Aidil Zafuan & Zaquan Adha

Keluarga Aidil Zafuan

Keluarga Zaquan Adha

LIKE jika suka :)

Sabtu, 24 September 2011

Aidil sedia terima lilitan kapten

** 26 September 2011

ANDAI tugas memakai lilitan kapten diamanahkan, tonggak pertahanan kental kebangsaan, Aidil Zafuan Abd Radzak sudah pun menyuarakan kesediaannya dan tekad memberi yang terbaik serta fokus menghalang gawang negara dari dibolosi lawan.

“Tiada tekanan jika tugas itu diserahkan kepada saya dan saya sudah bersedia menggalas amanah diberi itu dengan baik.
“Semangat saya bertambah selepas tidak beraksi pada perlawanan pertama di Singapura dan selepas ujian fisio terapi, petanda yang diberikan cukup baik,” kata Aidil yang mengalami kecederaan buku lali ketika tewas 0-4 kepada Arsenal pada 13 Julai lalu.
“Saya sedar tugas ini berat dan memerlukan kerjasama berpasukan. Saya dan rakan-rakan akan menyumbang sebanyak mana yang mampu dan yakin untuk memberikan 100 peratus ketika perlawanan itu nanti,” katanya yang mengakui benteng pertahanan tengah masih perlu diperbaiki.

Jika diturunkan, tugas sukar untuk mengawal gerakan penyerang bertubuh sasa Singapura, Aleksandar Duric yang meledak dua gol akan tersandar di bahunya.

“Tiada yang istimewa tentang dia (Duric). Kelebihannya ialah pada susuk tubuh yang besar namun mereka tidak laju. Pemain hanya kehilangan tumpuan ketika itu dan saya yakin kita mampu memperbaiki kelemahan itu di sini,” katanya yang kali terakhir menggalas tugas selaku kapten ketika Sukan Asia lalu.

Aidil meledak dua gol pada perlawanan menentang Taiwan dalam pusingan pertama mengakui mereka banyak belajar daripada perlawanan menentang Arsenal dan Liverpool yang menyaksikan benteng negara dibolosi 10 gol dan menghadiahkan dua sepakan penalti.

Jumaat, 2 September 2011

Zaquan pasang misi ‘serampang dua mata’

03 September 2011

PENYERANG Negeri Sembilan, Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak mempunyai misi ‘serampang dua mata’ apabila turun beraksi dalam saingan Piala Malaysia yang membuka tirainya pada 6 September ini.
Selain berhasrat membantu negeri kelahirannya menjulang piala paling berprestij dalam kancah bola sepak itu, dia juga ingin ‘memikat hati’ pengendali Harimau Malaya, Datuk K Rajagobal agar kembali disenaraikan dalam skuad negara selepas tersisih hampir setahun akibat kecederaan anterior cruciate ligament (ACL).

“Ini peluang saya untuk membantu skuad negeri dan secara tidak langsung peluang untuk beraksi di pentas antarabangsa. Namun saya tidak mahu tergesa-gesa memburu tempat ke skuad Harimau Malaya kerana bimbang kecederaan sama akan berulang.

“Saya mahu mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama Negeri Sembilan terlebih dulu dan cergas sepenuhnya sebelum mengalih tumpuan ke peringkat lebih tinggi sekiranya dipanggil ketua jurulatih negara,” katanya yang kini sudah turun beraksi dalam beberapa perlawanan persahabatan.

Pemain berusia 24 tahun itu yang juga tonggak pasukan memenangi pingat emas Sukan Sea 2009 bagaimanapun menyifatkan kecederaan dialaminya adalah asam garam dalam kehidupan pemain bola sepak.

Usaha Mohd Zaquan Adha untuk kembali tersenarai dalam kesebelasan utama Harimau Malaya tampak sukar selepas gandingan baik Norshahrul Idlan Talaha dan Mohd Safee Sali ketika menjulang Piala AFF penghujung tahun lalu selain kehadiran penjaring terbanyak Liga Super, Abdul Hadi Yahaya.


Namun ia bukan mustahil kerana abangnya, Mohd Aildil Zafuan Abd Radzak juga turut terlepas aksi Piala AFF sebelum ini kerana kecederaan tapi berjaya menempatkan diri kembali dalam kesebelasan utama menerusi beberapa perlawanan persahabatan sepanjang tahun ini.


Khamis, 1 September 2011

Bertuah ada Aidil

01 September 2011


pix_middle 
LAMA menanti, baru kini SELEBRITI berkesempatan merakamkan gambar aktres dan model jelita, Rita Rudaini bersama suami tercinta yang juga pemain bola sepak negara, Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak dan dua cahaya mata mereka, Airit Rayyan Rizqin, 2, dan Airit Qaqa Arjuna, 3 bulan.
Rita yang anggun dalam persalinan rona biru hitam rekaan Hasfitri Yusof, membuka bicara tiada yang lebih bermakna daripada dikelilingi insan tersayang khususnya suami dan anak-anak tatkala menyambut lebaran. Meskipun hanya bercuti sekejap, dia bahagia apabila hasrat berkumpul seisi keluarga dimakbulkan Ilahi.
   
  • Foto
  • FotoPENYAYANG...Aidil tidak kekok menguruskan Arjuna yang berusia 3 bulan.
  • FotoPENYAYANG...Aidil tidak kekok menguruskan Arjuna yang berusia 3 bulan.
  • Foto
  • FotoBAHAGIA...Rayyan (kanan) dan Arjuna lambang cinta Aidil dan Rita.
Hari ini, Rita Rudaini Mokhtar akan berangkat pulang ke kampung halamannya di Perlis bersama keluarga tercinta. Biarpun tidak dapat berlama-lama di tanah tumpah kelahirannya lantaran terikat dengan komitmen karier, kepulangan itu mampu mengubat kerinduan terhadap ayah bonda dan sanak-saudara yang sudah lama tidak bersua muka.

Paling membuatkannya teruja selain menghabiskan masa bersama suami serta anak-anak di kampung, buat pertama kalinya dia serta adik-beradik akan menyinsing lengan menggantikan ayah bonda menyiapkan hidangan utama untuk rumah terbuka yang diadakan setiap hari raya pertama.


“Jadi kemestian setiap tahun ayah dan ibu akan masak nasi tomato bersama ayam masak merah atau nasi Arab untuk dihidangkan kepada tetamu. Bagaimanapun tahun ini ayah tidak sihat, jadi tugasnya akan diambil alih oleh anak-anak. Selepas berbincang dengan abang dan saudara lain, kami sepakat untuk masak nasi tomato.

