Aidil Zafuan & Zaquan Adha

Keluarga Aidil Zafuan

Keluarga Zaquan Adha

LIKE jika suka :)

Ahad, 3 Julai 2011

Syabas! Kita ke pusingan kedua

04 Julai 2011

K. Rajagobal mendakap Aidil Zafuan Abd. Razak yang berjaya menjaringkan gol pertama skuad negara pada pertemuan kedua pusingan pertama kelayakan Piala Dunia 2014 menentang Taiwan di Taipei, malam tadi. Malaysia tewas 2-3 tetapi terikat 4-4 secara agregat yang melayakkan Harimau Malaya ke pusingan kedua berdasarkan peraturan kelebihan gol di tempat lawan

KUALA LUMPUR - Malaysia mara ke pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014 berdasarkan peraturan kelebihan gol di tempat lawan sekalipun tewas 2-3 kepada Taiwan, semalam.

Dengan agregat yang terikat 4-4, dua gol yang dijaringkan di Stadium Perbandaran Taipei sudah cukup untuk meletakkan skuad Harimau Malaya menempah pertemuan seterusnya dengan Singapura pada 23 Julai ini.

Anak-anak buah Datuk K. Rajagobal bakal menentang pasukan jiran di Singapura dalam aksi awal manakala perlawanan kedua dilangsungkan di Stadium Nasional Bukit Jalil, 28 Julai ini.

Perlawanan semalam, menyaksikan skuad senior kebangsaan tumpas buat pertama kali sejak menjuarai Piala Suzuki AFF pada tahun lalu.

Kekalahan itu wajar dijadikan satu pengajaran berguna buat barisan pemain Malaysia memandangkan lawan yang bakal mereka tentang selepas ini bukan calang-calang pasukan.

Ketika ditemu-ramah oleh Astro Arena, Rajagobal berkata, walaupun skuad kebangsaan berjaya ke pusingan kedua, namun, beliau masih tetap tidak berpuas terhadap persembahan yang dipamerkan anak-anak buahnya.

"Memang kita layak tetapi saya tidak berapa puas hati dengan persembahan mereka. Namun, bukan secara keseluruhan kerana ada masanya pemain kita bermain baik.

"Saya dapat lihat mereka mampu serang dengan baik tetapi masih banyak yang perlu diperbaiki" katanya.
Sementara itu, pengurus pasukan kebangsaan, Datuk Subahan Kamal pula memberitahu, kekurangan yang masih dimiliki oleh para pemain Malaysia ialah fizikal mereka.

"Fizikal juga amat penting kerana selain mental dan taktikal kita memerlukan kekuatan fizikal. Sebab itu, saya berasakan pendedahan bermain dengan pasukan gergasi seperti Arab Saudi, Bahrain dan Jordan diperlukan oleh skuad Malaysia," ujarnya.

Apa yang penting selepas ini, Rajagobal perlu segera mencari 'tonik' baru bagi memastikan pemain-pemain bimbingannya bersedia menghadapi cabaran Singapura.

Pertemuan kedua-dua negara jiran itu yang disifatkan sebagai pertembungan dua musuh tradisi sudah pasti menghidangkan satu perlawanan menarik yang menyaksikan kekuatan seimbang 50-50.

Singapura yang mendapat sentuhan jurulatih Serbia, Radojko Avramovic turut diperkuatkan dengan barisan 'awang import' yang diberi status kewarganegaraan.

Antara pemain tersebut ialah Goncalves dari Brazil, pemain kelahiran Croatia, Mirko Grabovac, Itimi Dickson dari Nigeria dan pemain Yugoslavia, Aleksandar Duric.

Kali terakhir Harimau Malaya bertemu Singapura pada 29 November 2008 di Stadium MPPJ, Kelana Jaya menerusi perlawanan persahabatan yang menyaksikan kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan 2-2.

Pada perlawanan semalam, skuad kebangsaan mendapat sepakan percuma apabila kapten, Safiq Rahim dijatuhkan dan pemain pertahanan Aidil Zafuan Abd. Razak tidak mensia-sia peluang meledakkan gol sulung hasil jaringan cantik pada minit ke-7 menewaskan penjaga gol Taiwan, Lee Po Cheng.

Gol penyamaan diperoleh tuan rumah menerusi Chang Han yang mengambil kesempatan kekalutan yang berlaku di depan pintu gol skuad negara untuk menolak masuk dengan kaki kirinya pada minit ke-30.

