Aidil Zafuan & Zaquan Adha

Keluarga Aidil Zafuan

Keluarga Zaquan Adha

LIKE jika suka :)

Ahad, 26 Jun 2011

'Kita miliki kekuatan'

27 Jun 2011


MEMBARA...skuad kebangsaan bakal menentang Taiwan di Bukit Jalil, Rabu ini.
MEMBARA...skuad kebangsaan bakal menentang Taiwan di Bukit Jalil, Rabu ini.
AURA kebangkitan yang disuntik dalam skuad kebangsaan berikutan kejayaan menamatkan kemarau kejuaraan bertahun-tahun lamanya di peringkat Asia Tenggara membuatkan penyerang berbisa, Mohd Safee Sali mula yakin skuad kendalian Datuk K Rajagobal mempunyai ramuan terbaik untuk menghadapi pusingan kelayakan Piala Dunia 2014.
Menurutnya, Malaysia, pasukan di ranking ke-143 dunia memiliki kemampuan untuk menundukkan dua lawan pusingan awal, Taiwan (160) dan Singapura (144) untuk memastikan tempat bersaing dalam peringkat kumpulan pusingan kelayakan itu.

“Secara realistik, saya yakin skuad kebangsaan boleh melepasi pusingan kedua dan bersaing dengan pasukan terbaik Asia. Mungkin selepas itu kita boleh buat kejutan kerana jika kita bermain dalam peringkat kumpulan, kita akan berusaha melakukan yang lebih baik.
“Saya harap skuad kebangsaan boleh melangkah sejauh yang boleh pada pusingan kelayakan ini,” katanya yang mencipta nama selaku penjaring terbanyak ketika membantu Malaysia menjulang Piala Suzuki AFF Disember lalu buat kali pertama sejak 1996.

Safee tiba di ibu negara minggu lalu selepas menamatkan saingan musim dengan kelab Pelita Jaya FC di Indonesia untuk menjalani latihan bersama skuad kebangsaan.

Dia antara sandaran utama Rajagobal untuk merobek gawang Taiwan pada perlawanan pertama pusingan pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, Rabu ini.
Jika Malaysia berjaya mengatasi Taiwan yang dibimbing Lo Chih-tsung selepas aksi timbal balik di gelanggang lawan Ahad ini, mereka bakal berdepan lawan yang sudah menanti, Singapura di pusingan kedua pada 23 dan 28 Julai bagi merebut tempat ke pusingan ketiga yang bakal membabitkan 20 pasukan.

Bagaimanapun, Safee sedar sifat terlalu yakin boleh memakan diri dan dia mahu memberi tumpuan sepenuhnya kepada perlawanan pertama menentang Taiwan bagi memastikan skuad kebangsaan mendapat bekalan selesa apabila bertandang di tempat lawan.

“Skuad kali ini nampak mempunyai kekuatan di bahagian serangan ini kerana kita kena menang pada perlawanan pertama dengan Taiwan untuk mendapat bekalan selesa bagi perlawanan kedua.
“Saya harap kami dapat mengekalkan prestasi seperti ketika menewaskan Myanmar (2-0) sebelum ini,” katanya.

Biarpun masih gagal meledak bersama skuad kebangsaan selepas Piala Suzuki AFF setakat ini, Safee tidak bimbang selagi dia mampu memberi sumbangan kepada kemenangan pasukan.

“Saya tak risau sama ada saya jaringkan gol atau tidak, asalkan pasukan menang. Tapi saya sebenarnya tetap yakin dengan diri sendiri, pada masa akan datang saya akan menjaringkan gol,” katanya yang menjadi penjaring utama buat Pelita Jaya kembali bangkit dalam saingan selepas menduduki tangga tercorot Liga Super Indonesia.

Selain Safee, Rajagobal turut memiliki rangkaian penyerang terdiri daripada, Norshahrul Idlan Talaha, Ahmad Fakri Saarani, Shahrizal Saad dan Abdul Hadi Yahya.

Kemenangan selesa penting untuk Malaysia ketika menentang Taiwan - Ahmad Shabery

26 Jun 2011

MELAKA, (Bernama) - Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata beliau yakin skuad bola sepak negara mampu mencatat kemenangan ketika menentang Taiwan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Rabu ini.

Beliau berkata kemenangan selesa adalah penting buat skuad bola sepak negara di bawah bimbingan Datuk K.Rajagobal, sebagai "bekal" ketika bermain di Taiwan kelak.

"Saya percaya anak buah Rajagobal sudah membuat segala persiapan, pemain terbaik kita sudahpun berada di sini, bersama bakat-bakat baru," katanya kepada pemberita selepas bermain futsal pada perlawanan persahabatan antara Kementerian Belia dan Sukan dengan Kelab Media Massa Melaka serta Majlis Gabungan Belia Malaysia Melaka di Ayer Keroh hari ini.

Sehubungan itu, Ahmad Shabery meminta orang ramai memenuhi stadium bagi menyokong pasukan Malaysia pada perlawanan kelayakan Piala Dunia tersebut.

Herbalife taja lima atlet negara

26 Jun 2011


Image © D5 
(Dari kiri) Perenang Khoo Cai Lin, pemain skuasy Low Wee Wern, pemain bola sepak Mohd Zaquan Adha Abdul Razak dan atlet berbasikal Azizulhasni Awang bergambar ketika majlis pengumuman duta Herbalife.

