Aidil Zafuan & Zaquan Adha

Keluarga Aidil Zafuan

Keluarga Zaquan Adha

LIKE jika suka :)

Selasa, 10 Januari 2012

Zaquan Minta Rita Rudaini Tidak Sebar Fitnah

11 Januari 2012


Rita Rudaini dan suaminya, Aidil Zafuan Abdul Radzak
PETALING JAYA: Bintang bola sepak kebangsaan, Zaquan Adha Abd Radzak menasihati kakak iparnya, pelakon Rita Rudaini Mokhtar agar tidak menyebarkan fitnah kononnya dia telah melakukan perkara tidak baik terhadap seorang wanita.
Zaquan berkata tuduhan yang ditulis dalam entri Twitter milik Rita itu adalah sebagai satu ugutan yang bertujuan untuk memalu serta menjatuhkan maruahnya sebagai orang yang dikenali.
"Terlalu banyak tuduhan berbaur negatif yang dia (Rita) lemparkan kepada saya. Terus terang saya katakan, dengan apa yang ditulis dalam Twitter itu sebenarnya berbaur ugutan kepada saya.
"Sudahlah ibu dan ayah saya tidak sihat, jika mereka dapat tahu tentang hal ini, mereka pastinya kecewa," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, malam Selasa.
Inilah entri Rita Rudaini yang ditulisnya pada petang Selasa menyelar individu tertentu.
Perbalahan antara mereka tercetus apabila masing-masing dilihat mengeluarkan kenyataan sinis melalui laman sosial tersebut walaupun tidak menyebut nama individu yang dimaksudkan.
Dalam entri Twitter Zaquan, suami kepada pelakon Ayu Raudhah ini meluahkan rasa kecewa terhadap seorang individu yang tidak pernah pulang ke rumah untuk menjenguk mertua.
Malah Zaquan meminta individu berkenaan tidak mencari masalah dengan sikapnya yang dilihat semakin melampaui batas.
Zaquan Adha bersama isterinya, Ayu Raudhah.
Zaquan Adha meluahkan perasaan marah dalam Twitter miliknya pada entri petang Selasa.
Tambah Zaquan melalui Twiter terbabit, jika dia menjadi “batu api” dalam kemelut yang melanda keluarga, ia adalah disebabkan keinginan dia untuk menyelamatkan abangnya daripada seseorang yang dianggap kejam.
Dalam pada itu menurut Zaquan, dia enggan memberi komen tentang perbalahan antara mereka kerana risau jika isu tersebut akan memburukkan lagi keadaan dan keluarga.
"Saya tak mahu komen tentang perbalahan kami ini. Orang ramai boleh menilai sendiri dengan apa yang ditulis dalam entri Twitter saya itu.
"Tuduhannya sudah melampau dan saya tidak boleh bersabar dengan dakwaannya itu. Kerana itu, saya membalas setiap apa yang dituduh," kata Zaquan.
Bagaimanapun, Zaquan mengakui dia menyesal dengan entri tersebut yang boleh mengundang suasana “panas” terhadap individu yang dimaksudkan.
Sementara itu dalam entri Twitter milik Rita Rudaini pula, pelakon itu sekali lagi menyelar pihak tertentu yang cuba mencampuri urusan rumah tangganya sehingga tahap kesabaran dia telah hilang.
Rita dalam entri petang Selasa menulis pelbagai perkara sensitif tanpa menyebut nama individu yang dimaksudkan termasuklah mengisytiharkan “perang” bagi “membongkar” rahsia yang disimpannya.
“Jantan macam tu tak boleh dibiarkan... dia nak sangat malukan saya, meh kita start the game,” katanya.
Rita yang juga isteri kepada kembar Zaquan iaitu Aidil Zafuan dalam Twitter berkenaan turut berkata, seseorang yang hendak meruntuhkan masjid (merujuk kepada rumah tangganya) akan menerima balasan daripada Allah.
Kata Rita lagi, pihak yang membuat tuduhan kepadanya telah beberapa kali melakukan kejahatan sehingga diberi balasan dengan musibah patah kaki.
mStar Online beberapa kali menghubungi Rita lewat malam Selasa untuk mendapatkan komen mengenai kekecohan yang berlaku tetapi pelakon itu tidak mengaktifkan telefon bimbitnya.

Rita Rudaini Perang Dingin Dengan Adik Ipar

11 Januari 2012

Rita Rudaini Perang Dingin Dengan Adik Ipar


KL, 10 JAN 2012: Lama tidak mendengar kisah mengenai pelakon cantik Rita Rudaini terutama sekali selepas dia melahirkan anak keduanya, Airit Rafqa Arjuna.

Malah khabar yang Murai Batu dapat tahu, Rita memilih untuk merehatkan diri dahulu sebelum kembali aktif dalam dunia lakonan. Bagaimanapun Murai Batu dengar dia akan kembali aktif tidak lama lagi.

Opss...bukan perihal lakonan yang ingin Murai Batu ceritakan di sini, sebaliknya kisah mengenai perang dingin Rita bersama adik ipar Zaquan Adha yang dikatakan semakin bercambah semula.

Murai Batu tidak pasti sama perkara ini betul atau tidak, namun sumber yang memberi tahu Murai Batu mengatakan mereka berdua sedang berbalah dalam laman Twitter masing-masing. Senang cakap saling menyindir antara satu sama lain.

Umum sudah mengetahui hubungan mereka berdua tidak sebulu. malah hubungan Rita dengan isteri Zaquan Adha, pelakon manis, Ayu Raudhah pun dikatakan panas kerana pernah tersebar cerita mengatakan Ayu dan Zaquan menjadi batu api agar hubungan Rita dan ibu serta keluarga mertua bergolak.

Malah sejak berkahwin pun dengan Aidil Zafuan, kita semua sedia maklum hubungan Rita dengan ibu mertuanya juga sudah dingin. Murai Batu tidak tahu bagaimana hendak komen mengenai masalah mereka ini apatah lagi bila melibatkan permasalahan keluarga.

Cuma harapan Murai Batu agar mereka berdua dapat menyelesaikannya serta tidak perlulah membuka pekung sendiri buat tatapan umum. Lagipun masing-masing sudah berkeluarga kalau ada yang tidak puas di hati buangkanlah perasaan tersebut jauh-jauh.