Tak tahulah menjadi atau tidak kerana inilah percubaan pertama kami masak untuk 100 orang. Selain sajian utama, orang ramai yang datang beraya nanti akan dihidangkan laksa, rendang, ketupat, lemang dan kuih-muih.

“Tahun ini sambutan lebih meriah kerana semua sepupu pulang beraya di Perlis.
Bila berkumpul, pasti riuh rendah jadinya. Maklumlah sudah lama tak jumpa, pasti masing-masing ada cerita menarik untuk dikongsi. Anak sulung saya, Rayyan pun suka balik kampung sebab ada ramai sepupu yang sebayanya.

“Kalau ikutkan hati mahu bercuti lebih lama tetapi tidak boleh kerana saya dan Aidil ada komitmen. Aidil perlu jalani latihan manakala saya pula terikat dengan penggambaran drama Tangisan Bulan Madu musim kedua,” katanya sambil melirikkan senyuman bahagia.

Beralih kepada persiapan raya, jelas ibu penyayang ini keutamaan lebih diberikan kepada anak. Selepas dikurniakan zuriat, bagaikan menjadi satu kegilaan dia dan suami suka membeli pakaian untuk anak. Pantang ada yang menarik di mata, pasti segera dicapai dan dibawa ke kaunter pembayaran.

“Tahun ini saya serahkan tugas menentukan warna tema kepada suami dan dia pilih biru. Kami sudah beli beberapa pasang baju untuk Rayyan dan Arjuna termasuklah baju Melayu yang akan dipakai pada pagi raya nanti.

“Soal pemilihan baju anak-anak kami memang cerewet. Saya akan pastikan warna kena dengan kulit anak-anak dan kasut mestilah sepadan dengan baju. Kadang-kadang kami tidak sependapat dalam soal pemilihan warna, fesyen dan jenis kain tetapi itu bukanlah masalah besar kerana bila nampak cantik di badan anak, pasti masing-masing akan mengalah.

“Bab baju sendiri saya tidak kisah, pakai saja apa yang ada. Lagipun saya hanya berbaju kurung pada sebelah pagi, masuk waktu tengah hari saya akan salin kemeja-T,” katanya.

Sambil melirikkan mata ke arah Aidil yang asyik memangku Arjuna, bintang utama siri Iris, Cinta Gila, Rahsia Hati, Noktah Erna dan Pe­ngantin Untuk Dijual ini melafazkan rasa syukur kerana dikurniakan suami penyayang, lembut tutur kata serta perlakuan dan ringan tulang.

Biarpun sibuk latihan di padang, Aidil tidak mengabaikan ­tanggungjawabnya sebagai suami dan bapa malah apabila berada di rumah, tidak kekok menguruskan anak. Baik membancuh susu, menukar lampin, memandikan atau ­mendodoikan anak dilakukan penuh kasih sayang.

Sikap prihatin dan timbang rasa Aidil dapat disaksikan sepanjang sesi fotografi yang berlangsung. Ketika Rita disolek jurusolek artis terkenal, Tiar Zainal, dialah yang menjaga dan menguruskan keperluan Rayyan serta Arjuna.

“Ketika mula-mula berkahwin, dia akan bantu jika kita cakap tetapi sekarang tak perlu minta tolong pun dia ringan tulang. Jika tidak ada latihan, dialah yang akan uruskan anak manakala saya pula akan memasak, membasuh dan membersihkan rumah.

“Ketika penggambaran Jangan Bunuh Matahariku musim kedua di Cameron Highlands baru-baru ini, saya pulang sekejap ke rumah. Ketika sampai saya terkejut lihat baju sudah berlipat, baju anak tersusun cantik, dapur teratur dan pinggan mangkuk tersusun rapi.

“Mula-mulanya saya ingat dia panggil orang kemas rumah, rupa-rupanya dia buat sendiri. Saya terharu apabila dia cakap tak nak saya penat buat semua kerja rumah. Satu lagi sikap terpuji Aidil, kalau tak tahu buat, dia akan minta saya ajar. Pernah dia minta saya ajar dia masak ayam seperti yang saya masak,” kata Rita.

Biarpun rumah tangga yang dibina pernah dilanda badai, Rita bahagia hidup di samping Aidil. Baginya apa yang berlaku sebelum ini adalah dugaan Allah SWT yang menjadikannya insan yang lebih tabah, matang serta kuat.

Tidak perlu dikesali atau diratapi kerana setiap dugaan pasti ada hikmahnya.

“Hidup berumah tangga pasti diuji. Perselisihan faham itu perkara biasa bagi suami isteri dan ia mengajar setiap pasangan untuk jadi lebih baik, saling menerima kelemahan dan menjadi peringatan supaya tidak mengulangi kesilapan serupa.

“Bagi saya, setiap hari pasti ada perkara baru yang kita belajar daripada perkahwinan bahkan semakin lama hubungan itu kita akan lebih memahami pasangan.
Kita jangan pandang yang molek saja sebaliknya setiap pasangan kena terima kelemahan masing-masing. Ia akan menjadikan keadaan lebih mudah.

“Dalam hubungan saya dan Aidil, dia kena tahu kesusahan saya dan saya juga perlu tahu apa kesusahan dia. Saya faham sebagai pemain bola sepak negara tekanan yang diterima bukan sedikit. Setiap hari Aidil ada latihan dan apabila pulang ke rumah dia pasti penat. Sebagai isteri, jadi tugas saya untuk redakan tekanannya dan buat apa saja yang boleh buat dia rasa lega,” katanya.

Kehadiran Arjuna melengkapi kehidupan Rita sekeluarga. Biarpun tugas yang digalas bertambah apatah lagi dia tidak menggunakan khidmat pembantu rumah, Rita sedikitpun tidak mengeluh.

Biarpun penat terpaksa terkejar-kejar menguruskan anak dan kerja rumah, bagi Rita, itu berbaloi dan sangat seronok untuk dinikmati.

“Alhamdulillah setakat ini saya tak ada masalah menguruskan anak-anak dan kerja rumah. Ketika ada pembantu rumah dulu pun, dia cuma kemas rumah saja kerana anak-anak saya jaga sendiri. Saya lebih selesa begini dan jika ada kelapangan Aidil akan bantu.

“Tidak dinafikan agak kelam-kabut bila semua perkara kita uruskan sendiri tapi itulah yang lebih mudah. Sejak ada adik, Rayyan mahukan perhatian yang lebih.
Dia jadi makin manja, makin meragam, kuat cemburu dan makin rapat dengan saya.