KUALA LUMPUR, (D5) - Syarikat pemakanan nutrisi, Herbalife mengumumkan penajaan terhadap lima personaliti sukan terkenal dalam satu majlis yang diadakan di Plaza See Hoy Chan di Kuala Lumpur, semalam.
Herbalife menjadi penaja rasmi produk pemakanan untuk pelumba nombor satu Malaysia, Azizulhasni Awang, pemain skuasy Low Wee Wern, perenang Khoo Cai Lin dan pasangan kembar pemain bola sepak tempatan, Mohd Aidil Zafuan dan Mohd Zaquan Adha Abdul Razak.
Semua atlet kecuali pasangan kembar akan memakai lencana Herbalife pada pakaian sukan mereka dan bersedia untuk membuat kemunculan dalam pelbagai promosi Herbalife.
Azizulhasni yang akan berlepas ke Melbourne bulan depan bagi meneruskan latihan beliau, melahirkan kegembiraan dengan pelantikan tersebut.
"Selepas ditawarkan untuk menjadi duta pada awal tahun ini, saya membuat sedikit penyelidikan mengenai produk dan syarikat. Saya kagum apabila mendapat tahu bahawa Lionel Messi turut menggunakan Herbalife," kata Azizulhasni.
"Atlet seharusnya memahami kepentingan mengenai makanan tambahan, jadi saya merebut peluang ini untuk menjadi sebahagian daripada Herbalife."
Menurut Naib Presiden dan Pengarah Urusan Herbalife Asia Tenggara, Dato 'Dr Ronie Tan, atlet bakal melibatkan diri dalam beberapa usaha kebajikan yang dijalankan oleh syarikat.
"Herbalife akan menganjurkan lelongan amal di mana setiap daripada mereka akan meletakkan peralatan sukan mereka untuk dilelong. Hasil daripada lelongan itu akan disampaikan kepada badan amal Yayasan Keluarga Herbalife," kata Ronie.
"Kami juga sedang mengkaji untuk mengenengahkan beberapa nama lain, tetapi ia masih dalam peringkat rundingan. Calon yang disebut-sebut ialah Safee Sali," tambahnya.
Herbalife kini menaja 100 atlet bertaraf dunia, pasukan dan pelbagai acara di seluruh dunia, mencerminkan komitmen syarikat kepada kecemerlangan gaya hidup, kesihatan dan aktif.

Persaingan makin sengit

26 Jun 2011


GIGIH...Rajagobal kendalikan sesi latihan di Wisma FAM, minggu lalu.
GIGIH...Rajagobal kendalikan sesi latihan di Wisma FAM, minggu lalu.
AYAM TAMBATAN...kepulangan Safee perkuatkan jentera serangan skuad kebangsaan hadapi Taiwan.
AYAM TAMBATAN...kepulangan Safee perkuatkan jentera serangan skuad kebangsaan hadapi Taiwan.
SEPERTI diramal, persaingan merebut tempat dalam kesebelasan utama Harimau Malaya kini benar-benar sengit apabila terdapat ramai pemain sudah mempamerkan kemampuan mereka untuk menggalas tugas menyarung jersi negara di pentas antarabangsa.

Kesungguhan anak buah ketua jurulatih negara, Datuk K Rajagobal itu sudah terbukti apabila masih belum tewas dalam sebarang perlawanan persahabatan yang diharungi sejak awal tahun ini walaupun membariskan sejumlah pemain baru yang pertama kali diturunkan di peringkat antarabangsa.

Hakikat itu diakui kapten skuad negara, Mohd Safiq Rahim yang turut melihat situasi ini bakal melonjakkan Harimau Malaya untuk terus mempamerkan peningkatan di pentas yang lebih tinggi.

“Apa yang pasti setiap pemain akan memberikan yang terbaik untuk mendapatkan kepercayaan jurulatih.

“Kami akan bersaing secara sihat kerana posisi dan kedudukan setiap pemain dalam pasukan termasuk saya masih belum terjamin sepenuhnya,” kata pemain tengah Selangor berusia 24 tahun itu.

Rajagobal pastinya amat teliti untuk memilih pemain pada saingan kompetitif pertamanya selepas kemenangan di rantau Asia Tenggara, Piala AFF, penghujung tahun lalu dengan Taiwan menjadi lawan pada pusingan pertama kelayakan Piala Dunia 2014 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Rabu ini.

Gawang negara hampir pasti menjadi milik kapten skuad Olimpik, Khairul Fahmi Che Mat namun barisan pertahanan mungkin memeningkan kepala pengendali berusia 55 tahun itu apabila terdapat sejumlah pemain yang mampu beraksi dengan baik di barisan pertahanan seperti Mohd Muslim Ahmad, Mohd Fadhli Shas, Mahali Jasuli, Mohd Asraruddin Putra Omar, Helmi Remeli, Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak, Mohd Azmi Muslim, Mohd Farisham Ismail dan Mohd Rizal Fahmi Abdul Rosid.

Rajagobal boleh membuat pilihan untuk menyenaraikan muka baru ataupun terus bergantung harap kepada benteng pertahanan muda sebelum ini diketuai Mohd Muslim, Mohd Fadhli, Mahali dan Mohd Asraruddin.

Mohd Safiq pula hampir pasti mengemudi jentera tengah bersama Amar Rohidan namun Rajagobal juga mempunyai pilihan dengan kehadiran perancang tengah Kelantan, Mohd Shakir Saari yang mempamerkan kematangan ketika membantu Harimau Malaya menewaskan Myanmar minggu lalu selain kehadiran perancang skuad Olimpik, K Gurusamy.


Manakala percaturan bahagian sayap paling menarik dengan lima pemain mampu beraksi iaitu Mohd Amirulhadi Zainal, S Kunalan, Baddrol Bakhtiar, Mohd Ashaari Samsuddin dan S Chanturu sekiranya mampu pulih daripada kecederaan dalam masa terdekat.

Jentera serangan pula hampir pasti diketuai penyerang Pelita Jaya FC, Mohd Safee Sali tapi gandingannya belum diketahui berikutan kecederaan dialami Norshahrul Idlan Talaha namun penyerang Kelantan itu dilapor semakin cergas serta berkemungkinan besar dapat beraksi menentang Taiwan.

Rajagobal bagaimanapun masih memiliki Abdul Hadi Yahya untuk bergandingan bersama Safee selain Mohd Ashaari dan Baddrol yang turut mampu beraksi di jentera serangan namun yang pasti pemain yang mampu beraksi di beberapa posisi yang berlainan pasti mendapat peluang untuk kelayakan Piala Dunia 2014 ini, bergantung kepada percaturan ‘King Raja’.