Namun, jaringan itu tidak mematahkan semangat para pemain kebangsaan apabila Malaysia sekali lagi berjaya membolos gawang tuan rumah menerusi Safiq yang menggegarkan pintu gol Taiwan untuk meletakkan Malaysia di depan 2-1.

Taiwan yang mendapat sokongan padu penyokong tempatan, meraih gol penyamaan pada minit ke-44 melalui Che Po Liang yang menyempurnakan sepakan penalti setelah Mahali Jasuli menjatuhkan pemain tuan rumah.

Tuan rumah yang terdesak mencari dua lagi gol, sekali lagi dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil Vietnam, Goh Minh Tri apabila pertahanan Malaysia, Fadhli Shas menjatuhkan pemain lawan, namun rembatan yang diambil Po Liang kali ini berjaya diselamatkan Sharbinee pada minit ke-61.

Ingauan buruk berterusan menimpa skuad kebangsaan, setelah pengadil yang dilihat berat sebelah kepada Taiwan buat kali ketiga menghadiahkan penalti yang mudah disempurnakan oleh Xavier Tsan pada minit ke-74 untuk mengatasi dengan keputusan 3-2.

Malaysia mara ke pusingan kedua

04 Julai 2011



RAJAGOBAL (kanan) meraikan kejayaan skuad Harimau Malaya mara ke pusingan kedua pada Kelayakan Piala Dunia 2014 bagi Zon Asia walaupun tewas 2-3 kepada Taiwan malam tadi.


TAIPEI – Kejayaan Malaysia mara ke pusingan kedua pada Kelayakan Piala Dunia 2014 bagi Zon Asia malam tadi memberi makna yang cukup besar buat jurulatih Datuk K. Rajagobal.
Kejayaan itu boleh dianggap sebagai hadiah hari jadi buat Rajagobal yang akan menyambut hari ulang tahun ke-55 pada 10 Julai ini.
Sebelum ini, sentuhan magis Rajagobal telah membawa skuad kebangsaan memenangi pingat emas Sukan SEA 2009 di Laos, sekali gus menamatkan penantian kilauan emas selama 20 tahun pada temasya dwitahunan tersebut.
Rentetan kejayaan anak-anak buah Rajagobal berterusan apabila mereka dinobatkan selaku juara Piala Suzuki AFF hujung tahun lalu.
Pada aksi malam tadi, meskipun tewas 2-3 kepada Taiwan pada pertemuan kedua di Stadium Majlis Perbandaran Taipei, skuad kebangsaan tetap mara berdasarkan kelebihan jaringan di tempat lawan selepas terikat dengan agregat 4-4.
Pada aksi pertama di Stadium Nasional, Bukit Jalil minggu lalu, skuad Harimau Malaya itu mencipta kemenangan 2-1.
Tonggak pertahanan, Aidil Zafuan Abdul Radzak menggamamkan seketika kira-kira 25,000 penyokong tuan rumah hasil jaringan menarik pada minit kelapan menerusi sepakan percuma dari jarak 35 meter.
Gol tersebut berpunca selepas kapten Safiq Rahim dijatuhkan pemain pertahanan Taiwan, Lin Cheng-Yi.
Anak-anak buah Rajagobal berpeluang menambah jaringan menerusi beberapa percubaan menarik selepas jaringan Aidil, namun ia dinafikan penjaga gol Taiwan, Lin Po-Cheng.
Peluang terbaik skuad kebangsaan menambah jaringan hadir pada minit ke-29, namun percubaan penyerang berbisa, Nor- shahrul Idlan Talaha sekadar melepasi palang gol tuan rumah.
Dua minit kemudian, Taiwan berjaya memperoleh gol pembukaan menerusi jaringan Chang Han pada minit ke-31 setelah berlaku situasi kelam-kabut di hada- pan pintu gol Harimau Malaya.
Bagaimanapun, gol penyamaan Taiwan itu tidak melunturkan semangat barisan negara dan hasil- nya mereka berjaya memperoleh gol kedua menerusi sepakan percuma Safiq pada minit ke-38.
Sepakan percuma itu terhasil selepas pemain pertahanan Taiwan, Xavier Tsan-Yuan menjatuhkan Abdul Hadi Yahaya di luar kotak penalti.
Seminit sebelum aksi babak pertama berakhir, Chen Po-Liang kembali menggamatkan stadium dengan gol kedua tuan rumah menerusi sepakan penalti.
Apabila babak kedua bersambung, kedua-dua pasukan dilihat menampilkan permainan lebih terbuka dengan masing-masing melancarkan serangan ke kubu lawan.
Pada minit ke-60, pengadil perlawanan dari Vietnam, Vo Minh Tri sekali lagi menghadiahkan sepakan penalti kepada Taiwan selepas pemain pertahanan, Mohd. Fadhli Shas mengasari Po-Liang. Bagaimanapun, Sharbinee muncul penyelamat apabila menafikan sepakan Po-Liang.
Menyedari Taiwan semakin ghairah melancarkan serangan ke kubu Harimau Malaya, Rajagobal membuat pertukaran dengan memasukkan S. Chanturu bagi menggantikan tempat Amirulhadi Zainal pada minit ke-65.
Minh Tri mencetuskan kemarahan kem Harimau Malaya apabila sekali lagi menghadiahkan sepakan penalti kepada Taiwan pada minit ke-73. Kali ini, Sharbinee gagal menyelamatkan gawangnya daripada dirobek Xa- vier.