“Kadang-kadang kasihan pula dengan Arjuna tetapi dia seakan faham keadaan abangnya dan banyak mengalah. Dia anak yang baik, langsung tak meragam. Kalau letak depan TV, dia diam saja, sedar-sedar dah lena.

“Bagi saya anak-anak adalah segala-galanya. Merekalah cinta hati saya dan suami. Demi anak saya tidak kisah berpenat malah sentiasa berusaha berikan yang terbaik buat mereka,” kata Rita.

Tambah Rita, seperti mana kebanyakan ibu lain, dia mahu Rayyan dan Arjuna membesar depan mata bahkan sibuk di lokasi penggambaran tidak menjadi kekangan baginya melunaskan tanggungjawabnya.

Pernah ibunya menawarkan khidmat ikhlas menjaga Rayyan dan Arjuna jika dia terbabit dengan penggambaran tetapi ditolak secara baik. Bukan tidak percaya jauh sekali meragui kemampuan ibunya tetapi dia tidak betah berjauhan dengan dua anugerah paling indah dalam hidupnya itu.

“Saya tidak boleh fokus dengan kerja jika anak-anak tidak ada depan mata.
Tinggal anak sekejap pun sudah rasa sebak inikan lagi kalau berjauhan. Ke mana saja saya pergi Rayyan dan Arjna pasti ada bersama malah saya bawa mereka ke lokasi penggambaran.

“Jika tiba giliran saya beraksi depan kamera, ada rakan-rakan di lokasi akan jaga anak saya. Pengarah dan penerbit pun tak kisah kerana mereka faham tanggungjawab saya sebagai seorang ibu.

“Selepas berkahwin dan dikurniakan zuriat, rezeki saya semakin murah. Tawaran tak pernah putus bahkan drama Jangan Bunuh Matahariku baru-baru ini dan Tangisan Bulan Madu musim kedua yang akan memulakan penggambaran selepas raya ini adalah hutang saya ketika hamil.

“Produksi sanggup menangguh penggambaran semata-mata mahu tunggu saya. Pernah saya minta mereka gantikan tempat saya dengan orang lain tapi mereka berkeras mahu tunggu. Habis tempoh berpantang saya lunas janji. Kalau ikutkan ada banyak tawaran tetapi saya tolak sebab sudah berjanji jayakan dua drama itu.

“Melihat tawaran yang datang, saya mula risau andai tidak dapat tumpukan perhatian terhadap anak-anak. Justeru, saya janji dengan Aidil tidak akan kerja secara berterusan. Habis satu penggambaran saya akan berehat sebulan dan kemudian barulah kembali bekerja. Walaupun tawaran bagus, saya akan pejam mata sebab itu janji saya. Saya tak mahu kasih sayang anak berkurang. Sudahlah Aidil sibuk, jadi saya kena main peranan luangkan masa sebanyak mungkin dengan anak-anak,” katanya.

Foto
PENYAYANG...Aidil tidak kekok menguruskan Arjuna yang berusia 3 bulan.


Foto

FotoPENYAYANG...Aidil tidak kekok menguruskan Arjuna yang berusia 3 bulan.


Foto

Sabtu, 16 Julai 2011

The Reds Tewaskan Harimau Malaya 6-3

17 Julai 2011


KUALA LUMPUR: Pasukan Liverpool menewaskan skuad Malaysia 6-3 pada perlawanan persahabatan sempena Jelajah Asia 2011 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu.
Skuad kendalian Datuk K.Rajagobal mempamerkan aksi menarik pada separuh masa pertama dengan mengikat kedudukan 1-1.
Jaringan awal melalui sepakan penalti oleh pemain Liverpool Charlie Adam pada minit ke-25 tidak mematahkan semangat skuad kebangsaan untuk mencari jaringan.
Kapten pasukan Safiq Rahim, berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-42.
Sementara itu, pada babak kedua permainan menyaksikan kedua pasukan melakukan pertukaran pemain sekaligus menjadikan saingan semakin sengit.
David Ngog menambah dua jaringan dalam masa tiga minit (m-66,m-69) memberi kedudukan selesa kepada pasukan bimbingan Kenny Dalglish itu.
Namun itu tidak menghalang kebangkitan Harimau Malaya apabila penyerang berbisa negara, Safee Sali merapatkan kedudukan dengan dua jaringan pada minit ke-78 dan 81.
The Reds terus menambah jaringan melalui Maxi Rodriguez (m-74,m-90), manakala Dirt Kurt turut menjaringkan gol keenam pasukan pada masa tambahan.
Senarai nama skuad utama Malaysia:
Mahalli Jasuli, Mohd Asraruddin Putra, Mohamad Fadhli Mohd Shas, Safiq Rahim, Amar Rohidan, Ahmad Fakri Shaarani, Abdul Hadi Yahaya, Kunalan a/l Subramaniam, Baddrol Bakhtiar, Mohd Muslim Ahmad, Mohd Sharbinee Allawee
Senarai nama skuad utama Liverpool:
Brad Jones, Jonathon Flanagan, Raul Meireles, Daniel Agger, Andy Caroll, Joe Cole, Jack Robinson, Jay Spearing, Conor Coady, Jamie Carragher, Charlie Adam

Rahsia Rajagobal robek 3 gol

17 Julai 2011

Pemain Malaysia meraikan jaringan pembukaan Safiq Rahim pada perlawanan dengan Liverpool di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.



KUALA LUMPUR - Jurulatih negara, Datuk K. Rajagobal mendedahkan tayangan video perlawanan Liverpool menentang Guangdong Sunray Cave di Guangzhou, Rabu lalu, memberikannya ilham untuk merobek gawang Liverpool walaupun terpaksa akur dengan kehebatan lawan apabila kalah 6-3 di Bukit Jalil, semalam.

"Menerusi sesi video itu, saya meminta pemain supaya tunjukkan kesegeraan dalam memburu gol dan akhirnya kami berjaya beroleh tiga gol dan saya gembira dengan prestasi Safee Sali (yang baru pulih daripada kecederaan sejak menentang Taiwan dalam Kelayakan Piala Dunia, baru-baru ini.

"Inilah hasil yang saya mahukan (jika dibandingkan dengan perlawanan menentang Arsenal, Rabu lalu) dan penonton terhibur dengan persembahan kedua-dua pasukan.

"Saya juga kagum dengan sorakan sebahagian besar penonton yang tetap padu kepada pasukan kita biarpun menyarung jersi merah Liverpool kerana mereka sudah menyedari di atas padang itulah sebenarnya pemain dan 'saudara' mereka yang berjuang demi Malaysia," katanya.

