Ulang tahun kelahiran ke-36 pelakon Rita Rudaini tentunya meninggalkan kenangan pahit apabila dia telah menerima berita daripada suaminya, Aidil Zafuan Abdul Radzak, 25, yang telah membuat permohonan cerai dengannya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).

Menurut laporan Sinar Harian, Rita menjelaskan permohonan penceraian tersebut langsung tidak memeranjatkannya memandangkan Aidil sendiri tidak pulang ke rumah mereka di Damansara sejak empat bulan lalu.

“Saya anggap apa yang berlaku sudah tertulis sebagai takdir saya. Saya percaya pada qada’ dan qadar Allah dan terima ia dengan redha.

“Malah, saya bersyukur sangat-sangat kerana kekuatan saya adalah pada mata anak-anak. Saya tidak kisah hilang yang lain asalkan anak-anak sentiasa bersama saya,” katanya yang ditemui semasa majlis hari lahirnya yang ke-36, Rabu lalu.

Dalam laporan lain pula, pemain bola sepak kebangsaan, Aidil Zafuan Abdul Radzak, menegaskan tidak pernah mengabaikan tanggungjawab terhadap dua anaknya. Semua keperluan anak-anaknya, Airit Rayyan Rizqin, 3, dan Airit Rafqa Arjuna, 1, diuruskan dengan baik dan beliau sentiasa bertanyakan khabar mereka dari semasa ke semasa.

Mengulas kenyataan Rita yang mengakui menerima SMS daripadanya yang memaklumkan telah membuat permohonan untuk bercerai, Aidil mempunyai alasan sendiri untuk tidak pulang ke rumah dan enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu kerana tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan.

Aidil Zafuan, 25, dan dan Rita Rudaini, 36 bernikah secara rahsia di Songkhla, Thailand pada 25 Februari 2008, setelah hubungan mereka tidak mendapat restu daripada keluarga pihak lelaki.