysia dan corak permainan mereka juga pantas. Secara jujur saya berpendapat, peluang Qatar lebih cerah,” kata bekas penyerang prolifik Kelantan itu yang berada di Doha bersama pasukan negaranya.

Rajagobal enggan komen pasal Nazmi

04 Februari 2013


Doha: “Saya tidak mahu komen mengenai dia (Muhd Nazmi Faiz Mansor), sekarang saya cuma mahu fokus dengan persiapan pasukan,” kata ketua jurulatih kebangsaan, Datuk K Rajagobal ketika diminta mengulas mengenai tindakan Nazmi yang pulang mengejut dari Portugal, Khamis lalu untuk menyertai PKNS FC.
Isu Nazmi yang bertindak menamatkan kontrak tiga tahun bersama kelab Portugal, SC Beira-Mar untuk mewakili kelab Liga Super itu mendapat liputan meluas media dan hangat diperkatakan peminat bola sepak tempatan ketika ini.

Ramai berpendapat tindakan pemain tengah berusia 19 tahun itu pulang ke tanah air satu langkah ke belakang untuk mengembangkan kariernya.
Sebelum ini pengurus skuad kebangsaan, Datuk Seri Subahan Kamal menyatakan kesediaan untuk memantau perkembangan pemain tempatan yang beraksi di luar negara termasuk Nazmi bagi mewakili Harimau Malaya kendalian Rajagobal.

Bagaimanapun, Rajagobal yang kini sibuk dengan persiapan terakhir skuad kebangsaan bagi aksi sulung kelayakan Piala Asia 2015 menentang Qatar di Stadium Jassim Bin Hamad, Rabu ini enggan menyentuh soal tindakan Nazmi itu.

“Saya hanya lebih memikirkan soal pasukan ini yang kehilangan 10 pemain (cedera) dan persiapan pasukan menentang Qatar.
“Selepas perlawanan ini kami akan bincangkan perkara ini, tapi sekarang fokus saya hanyalah mengenai pasukan. Saya fikir seluruh rakyat Malaysia perlu memberikan perhatian kepada pasukan ini dan bukan agenda lain,” katanya ketika di Doha semalam.

Tempoh singkat sebelum turun menentang Qatar yang dikendalikan jurulatih baru, Fahad Thani ingin digunakan sebaik-baiknya Rajagobal untuk memantapkan pasukan selepas mereka tumpas 3-0 pada aksi persahabatan dengan Iraq di Dubai, Jumaat lalu.
Qatar antara pasukan pilihan dalam kempen kelayakan Piala Asia 2015 Kumpulan D selain Bahrain dan Yaman mendapat suntikan semangat dengan mengalahkan Lubnan 1-0 dalam perlawanan persahabatan baru-baru ini.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/04

Ahad, 3 Februari 2013

Bukan kerana Tengku Fiella

03 Februari 2013


NAZMI dikatakan kembali ke tanah air untuk beraksi dalam saingan Liga Super bersama Selangor PKNS.