MURAI BATU: Sering memaafkan orang yang menyakiti hati kita kerana akan membuatkan hati tenang selalu.

(GOSIP)Rita Rudaini Dan Zaquan Adha Saling Menyindir Menggunakan Medium Twitter?

11 Januari 2012


Nampaknya artis-artis tanah air kita semakin maju menggunakan teknologi yang ada. Bukan sekadar mendekatkan diri dengan peminat, tetapi turut menggunakannya untuk meluahkan perasaan tidak puas hati kepada orang lain. Menurut penelitian Abang Nara, Rita Rudaini dan Zaquan Adha kelihatan seperti turut sama sindir menyindir sesama sendiri menerusi medium Twitter. Segalanya bermula apabila Rita Rudaini mengeluarkan statement di bawah ketika menjawap pertanyaan peminatnya:-
rita aidil
Zaquan yang nampaknya seperti membaca tulisan Rita kemudiannya menulis status update di Twitternya seperti di bawah:-
rita aidil
Mungkin secara kebetulan (ataupun selepas membaca tulisan di atas) Rita Rudaini pula mengeluarkan statement ini:-
rita aidil
Tidak dapat disahkan sama ada mereka berdua saling menyindir di antara satu sama lain atau status update tersebut ditujukan kepada orang lain. Jika benar mereka menyindir sesama sendiri, Abang Nara cuma mampu doakan mereka berdoa mampu berdamai. Entri merujuk kepada Twitter Rita Rudaini dan Twitter Zaquan Adha.

Isnin, 2 Januari 2012

Kekok pertama kali

03 Januari 2012







PERNAH digandingkan bersama namun bukan sebagai pasangan kekasih atau suami isteri yang mungkin ada antara babak perlukan mereka memadu cinta.
Namun, kali ini menerusi drama bersiri Gemersik Kalbu, Aqasha, 28, dan Ayu Raudhah, 27, terpaksa bercinta dan menelan bulat-bulat setiap aksi intim yang akui mereka sedikit kekok pada mulanya.
Gemersik Kalbu mengisahkan Raihana (lakonan Ayu Raudhah) yang terjerat dengan rancangan Sufian (Aqasha) untuk satu ikatan perkahwinan.
Tanpa sudi dan kerana paksaan, Raihana membiarkan perkahwinan itu sepi tanpa cinta dan mesra akibat telah berjanji untuk setia sehidup semati untuk cinta Wan Ariffin (Fazreen Rafi), iaitu bekas kekasihnya yang terbunuh ketika diragut. Raihana bagai terpukul, keliru dan terperangkap dalam kesengsaraan sendiri.
Gugur sebab penat
Pemilik nama penuh Ayu Raudhah Che Wan itu mengakui dia agak lambat untuk 'masuk' ke dalam babak-babak romantis bersama Aqasha yang baru menimang cahaya mata bersama isteri, Noor Baizura Mohd. Sabri itu.
"Ada beberapa babak intim antara saya dan Aqasha, saya akui susah sikit untuk melakonkan watak itu tapi mujur Aqasha yang banyak membantu membuatkan kami selesa," katanya yang mengakui perkara itu disebabkan statusnya sebagai seorang isteri.
Malah tambahnya sebelum memulakan penggambaran, dia harus berlatih dengan pasangannya agar tidak terlalu kaku. Isteri pemain bola sepak Negeri Sembilan, Zaquan Adha Abdul Razak itu menegaskan suaminya lebih bertoleransi terutama perkara yang membabitkan kariernya.
"Dia seorang yang profesional, ini kerja saya dan dia tidak akan marah saya. Kalau dia tak mahu tengok adegan sedemikian maka dia sendiri yang akan tutup televisyen, tambahan intim yang dilakonkan bukan keterlaluan," ujar Ayu yang akan berehat sebulan selepas tamat penggambaran drama itu.
Dalam pada itu, Ayu menafikan beberapa dakwaan bahawa rumah tangga yang dibina bersama Zaquan berantakan. Kata Ayu mereka masih bahagia dan sentiasa memahami tugas masing-masing.
"Perkahwinan kami masih bahagia dan tiada sebarang masalah yang berlaku, mengenai keguguran sebelum ini saya serah pada takdir. Apa yang terjadi ada hikmah dan mungkin kami belum dikurniakan rezeki buat masa sekarang," getus Ayu yang mengalami keguguran ketika awal penggambaran drama Gemersik Kalbu akibat terlalu penat.
Ujarnya lagi: "Saya sudah bersedia kalau dikurniakan cahaya mata, lagi cepat lagi bagus."
Sementara itu, Ayu mengakui dia belum pernah bertemu dengan birasnya, Rita Rudaini apatah lagi untuk digandingkan bersama dalam drama.
"Saya tidak punyai sebarang masalah jika kami berdua digandingkan bersama, pernah juga saya dapat tawaran untuk berlakon dengan dia tapi mungkin pihak dia yang tidak bersetuju akhirnya ia senyap begitu saja," tutur adik kepada pelakon jelita, Rozita Che Wan.
Kurus jaga anak
Firdee Aqasha Rosli atau nama komersialnya Aqasha menilai Ayu Raudhah seorang pelakon yang berbakat dan punyai rupa paras yang cantik.
"Saya selesa berlakon dengan Ayu, dia seorang aktres yang bagus dan berbakat besar. Kalau ingin membina hubungan kimia dengan dia tidak menjadi hal besar sebab dia pun seorang yang profesional," ucapnya yang ditemui bersama Ayu ketika sesi ramah mesra pelakon Gemersik Kalbu di Sri Pentas, Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Tambah Aqasha, bukan masalah besar untuk melakonkan babak romantik bersama Ayu kerana watak Sufian yang lebih romantik dan sentiasa punyai helah untuk memujuk Raihana.
Agak berbeza pegangan Aqasha, kalau Ayu pernah membaca novel Gemersik Kalbu sebelum ini namun Aqasha enggan membaca novel itu kerana mahu mencipta stail lakonannya sendiri.
"Novel itu ada dalam simpanan saya tapi saya yang tak mahu baca. Syariat seorang pelakon adalah skrip, jadi saya tak ingin dipengaruhi oleh watak dalam novel dan membawakan dengan cara saya sendiri," ujarnya yang mendedikasikan sebuah lagu berjudul Obsesiku untuk lagu tema drama itu.
Seronok menjadi bapa kepada Alehandra Ahmad, tiga bulan, Aqasha mengakui dia dapat melihat dirinya sendiri menerusi anak sulungnya itu.
"Ada anak macam mengenali diri sendiri, setiap hari adalah pengalaman baharu bagi kami sekeluarga," katanya yang ingin berdampingan dengan anaknya itu sehingga ke usia enam bulan.
Lebih fokus menjaga anak berbanding diri sendiri, Aqasha tidak menolak faktor itu menyebabkan berat badannya semakin susut.
"Kadangkala saya bangun tengah-tengah malam untuk buat susu, tukar lampin anak dan saya lebih gemar ambil bahagian berbanding menyerahkan segala tugas kepada isteri saya," tuturnya.