Mohd Safiq berkata, kejayaan anak buah jurulatih Ong Kim Swee yang layak ke peringkat kumpulan kelayakan Sukan Olimpik 2012 membakar semangat seluruh pasukan untuk membuktikan mereka juga boleh mencipta kejayaan walaupun bersaing dalam dua pentas berbeza.

“Saya harap pemain Olimpik yang dipanggil menyertai skuad negara dapat mengekalkan semangat juang tinggi seperti dipamer semasa menyingkirkan Lubnan,” katanya.

Jumaat, 24 Jun 2011

Aidil Akur Tidak Mudah Cabar Posisi Muslim, Fadhli

24 Jun 2011


Tamat sudah aksi kelayakan Olimpik, kini tumpuan terarah pula kepada persiapan skuad senior negara menjelang saingan getir Kelayakan Piala Dunia pusingan pertama menentang Taiwan 29 Jun depan.

Persepsi awal, aksi pusingan pertama, mungkin tidaklah sesukar mana apatah lagi Taiwan, pasukan di ranking ke-160 dunia dilihat bukanlah lawan yang mampu menghadirkan saingan hebat kepada Malaysia, yang masih lagi belum tewas sepanjang musim 2011 selepas menjuarai Piala AFF Suzuki hujung tahun lalu. 

Namun, bagi tonggak pertahanan negara, Aidil Zafuan Abdul Razak, tanggapan sedemikian adalah salah. Aidil berpendapat skuad negara, tidak boleh memandang enteng cabaran Taiwan, memandangkan kekuatan mahupun kelemahan pasukan lawan tidak begitu diketahui, dan status sebagai pasukan kerdil itulah sebenarnya kelebihan buat Taiwan.

“kita tak pernah jumpa Taiwan, tak tahu kekuatan, tapi saya yakin coach Datuk Raja sudah mengkaji strategi dan taktikal lawan, dan akan menentukan formasi serta gameplan yg sesuai, kita akan stick to arahan coach, yg penting kena kekalkan performance supaya dapat bawa bekalan selesa..”. – Aidil Zafuan Abd. Razak.

Aidil yang mengalami kecederaan ringan ketika perlawanan persahabatan menentang Myanmar di Kota Bharu 18 Jun lalu, berkata kecederaannya sudah hampir pulih (luka sudah kering) dan sudahpun mula menjalani latihan ringan sejak beberapa hari lalu, dan menjangkakan jahitan akan dibuka dalam tempoh terdekat.

Menariknya, ketika Malaysia tewas kepada Bahrain (agg 1-4) pada aksi pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia 2010, Aidil adalah salah seorang pemain yang beraksi pada perlawanan di Shah Alam, yang berkesudahan 0-0, di mana dia dilayangkan kad merah kerana mengasari Mahmood Abdul Rahman.

Justeru, perlawanan menentang Taiwan pada Rabu dan 3 Julai depan, pastinya mempunyai makna besar dalam karier Aidil, dan mahu dimanfaatkan sebaiknya pemain Negeri Sembilan ini - menjadi sebahagian daripada tonggak yang memacu kemaraan ke pusingan seterusnya, menentang Singapura yang sudah sedia menanti.

Apapun, Aidil sedar dia bukan pilihan automatik untuk mengisi kesebelasan utama Rajagobal, apatah lagi sejak mengalami kecederaan ACL pada final Piala Malaysia menentang Kelantan tahun lalu, pemain berusia 24 tahun ini tidak beraksi di mana-mana kejohanan kompetitif peringkat antarabangsa – tersisih dari skuad Piala Asia, Piala AFF Suzuki, dan hanya kembali ke skuad kebangsaan sejak 2 bulan lalu.

Dengan gandingan bidan terjun Piala AFF, Muslim Ahmad dan Fadhli Shas beraksi cemerlang bersama skuad Olimpik, dan kehadiran tonggak Kelantan Farisham Ismail dan Rizal Fahmi Rosid, Aidil juga perlu bersaing dengan bek kental Perak, Hisyamudin Shaari untuk merebut kembali posisi pertahanan tengah.

“saya tersisih lama, AFF pun tak main, tapi takde masalah, peringkat awal memang persefahaman kami agak terjejas, tapi sekarang dah start pick up, kita training brsama, ada frenly game sume..so, sepatutnya takda masalah, cuma saya kena bekerja keraslah nak yakinkan coach, tengok semua tengah form, saya tahu bukan senang nak ada dalam first eleven..”. 

Khamis, 23 Jun 2011

Azizulhasni elak trauma di Shenzen

24 Jun 2011


Khoo Chai Lin (kiri), Low Wee Wern, Mohd. Zaquan Adha dan Azizulhasni Awang pada majlis pelantikan mereka sebagai duta produk kesihatan, Herbalife di Kuala Lumpur, semalam.



KUALA LUMPUR - Enam bulan selepas terlibat dalam kemalangan ngeri yang menyaksikan serpihan kayu tertusuk di betis kirinya, jaguh basikal trek negara, Azizulhasni Awang berdoa, kepulangan semula ke trek buat kali pertama, Ogos ini tidak akan mencetus perasaan trauma.

Pelumba muda yang sinonim dengan jolokan The Pocketrocketman itu bakal menjejakkan kaki ke trek lumba buat kali pertama sejak mengalami kemalangan pada Piala Dunia Klasik di Manchester, Februari lalu dengan bertanding pada Sukan Universiti Dunia (Universiade) di Shenzen, China dari 12- 23 Ogos ini.

Azizulhasni, 23, menjelaskan, dia tidak pernah terfikir tentang perasaan trauma hendak berlumba kerana semangatnya untuk kembali beraksi terlalu berkobar-kobar selepas lebih enam bulan berehat, namun pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu mengakui, keadaan mungkin berbeza apabila dia benar-benar menjejakkan kaki ke trek.

"Saya tidak pernah terfikir tentang trauma atau takut hendak kembali berlumba kerana yang bermain di fikiran saya sekarang cuma perasaan tidak sabar dan berkobar-kobar mahu beraksi, sudah terlalu lama saya tidak berlumba.