KEPULANGAN ‘arkitek’ muda negara, Muhammad Nazmi Faiz Mansor ke Malaysia selepas dikhabarkan tidak lagi bersama kelab Portugal, S.C. Beira-Mar bukannya berpunca daripada masalah peribadi.
Bapa Nazmi, Mansor Mustapha memberitahu, emosi anak keempatnya daripada lima beradik itu berada dalam keadaan stabil sebaik tiba di tanah air baru-baru ini.
Enggan mendedahkan punca sebenar kepulangan semula Nazmi ke Malaysia, Mansor sebaliknya menafikan tumpuan anaknya terjejas ekoran kontroversi yang tercetus baru-baru ini.
“Buat masa ini saya tidak dapat mengulas lanjut mengenai apa sebenarnya yang berlaku kerana perlu merujuk kepada ejen Nazmi (Marco Guimaraes) dan FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) terlebih dulu.
“Ketika ini, emosi Nazmi berada dalam keadaan stabil dan telah berada di Malaysia bersama keluarga.
“Insya-Allah, satu sidang akhbar akan diadakan dalam masa terdekat seawal-awalnya Isnin ini,” kata Mansor semasa dihubungi Kosmo! semalam.
Baru-baru ini, Nazmi mendapat perhatian banyak pihak apabila secara terbuka mengaitkan pemain kebangsaan, Aidil Zafuan Abd. Radzak dengan bekas teman wanitanya, Tengku Norshufilla Tengku Shubli (gambar).
Nazmi menerusi Twitter peribadinya mendakwa, Tengku Norshufilla, 21, yang juga mesra dengan panggilan Tengku Fiella dikatakan mempunyai hubungan istimewa dengan Aidil yang merupakan bekas suami kepada aktres, Rita Rudaini itu.
Nazmi kemudiannya memadam semula status Twitter berkenaan manakala Tengku Fiella juga tampil menafikan memiliki hubungan istimewa dengan Aidil.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai masa depan Nazmi bersama Beira-Mar yang dilihat seakan-akan ternoktah selepas dikatakan bakal beraksi dengan kelab Selangor PKNS dalam saingan Liga Malaysia selepas ini, Mansor juga enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.
Pada masa sama, Mansor juga memberi jaminan bahawa Nazmi hanya akan tampil bertemu media apabila benar-benar sudah bersedia.
Begitupun, Nazmi dikatakan akan menandatangani kontrak dengan Selangor PKNS hari ini.
“Semuanya akan diperjelaskan pada sidang akhbar nanti,” katanya ringkas sambil enggan mendedahkan lokasi sebenar Nazmi ketika ini.
Cubaan pemberita mendapatkan Nazmi di kediaman keluarganya di AU5, Lembah Keramat, Kuala Lumpur petang semalam juga menemui jalan buntu ekoran kediaman itu dilihat tidak berpenghuni.
Beberapa jiran yang enggan dikenali memberitahu, keluarga Nazmi tidak lagi menetap secara tetap di situ, sebaliknya hanya pulang sekali-sekala.
Untuk rekod, Nazmi sebelum ini menandatangani kontrak selama tiga tahun bersama Beira-Mar pada 21 Mei 2012 selepas mempamerkan aksi memberangsangkan ketika membantu Harimau Muda mengharungi kempen kelayakan Olimpik 2012 London Zon Asia.
Dalam pada itu, pegawai media Selangor PKNS, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid mengesahkan yang Nazmi bakal menyertai kelab itu, dan satu sidang akhbar khas akan diadakan di Kompleks Sukan PKNS, Kelana Jaya hari ini.
Begitupun, segala butiran lanjut mengenai perpindahan itu katanya, akan dimaklumkan pada sidang akhbar berkenaan.
Pada masa sama, beliau membayangkan yang Nazmi bakal beraksi bersama Selangor PKNS sehingga penghujung musim dan bukannya sekadar pemain pinjaman semata-mata.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0202&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz2JpQqpjez 
Hakcipta terpelihara 

Jumaat, 1 Februari 2013

Saya Tak Pernah Bercinta Dengan Rita Rudaini – Fauzi Nawawi

1 Februari 2013


Ini satu kenyataan yang pastinya dapat menghuraikan pertanyaan banyak pihak. Ramai yang tertanya-tanya punca sebenar Rita Rudaini tidak mahu Fauzi Nawawi ada dalam apa jua penggambaran yang melibatkan dirinya.
rita dan fauzi
Sehinggakan ada suara-suara menyatakan yang Fauzi pernah bercinta dengan Rita suatu ketika dahulu. Namun hari ini menerusi Mstar Online, Fauzi Nawawi menafikan perkara tersebut sekeras-kerasnya:-
Saya tak pernah kacau, bercinta mahupun menjalinkan hubungan cinta tiga segi dengan Rita semasa dia belum kahwin dulu. Selepas insiden pergaduhan mereka (Rita dan Lisdawati), saya berkahwin dengan Lisda dan kami bahagia sehingga sekarang dan bagaimana pula dengan rumah tangga Rita?
fuzzu
Ayat terakhir daripada Fauzi Nawawi itu memang boleh buat Rita Rudaini terbakar jiwa raga. Tambah menarik apabila Fauzi Nawawi mengakui dirinya bangga sering dikaitkan dengan ramai wanita walaupun sudah berusia 40 tahun dan berstatus ayah.
Ya… saya begitu berbangga apabila dikaitkan dengan ramai wanita walaupun saya sudah berkahwin dan mempunyai anak. Walaupun saya agak bosan dengan kontroversi itu, ia bermakna sebagai seorang lelaki, saya sebenarnya masih lagi laku.
Diharapkan agar Fauzi Nawawi hanya berbangga dan tidak pula berhasrat untuk menambah bilangan isteri. Kang tak pasal-pasal mengamuk pulak isteri anda. Jangan marah ye. Gurau-gurau je. Apa pun semoga hubungan Fauzi Nawawi sekeluarga akan bertambah mesra selepas penafian percintaannya dengan Rita Rudaini ini.