Sabtu, 31 Disember 2011

Ayu Raudhah teratas

01 Januari 2012


KUALA LUMPUR: Cantik dan berbakat antara pakej yang tidak dapat dipisahkan dengan artis yang menceburi bidang seni sama ada di Hollywood, Bollywood atau di negara kita.
Pastinya istilah cantik ini bukan saja merujuk kepada wajah, sebaliknya penampilan mereka secara keseluruhannya sepanjang pembabitan dalam bidang seni tanah air.

Berikutan itu juga, Metro Ahad menjalankan undian bagi mencari ‘5 Artis Paling Cantik’ tanah air menerusi laman web rasmi Kumpulan Harian Metro.
Undian berkenaan diadakan selama tiga bulan bermula 2 Oktober dan berakhir semalam.

Pencarian lima artis paling cantik itu berdasarkan senarai 14 selebriti tanah air yang terkenal dengan populariti, bakat dalam bidang seni serta gosip mereka.

Sejak carta undian ini diwujudkan, maklum balas yang diterima daripada peminat seni, khususnya pembaca setia dan pelayar laman web rasmi akhbar ini, sungguh memberangsangkan.
Sehingga tarikh akhir carta undian itu dijalankan, hampir 500,000 undian diterima dan mengejutkan apabila pelakon, Ayu Raudhah berada pada kedudukan pertama dengan undian lebih 115,000.

Ayu Raudhah satu-satunya artis wanita di negara ini yang memperoleh undian melebihi 100,000, sekali gus menenggelamkan populariti beberapa artis wanita lain yang sebelum ini banyak dihujani kontroversi dan gosip, termasuk kakaknya, Rozita Che Wan dan Fasha Sandha.

Sekalipun sudah berkahwin dengan pemain pemain bola sepak kebangsaan yang juga penyerang Negeri Sembilan, Mohd Zaquan Adha Abd Radzak, 24, ternyata ia bukan sebab utama pembaca tidak memilihnya.

Sebaliknya, ia juga mungkin disokong dengan populariti suaminya selaku pemain bola sepak selain imej bersihnya yang tidak terpalit dengan kontroversi liar.

Menerusi carta undian ini juga, kebanyakan artis wanita lain hanya memperoleh purata undian sekitar 85,000. Malah, beberapa artis yang tersenarai dalam kumpulan 14 artis paling cantik hanya memiliki jumlah undi tidak sampai 10,000.

Fasha yang sebelum ini banyak mencetuskan kontroversi dan pernah dinobatkan pembaca sebagai artis paling seksi menerusi carta undian yang pernah diadakan Metro Ahad, turut terkeluar daripada senarai paling cantik.

Dalam undian itu, Fasha yang sering dikaitkan dengan percintaan ‘pasang surut’ bersama Jejai, pertelingkahan dengan Nora Danish serta beberapa kali dikaitkan dengan penyebaran gambar seksi dirinya, hanya memperoleh 3,070 undian.

Pendatang baru yang mempesona, Neelofa, atau nama penuhnya, Neelofa Mohd Noor, 22, pula di tangga kedua carta dengan undian sebanyak 85,300.

Neelofa yang juga Juara Dewi Remaja 2010, laris bagaikan pisang goreng panas apabila menjadi rebutan pengarah serta penerbit filem.

Bukan sekadar bersandarkan rupa paras jelita, bintang baru ini berbakat besar dengan mutu lakonan yang semakin meyakinkan. Tidak sampai setahun pembabitannya, dia berpeluang menjayakan watak utama dan membintangi empat filem iaitu Azura 2011, Hantu Kapcai, Saya Amat Mencintai (SAM) dan Lemak Kampung Santan yang bakal ditayangkan pada 2012.

Undian pembaca terhadap Neelofa sekali gus mengetepikan populariti Rozita Che Wan yang berada pada kedudukan ketiga dengan undian sebanyak 85,272.

Namun, ia tetap membuktikan pelakon jelita yang terkenal dengan bulu mata lentik ini masih menjadi tarikan dan sebutan di kalangan peminat industri hiburan tanah air.

Menerusi carta undian itu juga, dua artis lain yang tersenarai dalam kumpulan ‘5 Artis Paling Cantik’ adalah Nora Danish dan Natasha Hudson.

Jumlah undian diterima Nora adalah 84,868, manakala Natasha pula 84,441 undian.

Jumlah undian diterima Natasha juga mengejutkan berikutan mengalahkan beberapa artis yang sebelum ini memang cukup popular dalam industri seni tanah air dan terkenal dengan kecantikan mereka seperti Datuk Siti Nurhaliza, Diana Danielle dan Maya Karin.

Undian terhadap Nora dan Natasha membuktikan mereka masih mempunyai tempat di hati peminat walaupun kedua-duanya gagal dalam rumah tangga dan bergelar janda.

Dalam senarai berikutnya, jika dikira mengikut rating enam hingga 10, pembaca MyMetro memilih Diana Danielle (84,098), Lisa Surihani (81,920), Siti Nurhaliza (81,555), Maya Karin (7,405) dan Maria Farida (3,715).

Nama artis lain yang turut tersenarai adalah Fasha, Mimi One Nation Emcee, Kilafairy dan Izara Aisyah.