"Bagaimanapun saya tidak tahu apakah yang akan saya rasai apabila kembali ke trek buat kali pertama nanti, selepas kemalangan di Manchester, saya tidak pernah langsung turun ke trek. Harap, saya tidak akan trauma,'' ujar Azizulhasni ketika ditemui pada sidang akhbar sempena pelantikannya sebagai duta produk suplemen, Herbalife semalam.

Menurut Azizulhasni, biarpun sudah kembali berkayuh sejak kemalangan di Manchester, namun dia hanya berlatih bersama pelumba lebuh raya negara di bawah bimbingan jurulatih, Graham Seers dan tidak pernah berkayuh di atas trek, apatah lagi dalam perlumbaan.

Katanya lagi, dia juga masih menjalani rawatan pemulihan dan fisioterapi di bawah pemantauan Institut Sukan Negara (ISN), malah belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan, namun dia sudah tidak merasa sakit dan sedia untuk membawa cabaran pada temasya Universiade.

Selepas mendapat lampu hijau untuk kembali berlumba, sasarannya di China bukan pingat atau rekod tetapi sekadar mengukur sejauh mana tahap prestasi selepas enam bulan berehat, sebelum menyiapkan diri untuk menghadapi cabaran lebih besar dengan kelayakan Sukan Olimpik 2012 akan memulakan kempen, Oktober ini.

"Saya akan beraksi dalam empat Piala Dunia Klasik, Kejohanan Berbasikal Asia dan Kejohanan Dunia sebelum Sukan Olimpik. Saya tidak menetapkan sebarang sasaran di Universiade kerana ia hanya medan untuk mengukur keupayaan saya dan kembali mendapat rentak kayuhan,'' katanya lagi, yang juga belum pasti apakah acara yang akan disertai di China nanti.

Azizulhasni akan kembali ke Melbourne, bulan depan untuk kembali berlatih bersama jurulatih, John Beasley dan rakan-rakan berbasikal trek yang lain.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Aziziulhasni antara lima atlet kebangsaan yang dilantik menjadi duta Herbalife bersama bintang bola sepak kebangsaan, Mohd. Aidil Zafuan Abdul Razak dan Mohd. Zaquan Adha Abdul Razak, ratu renang, Khoo Cai Lin serta bintang muda skuasy, Low Wee Wern.

Mereka diperkenalkan secara rasmi oleh Naib Presiden dan Pengarah Urusan Herbalife Malaysia, Singapura dan Brunei, Datuk Ronie Tan di ibu negara semalam.

Kata Azizulhasni, menyedari betapa pentingnya pengambilan suplemen untuk atlet, dia tidak teragak-agak menyambar peluang sebaik ditawarkan oleh Herbalife menjadi duta produk mereka.

Pandangan yang sama turut diberikan oleh Zaquan, Cai Lin Dan Wee Wern, yang berharap pengambilan suplemen berkualiti Herbalife mampu membantu mereka meningkatkan prestasi dan bersaing di lapangan yang kompetitif.
"Buat masa ini kami mempunya lima atlet sebagai duta Herbalife tetapi dalam masa terdekat, kami mensasarkan sekurang-kurangnya melantik lapan hingga 10 atlet. Kami masih dalam proses rundingan dengan penyerang bola sepak kebangsaan Safee Sali.

"Selain membantu atlet kebangsaan yang sudah mempunyai nama, kami juga bekerjasama dengan persatuan sukan, terutama di peringkat negeri dengan menaja suplemen untuk atlet muda dari umur 12 hingga 16 tahun,'' jelas Ronie.

Selasa, 21 Jun 2011

Lawan skuad negara belum diketahui

21 Jun 2011

KUALA LUMPUR, (D5) - Peminat pasukan kebangsaan terpaksa menunggu sedikit masa lagi untuk mengetahui siapakah lawan yang bakal menguji Harimau Malaya yang dijadual dilangsungkan pada 24 Julai ini selepas empat pasukan yang diundangan, Maldives, Macau dan Laos menolak pelawaan FAM sementara Filipina membisu. 

Perlawanan ini dirangka sebagai persiapan skuad negara sebelum turun dalam kelayakan Piala Dunia bertemu Taiwan hujung bulan ini. 

"Saya masih lagi belum mendapat jawapan. Kalau tidak saya perlu melakukan sesuatu untuk mengatasi situasi ini apa yang terbaik untuk skuad kebangsaan," ujar Datuk K. Rajagobal di sesi latihan pasukan di Wisma FAM. 

Jika tiada pilihan, Rajagobal mungkin akan memilih untuk mengaturkan sebuah perlawanan dengan pasukan negara atau kelab sebagai medan terakhir sebelum bertemu Taiwan. 

Zaquan Adha : Kalau Ada Rezeki, Kenapa Tidak ..

21 Jun 2011


Penyerang sensasi tanah air, Zaquan Adha Abdul Razak berazam membuktikan dia tidak kehilangan sentuhan berbisanya, meskipun menghabiskan tempoh masa lama untuk merawat kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) berulang di lutut kanan.

Namanya mungkin tenggelam, malah seakan dilupakan terus peminat bolasepak tempatan, apatah lagi kelibat Zaquan yang membuat penampilan pertama selepas September 2010 pada Februari lalu, hanya dapat disaksikan 3 kali sahaja musim ini, sebelum kembali tersisih sejak 12 March lalu. 

Namun, di sebalik tahap keyakinan yang merudum, semangatnya tidak luntur, tetap membara dan Zaquan sedia menjadikan saingan Piala Malaysia yang dijangka bermula September depan, sebagai platform kembali mengegar arena bolasepak tempatan, seterusnya MEYAKINKAN BEBERAPA PASUKAN yang kini giat berusaha memancing khidmatnya.