Saya Sebenarnya Masih Lagi Laku – Fauzi Nawawi

1 Februari 2013


Screen Shot 2013-01-31 at 7.36.18 AMBetul juga apa yang dikatakan oleh Fauzi Nawawi ini kan? Siapa yang tak bangga jika umur sudah hampir mencecah 40an, tapi masih dikaitkan dengan beberapa orang wanita?
Turut mempunyai 6 orang anak, Fauzi Nawawi dalam kenyataannya kepada mStar Online mengaku bahawa dia berbangga kerana masih lagi menjadi perhatian ramai walaupun sudah berkahwin.
“Ya… saya begitu berbangga apabila dikaitkan dengan ramai wanita walaupun saya sudah berkahwin dan mempunyai anak.  Walaupun saya agak bosan dengan kontroversi itu, ia bermakna sebagai seorang lelaki, saya sebenarnya masih lagi laku.”
Selain Rita Rudaini, Fauzi Nawawi sebelum ini juga pernah dikaitkan dengan beberapa orang lagi selebriti seperti Ida Nerina dan Zarina An-Joulie. Namun, apa yang boleh dilihat ialah cara Lisdawati sendiri yang mampu menangani masalah tanpa cepat melatah. Walaupun.
 

Harimau perlu ambil manfaat menentang Iraq

01 Februari 2013


Kuala Lumpur: Jika mengambil pendekatan ‘ranking tidak penting’ oleh ketua jurulatih kebangsaan, Datuk K Rajagobal sebelum ini, perlawanan antarabangsa menentang Iraq di Dubai, malam ini mungkin tidak memberi banyak makna.
Apa saja keputusan perlawanan itu mungkin tidak akan mengubah kedudukan ranking Malaysia di tangga ke-158 sekiranya permintaan pengendali negara itu mendapat persetujuan rakan sejawatnya di Iraq, Hakeem Shaker untuk menukar status perlawanan A itu atas alasan mahu membuat pertukaran lebih ramai pemain gantian.

Tapi selepas dikritik hebat berikutan kegagalan mempertahankan kejuaraan Piala AFF hujung tahun lalu, aksi antarabangsa pertama tahun ini perlu digunakan sebaik-baiknya Rajagobal untuk memulihkan semula keyakinan bukan saja kepada pemain, malah peminat tempatan.
Malah, perlawanan menentang juara Piala Asia 2007 itu sebenarnya lebih penting buat Harimau Malaya ‘mengasah kuku’ terlebih dulu sebelum turun dalam misi sebenar menentang Qatar pada kempen kelayakan Kumpulan D Piala Asia 2015 di Doha, pada Rabu ini.

Dengan dibarisi beberapa pemain baru selepas kehilangan ramai tonggak termasuk penggempur utama, Mohd Safee Sali dan Norshahrul Idlan Talaha, aksi menentang Iraq menjadi medan untuk Rajagobal mencari kesebelasan terbaik bagi menghadapi Qatar.

“Iraq pasukan yang bagus, mereka sentiasa memberi saingan di peringkat Asia. Ini perlawanan terbaik untuk saya menilai pemain. Saya akan mendapat gambaran lebih jelas mengenai barisan pemain bagi perlawanan dengan Qatar selepas bertemu dengan Iraq,” katanya.
Sebelas pemain terpaksa diketepikan akibat kecederaan sehingga memaksa Rajagobal membawa hanya 24 pemain ke Dubai termasuk lima pemain yang bakal membuat penampilan pertama di peringkat antarabangsa jika diturunkan iaitu, Mohd Affize Faisal Mamat, Abdul Shukor Jusoh (pemain tengah), Nik Mohd Shahrul Azim Halim (pertahanan), Norazlan Razali (penjaga gol) dan Fauzi Roslan (penyerang).

Ketiadaan kapten Safiq Rahim yang digantung perlawanan dijangka bakal membuka ruang kepada tonggak pertahanan, Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak mengetuai Harimau Malaya.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/01

Alex tidak kalut jumpa Iraq

01 Februari 2013


KUALA LUMPUR - Tidak ada apa yang perlu dirisaukan buat pemain sayap Harimau Malaya, Azamuddin Md. Akil, malah dia mengakui sudah bersedia menjelang pertemuan dengan Qatar dalam perlawanan pembukaan Kelayakan Piala Asia 2015, Rabu ini.