Tambah Rajagobal, perlawanan semalam menjana ideanya untuk memilih gandingan kesebelasan utama negara apabila menyeberang Tambak Johor menentang Singapura pada Kelayakan Piala Dunia, pada 23 Julai ini, biarpun resah kerana kelalaian pertahanan memberikan keenam-enam gol kepada kelab Liga Perdana England itu.

"Ada kalanya keputusan atau kesilapan individu mematahkan semangat sepasukan sehingga lawan beroleh gol. Tidak hairanlah, pasukan bertaraf dunia seperti Liverpool dengan cepat menghukum kita," katanya.

Rajagobal turut memuji kepintaran dan ketenangan Ismail Faruqi Ashari meskipun baru kali pertama diturunkan menentang pasukan sehebat Liverpool, apatah lagi ketika Malaysia ketinggalan tiga gol.

"Pemain kita bukan jutawan seperti pemain lawan tetapi sesiapa yang membuat kesilapan, dengan segera saya tukar dan beri peluang kepada muka baru untuk membuktikan kemampuan," katanya.

Rajagobal secara berseloroh tidak menafikan pemakaian jersi biru sering kali membawa tuah atau mendorong persembahan yang lebih baik daripada anak buahnya, berbanding ketika menyarung jersi kuning hitam seperti menentang Arsenal, Rabu lalu dan Taiwan di Taipei dalam perlawanan kedua Kelayakan Piala Dunia.

"Pemain seperti ada tenaga tambahan apabila pakai baju biru. Mungkin kita boleh gunakannya lagi apabila menentang Singapura, 23 Julai ini. Saya rasa kita tiada masalah dengan lawan itu (yang mungkin menggunakan jersi pertama atau tempat sendiri, merah)," katanya.

Reds hebat kita menyengat

17 Julai 2011


PEMAIN pertahanan Malaysia, Helmi Remeli (dua kiri) menghalang percubaan pemain Liverpool, Sotirios Kyrgiakos pada perlawanan persahabatan sempena Siri Jelajah Asia kelab Liga Perdana England itu di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam

KUALA LUMPUR – Kalah tapi ada peningkatan. Itu perwatakan yang dipamerkan skuad kebangsaan apabila tewas 3-6 kepada Liverpool dalam aksi persahabatan dalam Siri Jelajah Asia kelab itu di Stadium Nasional, semalam.

Walaupun kalah, pujian harus diberikan kepada skuad Datuk K. Rajagobal yang bangkit selepas ketinggalan 4-1 pada babak kedua untuk merapatkan jurang gol kepada 4-3.

Namun akibat kelalaian benteng pertahanan, Malaysia akhirnya terpaksa akur dengan kehebatan Liverpool, apabila melepaskan dua gol pada masa kecederaan.

Safee Sali paling mencuri tumpuan apabila menjaringkan dua gol dalam tempoh tiga minit selepas dimasukkan pada babak kedua.

Keupayaan meledak dua gol sewajarnya menjadi amaran kepada Singapura, apabila berdepan Malaysia pada kelayakan Piala Dunia 2014 pada 23 dan 28 Julai ini.

Aksi menarik semalam bermula dengan skrip yang sama ketika menentang Arsenal Rabu lalu berulang buat Harimau Malaya, apabila Liverpool mendahului hasil sepakan penalti pada minit ke-24.

Ia bermula apabila pemain pertahanan Fadhli Shas dipersalahkan kerana menjatuhkan Andy Carroll.

Namun, keputusan pengadil Nagor Amir Noor Mohamed memberikan penalti mencetuskan kontroversi kerana Carroll yang melanggar Fadhli.

Pemain yang baru dibeli Liverpool, Charlie Adam mudah menyempurnakan penalti, walaupun sepakan pertamanya dibatalkan

Ketinggalan satu gol tidak melenyapkan semangat pemain negara sebaliknya bangkit mengikat kedudukan apabila ketua pasukan, Safiq Rahim menggegar jaring lawan dengan gol menarik hasil sepakan bebas.

Ia seakan-akan menjadi tradisi buat Safiq apabila sebelum ini menjaringkan gol yang hampir sama iaitu pada perlawanan kelayakan Piala Dunia 2014 pusingan pertama menentang Taiwan, di mana Malaysia menang hasil kelebihan gol di tempat lawan.

Liverpool akhirnya membuktikan kehebatan sebenar, ditambah dengan kelalaian pertahanan Fadhli dan Muslim Ahmad, apabila menjaringkan gol pada minit ke-64 dan 65 melalui David Ngog untuk menjadikan kedudukan 3-1.

The Reds menambah jaringan keempat pada minit ke-74, melalui Maxi Rodriguez namun seperti harimau luka, Malaysia berjaya merapatkan jurang 4-3 hasil kehebatan Safee, yang tenang memperdayakan benteng pertahanan Liverpool.

Hajat untuk Harimau Malaya menjaringkan gol penyamaan berkecai apabila kelalaian pertahanan Malaysia membolehkan Rodriguez dan Dirk Kuyt menambah gol Liverpool pada masa kecederaan.

Tewas tapi melawan

17 Julai 2011



PARA pemain Malaysia bersalaman dengan pemain Liverpool selepas aksi persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil petang semalam. Malaysia tewas 3-6.


