Aidil Zafuan & Zaquan Adha

Keluarga Aidil Zafuan

Keluarga Zaquan Adha

LIKE jika suka :)

Isnin, 26 Disember 2011

Kekok adegan asmara

26 Disember 2011



Aqasha dan Ayu Raudhah pertama kali melakonkan babak asmara melalui drama Gemersik Kalbu


MELAKONKAN babak intim dalam drama dan filem, bukan sesuatu yang mudah. Ia memerlukan penghayatan yang cukup tinggi. Sesetengah pelakon harus mengorbankan perasaan malu dan segan supaya tidak nampak kekok di depan kamera. Sebab itu, meskipun babak asmara mendapat pelbagai pro dan kontra daripada masyarakat, ia masih menjadi sesuatu yang dianggap perlu oleh sebahagian besar karyawan filem dalam melariskan produk mereka.

Pelakon Ayu Raudhah sendiri mengakui dia agak kekok dan tidak selesa melakonkan babak-babak asmara bersama dengan pelakon lelaki dalam drama.
Ini termasuklah dalam drama terbaru yang menyaksikan kemunculannya bersama pelakon Aqasha - Gemersik Kalbu.

Menurut Ayu, sebagai isteri orang, pastinya agak kekok untuk melakonkan babak-babak intim bersama pasangannya dalam drama yang diangkat daripada novel popular itu.

"Pada awalnya, saya memang kekok apabila tiba kepada babak-babak intim.

"Rasa malu, segan dan kekok sangat kerana tidak biasa begitu dengan lelaki lain selain suami.

"Apatah lagi dengan status saya sebagai isteri orang. Jadi tidak boleh saya nafikan pada permulaan, agak sukar juga buat saya untuk membiasakan diri," kata Ayu.

Bagaimanapun menurut pelakon itu, demi tanggungjawab yang harus digalas, dia akhirnya dapat menyesuaikan diri dan memberikan apa yang diinginkan pengarah.
"Mujurlah Aqasha banyak membantu dengan memberikan tunjuk ajar agar kami berjaya memberikan yang terbaik dalam babak tersebut.

"Walaupun drama tersebut memerlukan kami menunjukkan keintiman, ia tidaklah keterlaluan sangat. Sensitiviti kena jaga juga memandangkan penonton drama kita terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat," katanya.

Apabila ditanya apakah reaksi suaminya apabila mendapat tahu drama itu memerlukannya untuk beraksi secara intim dengan Aqasha, Ayu berkata, suaminya sangat profesional.

"Sebelum menerima tawaran untuk terlibat dengan drama ini, kami sudah berbincang terlebih dahulu. Secara jujurnya, suami saya tidak menghalang kerana dia faham kerjaya saya sebagai seorang pelakon.

"Dia juga mempunyai caranya yang tersendiri. Sebagai contoh jika ada babak-babak yang dilakonkan saya tidak berapa disukainya, dia akan tutup televisyen dan tidak menontonnya.

"Walaupun begitu, dia sangat memahami tugas saya dan tahu apa yang saya lakukan itu hanyalah atas urusan kerja semata-mata," jelasnya.

Sementara itu, Aqasha berkata, dia selesa digandingkan dengan Ayu dalam drama tersebut.

"Kami pernah berlakon bersama sebelum ini. Tetapi bukanlah bergandingan. Jadi secara rasmi ini adalah kali pertama kami digandingkan bersama sebagai teraju utama.

"Sebenarnya tidaklah terlalu banyak babak yang memerlukan kami menunjukkan keintiman. Tetapi cabarannya tetap ada.

"Sewaktu babak tersebut, kami berdua beraksi secara profesional. Kami berpuas hati dengan hasil lakonan," katanya.

Mahu mengandung lagi

Sementara itu, bercakap soal peribadi Ayu berkata, meskipun kandungan pertamanya keguguran, dia tidak pernah berasa serik untuk hamil lagi.

Bahkan, setiap masa dan ketika, pelakon jelita itu berharap agar rumah tangganya dikurnia dengan kehadiran zuriat sebagai penambah seri.

Umum sudah mengetahui berita berhubung keguguran yang dialami oleh pelakon ini selepas terlibat dengan penggambaran drama Gemersik Kalbu itu sewaktu kandungannya berusia enam minggu.

"Saya mengambil kejadian tersebut sebagai takdir yang telah ditentukan buat kami. Mungkin masih belum tiba masanya untuk kami bergelar ibu dan bapa.

"Pastinya perasaan sedih itu ada kerana kami amat gembira setelah mendapat tahu saya sudah mengandung. Antara kami berdua, suami yang lebih gembira kerana bakal menjadi bapa.

"Kami menganggap sebagai belum lagi rezeki kami. Mungkin ia berlaku akibat kepenatan kerana saya terlalu sibuk dengan sesi penggambaran di lokasi," katanya lembut.

Pelakon yang mendirikan rumah tangga dengan bintang bola sepak Mohd. Zaquan Adha Abdul Radzak itu juga berkata kehidupannya bahagia bersama suami tercinta, lantas mengetepikan desas desus yang mengatakan hubungan mereka bermasalah.

"Khabar angin yang mengatakan rumah tangga kami bermasalah itu tidak benar. Sejujurnya, kami bahagia dengan kehidupan sebagai pasangan suami isteri.

"Walaupun masing-masing mempunyai karier yang berbeza, tetapi kami amat menyokong antara satu sama lain," jelasnya menolak dakwaan tersebut.

Bergelar bapa

Sementara itu, Aqasha yang kini bergelar bapa kepada seorang bayi lelaki berkata, kehidupan setelah mempunyai cahaya mata amat berbeza berbanding berdua dengan isteri tersayang.

"Setelah kelahiran orang baru ini, hidup saya banyak berubah. Saya lebih memahami tanggungjawab, bukan hanya sebagai seorang bapa dan suami, tetapi juga sebagai seorang lelaki.

"Baru kini saya tahu pengorbanan yang perlu dilakukan ibu bapa kita dalam membesarkan seorang anak.
"Yang pastinya, saya gembira dan sangat seronok setelah bergelar bapa selama tiga bulan setengah ini kerana banyak yang saya dapat pelajari.

"Bukan sahaja karektor anak saya, tetapi setiap hari adalah suatu perjalanan yang membantu saya untuk mengenali diri saya dengan lebih mendalam," kata bapa kepada Alehandra Ahmad ini.

Menurut Aqasha, Alehandra bermaksud pejuang bangsa, manakala Ahmad bermaksud yang terpuji.

"Jadi saya berharap anak saya akan membesar menjadi seseorang yang berguna kepada bangsa, agama dan juga negara," tambahnya.

Drama Gemersik Rindu diarahkan Heykal Haniffah dan turut membariskan ramai lagi pelakon berbakat. Antaranya Fazreen Rafi, Anzalna, Zain Saidin, Dian P.Ramlee, Khatijah Tan dan Watie Sadali.

Drama ini dapat disaksikan pada setiap Isnin hingga Khamis, pukul 7 malamm, bermula 2 Januari 2012.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...