Aidil Zafuan & Zaquan Adha

Keluarga Aidil Zafuan

Keluarga Zaquan Adha

LIKE jika suka :)

Khamis, 29 Disember 2011

"Gemersik Kalbu" Gantikan "Tentang Dhia"

30 Disember 2011




Selepas berakhirnya drama ‘Tentang Dhia’, slot Akasia, TV3 bakal menayangkan sebuah lagi drama bersiri penuh emosi, ‘Gemersik Kalbu’ yang menampilkan lakonan hebat Aqasha, Ayu Raudah, Fazreen Rafi, Anzalna, Dian P.Ramlee, Rahim Jalani dan Khatijah Tan bermula 2 Januari hadapan.

Drama yang diadaptasi daripada novel nukilan Anis Ayuni ini mengisahkan tentang suka duka seorang wanita bernama Raihana yang tabah mengharungi dugaan hidup sejak kecil kerana ditinggalkan dalam jagaan neneknya. Apabila neneknya meninggal dunia, Raihana bagaikan terkontang-kanting mencari kasih sayang. Pertemuan dengan Wan Ariffin telah membenihkan bibit-bibit cinta, namun setelah mengikat tali pertunangan, Wan Ariffin pergi menyahut panggilan Ilahi. Insiden ini membuatkan Raihana terpukul, keliru dan terperangkap dalam kesengsaraan sendiri.

Kehadiran Sufian tidak memberi makna dalam hidup Raihana kerana baginya cinta bukan satu paksaan mahupun lahir atas rasa simpati. Sufian yang begitu bersungguh memenangi hati Raihana telah berjaya menjerat Raihana dalam satu ikatan perkahwinan. Namun, Raihana bersikap dingin membiarkan perkahwinan itu sepi tanpa cinta kerana Wan Ariffin masih segar di hatinya.
Dalam sidang media yang diadakan petang tadi, pengarahnya, Heykal Hanafiah memberitahu dia tertarik dengan jalan cerita yang ditampilkan dalam novel ‘Gemersik Kalbu’ dan berharap adaptasi ini boleh diterima peminat drama Melayu.

“Apabila saya membawa novel ini, saya sudah boleh nampak penulis menggunakan tema cinta sebagai subjek utama. Jadi, saya rasa tidak sukar untuk membawa naskhah ini ke skrin televisyen. Tetapi, saya harus mencantikkan jalan cerita supaya elemen drama itu lebih terserlah. Sebab itu saya ada melakukan sedikit perubahan bagi memastikan naskah ini divisual dengan baik.

Dalam masa yang sama, saya juga merasa agak tertekan kerana pihak TV3 memaklumkan ‘Tentang Dhia’ mendapat rating yang tinggi. Kalau boleh saya tidak mahu ‘Gemersik Kalbu’ menjatuhkan rating slot Akasia . Walau bagaimanapun, saya telah cuba lakukan yang terbaik. Harap garapan saya kali ini mampu menambat hati penonton,” ulas Heykal berharap.

Sementara itu, Pengurus Besar Kumpulan, Kumpulan Pengurusan Jenama TV3 & TV9, Nurul Aini Abu Bakar berkata, pemilihan novel ‘Gemersik Kalbu’ ini disebabkan jalan ceritanya yang menarik dan bersesuaian dengan konsep slot Akasia yang mengetengahkan elemen drama dan kasih sayang.

“Bagaimanapun, harus diingatkan apa yang dibaca dan divisualkan selalunya tidak 100 peratus sama. Untuk ‘Gemersik Kalbu’, hanya 80 peratus persamaan kerana pihak produksi mengubah sedikit jalan cerita bagi menambahkan impak emosi di kalangan penonton. Selain itu, ia juga dilakukan kerana mengikut garis panduan yang ditetapkan,” ujar Noraini.

‘Gemersik Kalbu’ akan menemui penonton pada setiap Isnin hingga Khamis, jam 7.00 malam bermula 2 Januari hadapan.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...