SKUAD bola sepak kebangsaan tewas 3-6 kepada Liverpool pada aksi persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil petang semalam. Begitupun, aksi melawan anak- anak buah Datuk K. Rajagobal itu wajar dipuji apabila mereka tampil lebih agresif berbanding ketika tewas 0-4 kepada Arsenal pada Rabu lalu. Keenam-enam gol Liverpool dijaringkan oleh Charlie Adam, David Ngog (2), Maxi Rodriguez (2) dan Dirk Kuyt.
Manakala skuad kebangsaan membalas tiga gol menerusi kapten, Safiq Rahim dan dua jaringan penyerang sensasi, Safee Sali.
Rajagobal melakukan empat pe- rubahan pada kesebelasan utamanya dengan menyenaraikan Shar- binee Allawee Ramli, Muslim Ahmad, Baddrol Bakhtiar dan Abdul Hadi Yahaya. Liverpool pula yang dikemudikan oleh penolong pengurusnya, Steve Clarke selepas Kenny Dalg- lish terpaksa pulang awal ke England, membuat enam perubahan berbanding kesebelasan ketika menewaskan Guangdong Sunray Cave 4-3. Kedudukan babak pertama terikat 1-1 setelah sepakan penalti Adam pada minit ke-25 berjaya di- padam oleh sepakan percuma Safiq yang menewaskan Brad Jones minit ke-42.
Skuad kebangsaan bermula baik pada babak kedua tetapi kelalaian benteng pertahanan membenarkan Ngog mudah meledak dua gol pada minit ke-67 dan ke-68 mene- waskan penjaga gol gantian, Khairul Fahmi Che Mat.
Ketinggalan 1-3, Rajagobal memasukkan Safee pada minit ke-69 dan percaturan itu ternyata berhasil apabila penyerang Pelita Jaya itu berjaya meledak dua gol. Terdahulu Liverpool berjaya menambah gol keempat menerusi sentuhan Rodriguez pada minit ke-74.
Bagaimanapun semangat para pemain negara kembali melonjak apabila Safee menjaringkan gol kedua pada minit ke-78. Ia berpunca daripada kegagalan penjaga gol gantian Liverpool, Martin Hansen menangkap kemas bola rembatan Amirulhadi Zainal. Tiga minit kemudian, Safee merapatkan kedudukan 3-4 apabila pantas menyudahkan hantaran leret Rizal Fahmi Ab. Rosid untuk menewaskan Hansen buat kali kedua. Namun harapan untuk melihat Harimau Malaya bangkit menyamakan kedudukan tidak kesampaian apabila kelekaan barisan pertahanan sekali lagi dihukum pada masa kecederaan. Rodriguez menjaringkan gol kelima Liverpool pada minit ke-90, manakala Dirk Kuyt melengkapkan gol keenam minit ke-93.

Aksi Lebih Bertenaga, Raja Tetap Bidas Pertahanan Bolos 6 Gol Bodoh

17 Julai 2011 (16 Julai 2011) 


Bolos 10 gol dalam dua perlawanan, Datuk K.Rajagobal tidak lagi mampu bersabar dengan barisan pertahanan pincangnya yang seumpama TIDAK BELAJAR DARIPADA KESILAPAN, dan mengulangi kesilapan mudah sehingga bolos 6 gol kepada barisan ‘mentah’ Liverpool sebentar tadi.

Meskipun berpuas hati terhadap keseluruhan aksi pasukannya yang cuba menjelmakan kebangkitan di lewat permainan menerusi dua gol Safee Sali, Rajagobal membidas pemain pertahanan yang kerap hilang konsentrasi, keluar daripada posisi dan membuat kesilapan yang tidak sepatutnya yang dimanfaatkan sebaiknya penyerang lawan.

“sekali lagi, sloppy defending, kita lepas 6 gol mudah, semua 6 gol individual mistake, its gifted goal. that’s why saya segera buat pertukaran (masuk Rizal, Farisham), saya nak mereka tahu saya serius, there’s no room for mistake, there’s no place for player who’s not perform well regardless of your reputation and who u are..but overall it was a satisfying match, saya yakin semua terhibur, 9 gol, more energetic than 3 days ago, membantu saya mengenalpasti kelemahan, and saya percaya selepas dua perlawanan ini, saya sudah ada gambaran kesebelasan untuk game lawan Singapura..”. – Datuk K.Rajagobal.

Turun menentang Liverpool selepas dimalukan Arsenal 0-4, Rajagobal kembali mengandingkan rangkaian pertahanan Piala AFF Suzuki – Asrarudin Putra Omar, Muslim Ahmad, Fadhli Shas, Mahali Jasuli – ekoran ketiadaan Aidil Zafuan gara-gara kecederaan, manakala Baddrol Bakhtiar bermula di posisi Amirulhadi Zainal (sayap kanan).

Untuk 20 minit pertama, mereka berjaya mengawal permainan dengan baik - hanya percubaan terkena tiang daripada Joe Cole betul-betul mencetus rasa cemas, sebelum pengadil Nagor Amir Noor Mohamed menghadiahkan penalti kontroversi pada minit ke 25, yang disempurnakan Charlie Adam.

Gol sepakan percuma cantik Safiq Rahim, yang diiktiraf pembantu jurulatih Liverpool, Steve Clarke sebagai FANTASTIC FREEKICK, berjaya menyamakan kedudukan buat HARIMAU MALAYA, sekaligus memberi harapan untuk mengintai kejutan ke atas Juara Liga Inggeris sebanyak 18 kali itu, namun harapan hanya tinggal harapan.

Rajagobal nyata mahu memberi peluang kepada semua pemain untuk membuktikan sesuatu dengan melakukan rombakan besar di babak kedua, namun sepertimana Taiwan dan Arsenal, Liverpool juga mendedahkan sebaiknya kepincangan yang wujud dalam skuad Rajagobal, meskipun tidak beraksi pada FULL STRENGHT.

Kemasukan Safee pada 20 minit terakhir, tatkala Malaysia ketinggalan 1-3, sedikit mengubah kerancakkan permainan, dengan pemain Pelita Jaya itu beberapa kali berjaya menguji ketangkasan Martin Hansen - tindakan yang boleh disifatkan lebih bijak berbanding menurunkan Safee lebih awal pada perlawanan yang boleh dilabel sekadar hiburan semata-mata ini, atau dalam bahasa ULTRAS, PERLAWANAN SARKAS.

Buat pertama kalinya juga, penjaga gol sensasi, Khairul Fahmi Che Mat bolos 5 gol di pentas antarabangsa, namun Rajagobal tidak melihat ianya sebagai sesuatu yang membimbangkan, kerana baginya, yang perlu diperbaiki ketika ini adalah pertahanan yang longlai.

Rajagobal juga memuji aksi pemain Terengganu, Ismail Faruqi Ashaari, yang disifatkannya cukup tenang, pantas, bijak mencari ruang dan bermain tanpa tekanan, meskipun pemain itu hanya disenaraikan 2 hari lalu untuk mengisi kekosongan ditinggalkan Aidil Zafuan.

“he’s so cool, distribute ball calmly, actually memang dari awal saya nak senaraikan dia, tapi takpe, dia memberikan kita lebih banyak pilihan, we need a player of his type..”.

Perlawanan seterusnya buat skuad Rajagobal, menentang Singapura pada aksi Kelayakan Piala Dunia pada 23 & 28 Julai, untuk mencari tiket beraksi di pusingan ketiga (kumpulan).

Raja Naik Angin, Belum Sedia Turunkan Ashaari

17 Julai 2011 (15 Julai 2011)


Biar apa orang kata, biar apa tanggapan ramai, tidak akan sekalipun mendesak Datuk K.Rajagobal untuk mengubah taktikal, strategi, formasi mahupun kesebelasan utama pilihannya, meskipun selepas kekalahan memalukan 0-4 kepada Arsenal, baru-baru ini.