“memang azam saya nak KEMBALI PERFORM macam dulu, tapi nak KEMBALIKAN TAHAP KEYAKINAN TU SUSAH, ia akan ambil masa, sebab selepas injury kali ni, saya TAKUT ia berulang lagi, tak nak la ia jadi balik, tapi saya TAK BOLEH LARI DARIPADA HAKIKAT, even doktor pun kata orang biasa pun boleh kena ACL, apatah lagi saya sebagai pemain. Memang kecewa bila ada orang pertikai kemampuan saya selepas ni, boleh lagi ke main, hebat lagi ke, tapi MENTAL SAYA KUAT, saya TAK PERNAH TERFIKIR NAK BERSARA AWAL, masih YAKIN DGN DIRI SENDIRI, saya akan BUKTIKAN..”. 

kredit foto : fanpage Zaquan Adha
 “saya bersyukur, walaupun tahun ni main 3 kali sahaja, masih ada pasukan yang berminat, ada BEBERAPA PASUKAN contact saya tak boleh dedahkan, tapi saya masih ada kontrak, so tak elok bercakap pasal perkara ini, saya kena buktikan dulu pada Negeri Sembilan, dan kepada MEREKA bahawa saya ni MASIH MACAM DULU, BELUM KEHILANGAN SENTUHAN, susah nak buktikan kalau tak main, dan Piala Malaysia sasaran saya..”, jelas Zaquan dengan penuh semangat.

Tatkala identiti pasukan yang cuba melamarnya cuba dirahsiakan, Zaquan berkata sebagai seorang pemain professional, dia bukanlah terlalu memilih dan sedia mempertimbang tawaran mana-mana pasukan, dan ini pula respon Zaquan ketika ditanya pandangannya mengenai finalis Piala FA, serta pendahulu Liga Super, Kelantan.

“bagi saya, as a professional, mana-mana team OK. Dan Kelantan, team itu sangat-sangat professional, amat bagus, pengurusan yang cukup teratur dan bagus. Memang ada juga yang suruh saya berhijrah ke sana, dan mereka juga PERNAH OFFER saya, nak kata minat, MEMANG SAYA BERMINAT, dan KALAU REZEKI saya di Kelantan,  WHY NOT .. rezeki kita tak tahu, itu cerita akan datang tapi buat masa ni, majikan saya PBNS, dan saya patuh pada kontrak..”.

Ahad, 19 Jun 2011

Photo Kembar


Aidil cedera, Raja resah

20 Jun 2011


WALAUPUN menang 2-0 ketika menentang Myanmar malam kelmarin, pengendali skuad Harimau Malaya, Datuk K Rajagobal berdepan dilema apabila pemain pertahanan, Mohd Aidil Zafuan mengalami kecederaan serius sehingga berkemungkinan terpaksa membuat percaturan lain ketika menentang Taiwan untuk saingan kelayakan Piala Dunia 2014, 29 Jun ini.
Rajagobal berkata, kecederaan serius Mohd Aidil mengambil masa lama untuk pulih sekali gus membayangkan dia tidak dapat menyertai kesebelasan utama Harimau Malaya menentang Taiwan.

“Jika Aidil tidak dapat diturunkan menentang Taiwan, saya terpaksa membuat percaturan lain,” katanya.
Bagaimanapun, menurut Rajagobal, dia tidak terlalu gusar kerana skuad Harimau Muda memiliki barisan pemain terbaik dan bersemangat tinggi.

Katanya, aksi memberangsangkan anak buahnya dibuktikan ketika menentang Myanmar.

“Walaupun hujan dan padang licin, keadaan itu tidak mematahkan semangat pemain untuk memberikan persembahan terbaik seperti dijanjikan, malah kemenangan dalam perlawanan persahabatan itu akan memberi keyakinan untuk perlawanan menentang Taiwan.
“Sebelum beraksi, kita dapat lihat pemain tidak mempunyai masalah untuk beraksi dan ini membuatkan mereka (pemain kebangsaan) tenang menghadapi tentangan lawan,” katanya.

Rajagobal turut memuji pemain baru seperti Mohd Shakir Shaari (pemain tengah), Mohd Farisham Ismail (pemain pertahan) dan Helmi Remeli (pemain pertahanan) yang menunjukkan satu persembahan mantap di posisi masing-masing.

“Kesemua pemain menunjukkan persembahan yang memberangsangkan terutama pemain baru seperti Mohd Shakir, Mohd Farisham dan Helmi yang berjaya menyesuaikan diri di dalam pasukan.

“Saya kagum dan puas hati dengan keupayaan serta komitmen mereka,” katanya.

Malaysia pamer petanda positif

20 Jun 2011


KEJAYAAN menumbangkan Myanmar 2-0 pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu malam kelmarin jelas satu petanda baik buat Malaysia bagi menghadapi Kelayakan Piala Dunia 2014.
Tanpa kelibat beberapa tonggak utama terutama penggempur berbisa, Norshahrul Idlan Talaha, barisan pemain negara masih mampu menampilkan rentak cemerlang.
Maka tidak menghairankan apabila jurulatih negara, Datuk K. Rajagobal mengamburkan pujian kepada anak-anak buahnya dilihat telah menunjukkan komitmen tinggi sepanjang perlawanan tersebut.
Biarpun beraksi di padang yang becak selain terpaksa berhadapan dengan corak agresif pihak lawan, Rajagobal berkata, barisan pemainnya cepat menyesuaikan diri dengan situasi tersebut.
"Sebelum perlawanan bermula, saya yakin mereka akan beraksi dengan baik. Hasilnya mereka telah beraksi dengan baik sepanjang perlawanan tersebut dan secara keseluruhannya, saya gembira dengan apa yang telah dibuktikan oleh para pemain.
"Saya akui perlawanan tersebut cukup penting buat saya untuk mencari kombinasi terbaik. Bukan senang buat saya untuk mencuba beberapa pemain baru yang hanya digandingkan dalam tempoh beberapa hari sahaja.
"Apa yang saya lihat pemain baru seperti Mohd. Farisham Ismail, Helmi Remeli dan Mohd. Shakir (Shaari) telah beraksi dengan baik," kata Rajagobal ketika sidang media sejurus tamat perlawanan tersebut.
Dalam masa yang sama, Rajagobal melahirkan kegusaran apabila tonggak pertahanan, Mohd. Aidil Zafuan Abdul Razak mengalami kecederaan serius selepas bertembung dengan pemain Myanmar pada perlawanan tersebut.
"Kecedearaan yang dialami oleh Aidil agak serius. Kita sememangnya memerlukan pemain pengalaman seperti dia.
"Begitupun, saya mempunyai banyak pilihan kerana beberapa pemain (skuad) Olimpik dan Mohd. Safee (Sali) bakal kembali perkuatkan skuad kita selepas ini," katanya.
Bagi jurulatih Myanmar, Milan Zibadinovic, dia menganggap faktor pengalaman menjadi pemisah antara kedua-dua pasukan.
"Malaysia berhak memenangi perlawanan ini kerana mereka beraksi dengan baik. Tahniah kepada kedua-dua pasukan kerana beraksi dengan baik, namun Malaysia sebenarnya bermain lebih baik daripada kami.
"Kekalahan ini merupakan sesuatu pengalaman berguna bagi pemain-pemain muda pasukan saya. Kami akan bangkit dan anda akan lihat dalam tempoh enam bulan lagi kami akan tampil lebih garang.
"Kami tetap mahu menang apabila bertemu Mongolia (dalam Kelayakan Piala Dunia 2014) penghujung bulan ini," katanya.
Dalam Kelayakan Piala Dunia 2014, Malaysia akan bertemu Taiwan pada pusingan pertama, 29 Jun ini di Kuala Lumpur sebelum bertandang ke gelanggang lawan pada 3 Julai.