Bagaimanapun, Azamuddin atau terkenal dengan gelaran 'Alex', perlu menghadapi juara Piala Asia 2007, Iraq dalam perlawanan persahabatan di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) malam ini.

Pemain kelahiran Kuala Lipis itu berjanji untuk memperagakan aksi terbaik dalam kedua-dua perlawanan tersebut selepas melihat persiapan yang dilakukan oleh skuad Malaysia berjalan lancar walaupun dihimpit masalah kecederaan.

"Selain diri sendiri, saya juga melihat prestasi pemain yang ada sekarang amat baik sekali. Kami memang bersungguh-sungguh untuk memberikan permainan yang baik dalam perlawanan kelayakan Piala Asia 2015 Australiam," katanya di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), kelmarin.

Ketiadaan pemain sayap lain seperti S. Kunanlan dan Wan Zack Haikal Wan Nor, memberi ruang buat Azamuddin beraksi dalam kesebelasan utama menjelang pertemuan dengan Singa Mesopotamia malam ini.

Pada sesi latihan terakhir di Wisma FAM Ahad lalu, jurulatih skuad kebangsaan, Datuk K. Rajagobal meletakkan Azamuddin dalam skuad utama dengan menggalas tugas sebagai pemain sayap kiri manakala Nor Farhan Muhammad di sayap kanan.

"Mengenai ketiadaan pemain sayap utama seperti Kunanlan dan Wan Zack, saya rasa tidak ada masalah buat kami, malah Nor Farhan dan Fauzi Roslan juga mampu beraksi di bahagian tersebut, apa yang penting kami cuba buat yang terbaik.

"Saya rasa pasukan yang ada sekarang ini seimbang, tidak ada masalah sangat bagi setiap posisi, kebanyakan yang tidak bermain di Piala Suzuki AFF 2012 dipanggil semula, mereka sebelum ini juga pernah beraksi dengan skuad kebangsaan," kata pemain berusia 27 tahun itu.

Azamuddin juga mengakui bahawa tahap pemain yang ada sekarang ini semuanya sama dan saling memerlukan antara satu sama lain.

Dia juga berasa teruja kerana kali pertama akan beraksi dalam kelayakan Piala Asia.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20130201/su_05/Alex-tidak-kalut-jumpa-Iraq#ixzz2Jed6E6Z7
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Enggan lagi sebut pasal Rita