Sekadar seri menentang Etoile FC dan Hong Kong (1-1), menang tipis 2-1 ke atas Taiwan, sebelum tewas kepada lawan sama 2-3, diikuti kekalahan terbaru kepada The Gunners, menimbulkan pelbagai cakap-cakap negatif mengenai MINDSET Rajagobal, dengan pertikaian hebat mengenai keengganan jurulatih yang membimbing skuad negara menjuarai Piala AFF Suzuki 2010 itu mempraktikkan formasi baru, selain KEKAL dengan beberapa FAVOURITE PLAYERnya untuk setiap perlawanan.

Antara yang nyata, posisi DEFENSIVE MIDFIELD yang kini ‘digenggam’ erat Amar Rohidan tatkala Rajagobal mempunyai Shakir Shaari dan K.Gurusamy untuk digilirkan di posisi itu, serta posisi sayap kanan yang menjadi milik Amirulhadi Zainal (Baddrol Bakhtiar, Ashaari Shamsudin, S.Chanturu).

Rata-rata peminat setia Harimau Malaya, mengakui gaya permainan COOL dan BERSAHAJA Shakir, pemain kental Kelantan yang ‘bergraduat’ dari Sekolah Sukan Bukit Jalil, sesuai untuk diadaptasikan di posisi DEFENSIVE MID, tatkala Ashaari, penjaring terbanyak Liga Super musim 2010 yang terkenal dengan skill mengelirukan dan kebijaksanaan mencari ruang, di posisi sayap kanan. 

Rajagobal akui beliau sedar akan situasi itu - kehendak peminat yang mahu melihat perubahan terutamanya corak permainan dan penggiliran pemain, tetapi dalam masa sama menegaskan dia tidak akan sesekali mengubah pendiriannya untuk memuaskan hati pihak lain.

“ini team saya, I’m the coach, I know what I’m doing, bukan u saja, 80 ribu peminat yang datang tengok game cakap macam ni macam tu, takkan I nak dengar semua 80 ribu cadangan tu?? Itu hak mereka, ini pula hak saya.  I know my team as well, siapa layak main siapa tidak..”.

“pergilah tanya Alex Ferguson kenapa dia tidak selalu turunkan Berbatov musim lepas, atau u pergi tanya coach Argentina kenapa tak menang dua perlawanan pertama Copa America, padahal main tempat sendiri, u pergi tanya pemain terbaik dunia Lionel Messi kenapa dia tak perform dengan Argentina..u all boleh cakap saya sepatutnya turunkan Ashaari, Shakir, saya dengar itu semua, tapi belum tiba masa. bukan saya tak percaya dengan pemain-pemain saya, kalau tak percaya saya takkan panggil mereka ke national camp, tapi mereka belum layak..”. – Datuk K.Rajagobal.

Sharbini ditemuramah wartawan Utusan, Felzalfie Fauzi
Dalam pada itu, dua pemain, Aidil Zafuan Abdul Razak (pertahanan), dan Norshahrul Idlan Talaha (penyerang) sah tersisih daripada senarai terakhir pemain untuk menentang Liverpool petang esok, bermakna posisi Aidil akan diisi Muslim Ahmad, manakala Fakri Saarani akan mengambil alih posisi Norshahrul.

Posisi penjaga gol pula hampir pasti diisi penjaga gol Terengganu, Sharbini Allawee Ramli.

Belang sebenar

16 Julai 2011


pix_gal0
Safiq janji Harimau Malaya turun dengan corak sebenar demi tebus maruah

"KAMI menjanjikan pe­­rubahan ketara apabila bertemu Liverpool esok (hari ini). Ketika menentang Arsenal, itu bukan pasukan kebangsaan sebenar. Harimau Malaya akan menunjukkan belang sebenarnya!"
Itu janji kapten negara, Safiq Rahim menjelang perlawanan persahabatan menentang Liverpool di Stadium Nasional Bukit Jalil petang ini yang menjadi ujian terakhir buat Datuk K Rajagobal menjelang perlawanan lebih penting pusingan kedua kelayakan Piala Dunia bertemu Singapura, 23 dan 28 Julai.

Penting bagi kami memenangi sebarang perlawanan tetapi untuk pertemuan dengan Liverpool ini, saya turut disuntik semangat mahu mengecewakan musuh ketat pasukan pujaan saya, Manchester United Safiq Rahim Ketua pasukan Malaysia

Selepas kekalahan 4-0 di ta­ngan Arsenal Rabu lalu, anak buah Rajagobal kini kembali bersemangat untuk mene­bus maruah walaupun keputusan perlawanan dengan kelab Inggeris itu tidak membawa sebarang makna.

“Ia mungkin sekadar perlawanan pertunjukan, tetapi bagi saya dan rakan, kami mengambil serius perlawanan ini,” kata Safiq yang menyumbang dua gol ketika perlawanan pusingan pertama menentang Taiwan.

“Penting bagi kami memenangi sebarang perlawanan tetapi untuk pertemuan dengan Liverpool ini, saya turut disuntik semangat mahu mengecewakan musuh ketat pasukan pujaan saya, Manchester United.”

Walaupun beraksi bagai pasukan pelawat ketika ditewaskan mudah Arsenal Rabu lalu, Safiq dan rakan sepasukan bertekad mahu memperbaiki kesilapan dan kelemahan pada aksi petang ini, sekali gus memikat kembali sokongan padu terhadap skuad Harimau Malaya. 
“Kami tewas kerana kesilapan mudah,” kata Safiq. “Itu bukan permainan sebenar kami kerana keempat-empat gol adalah kerana kecuaian pemain. Itu yang membuatkan kami cukup kecewa.

“Tetapi kekecewaan itu sudah kami lupakan dan tumpuan kini ialah menebus kesilapan itu. Perlawanan ini bukan saja pen­ting untuk mengembalikan keyakinan kami, tetapi sebagai batu loncatan berdepan Singapura nanti.” 






Pertahanan negara perlu lebih peka

16 Julai 2011


TUMPUAN sekali lagi akan terarah kepada barisan pertahanan Harimau Malaya apabila turun menentang sebuah lagi kelab Liga Perdana Inggeris, Liverpool pada aksi persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil, petang ini.
Mereka tidak boleh lagi melepaskan jumlah jaringan yang besar seperti tewas kepada Arsenal 0-4, Rabu lalu dan sebaliknya perlu bangkit mempamerkan aksi mantap untuk mendapatkan semula keyakinan menjelang aksi penting menentang Singapura pada 23 Julai ini.