Misi menang

03 Julai 2011


pix_gal0
Rajagobal temui gandingan terbaik untuk benam Taiwan sekali lagi

BAYANGAN kesebelasan utama yang bakal diturunkan ketua jurulatih kebangsaan, Datuk K Rajagobal bagi perlawanan kedua kelaya­kan Piala Dunia zon Asia menentang Taiwan, semakin jelas selepas sesi latihan terakhir di Stadium Taipei, semalam.
Skuad kebangsaan yang berkunjung ke Taiwan de­ngan bekalan 2-1, memerlukan sekurang-kurangnya seri di sini tetapi Rajagobal tampak tidak mahu mengambil risiko dan tetap mahu melebarkan jurang defisit.
Penyerang prolifik, Norshahrul Idlan Talaha yang tidak diturunkan di Bukit Jalil Rabu lalu, kelihatan sudah mula mencapai tahap kecergasan dan Rajagobal dilihat menggandingkan Norshahrul dengan Abdul Hadi Yahaya dalam latihan semalam, selepas gandingannya di Piala AFF Suzuki, Safee Sali sekadar memerhati dari luar padang akibat kecederaan.

Kemudian, Rajagobal mencuba pula Ahmad Fakri Saarani bersama Norshahrul manakala di benteng pertahanan, kelibat Mahali Jasuli turut berada dalam kesebelasan Rajagobal, yang memberi isyarat serangan balas bakal dari sebelah sayap mungkin menjadi senjata untuk mencari kemena­ngan malam ini.

“Bayangan ke pusingan kedua sudah ada, cuma sekarang saya perlu cari gandingan terbaik yang akan diturunkan esok (hari ini),” kata Rajagobal selepas sesi latihan itu.

“Saya sudah cuba beberapa gandingan hari ini (semalam), dan saya lihat kesungguhan pemain untuk menurut arahan. Kita tunggu dan lihat corak permainan mereka nanti. 
“Saya yakin mereka mampu menyempurnakan tugasan yang diberi dan keputusan akan memihak kita.”

Sementara itu, penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat yang tidak beraksi Rabu lalu, turut kembali berlatih walaupun belum mencapai tahap kecergasan sepenuhnya.

“Saya sedia beraksi, tetapi terpu­lang kepada jurulatih sama ada menurunkan saya atau tidak,” kata Fahmi. “Siapapun pilihan jurulatih, ia adalah untuk kebaikan pasukan dan saya yakin misi utama untuk menang mampu dilaksanakan.”

Taiwan lancar perang

03 Julai 2011



RAJAGOBAL (kiri) berbincang dengan pengurus pasukan, Datuk Subhan Kamal mengenai strategi untuk menyekat Taiwan malam ini.


TAIPEI - Taiwan mula melancarkan perang psikologi menjelang aksi kedua pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia 2014 menentang Malaysia di Stadium Perbandaran Taipei malam ini.

Jumaat, 1 Julai 2011

FACEBOOK

02 Julai 2011


PERHATIAN ::

Sekrg page ini tidak digunakan lagi krn mempunyai masalah...
Admin sendiri tak tahu ape masalahnya...
Dah kami dah pun buat page yang t'baru...
Jom ramai kita "LIKE" page baru & "REPORT PAGE" yang ini ..
PAGE BARU KEMBAR ~ (ADMIN PAGE ADALAH ADMIN YANG SAMA)

Perang psikologi

02 Julai 2011

Foto                                               Foto
Jurulatih skuad Singapura, Radjoko Avramovic         BADDROL Bakhtiar dianggap Avramovic pemain bahaya.