Jumaat, 30 Disember 2011

Dunia glamor artis

31 Disember 2011



PEMAIN bola sepak kebangsaan, Mohd. Zaquan Adha Abd. Razak bertemu jodoh dengan pelakon popular, Ayu Raudhah.


ARTIS yang dilihat sentiasa dalam keadaan glamor turut merasai suka duka dalam mengharungi arena hiburan tanah air tahun ini.

Perkahwinan paling mahal tahun ini yang disandang oleh pasangan kontroversi Norman dan Memey telah menjadi topik utama dalam industri hiburan, tidak dilupakan juga beberapa artis yang turut mendirikan rumah tangga seperti Rebecca Nur Islam, Lan dari Kumpulan A to Z, Shaliza Mahmod, Sarah Raisuddin dan pasangannya Shuib Raja Lawak.

Turut melanda dunia hiburan apabila penulis novel Ombak Rindu, Fauziah Ashari mencetuskan kontroversi apabila tidak berpuas hati dengan bayaran royalti RM4,000 yang dibayar oleh penerbit novel itu, Alaf 21 Sdn. Bhd. selepas karyanya diadaptasi ke filem. Filem Ombak Rindu sehingga kini mencatat kutipan tiket sebanyak RM11 juta.

Lebih membanggakan Orkestra RTM telah dimasukkan dalam Malaysia Book of Records pada atas dasar orkestra tempatan paling lama bertahan iaitu selama 50 tahun.

Berita lanjut, sila rujuk edisi cetakan Utusan Malaysia atau langgani e-Paper di 
http://ebrowse.bluehyppo.com/utusan/index.asp

Khamis, 29 Disember 2011

"Gemersik Kalbu" Gantikan "Tentang Dhia"

30 Disember 2011




Selepas berakhirnya drama ‘Tentang Dhia’, slot Akasia, TV3 bakal menayangkan sebuah lagi drama bersiri penuh emosi, ‘Gemersik Kalbu’ yang menampilkan lakonan hebat Aqasha, Ayu Raudah, Fazreen Rafi, Anzalna, Dian P.Ramlee, Rahim Jalani dan Khatijah Tan bermula 2 Januari hadapan.

Drama yang diadaptasi daripada novel nukilan Anis Ayuni ini mengisahkan tentang suka duka seorang wanita bernama Raihana yang tabah mengharungi dugaan hidup sejak kecil kerana ditinggalkan dalam jagaan neneknya. Apabila neneknya meninggal dunia, Raihana bagaikan terkontang-kanting mencari kasih sayang. Pertemuan dengan Wan Ariffin telah membenihkan bibit-bibit cinta, namun setelah mengikat tali pertunangan, Wan Ariffin pergi menyahut panggilan Ilahi. Insiden ini membuatkan Raihana terpukul, keliru dan terperangkap dalam kesengsaraan sendiri.

Kehadiran Sufian tidak memberi makna dalam hidup Raihana kerana baginya cinta bukan satu paksaan mahupun lahir atas rasa simpati. Sufian yang begitu bersungguh memenangi hati Raihana telah berjaya menjerat Raihana dalam satu ikatan perkahwinan. Namun, Raihana bersikap dingin membiarkan perkahwinan itu sepi tanpa cinta kerana Wan Ariffin masih segar di hatinya.
Dalam sidang media yang diadakan petang tadi, pengarahnya, Heykal Hanafiah memberitahu dia tertarik dengan jalan cerita yang ditampilkan dalam novel ‘Gemersik Kalbu’ dan berharap adaptasi ini boleh diterima peminat drama Melayu.

“Apabila saya membawa novel ini, saya sudah boleh nampak penulis menggunakan tema cinta sebagai subjek utama. Jadi, saya rasa tidak sukar untuk membawa naskhah ini ke skrin televisyen. Tetapi, saya harus mencantikkan jalan cerita supaya elemen drama itu lebih terserlah. Sebab itu saya ada melakukan sedikit perubahan bagi memastikan naskah ini divisual dengan baik.

Dalam masa yang sama, saya juga merasa agak tertekan kerana pihak TV3 memaklumkan ‘Tentang Dhia’ mendapat rating yang tinggi. Kalau boleh saya tidak mahu ‘Gemersik Kalbu’ menjatuhkan rating slot Akasia . Walau bagaimanapun, saya telah cuba lakukan yang terbaik. Harap garapan saya kali ini mampu menambat hati penonton,” ulas Heykal berharap.

Sementara itu, Pengurus Besar Kumpulan, Kumpulan Pengurusan Jenama TV3 & TV9, Nurul Aini Abu Bakar berkata, pemilihan novel ‘Gemersik Kalbu’ ini disebabkan jalan ceritanya yang menarik dan bersesuaian dengan konsep slot Akasia yang mengetengahkan elemen drama dan kasih sayang.

“Bagaimanapun, harus diingatkan apa yang dibaca dan divisualkan selalunya tidak 100 peratus sama. Untuk ‘Gemersik Kalbu’, hanya 80 peratus persamaan kerana pihak produksi mengubah sedikit jalan cerita bagi menambahkan impak emosi di kalangan penonton. Selain itu, ia juga dilakukan kerana mengikut garis panduan yang ditetapkan,” ujar Noraini.

‘Gemersik Kalbu’ akan menemui penonton pada setiap Isnin hingga Khamis, jam 7.00 malam bermula 2 Januari hadapan.