01 Februari 2013



PERBUALAN yang mesra pada mulanya bertukar menjadi serius. Semuanya gara-gara nama Rita Rudaini disebut dalam pertanyaan Kosmo! kepada Lisdawati atau nama sebenarnya Nisdawati Nazaruddin, pada sesi fotografi berlangsung di Studio Utusan, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Ungkap Lisdawati, kalau boleh dia enggan lagi menjawab soalan yang berkaitan dengan Rita daripada pihak media mulai saat itu.
Keengganannya bukan disebabkan mereka bergaduh semula, tetapi luah pelakon berusia 35 tahun yang masih kekal cantik itu, ada kenyataannya dalam media (bukan akhbar Kosmo!) mengenai Rita, baru-baru ini telah disalahertikan.
"Kalau boleh saya tidak mahu lagi sebut pasal dia (Rita). Bukan sebab apa, saya takut disalahertikan.
"Tutup cerita lama buka cerita baharu. Biarlah saya simpan isi hati ini sampai akhirat nanti," jelasnya penuh makna.
Lisdawati sebelum ini dituduh sebagai sengaja mencari publisiti untuk kembali popular dengan memberi pelbagai kenyataan, ekoran dia dan Rita dikatakan berdamai selepas bersengketa selama tujuh tahun.
Ujarnya, dia membuat kenyataan tentang Rita sebelum ini sebagai jawapan kepada banyak pertanyaan media yang diajukan kepadanya.
"Saya tidak perlukan publisiti atau kontroversi untuk popular. Sejak awal berlakon lagi, banyak kontroversi yang saya sendiri tidak cari, muncul melanda diri ini.
"Saya percaya rezeki merupakan kehendak Allah. Alhamdulillah, rezeki lakonan sentiasa ada. Penerbit masih ambil saya berlakon," ujarnya yang mengakui sentiasa bermuhasabah diri.
Menyambung bicara, luah Lisdawati, dia sedar nyawanya untuk hidup dalam alam fana ini cuma sekadar dipinjamkan Allah dan dia tidak perlu terlibat perkara yang menyesat dan menyeksakan hatinya lagi.
Belajar kaunseling
Ditebak pula mengenai hubungan dengan suaminya, aktor Fauzi Nawawi, yang dikhabarkan sudah acap kali dilanda masalah berikutan Fauzi sering dikaitkan dengan beberapa wanita lain, dedah Lisdawati, dia masih bahagia bersama Fauzi sehingga kini.
"Sedangkan sesama adik-beradik juga boleh bergaduh inikan pula dengan suami - orang yang kita baru kenali pada usia yang matang.
"Krisis rumah tangga sedikit-sedikit itu perkara biasa yang berlaku kepada suami isteri. Kadang-kadang pasal anak atau kerja," ujarnya yang sering beristighfar setiap kali dilanda masalah rumah tangga.
Dalam pada itu berkongsi cerita baharu tentang dirinya, ungkap Lisdawati, dia merancang untuk menyambung pelajarannya tidak lama lagi.
Mengambil kaunseling, jelas Lisdawati, dia sangat menyukai jurusan tersebut selain berniat untuk mempraktikkan ilmu tersebut di rumah.
Sedar anak-anaknya dan juga anak-anak tirinya iaitu anak Fauzi daripada perkahwinan terdahulunya semakin membesar, kata Lisdawati, dia perlukan ilmu di dada untuk mendidik mereka agar menjadi insan yang berguna kelak.
"Saya berbincang dengan anak sulung (anak Fauzi hasil perkahwinan pertama), Fatihah, 17, mengenai perancangan tersebut memandangkan dia juga baru menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)," jelasnya yang akan menyambung pelajaran bersama-sama anak tirinya itu tetapi berlainan bidang.
Tegas
KESIBUKAN rutin seharian tidak menghalang figura cantik ini untuk menimba ilmu.


Terlanjur bercerita tentang anak, Lisdawati juga mengakui sangat tegas dalam mendidik anak-anaknya, Farhana, 4, dan Fazneesya, 3, termasuk anak-anak tirinya, Hainal Fatiha, 17, Fariz Hazwan, 16, Hana Farisha, 14, serta Fikri Hakimi, 11.
"Saya kena tegas dan pantau aktiviti anak-anak termasuk anak abang (Fauzi Nawawi). Sebab kalau jadi apa-apa orang akan tanya anak siapa? Saya tidak mahu mereka jadi seperti kebanyakan remaja yang sudah rosak peribadi," ujarnya yang mengakui zaman remajanya tidak bebas walaupun dia suka menunggang motosikal berkuasa besar.
Ditanya apakah ketegasan yang diterapkannya, jelas Lisdawati, dia tidak akan membenarkan langsung anak-anak Fauzi keluar dengan kawan-kawan mereka kecuali jika dia atau Fauzi turut ikut bersama.
Begitupun, dia tidak menghalang anak-anak tirinya mempunyai teman lelaki atau wanita asalkan diperkenalkan terlebih dahulu kepadanya dan Fauzi.
Jelasnya lagi, ramai ibu bapa yang sibuk bekerja tetapi tidak tahu sikap sebenar anak mereka.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0201&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_01.htm#ixzz2JecEquiI 
Hakcipta terpelihara 

Harimau Malaya tidak gentar

01 Februari 2013



AIDIL (depan, dua dari kiri) tidak gentar berdepan Iraq pada aksi persahabatan di Dubai hari ini.