Perlawanan Persahabatan: Malaysia Kalahkan Myanmar 2-0

19 Jun 2011


KOTA BARU: Skuad kebangsaan mengalahkan Myanmar 2-0 pada perlawanan persahabatan di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV di sini malam Sabtu.
Gol pertama Harimau Malaya dijaringkan oleh Mohd Amirulhadi Zainal pada minit ke-28 berikutan kesilapan pemain Myanmar tidak dapat menampan bola dengan kemas di depan pintu gol yang memudahkan Mohd Amirulhadi memasukkan bola ke dalam gol.
Malaysia terus menguasai permainan pada separuh masa kedua dan pada minit ke-55, Badrul Bakhtiar mencipta pula gol kedua Malaysia membolosi jangkauan penjaga gol Myanmar, Kyaw Zin Htet.
Pasukan kebangsaan terus menggasak namun beberapa percubaan melewati palang gol atau berjaya dihalang oleh penjaga gol Myanmar.
Hujan lebat sejak petang membataskan pergerakan pemain kedua-dua pasukan yang terpaksa bermain dalam keadaan berhati-hati dengan disaksikan kira-kira 10,000 penonton.
Barisan Pemain:
MALAYSIA: Mohd Sharbinie Allawee (K. Sasikumar), Baddrol Bakhtiar, Mohd Amirulhadi Zainal, Helmi Remeli (Yong Kuong Yong), Mohd Shakir Shaari (Amar Rohidan), S. Kunalan, Abdul Hadi Yahaya, Safiq Rahim (C), Mohamad Aidil Zafuan (Mohd Rizal Fahmi Abd Rosid), Mohd Rizal Fahmi Ab. Rosid, Mohd Asrarudddin Putra dan Mohd Farisham Ismail (Mohd Azmi Muslim).
MYANMAR: Kyaw Zin Htet, Min Ko Ko (Zaw Zaw Oo), Pai Soe, David Htan (Soe Myat Thu) (Mai Aih Naing), Kyaw Ko Ko, Kyi Lin, Yan Aung Kyaw (Naing Soe Wai), Zaw Ming Tun (C), Shwe Hlainh Win, Yan Aung Win dan Aung Hhein Kyaw (Min Min Thu).- BERNAMA

Aidil Akan Kembali Dalam 10 Hari, Hanya Cedera Kecil

19 Jun 2011


Pemain pertahanan serba boleh, Aidil Zafuan Abdul Razak, meminta penyokong tidak risau akan kecederaan dialaminya pada perlawanan persahabatan menentang Myanmar pada Sabtu.  

Aidil memaklumkan kecederaannya tidak begitu serius, hanya mengalami luka (OPEN WOUND) kerana terkena stud, hingga menyebabkan kulitnya terkoyak, dan dijangka tersisih antara 10-14 hari.

Perkara ini disahkan Jurulatih Negeri Sembilan, Azraai Khor Abdullah yang segera menghubungi Aidil awal pagi tadi.

Azraai berkata beliau lega apabila Aidil sendiri memaklumkan kecederaan itu tidak seserius dijangka apatah lagi daripada gambaran awal ia seolah kecederaan teruk, dengan luka yang menampakkan tulang, dan darah yang mengalir keluar tanpa henti.

“Alhamdulillah, nothing serious, saya bercakap dengan dia personally, dan dia minta don’t worry, hanya small OPEN WOUND. Fisio nasihatkan dia dibawa ke hospital utk x-ray, sebab khuatir ada keretakan so on, tapi Alhamdulillah nothing bad. Dia boleh kembali dalam seminggu dua, kita minta dia cepat sembuh, sebab dia pemain yg penting..”. – Azraai Khor Abdullah

Apapun, Azraai tidak pasti sama ada Aidil boleh diturunkan pada perlawanan terakhir liga menentang Perlis di Paroi, dan semuanya bergantung kepada secepat mana Aidil pulih daripada kecederaannya ini.

Sementara itu, cubaan SS untuk mendapatkan pandangan Ketua Jurulatih Skuad Kebangsaan, Datuk K.Rajagobal mengenai pengganti Aidil untuk perlawanan menentang Taiwan pada perlawanan kelayakan Piala Dunia, andai Aidil tidak sempat pulih tepat pada waktunya belum berhasil, selepas beberapa panggilan tidak berjawab. 

Malaysia akan menentang Taiwan dalam dua perlawanan pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia, pada 29 Jun dan 3 Julai depan, selain persiapan untuk beberapa perlawanan persahabatan selepas itu.

Sabtu, 18 Jun 2011

M'sia nyaris kenduri gol di Kota Bharu

19 Jun 2011


Image © D5 
Amirulhadi Zainal (kanan) menjaringkan gol pertama buat pasukan Malaysia ketika bertemu Myanmar di Kota Bharu. (gambar arkib)

KUALA LUMPUR, (D5) - Hanya penyudah tumpul menyaksikan Malaysia terlepas peluang menang besar ke atas Myanmar apabila menang 2-0 di Stadium Muhammad Ke-IV di Kota Bharu. 