Isnin, 26 Disember 2011

SOROTAN 2011: Perkahwinan artis

26 Disember 2011


PETALING JAYA: Tahun 2011 yang akan melabuhkan tirainya dalam masa beberapa hari lagi akan memberi kenangan yang terindah buat artis dan selebriti tempatan apabila mereka melangkah ke alam perkahwinan.
Tentunya kehadiran 2012 akan memberi sinar baru buat mereka agar apa yang diazamkan dalam hidup akan terlaksana.
Kenangan indah sepanjang tahun ini bermula seperti berikut:
1) Ayu Raudhah-Zaquan Adha
Ayu Raudhah,26, sah bergelar isteri kepada pemain bola sepak kebangsaan dan Negeri Sembilan, Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak, 23, pada majlis pernikahan mereka di Masjid Sultanah Bahiyah, di Alor Setar pada 21 Januari tahun ini.
Pada majlis yang serba ringkas itu, Ayu atau nama sebenarnya Raudhah Abu Bakar @ Che Wan yang kelihatan anggun dengan busana rekaan Man Kajang berwarna krim menerima mas kahwin RM1,888 serta tujuh dulang hantaran daripada pihak lelaki dan berbalas sembilan dulang.
Bagaimanapun, jumlah wang hantaran dirahsiakan atas persetujuan kedua-dua belah pihak. Difahamkan, wang hantaran itu mempunyai kaitan dengan angka lapan, iaitu nombor jersi Zaquan.
2) Sabrina Ali-Syed Amirul Syed Ahmad
Tiada angin tiada ribut, pelakon Sabrina Ali, 31, mengesahkan sudah berumah tangga dengan jejaka pilihan hatinya pada awal tahun ini.
Bagaimanapun Sabrina yang dikhabarkan bernikah dengan Syed Amirul Syed Ahmad berusia 29 tahun itu enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu dan tidak diketahui mengapa dia enggan menghebahkan pernikahan berkenaan.
3) Siti Sarah-Shuib (Sepahtu)
Penyanyi Sarah Raisuddin, 27, kini sah bergelar isteri kepada salah seorang ahli kumpulan Sepahtu, Shahmira Muhahamad (Shuib), pada majlis pernikahan mereka yang diadakan di Jeumpa D'Ramo, Bangsar, pada 26 Februari lalu.
Pasangan ini menerima kelahiran anak sulung lelaki, Uwais Alqarni pada 4 Disember lalu.
4) Farish Aziz-Zahrah
Pelakon drama Kau dan Aku, Farish Aziz, 27, yang bernikah dengan isterinya, Zahrah Fowzi, 27, pada 18 Februari lalu di Hotel Shang Ri La Tanjung Aru Beach, Kota Kinabalu, Sabah memulakan alam perkahwinannya tidak seperti pasangan lain apabila terpaksa berpisah buat sementara waktu.
Ini kerana isterinya masih baru berkerja sebagai peguam di sebuah syarikat guaman di Sabah manakala Farish terikat dengan kariernya sebagai pelakon dan pengacara di Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, Farish dan isteri yang sama-sama berasal dari Kota Kinabalu berkemungkinan akan berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu atau sebaliknya untuk menghabiskan masa bersama-sama.
5) Noh (Hujan)-Mizz Nina
Selepas bertunang selama lapan bulan, penyanyi dari kumpulan Hujan iaitu Noh atau nama sebenarnya Mohammed Noh Salleh, 26, sah bergelar suami kepada penyanyi Mizz Nina atau nama sebenarnya Shazrina Azman, 31, pada 1 Julai lalu.
Majlis pernikahan mereka dilakukan di kediaman keluarga Nina di Ukay Heights, Ampang, Kuala Lumpur.
6) Tomok-Ayu
Penyanyi yang pernah popular dengan kumpulan Newboyz, Tomok atau Shah Indrawan Ismail, 27, turut berkongsi tarikh pernikahannya dengan Noh dan Nina apabila sah menjadi suami kepada pramugari Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) Rahayu Abbas, 32, di Dewan Serbaguna AU2 Taman Keramat, Kuala Lumpur, pada 1 Julai lalu.
Menurut Tomok, dia gembira selama lapan tahun bercinta, akhirnya dia menjadi suami kepada Rahayu atau nama panggilannya, Ayu, dan berharap agar cinta mereka akan mekar sehingga akhir hayat.
Pasangan ini sedang menunggu kelahiran cahaya mata sulung.
7) Nabil (Raja Lawak)-Nazirah
Selepas dilanda pelbagai kontroversi termasuk perpisahannya dengan pelakon Irma Hasmie, pelawak dan pelakon, Ahmad Nabil Ahmad, 28, sah bergelar suami kepada bekas pramugari AirAsia, Nazirah Ayub, 23, pada 30 September lalu.
Majlis pernikahan mereka diadakan di Masjid Tuanku Mizan, Putrajaya, di mana Nabil menyerahkan mas kahwin RM300 dan sebentuk cincin bernilai RM5,000 manakala wang hantaran sebanyak RM15,000 kepada pengantin perempuan.
8) Zed Zaidi-Natalia Mustafa Kamal
Bermula daripada perkenalan di laman social Facebook, pelakon Zed Zaidi, 31, atau nama sebenarnya Rozaidi Abdul Jamil menamatkan zaman bujangnya dengan Natalia Mustafa Kamal, 28, pada 29 April lalu di Restoran Felda Villa, Jalan Semarak, Kuala Lumpur.
Pasangan ini juga sedang menunggu kelahiran anak pertama selepas isteri Zed disahkan hamil.
9) Fazren Rafi-Syarifah Marlina
Melangsungkan pernikahan pada 1 Mei di kediaman isterinya di Perak, pelakon Spa Q, Mohd Fazren Rafi atau Fazren begitu teruja mengimamkan isteri, Sharifah Marlina Ashikin Syed Hasan selepas bernikah.
10) Faezah Elai-Heykal Hanafiah
Pelakon Faezah Elai, 29 ,sah bergelar isteri kepada pengarah drama, Heykal Hanafiah, 38, yang diadakan di kediaman keluarga pengantin perempuan di Gelugor, Pulau Pinang, pada 9 September lalu.
Pasangan ini berharap pernikahan tersebut menutup segala kontroversi tentang hubungan mereka.
11) Fedtri Yahya-Nurul Anati Ismail
Pengacara Malaysia Hari Ini, Fedtri Yahya, 30, bernikah dengan Nurul Anati Ismail, 26, pada 28 Mei lalu di rumah pengantin perempuan di Pengkalan Machang, Pasir Mas, Kelantan.
Bagaimanapun Fedtri dan isteri dikejutkan dengan berita sedih apabila isterinya mengalami keguguran bayi pertama pada 26 Julai lalu.
12) Eira Syazira-Azad Jasmin
Pelakon Syazira Shuhaimi atau Eira Syazira, 27, sah bergelar isteri kepada pelakon Azad Jazmin John Louis Jeffri yang diadakan di kediaman keluarga pengantin perempuan di Putrajaya pada 16 September lalu. 13) Nurul Syuhada-Raja Amir Raja Azwa
Pengacara Majalah Tiga, Nurul Syuhada Nurul Ain Mohd Zin,27, selamat diijabkabulkan dengan pegawai bank, Raja Amir Shah Raja Azwa,29, di Binjai On The Park, Kuala Lumpur City Centre (KLCC), pada 16 Julai lalu.
14) Ana Dahlia-Chef Riz
Pelakon Ana Dahlia, 28, sah bergelar isteri kepada chef selebriti, Mohd. Nadzri Redzuawan atau Riz, 29 , di rumah pengantin perempuan di Taiping, Perak pada 11 Disember lalu.
15) Memey Suhaiza-Norman Hakim
Pelakon Norman Hakim, 35, telah selamat dinikahkan dengan pasangannya, pelakon Memey Suhaiza, 23, pada 24 September lalu di Felda Tenggaroh Selatan 1, Kota Tinggi, Johor.
Sebelum berkahwin, pasangan ini dilanda dengan pelbagai kontroversi termasuk Memey dikatakan merampas Norman daripada bekas isteri Norman, pelakon Abby Abadi dan kes khalwat mereka.
16) Dira Abu Zahar-Helmi Yusof
Pelakon Khaidhirah Abu Zahar atau Dira, 27, sah bergelar isteri kepada pengarah fotografi Mohd. Helmi Mohd. Yusof atau Helmi di kampung halaman pengantin perempuan di Merlimau, Melaka, pada 11 November lalu.
17) Zahiril Adzim-Shera Aiyob
Pelakon Zahiril Adzim, 27, sah bergelar suami kepada pengacara Shera Aiyob, 25, di rumah pengantin perempuan di Ipoh, Perak pada 20 November lalu.
18) Ashraf Muslim-Noor Dayana
Pelakon Ashraf Muslim, 30, bernikah dengan Noor Dayana, 24, pada 30 Ogos lalu di Mekah.
19) Nurul (AF2)- Mohd Munzil Muhamad
Pernikahan Nurul (AF2) menjadi kontroversi apabila dia dan suami, Mohd Munzil Muhamad bernikah di Thailand pada 23 April lalu.
Bagaimanapun pasangan itu tidak pernah membelakangi keluarga sehingga mengambil keputusan bernikah di Narathiwat.