Apatah lagi gawang Harimau Malaya sudah digegarkan dengan lapan gol dalam tiga perlawanan terakhir selain memberikan empat sepakan penalti.
“Kami perlu mempamerkan sesuatu yang positif pada perlawanan ini untuk sekurang-kurangnya mengembalikan maruah skuad negara.

“Beraksi di tahap tinggi seperti ini, barisan pertahanan sentiasa perlu berwaspada dan tidak boleh memberikan ruang yang terlalu banyak untuk Liverpool mengatur dan menguasai perlawanan. Kami memang mengharapkan keputusan baik kali ini,” kata ertahanan tengah negara, Mohd Muslim Ahmad.

Tonggak pertahanan skuad Olimpik negara itu berkemungkinan besar akan kembali bergandingan dengan Mohd Fadhli Shas selepas ketiadaan Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak (gambar) yang cedera buku lali ketika menentang Arsenal.
Sementara itu, pemain sayap kiri Harimau Malaya, S Kunanlan turut bersedia mempamerkan larian pantasnya sekali lagi selepas beberapa kali berjaya melepasi pertahanan Arsenal.


‘Sokonglah Malaysia’

16 Julai 2011


GIGIH...Muhd Muslim Ahmad menjalani  latihan  di Stadium Nasional, semalam.
GIGIH...Muhd Muslim Ahmad menjalani latihan di Stadium Nasional, semalam.
KETUA jurulatih negara, Datuk K Rajagobal menggesa peminat tempatan mempamerkan semangat patriotik apabila hadir menyaksikan perlawanan persahabatan Harimau Malaya menentang Liverpool petang ini.
Pengendali yang menjulang Piala AFF 2010 dan pingat emas Sukan Sea 2009 itu jelas kurang senang dengan suasana ‘Gelombang Merah’ yang memenuhi Stadium Nasional Bukit Jalil ketika menentang Arsenal pada Rabu lalu.

“Saya mengharapkan mereka akan lebih patriotik kali ini. Saya menasihatkan mereka untuk memakai jersi biru (jersi kedua Malaysia) namun saya tidak melarang mereka untuk menyokong kelab luar.
“Saya tidak faham dalam keadaan genting seperti ini kenapa mereka tidak menyokong skuad negara. Mereka perlu berfikir dengan bijak untuk membandingkan pasukan mana yang lebih penting untuk disokong,” katanya.

Tambahnya ia mungkin memberi impak positif untuk pemain negara bangkit memberikan tentangan kepada lawan, malah pemain luar (Arsenal) memuji aksi pemain negara yang menggambarkan permainan Malaysia bagus pada separuh masa pertama.

“Gol mudah dan sepakan penalti pada peringkat awal mengubah permainan. Peminat perlu faham Malaysia adalah negara mereka namun bukan semuanya bersikap seperti itu kerana ia membabitkan sebahagian peminat saja,” katanya.
Rajagobal menggalas tugas berat petang ini untuk mengembalikan semula rentak sebenar permainan Harimau Malaya selepas aksi hambar menentang Arsenal sehingga diaib dengan kekalahan 4-0.

Beliau dijangka membuat beberapa perubahan dalam kesebelasan utama terutamanya bagi menggantikan pemain pertahanan, Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak dan penyerang berbisanya, Norshahrul Idlan Talaha.

Antara yang mungkin mendapat kepercayaan untuk berada dalam kesebelasan utama adalah gandingkan penyerang Ahmad Fakri Saarani dan Abdul Hadi Yahaya selain memasukkan pemain sayap kanan, Baddrol Bakhtiar serta Mohd Muslim Ahmad menggantikan Mohd Aidil Zafuan.

Mohd Safee Sali pula berkemungkinan turun sebagai pemain gantian kerana Rajagobal pastinya tidak mahu kehilangan penyerang Pelita Jaya itu selepas kecederaan hamstring Norshahrul masih tidak menentu.

“Saya masih mempunyai Izzaq Faris Ramlan yang baru dipanggil bagi membantu jentera serangan selain Ismail Faruqi. Sekiranya diturunkan ini adalah peluang untuk kedua-duanya membuktikan sesuatu bagi diserap dalam skuad ke Singapura,” katanya.

Ayuh! Sokong Harimau Malaya

16 Julai 2011

SAFEE Sali (kanan) mengetuai latihan skuad negara di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam. - utusan/AHMAD ZAKKI JILAN



KUALA LUMPUR - Jurulatih skuad kebangsaan, Datuk K. Rajagobal mengharapkan 'pemain ke-12' mampu membantunya pada aksi persahabatan menentang pasukan Liga Perdana England (EPL), Liverpool di Stadium Nasional, Bukit Jalil, hari ini.

Menurut Rajagobal, pada masa yang sangat genting ini penyokong-penyokong harus memainkan peranan untuk memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada skuad Harimau Malaya.

"Saya tidak faham mengapa dalam keadaan seperti ini sebahagian daripada mereka tidak memberi sokongan kepada skuad kebangsaan, mereka harus bertindak bijak tidak boleh membandingkan antara Malaysia dan pasukan EPL," katanya ketika ditemui media selepas latihan skuad kebangsaan di Stadium Nasional, semalam.

Jelas beliau, sokongan padu penyokong tempatan setidak-tidaknya mampu untuk memberikan kesan positif kepada pemain Malaysia, malah ada di antara orang luar yang memuji aksi skuad kebangsaan.

"Kita lihat komen yang diberikan oleh pemain Arsenal, Bacary Sagna sebelum ini apabila dia memuji skuad kebangsaan yang sukar untuk dibolosi pada separuh masa pertama. Cuma sepakan penalti yang sedikit mengubah rentak permainan negara.

"Saya harap semua penyokong tempatan faham walau macam mana sekali pun Malaysia tetap negara mereka, saya tidak cakap semua penyokong seperti itu hanya sebahagian daripada mereka sahaja," katanya.

Rajagobal merayu bahawa hanya untuk satu hari ini sahaja penyokong setia Liverpool di Malaysia perlu memberi sokongan kepada skuad kebangsaan dan memakai jersi kedua kebangsaan berwarna biru.

Dalam perkembangan sama, Rajagobal berkata, beliau amat gembira dengan perkembangan Safee Sali yang semakin pulih dari kecederaannya dan harap pemain itu sembuh 100 peratus menjelang pertemuan dengan Singapura dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2014 pusingan kedua 23 dan 28 Julai ini.

"Saya gembira dengan perkembangannya, bagaimanapun ia masih menjadi tanda tanya sama ada dia akan diturunkan esok (hari ini), kerana semua orang sedar masalah Malaysia sekarang ini adalah di bahagian serangan.