REPUTASI hebat yang dimiliki skuad Iraq tidak mengundang gerun barisan Harimau Malaya menjelang aksi persahabatan kedua-dua pasukan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) malam ini.
Biarpun sekadar perlawanan persahabatan, aksi berdepan Iraq dilihat medan ujian sebenar skuad negara sebelum berdepan Qatar dalam aksi pembuka tirai kempen kelayakan Piala Asia 2015 di Doha, 6 Februari nanti.
Kapten Harimau Malaya, Aidil Zafuan Abdul Razak percaya rakan-rakan sepasukannya bakal meraih pengalaman berguna dalam perlawanan itu nanti sebelum berdepan Qatar.
"Atas kertas, keupayaan pasukan dari Asia Timur sememangnya tidak lagi perlu dipersoal.
"Jadi, saya harap kami dapat memahami corak permainan Iraq supaya dapat mengekang asakan Qatar dalam aksi kelayakan Piala Asia nanti," katanya sebelum berlepas ke Dubai baru-baru ini.
Dalam kedua-dua perlawanan itu nanti, Aidil dijangka menggalas tanggungjawab selaku kapten selepas ketiadaan Safiq Rahim dan Mohd. Safee Sali gara-gara penggantungan perlawanan dan kecederaan.
Dalam pada itu, tonggak Kelantan, Norfarhan Muhammad juga berazam memberikan yang terbaik jika diturunkan jurulatih, Datuk K. Rajagobal dalam kedua-dua perlawanan itu nanti.
"Walaupun belum cergas sepenuhnya, saya akan membalas kepercayaan jurulatih jika diturunkan.
"Masalah kecederaan yang melanda skuad negara juga bukan masalah besar kerana saya percaya kami mampu membentuk kombinasi mantap dalam perlawanan itu nanti," katanya yang kali terakhir menyarung jersi kebangsaan ketika kempen Piala Suzuki AFF 2008.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0201&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz2Jeb84Uvh 
Hakcipta terpelihara 

Ujian buat Rajagobal

01 Februari 2013

RAJAGOBAL (kanan) akan meletak jawatan selaku jurulatih Harimau Malaya sekiranya skuad kendaliannya gagal menempah tempat ke pusingan akhir Piala Asia 2015.


TAHUN lalu, misi Harimau Malaya mempertahankan trofi Piala Suzuki AFF yang dimenangi mereka pada 2010, akhirnya terkubur apabila terkandas di peringkat separuh akhir.
Disebabkan itu, nama Datuk K. Rajagobal tiba-tiba ‘panas’ apabila bertubi-tubi didesak supaya meletak jawatan oleh sebahagian besar peminat sukan bola sepak yang tidak lagi mempercayai kredibiliti beliau selaku pengendali skuad kebangsaan.
Enggan tunduk kepada tekanan, Rajagobal sebaliknya mahu membantu merealisasikan sasaran skuad negara supaya layak ke pentas Piala Asia 2015 terlebih dahulu.
“Jika gagal membantu pasukan negara layak ke Piala Asia 2015, saya sendiri akan meletak jawatan,” kata Rajagobal ketika itu.
Begitupun, nasib seolah-olah tidak menyebelahi Rajagobal rentetan musibah kecederaan pemain negara menjelang aksi pembuka tirai kempen kelayakan Piala Asia 2015 berdepan Qatar di Doha, 6 Februari ini.
Tempang tanpa nama-nama besar seperti Mohd. Safee Sali, Norshahrul Idlan Talaha, Wan Zack Haikal Wan Noor dan Bunyamin Omar, situasi itu jelas meletakkan masa depan Rajagobal dalam keadaan bahaya.
Sedar atau tidak, kemampuan anak-anak buah Rajagobal mengekang ancaman Iraq dalam satu aksi persahabatan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) malam ini pastinya menjadi peluang terakhir bagi menilai kemampuan sebenar beliau sama ada mampu atau tidak membantu skuad negara menyambar slot ke pusingan akhir Piala Asia 2015.
Jika diikutkan, Rajagobal dilihat hanya menunggu masa mengucapkan ‘selamat tinggal’ kepada skuad kebangsaan ekoran strategi mahupun taktikal yang direncanakannya dilihat serba tidak menjadi pada kempen Piala Suzuki AFF yang lalu.
Keputusan Rajagobal yang enggan menyenaraikan arkitek Kelantan, Mohd. Bahri Radzi atau Piya biarpun dilanda krisis kecederaan pemain kali ini juga mengundang pertikaian ramai pihak.
Bukan apa, peluang yang diberikan kepada Rajagobal sebenarnya bukan sedikit tetapi hasilnya tetap mengecewakan.
Justeru, persoalan sama ada Rajagobal bakal mengotakan janjinya atau tidak, sama-sama kita tunggu dan lihat.
Selepas bertemu Qatar nanti, Harimau Malaya bakal berdepan dua lagi pasukan Asia Timur iaitu Yemen dan Bahrain pada 22 Mac dan 15 Oktober depan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0201&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz2JeaTRnel 
Hakcipta terpelihara 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...