Kekok adegan asmara

26 Disember 2011



Aqasha dan Ayu Raudhah pertama kali melakonkan babak asmara melalui drama Gemersik Kalbu


MELAKONKAN babak intim dalam drama dan filem, bukan sesuatu yang mudah. Ia memerlukan penghayatan yang cukup tinggi. Sesetengah pelakon harus mengorbankan perasaan malu dan segan supaya tidak nampak kekok di depan kamera. Sebab itu, meskipun babak asmara mendapat pelbagai pro dan kontra daripada masyarakat, ia masih menjadi sesuatu yang dianggap perlu oleh sebahagian besar karyawan filem dalam melariskan produk mereka.

Pelakon Ayu Raudhah sendiri mengakui dia agak kekok dan tidak selesa melakonkan babak-babak asmara bersama dengan pelakon lelaki dalam drama.
Ini termasuklah dalam drama terbaru yang menyaksikan kemunculannya bersama pelakon Aqasha - Gemersik Kalbu.

Menurut Ayu, sebagai isteri orang, pastinya agak kekok untuk melakonkan babak-babak intim bersama pasangannya dalam drama yang diangkat daripada novel popular itu.

"Pada awalnya, saya memang kekok apabila tiba kepada babak-babak intim.

"Rasa malu, segan dan kekok sangat kerana tidak biasa begitu dengan lelaki lain selain suami.

"Apatah lagi dengan status saya sebagai isteri orang. Jadi tidak boleh saya nafikan pada permulaan, agak sukar juga buat saya untuk membiasakan diri," kata Ayu.

Bagaimanapun menurut pelakon itu, demi tanggungjawab yang harus digalas, dia akhirnya dapat menyesuaikan diri dan memberikan apa yang diinginkan pengarah.
"Mujurlah Aqasha banyak membantu dengan memberikan tunjuk ajar agar kami berjaya memberikan yang terbaik dalam babak tersebut.

"Walaupun drama tersebut memerlukan kami menunjukkan keintiman, ia tidaklah keterlaluan sangat. Sensitiviti kena jaga juga memandangkan penonton drama kita terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat," katanya.

Apabila ditanya apakah reaksi suaminya apabila mendapat tahu drama itu memerlukannya untuk beraksi secara intim dengan Aqasha, Ayu berkata, suaminya sangat profesional.

"Sebelum menerima tawaran untuk terlibat dengan drama ini, kami sudah berbincang terlebih dahulu. Secara jujurnya, suami saya tidak menghalang kerana dia faham kerjaya saya sebagai seorang pelakon.

"Dia juga mempunyai caranya yang tersendiri. Sebagai contoh jika ada babak-babak yang dilakonkan saya tidak berapa disukainya, dia akan tutup televisyen dan tidak menontonnya.

"Walaupun begitu, dia sangat memahami tugas saya dan tahu apa yang saya lakukan itu hanyalah atas urusan kerja semata-mata," jelasnya.

Sementara itu, Aqasha berkata, dia selesa digandingkan dengan Ayu dalam drama tersebut.

"Kami pernah berlakon bersama sebelum ini. Tetapi bukanlah bergandingan. Jadi secara rasmi ini adalah kali pertama kami digandingkan bersama sebagai teraju utama.

"Sebenarnya tidaklah terlalu banyak babak yang memerlukan kami menunjukkan keintiman. Tetapi cabarannya tetap ada.

"Sewaktu babak tersebut, kami berdua beraksi secara profesional. Kami berpuas hati dengan hasil lakonan," katanya.

Mahu mengandung lagi

Sementara itu, bercakap soal peribadi Ayu berkata, meskipun kandungan pertamanya keguguran, dia tidak pernah berasa serik untuk hamil lagi.

Bahkan, setiap masa dan ketika, pelakon jelita itu berharap agar rumah tangganya dikurnia dengan kehadiran zuriat sebagai penambah seri.

Umum sudah mengetahui berita berhubung keguguran yang dialami oleh pelakon ini selepas terlibat dengan penggambaran drama Gemersik Kalbu itu sewaktu kandungannya berusia enam minggu.