"Kita kena cuba sekarang ini membina kekuatan di bahagian tersebut melalui pemain tengah, saya harap semua faham dengan keadaan ini," katanya yang besar kemungkinan akan menggandingkan Abd. Hadi Yahya dan Ahmad Fakri Saarani di bahagian serangan menentang Liverpool hari ini.

Harimau Malaya tagih sokongan padu peminat

16 Julai 2011



BARISAN negara giat berlatih sebagai persediaan menentang Liverpool di Stadium Nasional, Bukit Jalil petang ini.


NADA kecewa disuarakan jurulatih skuad bola sepak kebangsaan, Datuk K. Rajagobal menjelang aksi persahabatan menentang Liverpool di Stadium Nasional, Bukit Jalil petang ini. Bukan kerana pengurus Liverpool, Kenny Dalglish sudah pulang awal ke England tetapi Rajagobal jelas berasa kecewa dengan sikap peminat yang hadir ketika Harimau Malaya tewas 0-4 kepada Arsenal, Rabu lalu.
“Saya tak faham apa yang mereka (peminat) mahu. Saya fikirkan mereka sudah cukup bijak. Mereka tak boleh samakan skuad kebangsaan dengan kelab Liga Perdana England. “Kita amat memerlukan sokongan peminat pada saat genting menghadapi pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2014 menentang Singapura. “Sebagai rakyat Malaysia dan menetap di Malaysia, bukan saya nak kata kita tak boleh sokong kelab Liga Perdana England.
“Tetapi kenapa tak boleh sehari sahaja datang ke stadium pakai jersi Malaysia? Saya harap esok (hari ini) ramai yang datang dengan jersi Malaysia, terutamanya warna biru,” kata Rajagobal ketika ditemui pada sesi latihan di Stadium Nasional petang semalam. Pada aksi bertemu Arsenal Rabu lalu, majoriti stadium dipenuhi peminat yang hadir dengan jersi merah dan tambah mengecewakan Rajagobal, anak-anak buahnya diejek setiap kali melakukan kesilapan.
“Bila Arsenal terlepas peluang, mereka tidak diejek tetapi bila kita buat silap, kena ejek. Mereka tak boleh nak banding pemain kita dengan pemain lawan. Arse- nal pun mampu tewaskan pasu- kan sehebat Barcelona. “Jadi saya sangat berharap warga Malaysia yang hadir ke stadium esok (hari ini) memberi sokongan padu kepada sku- ad negara sendiri,” tegas Raja- gobal.
Selepas sesi latihan petang semalam, Rajagobal mengesahkan dua pemainnya, Aidil Zafuan Radzak dan Norshahrul Idlan Talaha tidak dapat diturunkan akibat kecederaan buku lali dan hamstring. “Saya sudah panggil dua pengganti iaitu Ismail Faruqi Ashari dan Izzaq Faris Ramlan semalam (kelmarin) dan akan mencuba mereka. Jika memuaskan, mereka mungkin diselit untuk skuad ke Singapura,” ujarnya.

Khamis, 14 Julai 2011

'Harimau pantang undur'

15 Julai 2011


  PEMAIN Liverpool, Daniel Agger (kiri) melayan peminat  selepas sidang media sempena Liverpool Jelajah Asia 2011 di Kuala Lumpur, semalam.
PEMAIN Liverpool, Daniel Agger (kiri) melayan peminat selepas sidang media sempena Liverpool Jelajah Asia 2011 di Kuala Lumpur, semalam.
Safiq tekad pimpin rakan sekat jentera Liverpool cari keputusan terpuji 

KAPTEN Harimau Malaya, Safiq Rahim akur moral pemain negara sudah luntur selepas kekalahan 4-0 kepada Arsenal kelmarin, tetapi yakin ia akan kembali memuncak sebaik latihan bersambung, semalam.
“Kami tewas kerana membiarkan lawan menjaringkan gol-gol mudah dan ia sedikit sebanyak melunturkan semangat kami,” kata Safiq yang ditemui sebelum


“Bagaimanapun ia hanya bersifat sementara kerana kami perlu bangkit melunaskan misi lebih penting pada perlawanan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia menentang Singapura 23 dan 28 Julai nanti. 

“Mungkin kami terlalu memandang tinggi kelab besar seperti Arsenal dan Liverpool sehingga permainan kami agak kelam-kabut, tetapi saya percaya kelemahan itu akan diatasi. 

“Saya yakin corak permainan lebih baik akan dipamerkan skuad kebangsaan pada perlawanan menentang Liverpool selepas ini sebagai persiapan terakhir kami sebelum ke Singapura.” 

Dia menambah pada peringkat ini, pasukan negara harus lebih fokus jika mahu melangkah lebih jauh pada saingan kelayakan ini. 
“Pengalaman bertemu Arsenal dan Liverpool amat bermakna untuk dijadikan bekalan pada perlawanan sebenar nanti,” katanya. 

Pemain negara dipuji

15 Julai 2011


BARISAN bintang Arsenal tetap memberikan pujian kepada pemain negara pada aksi persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam kelmarin walaupun menewaskan Harimau Malaya dengan jumlah jaringan besar.
The Gunners meledak empat gol tanpa balas pada perlawanan pertama Jelajah Asia 2011 menerusi sepakan penalti Aaron Ramsey serta Theo Walcott pada babak pertama sebelum menambah dua lagi gol pada separuh masa kedua menerusi Carlos Vela dan Tomas Rosicky.

“Malaysia turut mempunyai peluang, begitu juga kami. Ini perlawanan pertama kami di luar, lawan menjadikan ia sukar buat kami terutama pada separuh masa pertama kerana kami keletihan,” kata pertahanan kanan, Bacary Sagna.
Menurutnya, aksi terbabit adalah peluang terbaik buat mereka untuk mengharungi musim baru di Liga Perdana Inggeris pada bulan depan dan bagi Malaysia, ia akan membantu dari segi persiapan untuk mengharungi kelayakan Piala Dunia 2014. “Semoga Malaysia berjaya pada perlawanan itu (menentang Singapura),” kata pemain antarabangsa Perancis berusia 28 tahun itu.

Penjaga gol Arsenal, Wojciech Szczesny turut menganggap ia satu perlawanan menarik.

“Pemain Malaysia bermain baik, penonton terhibur namun paling penting kami berjaya realisasi impian kebanyakan penonton di stadium yang mahu kami menang. Mungkin pada peringkat awal kami diberikan tentangan namun Arsenal tetap Arsenal dan kami sentiasa menjadi pilihan,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...