Gol Malaysia dijaringkan setiap separuh masa menerusi Mohd Amirulhadi Zainal pada minit ke-27 dan Baddrol Bakhtiar (m54). 

Perlawanan dimulakan dengan keadaan padang yang becak sebelum perlawanan sehingga menjejaskan corak permainan kedua-dua pasukan. 

Pintu gol cemas seketika apabila kesilapan penjaga gol, Mohd Sharbinee Allawee tersilap mengagak hantaran lintang pada minit ke-9. 

Abdul Hadi Yahaya yang turun sebagai penyerang utama bagaimanapun sukar mencari ruang untuk mengancam kubu tuan rumah. 

Rakan gandingannya, Baddrol Bakhtiar lebih mencuri tumpuan dan sering dipertanggungjawab untuk memikul tugas mengambil sepakan percuma selepas lebih lima peluang terhidang di luar kotak penalti ekoran corak permainan agresif lawan. 

Pada minit ke-23, kegagalan Sharbinee membaca hantaran rendah dengan baik nyaris memakan diri dan mujur Helmi Remeli menyelamatkan keadaan.

Amirulhadi akhirnya memecah kebuntuan selepas berada di kedudukan tepat menyambut kesilapan pemain pertahanan lawan yang cuba mengeluarkan bola dalam kotak penalti. 

Rentak anak-anak buah Datuk K. Rajagobal lebih meyakinkan dan mendominasi sebahagian besar separuh masa kedua. 

Sembilan minit permainan bersambung Baddrol melakukan penyudah menarik selepas tidak dikawal untuk pintu gol Myanmar dibolosi buat kali kedua. 

Bagaimanapun tonggak Kedah itu terlepas dua peluang keemasan untuk melebarkan kedudukan apabila rembatannya (m65) tepat ke arah penjaga gol lawan dan berselang seminit kemudian tolakannya tidak menepati sasaran. 

Namun, corak permainan masih tetap meyakinkan dengan kesebelasan pemain banyak menggunakan segenap inci padang untuk mencipta gerakan baik dari kawasan tengah mahupun pemain sayap. 

Dalam pada itu, Aidil Zafuan terpaksa dikejarkan ke hospital dan tahap kecederaan kaki kirinya dilihat agak membimbangkan selepas berlaga dengan pemain lawan. 

Menurut Rajagobal yang ditemui sejurus permainan tamat, "Keseluruhannya saya nampak pemain seperti biasa memberi komitmen dalam situasi hujan dan padang becak. 

"Saya lihat kombinasi-kombinasi dan akan menilai persembahan pemain sebelum menyenaraikan nama-nama pemain. 

"Saya memang menjangkakanMyanmar bermain dengan laju dan agresif. Itu yang saya mahu tengok."

Jumaat, 17 Jun 2011

Jangan ambil mudah Myanmar - Shafiq

18 Jun 2011



timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia, Tan Sri Annuar Musa (tengah) bersama pasukan Harimau Malaya dan Myanmar selepas sesi bertemu peminat di Kota Bharu, semalam.



KOTA BHARU - Meskipun sekadar perlawanan pemanas badan, ketua pasukan kebangsaan, Shafiq Rahim mengingatkan rakan-rakannya supaya tidak mengambil mudah pertemuan menentang Myanmar di Stadium Sultan Muhammed IV di sini, malam ini.

Menurut Shafiq, perlawanan ini cukup penting buat pasukan Harimau Malaya dalam rangka persiapan menjelang pusingan kelayakan Piala Dunia dijadual pada 29 Jun ini di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

"Saya harap rakan sepasukan memberikan tumpuan dan fokus sepenuhnya pada pertemuan dengan Myanmar. Ia cukup penting sebagi persediaan sebelum bertemu dengan Taiwan nanti.

"Selain itu, saya berharap rakan-rakan sepasukan dapat mengekalkan momentum kebangkitan seperti yang telah ditunjukkan dalam perlawanan sebelum ini. Walaupun hanya sekadar persahabatan ia cukup penting buat kita untuk menilai kekuatan dan kelemahan pasukan sebelum pertemuan dengan Taiwan," katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis suai kenal pemain Harimau Malaya dan Myanmar serta sesi bertemu peminat di ruang legar pasar raya KB Mall, dekat sini.

Mengulas ketiadaan Norshahrul Idlan Tahala yang mengalami kecederaan, Shafiq memberitahu ia tidak menjejaskan persiapan pasukan negara.

"Bagi saya fikir kita tidak berdepan dengan masalah, kita ada pengganti yang boleh bermain di tempat Norshahrul iaitu Abdul Hadi Yahya. Saya yakin Hadi mampu menggalas tugas dengan baik sekiranya diberikan peluang," ujarnya.

Dalam pada itu, perancang tengah Red Giants ini berharap, penyokong setia The Red Warriorsdapat hadir beramai-ramai ke stadium untuk memberikan sokongan kepada pasukan negara pada perlawanan tersebut.

"Ini merupakan perlawanan pertama Harimau Malaya di luar Kuala Lumpur, jadi saya mahu rakan-rakan akan bagi yang terbaik dan saya juga berharap penyokong Kelantan dapat memberikan sokongan padu seperti yang diberikan kepada The Red Warriors setiap kali mereka beraksi di sini," ujarnya.

Sementara itu, tonggak pertahanan The Red Warriors, Mohd. Farisham Ismail mahu memberikan aksi terbaik pada penampilan pertamanya bersama skuad Harimau Malaya.

Menurutnya, sekiranya di turunkan pada perlawanan tersebut dia sudah bersiap sedia untuk menggalas tugas di posisi pertahanan.

"Ini peluang terbaik buat saya untuk membuktikan kemampuan dan membalas kepercayaan yang diberikan oleh ketua jurulatih," katanya.