"Saya mengambil kejadian tersebut sebagai takdir yang telah ditentukan buat kami. Mungkin masih belum tiba masanya untuk kami bergelar ibu dan bapa.

"Pastinya perasaan sedih itu ada kerana kami amat gembira setelah mendapat tahu saya sudah mengandung. Antara kami berdua, suami yang lebih gembira kerana bakal menjadi bapa.

"Kami menganggap sebagai belum lagi rezeki kami. Mungkin ia berlaku akibat kepenatan kerana saya terlalu sibuk dengan sesi penggambaran di lokasi," katanya lembut.

Pelakon yang mendirikan rumah tangga dengan bintang bola sepak Mohd. Zaquan Adha Abdul Radzak itu juga berkata kehidupannya bahagia bersama suami tercinta, lantas mengetepikan desas desus yang mengatakan hubungan mereka bermasalah.

"Khabar angin yang mengatakan rumah tangga kami bermasalah itu tidak benar. Sejujurnya, kami bahagia dengan kehidupan sebagai pasangan suami isteri.

"Walaupun masing-masing mempunyai karier yang berbeza, tetapi kami amat menyokong antara satu sama lain," jelasnya menolak dakwaan tersebut.

Bergelar bapa

Sementara itu, Aqasha yang kini bergelar bapa kepada seorang bayi lelaki berkata, kehidupan setelah mempunyai cahaya mata amat berbeza berbanding berdua dengan isteri tersayang.

"Setelah kelahiran orang baru ini, hidup saya banyak berubah. Saya lebih memahami tanggungjawab, bukan hanya sebagai seorang bapa dan suami, tetapi juga sebagai seorang lelaki.

"Baru kini saya tahu pengorbanan yang perlu dilakukan ibu bapa kita dalam membesarkan seorang anak.
"Yang pastinya, saya gembira dan sangat seronok setelah bergelar bapa selama tiga bulan setengah ini kerana banyak yang saya dapat pelajari.

"Bukan sahaja karektor anak saya, tetapi setiap hari adalah suatu perjalanan yang membantu saya untuk mengenali diri saya dengan lebih mendalam," kata bapa kepada Alehandra Ahmad ini.

Menurut Aqasha, Alehandra bermaksud pejuang bangsa, manakala Ahmad bermaksud yang terpuji.

"Jadi saya berharap anak saya akan membesar menjadi seseorang yang berguna kepada bangsa, agama dan juga negara," tambahnya.

Drama Gemersik Rindu diarahkan Heykal Haniffah dan turut membariskan ramai lagi pelakon berbakat. Antaranya Fazreen Rafi, Anzalna, Zain Saidin, Dian P.Ramlee, Khatijah Tan dan Watie Sadali.

Drama ini dapat disaksikan pada setiap Isnin hingga Khamis, pukul 7 malamm, bermula 2 Januari 2012.

Sabtu, 24 Disember 2011

Ayu Raudhah Masih Belum Sempat Bulan Madu

12 Disember 2011


Walaupun usia perkahwinannya hampir menginjak ke setahun, tetapi Ayu Raudhah,26, mengakui dia dan suami, Mohd Zaquan Adha, 23, masih belum berkesempatan untuk berbulan madu. Jelas Ayu, bukan masing-masing tidak cuba mencari masa, tetapi tuntuan tugas perlu diutamakan.

“Memang sampai sekarang Ayu dan suami tidak sempat berbulan madu. Bukan tidak mahu, tetapi masa tidak mengizinkan. Sebaik sahaja majlis persandingan di kedua-dua belah pihak tempoh hari, Ayu dan Zaquan sudah terikat dengan komitmen kerja. Jadi, kami terpaksa lupakan tentang bulan madu buat seketika.

Bagaimanapun, Ramadan baru-baru ini Ayu dan suami sempat menunaikan Umrah bersama. Rasanya kunjungan ke Tanah Suci itu lebih bermakna. Tak mengapalah tak dapat bulan madu pun, Ayu anggap hari-hari yangkami lalui bersama ketika ini adalah bulan madu. Ayu sangat-sangat bahagia dengan suami, “ ujar Ayu sambil menguntum senyum.

Menjawab persoalan tentang tahap kesihatannya ketika ini, Ayu memberitahu selepas kegugugran Oktober lalu, dia tidak menghadapi sebarang masalah kesihatan lain. Namun mengakui dia tidak mendapat rehat yang cukup kerana jadual penggambaran yang terlalu ketat.

“Selepas keguguran hari itu, Ayu tidak punya masalah kesihatan yang lain. Cuma tidak mendapat rehat yang cukup sebab sibuk sangat. Buat masa ini doktor masih tidak benarkan Ayu hamil lagi. Kena tunggu selepas tiga bulan. Memang Ayu dan Zaquan tidak merancang untuk dapatkan anak, tapi buat masa ini Ayu perlu dengar nasihat doktor. Selepas tempoh tiga bulan ini berakhir, tak kisahlah kalau hamil pun,” ujar Ayu lagi.

Jadi Raihana
Dalam perkembangan lain, adik kepada Rozita Che Wan ini bakal muncul dengan drama terbaru berjudul ‘Gemersik Kalbu’. Memegang watak utama sebagai Raihana, Ayu bergandingan dengan Aqasha sebagai pasangan suami isteri.

Menceritakan pengalaman berlakon di sisi Aqasha, Ayu berterus-terang yang dia sebenarnya berasa kurang selesa melakonkan babak-babak romantis dan intim bersama Aqasha kerana statusnya sebagai seorang isteri.

“Selain itu, Ayu juga rasa kekok kerana ini baru kali kedua kami bergandingan. Kali pertama dulu adegan yang membabitkan kami berdua pun tidak banyak. Tapi masalah kekok ini mula-mula sahaja, selepas berbincang dengan Aqasha dan pengarah, Ayu dapat atasi. Aqasha pun faham dengan status Ayu. Dia pun sudah menjadi suami orang. Jadi kami faham antara satu sama lain. Secara keseluruhan, babak-babak yang ada dalam ‘Gemerik Kalbu’ tidaklah keterlaluan,” ujar Ayu.

Drama arahan Heykal Hanafiah ini akan disiarkan di slot Akasia bermula 2 Januari hadapan dari jam 7.00 petang hingga 8.00 malam dari Isnin hingga Khamis.



