Aidil Zafuan & Zaquan Adha

Keluarga Aidil Zafuan

Keluarga Zaquan Adha

LIKE jika suka :)

Khamis, 1 Disember 2011

Shukor tidak risau rakan ‘lari’

2 Disember 2011



Shukor Adan (kiri) bersama peserta yang mengambil bahagian dalam sesi pengenalan Akademi Bola Sepak Soccergurus di Kinrara, semalam.


PUCHONG – Ketua pasukan Negeri Sembilan, Mohd. Shukor Adan tidak bimbang dengan kekuatan pasukan Hoben Jang Hoben menjelang saingan Liga Malaysia musim hadapan walaupun kehilangan beberapa pemain utama yang memilih haluan ke Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Biarpun menyedari hampir separuh kekuatan Negeri Sembilan yang menjulang mereka pada pentas Piala Malaysia lalu telah hilang, pemain veteran berusia 32 tahun percaya, skuad kali ini masih mampu memberikan cabaran dan meraih kejuaraan musim hadapan.

“Bagi menghadapi musim depan, memang saya agak sedikit terasa kerana kehilangan beberapa rakan sepasukan yang berjasa pada musim lalu, sehingga kami berjaya muncul juara Piala Malaysia.

“Namun ia perkara yang biasa sebagai pemain profesional, pemain akan datang dan pergi, saya terima keputusan dengan hati terbuka.

“Sebagai ketua pasukan, saya tidak gusar dengan kerana ketiadaan mereka ditampung dengan kehadiran tiga pemain baru dan beberapa pemain muda berbakat dari skuad Piala Presiden

“Saya masih percaya pasukan Negeri Sembilan mampu mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia selain cuba meraih kejuaraan lain, ” katanya selepas sesi pengenalan Akademi Bola Sepak Soccergurus di Sekolah Jenis Tamil Kebangsaan Bandar Kinrara, semalam.

Negeri Sembilan sudah kehilangan tujuh pemain yang memilih haluan baru musim depan termasuk pemain kembar, Mohd. Aidil Zafuan dan Zaquan Adha, yang berhijrah ke ATM.

Mengikuti jejak langkah mereka berdua ke ATM ialah Hairuddin Omar yang muncul wira Negeri Sembilan pada perlawanan akhir Piala Malaysia lalu, Irwan Fadzli Idrus dan penjaga gol, Farizal Harun.

Selain itu, pemain skuad Sukan SEA 2011, Ahmad Fakri Saarani dijangka memilih haluan ke Felda United dan bekas pemain Harimau Muda A, Ahmad Aminuddin Shaharudin ke Sarawak.

Antara muka baru yang dibawa masuk Negeri Sembilan ialah bekas pemain Harimau Muda A dan Kedah, Ahmad Shakir Ali serta dua pemain Kuala Lumpur, Norismaidham Ismail dan Mohd Nazrin Mohd. Nawi.

Negeri Sembilan juga difahamkan hampir pasti mengikat dua pemain import iaitu Marquen Gonçalves Ferreira, pertahanan dari Brazil dan Jean-Emmanuel Effa Owona, penyerang yang berasal dari Cameroon selepas persembahan cemerlang menewaskan Kelantan 3-1 dalam aksi persahabatan, Selasa lalu.

Ditanya adakah dia menghabiskan karier di Negeri Sembilan, Shukor berkata dia akan beraksi selagi khidmatnya diperlukan oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS).

“Saya belum merancang bila akan bersara, selagi kaki dan kudrat saya masih mampu, selagi itu saya akan terus bermain bola sepak.

“Mungkin juga saya akan mengakhiri karier di Negeri Sembilan tetapi itu terpulang kepada PBNS, cuma saya boleh nyatakan saya gembira bermain dengan Negeri Sembilan, ” katanya.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...