Jurulatih Singapura pilih Malaysia menang esok

BELUM pun perlawanan kedua kelayakan Piala Dunia 2014 antara Malaysia dan Taiwan bermula, jurulatih Singapura, Radjoko Avramovic sudah memulakan perang psikologi dengan Datuk K Rajagobal.

Pengendali berkenaan berkata dia memilih Harimau Malaya untuk menang di Taipei, esok sebelum menentang pasukannya dalam pusingan kedua pada 23 dan 28 Julai ini yang akan berakhir dengan kemenangan kepada pasukan negara republik itu.
“Saya tidak terkejut jika Malaysia dapat menewaskan Taiwan,” kata Avramovic kepada MediaCorp. “Pada perlawanan pertama, Malaysia mengesahkan apa yang saya ketahui tentang mereka daripada saingan Piala AFF Suzuki.

“Walaupun Taiwan mengejutkan saya dengan kawalan bola baik dan berpeluang mendahului tuan rumah, saya yakin Malaysia mampu melepasi halangan di Taipei.

“Saya sudah melihat apa yang saya jangkakan daripada Malaysia, baik pemain mahu pun corak permainannya. Tapi apabila menentang Malaysia saya yakin Singapura akan menang.”

Singapura diberi pelepasan pusingan pertama berdasarkan kemaraan ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2010, di mana mereka tersingkir di peringkat kumpulan selepas menduduki tangga ketiga di belakang Arab Saudi dan Uzbekistan. 
Menurut Avramovic yang berada di Bukit Jalil Rabu lalu, corak permainan Malaysia tidak banyak beza berbanding Disember tahun lalu ketika menjuarai Piala AFF Suzuki.

“Masalah utama mereka (Malaysia) mungkin kecederaan,” kata jurulatih asal Serbia itu yang dikenali dengan panggilan Raddy oleh peminat bola sepak Singapura.

Dia merujuk soal kecederaan itu kepada Safee Sali dan Norshahrul Idlan Talaha yang baru pulih. 

“Ada di antara pemain mereka tidak cergas sepenuhnya dan mungkin akan mendatangkan masalah, tetapi di bahagian pertahanan, mereka cukup kental. Pemain lain seperti S Kunanlan dan Baddrol Bakhtiar juga amat berbahaya.

“Tetapi saya yakin kami boleh menewaskan mereka, malah kami boleh menewaskan mana-mana pasukan jika bermain dengan baik. Persoalannya, sebaik mana kami membuat persiapan (untuk pertemuan itu).”

Junior kurang sengat

02 Julai 2011


TAK SENGAJA...Abdul Hadi menyepak bola ke muka pertahanan Taiwan, Lin Cheng-Yi, Rabu lalu.
TAK SENGAJA...Abdul Hadi menyepak bola ke muka pertahanan Taiwan, Lin Cheng-Yi, Rabu lalu.
SUKA atau tidak ketua jurulatih negara, Datuk K Rajagobal memerlukan penyerang berpengalaman untuk mengetuai jentera serangan Harimau Malaya bagi menggempur kubu Taiwan di Stadium Perbandaran Taipei, malam esok.
Beliau tidak boleh menaruh harapan kepada penyerang mentah untuk menggalas tugas penting itu seperti yang berlaku pada babak kedua di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Rabu lalu.

Selepas aksi 45 minit separuh masa pertama berakhir, jentera serangan negara jelas gagal berfungsi dengan baik apabila penyerang utama, Mohd Safee Sali dikeluarkan walaupun dihidangkan beberapa peluang keemasan untuk menambah jaringan. Mujur pemain pertahanan tengah, Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak meledak gol kedua untuk skuad negara pada minit ke-54.
Hakikat itu diakui Abdul Hadi Yahaya yang terpaksa bergandingan bersama seorang lagi penyerang yang cetek pengalaman, Ahmad Fakri Saarani sepanjang aksi separuh masa kedua.

“Memang jentera serangan memerlukan pemain berpengalaman. Saya kurang berkesan selepas Mohd Safee dikeluarkan pada separuh masa kedua. Bimbingan pemain sepertinya amat penting dalam perlawanan kompetitif seperti ini,” katanya yang berharap terus mendapat kepercayaan Rajagobal untuk aksi timbal balik itu.

Walaupun gagal menjaringkan gol pada aksi penting itu, pemain yang dipuji Rajagobal itu turut menggesa rakan sepasukan meningkatkan tahap permainan sekiranya ingin mara ke pusingan kedua.
Satu petanda yang positif ketika saat genting ini adalah kehadiran semula penyerang sensasi Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha yang kembali menjalani latihan, semalam.