Khamis, 1 Disember 2011

Shukor tidak risau rakan ‘lari’

2 Disember 2011



Shukor Adan (kiri) bersama peserta yang mengambil bahagian dalam sesi pengenalan Akademi Bola Sepak Soccergurus di Kinrara, semalam.


PUCHONG – Ketua pasukan Negeri Sembilan, Mohd. Shukor Adan tidak bimbang dengan kekuatan pasukan Hoben Jang Hoben menjelang saingan Liga Malaysia musim hadapan walaupun kehilangan beberapa pemain utama yang memilih haluan ke Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Biarpun menyedari hampir separuh kekuatan Negeri Sembilan yang menjulang mereka pada pentas Piala Malaysia lalu telah hilang, pemain veteran berusia 32 tahun percaya, skuad kali ini masih mampu memberikan cabaran dan meraih kejuaraan musim hadapan.

“Bagi menghadapi musim depan, memang saya agak sedikit terasa kerana kehilangan beberapa rakan sepasukan yang berjasa pada musim lalu, sehingga kami berjaya muncul juara Piala Malaysia.

“Namun ia perkara yang biasa sebagai pemain profesional, pemain akan datang dan pergi, saya terima keputusan dengan hati terbuka.

“Sebagai ketua pasukan, saya tidak gusar dengan kerana ketiadaan mereka ditampung dengan kehadiran tiga pemain baru dan beberapa pemain muda berbakat dari skuad Piala Presiden

“Saya masih percaya pasukan Negeri Sembilan mampu mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia selain cuba meraih kejuaraan lain, ” katanya selepas sesi pengenalan Akademi Bola Sepak Soccergurus di Sekolah Jenis Tamil Kebangsaan Bandar Kinrara, semalam.

Negeri Sembilan sudah kehilangan tujuh pemain yang memilih haluan baru musim depan termasuk pemain kembar, Mohd. Aidil Zafuan dan Zaquan Adha, yang berhijrah ke ATM.

Mengikuti jejak langkah mereka berdua ke ATM ialah Hairuddin Omar yang muncul wira Negeri Sembilan pada perlawanan akhir Piala Malaysia lalu, Irwan Fadzli Idrus dan penjaga gol, Farizal Harun.

Selain itu, pemain skuad Sukan SEA 2011, Ahmad Fakri Saarani dijangka memilih haluan ke Felda United dan bekas pemain Harimau Muda A, Ahmad Aminuddin Shaharudin ke Sarawak.

Antara muka baru yang dibawa masuk Negeri Sembilan ialah bekas pemain Harimau Muda A dan Kedah, Ahmad Shakir Ali serta dua pemain Kuala Lumpur, Norismaidham Ismail dan Mohd Nazrin Mohd. Nawi.

Negeri Sembilan juga difahamkan hampir pasti mengikat dua pemain import iaitu Marquen Gonçalves Ferreira, pertahanan dari Brazil dan Jean-Emmanuel Effa Owona, penyerang yang berasal dari Cameroon selepas persembahan cemerlang menewaskan Kelantan 3-1 dalam aksi persahabatan, Selasa lalu.

Ditanya adakah dia menghabiskan karier di Negeri Sembilan, Shukor berkata dia akan beraksi selagi khidmatnya diperlukan oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS).

“Saya belum merancang bila akan bersara, selagi kaki dan kudrat saya masih mampu, selagi itu saya akan terus bermain bola sepak.

“Mungkin juga saya akan mengakhiri karier di Negeri Sembilan tetapi itu terpulang kepada PBNS, cuma saya boleh nyatakan saya gembira bermain dengan Negeri Sembilan, ” katanya.

Selasa, 29 November 2011

Aidil Zafuan intai gelaran hatrik

30 November 2011



AIDIL ZAFUAN mengidam untuk merangkul Anugerah Pemain Pertahanan Terbaik buat kali ketiga berturut-turut pada majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2011 hari ini.


TONGGAK pertahanan Negeri Sembilan, Aidil Zafuan Abdul Razak berharap persembahan cemerlang pada musim ini mampu melayakkannya menjulang Anugerah Pemain Pertahanan Terbaik buat kali ketiga berturut-turut menjelang majlis berprestij Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2011 hari ini.
Persembahan konsisten tonggak berusia 24 tahun itu tidak kira ketika mewakili pasukannya mahupun pasukan kebangsaan berjaya menggondol anugerah itu sejak 2009.
"Sejujurnya, saya rasa cukup bertuah dapat meraih anugerah ini sejak dua tahun lepas.
"Jika menang lagi tahun ini, ia memang cukup istimewa, tambahan pula saya sering dibelenggu kecederaan pada musim ini," katanya yang mula menyarung jersi Harimau Malaya sejak berusia 14 tahun.
"Saya harap saya telah melakukan yang terbaik untuk menerima anugerah tersebut tahun ini yang bagi saya bukan se- kadar anugerah biasa.
"Sebagai pemain, pengiktirafan ini benar-benar bermakna buat saya," katanya.
Bersama kembarnya Zaquan Adha, Aidil sebelum ini berjaya membantu Negeri Sembilan muncul juara bola sepak Sukan Malaysia (Sukma) pada 2004 sebelum menyertai pasukan senior Sang Rusa setahun kemudian.
Mereka juga berjaya muncul juara Liga Super pada tahun yang sama.
Selain mewakili Malaysia pada dua Kejohanan Remaja Asia, Aidil juga berjaya membantu pasukan negara muncul juara Pestabola Merdeka pada 2007 selain mewakili negara pada Piala Asia pada tahun yang sama.
"Saya harap majlis sebegini dapat diteruskan bagi menghargai pemain bola sepak profesional," katanya yang turut membantu Negeri Sembilan muncul juara Piala Malaysia musim ini.
Untuk anugerah tahun ini, setiap calon dipilih menerusi undi kesemua jurulatih-jurulatih pasukan Liga Super dan Liga Perdana.
Sementara itu, anugerah persatuan dan pasukan terbaik akan ditentukan oleh Jawatankuasa Pertandingan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Majlis penganugerahan itu akan berlangsung di Holiday Inn Glenmarie, Shah Alam hari ini.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...