Aidil Zafuan & Zaquan Adha

Keluarga Aidil Zafuan

Keluarga Zaquan Adha

LIKE jika suka :)

Selasa, 5 Februari 2013

FAM tetap 'sayang' Rajagobal

05 February 2013



BARISAN pemain skuad Harimau Malaya sudah bersedia untuk berdepan Qatar pada aksi pembuka tirai kempen kelayakan Piala Asia 2015 di Doha esok.


SUKA atau tidak, Datuk K. Rajagobal tetap menjadi 'anak emas' Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Apa tidaknya, kedudukan beliau sebagai jurulatih masih tidak terjejas sekalipun Harimau Malaya tewas kepada Qatar dalam aksi pembuka tirai kempen kelayakan Piala Asia 2015 di Stadium Jassim Hamad, Doha esok.
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad berkata, badan induk itu sentiasa mempercayai kredibiliti Rajagobal yang menggalas tanggungjawab itu sejak Julai 2009.
Menurut beliau, aksi berdepan Qatar bukannya penentu masa depan Rajagobal, sebaliknya FAM akan menunggu sehingga kempen kelayakan tamat sebelum membuat sebarang keputusan.
"Kalau kalah (berdepan Qatar), kena terimalah. Kami tetap akan menunggu sehingga hujung tahun. Sebagai majikan, kami sentiasa percaya dengan kemampuan Rajagobal.
"Biarpun perlawanan itu merupakan sebahagian daripada KPI (indeks prestasi utama) Rajagobal, kami perlu menilai secara keseluruhan," katanya.
Ketika ini, masa depan Rajagobal selaku jurulatih dilihat berada di ambang bahaya ekoran krisis kecederaan beberapa pemain utama Harimau Malaya seperti Mohd. Safee Sali dan Norshahrul Idlan Talaha dan tugas penggempur kini digalas Amri Yahyah dan Khyril Muhymeen Zamri.
Bagaikan 'meludah ke langit', kata-kata Rajagobal sebelum ini yang akan meletak jawatan sekiranya gagal membantu Harimau Malaya juga seolah-olah 'menanti masa' sebelum menjerat diri sendiri.
Beliau dilaporkan berkata sedemikian selepas dikecam hebat pemerhati bola sepak tempatan gara-gara gagal mempertahankan trofi Piala Suzuki AFF tahun lalu.
Begitupun kata Azzuddin, pihaknya tetap menuntut penjelasan Rajagobal sekiranya gagal mara ke pusingan akhir Piala Asia 2015.
"Beliau masih perlu memberikan penjelasan (jika gagal) tetapi ada baiknya membenarkan Rajagobal melaksanakan tugasnya terlebih dahulu.
"Tidak perlu membuat sebarang andaian selagi tugas beliau belum tamat. Sebagai manusia biasa, sudah tentu (Rajagobal) terkilan jika berterusan dihentam," katanya.
Selepas bertemu Qatar nanti, Harimau Malaya bakal berdepan dua lagi pasukan Asia Timur iaitu Yemen dan Bahrain pada 22 Mac dan 15 Oktober depan.
Dalam pada itu, Azzuddin mengesahkan masih belum menerima sebarang usul daripada mana-mana pihak berhubung panel pemilihan pemain yang bakal mewakili skuad kebangsaan selepas ini.
Begitupun jelas beliau, kewujudan panel itu dikhuatiri menimbulkan pelbagai masalah lain termasuk mengehadkan kuasa mana-mana jurulatih kebangsaan selepas ini.
"Berdasarkan pengalaman saya sebagai pemain sebelum ini, saya khuatir timbul masalah lain jika panel pemilihan dilaksanakan."


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0205&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz2K2WxQ0Ui 
Hakcipta terpelihara 

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...