Harimau Malaya tetap hormati Myanmar

18 Jun 2011

K. Rajagobal (kiri) memberi kata-kata semangat kepada pemain Malaysia pada sesi latihan di Kota Bharu, semalam menjelang perlawanan persahabatan menentang Myanmar malam ini.



KOTA BAHRU - Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Datuk K. Rajagobal tetap memandang serius perlawanan persahabatan menentang Myanmar di Stadium Sultan Muhammed IV, malam ini.

Menurut Rajagobal, perlawanan ini cukup penting buatnya mencari formula terbaik bagi membentuk sebuah pasukan yang mantap sebelum berdepan Taiwan pada pusingan kelayakan Piala Dunia di Stadium Nasional, Bukit Jalil 29 Jun ini.

"Ini adalah kesempatan terbaik untuk saya mencari kombinasi yang tepat ketika bertemu Taiwan nanti kerana kita mempunyai muka-muka baru dalam pasukan, selain lima pemain kita berdepan masalah kecederaan.

"Jadi, saya harap pemain dapat memberikan fokus dan menunjukkan semangat juang yang tinggi pada perlawanan ini sebagai persiapan berdepan Taiwan pada kelayakkan Piala Dunia," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis suai kenal pemain Harimau Malaya dan pasukan Myanmar serta sesi bertemu peminat di ruang legar pasar raya KB Mall, dekat sini, semalam.

Bekas pengendali Kelantan dan Selangor itu mengakui berdepan masalah di bahagian serangan untuk bertemu Myanmar kerana hanya mempunyai seorang penyerang iaitu Abdul Hadi Yahya.

"Norshahrul Idlan Talaha, Ahmad Fakhri Saarani, Shahrizal Saad mengalami kecederaan sementara Safee Sali masih bersama kelabnya Pelita Jaya FC.

''Saya harap Hadi dapat mengulangi sentuhannya seperti yang dilakukan dalam saingan Liga Super dan persahabatan dengan Hong Kong tempoh hari," ujarnya.

Jelasnya, situasi yang terpaksa dihadapinya kini cukup sukar namun, percaya masih mampu menurunkan barisan terbaik, selain formasi yang digunakan juga pastinya mampu memerangkap barisan muda Myanmar.

Sementara itu, jurulatih Myanmar, Milan Zibadinovic, mengakui Malaysia mempunyai kelebihan pada perlawanan tersebut dan hanya membariskan pemain muda untuk menentang pasukan negara.

"Malaysia mempunyai pasukan yang lebih baik. Saya membawa semua pemain berstatus Olimpik dan ia adalah suatu yang baik untuk mereka menerima pendedahan dan menjadi sebuah pasukan yang lebih baik dan kuat pada masa akan datang.

"Saya mengharapkan satu permainan yang baik malam esok (ini) dan kita akan sama-sama saksikannya," jelasnya.

'Jangan ambil mudah Myanmar'

18 Jun 2011



PEMAIN-PEMAIN negara bersalaman dengan jurulatih K. Rajagobal selepas selesai menjalani latihan ringan di Kota Bharu semalam.



BIARPUN perlawanan menentang Myanmar di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu malam ini sekadar aksi pemanas badan, ketua pasukan kebangsaan, Safiq Rahim mengingatkan rakan-rakannya supaya tidak mengambil mudah aksi persahabatan antarabangsa tersebut.
Menurutnya, perlawanan itu cukup penting buat pasukan Harimau Malaya dalam rangka persiapan menjelang pusingan kelayakan Piala Dunia yang dijadual berlangsung pada 29 Jun ini di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
"Saya harap rakan-rakan sepasukan dapat memberikan tumpuan dan fokus sepenuhnya pada pertemuan dengan Myanmar. Ia cukup penting sebagai persediaan sebelum bertemu dengan Taiwan nanti.
"Selain itu, saya berharap rakan-rakan sepasukan dapat mengekalkan momentum kebangkitan seperti yang telah ditunjukkan dalam perlawanan sebelum ini.
"Walaupun hanya sekadar persahabatan ia cukup penting buat kita untuk menilai kekuatan dan kelemahan pasukan," katanya.
Safiq berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Suaikenal Pemain Harimau Malaya dan pasukan Myanmar serta sesi bertemu peminat di ruang legar pasar raya KB Mall, Kota Bharu semalam.
Mengulas mengenai ketiadaan Norshahrul Idlan Tahala yang mengalami kecederaan hamstring serta beberapa lagi penyerang kebangsaan yang lain, Safiq memberitahu, ia tidak menjejaskan persiapan pasukan Harimau Malaya.
"Bagi saya, kita tidak berdepan dengan masalah kerana kita ada penganti. Abdul Hadi Yahya seorang pemain yang baik dan saya yakin dia mampu menggalas tugas dengan baik sekiranya diberikan peluang," ujarnya.
Dalam pada itu, perancang tengah pasukan The Red Giant ini berharap penyokong setia The Red War- riors dapat hadir beramai- ramai ke stadium untuk memberikan sokongan kepada kepada pasukan Harimau Malaya pada perla- wanan malam ini.
"Ini merupakan perlawanan pertama Harimau Malaya di luar Kuala Lumpur, jadi saya mahu rakan-rakan akan bagi yang terbaik dan saya juga berharap penyokong Kelantan dapat memberikan sokongan padu seperti yang diberikan kepada The Red Warriors setiap kali mereka beraksi di sini," tambahnya lagi.
Sementara itu, bagi pertahanan Kelantan, Farisham Ismail, dia begitu teruja sekiranya diberi peluang untuk membuat penampilan pertama bersama skuad kebangsaan di Stadium Sultan Muhammed Ke IV.
"Beraksi di stadium ini dengan jersi Kelantan dan Malaysia pastinya mempunyai perbezaan. Ini penampilan saya pertama bersama skuad kebangsaan dan sekiranya diturunkan ia pasti suatu yang sangat mengagumkan.
"Saya masih baru bersama pasukan ini (kebangsaan), banyak yang perlu dipelajari. Untuk turun beraksi malam esok saya sudah bersedia dan fokus serta kekuatan mental cukup penting dalam mengharungi perlawanan di pentas antarabangsa," jelasnya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...