Sekiranya diturunkan, penjaring terbanyak Liga Super itu pastinya menjadi sandaran Harimau Malaya untuk mengkucar-kacirkan pertahanan lawan selepas dua minggu tidak beraksi akibat kecederaan hamstring dengan penyerang Pelita Jaya FC, Mohd Safee pula hampir pasti tersisih akibat kecederaan.

Harimau Malaya berdepan tugas berat di Taipei dengan lawan hanya memerlukan kemenangan 1-0 bagi memastikan tempat mereka di pusingan kedua selepas skuad bimbingan Rajagobal itu hanya mampu mencatatkan keputusan 2-1 pada aksi pertama.

Taiwan mampu 'mengganas'

02 Julai 2011


KUALA LUMPUR - Ramai jurulatih mahupun pengurus pasukan bola sepak sering berkata, segala rekod lalu tidak akan bermakna di atas padang apabila tiba satu lagi perlawanan baru yang pastinya jauh berbeza dari segi masa dan keadaan mahupun barisan pemain.

Namun, kadangkala sejarah juga masih relevan dalam mematangkan seseorang dan mengayakan pengalamannya terutama pada saat-saat genting atau ketika dihantui tekanan tinggi seperti mana Harimau Malaya mengunjungi Taiwan di Stadium Perbandaran, Taipei, esok.

Rekod kalah 2-3 kepada Taiwan di Bangkok dalam kelayakan Piala Asia 2000, boleh dijadikan rujukan walaupun tiada siapa lagi pemain ketika itu yang masih berada dalam skuad bimbingan Datuk K. Rajagobal pada pusingan pertama kelayakan Piala Dunia 2014 ketika ini.

Agak malang buat skuad 2000 bimbingan Abdul Rahman Ibrahim itu kerana mereka dengan mudah membenam Taiwan 3-0 dalam perlawanan pertama di Shah Alam - situasi yang hampir sama dengan 'Safiq Rahim dan Aidil Zafuan Abd. Razak' menewaskan negara pulau itu 2-1 di Bukit Jalil, Rabu lalu.

Berdasarkan pertemuan pertama di Stadium Nasional itu jugalah, jurulatih Kuala Lumpur, Razip Ismail menegaskan betapa skuad Rajagobal tidak sesekali boleh mengulangi kelekaan dan aksi longlai yang mengakibatkan pelawat mudah beroleh gol tunggal menerusi Chen Po Liang.

"Aksi di Bukit Jalil membuktikan Taiwan sebuah pasukan yang mampu menyaingi Malaysia walaupun ketinggalan dua gol. Aset utama mereka ialah kepantasan menyerang balas. Pasukan kita kena sentiasa berwaspada dan jangan sampai tertekan dan buat silap sebegitu lagi sampai terlepas gol sebegitu.

"Malah, cukup jelas pada hari itu, Taiwan bermain lebih baik selepas merapatkan jurang gol justeru pasukan kita wajar bermain lebih baik dalam perlawanan kedua di Taipei," katanya yang turut menjadi pengulas bersama siaran langsung sebuah saluran TV swasta, Rabu lalu.

"Kita banyak menyerang ketika itu dan kadar gol yang secukupnya sebagai modal awal ke tempat lawan gagal dicapai setelah banyak peluang terlepas malah sampai terleka untuk bertahan daripada satu serangan balas lawan yang terus mendapat gol," jelasnya.

Razip turut mengakui, kelebihan satu gol dengan jaringan Safiq dan Aidil Zafuan di Bukit Jalil itu tidak akan mudah untuk dipertahankan di Stadium Perbandaran Taipei apatah lagi lawan mempunyai modal atas faktor peraturan gol di tempat lawan.

"Saya rasa, rombakan di barisan belakang pasukan kita juga tidak dapat dielakkan dan corak permainan terbuka bukan lagi satu pilihan yang menjadi keutamaan biarpun saya akui, satu gol kita di tempat lawan bakal menambah keyakinan pemain dan mencerahkan peluang kita," katanya.

Barisan kemungkinan Malaysia: Khairul Fahmi Che Mat, Asraruddin Putra Omar, Muslim Ahmad, Aidil Zafuan Radzak, Safiq Rahim, Norshahrul Idlan Talaha, Baddrol Bakhtiar, Amar Rohidan, S. Kunanlan, Fadhli Shas, Abdul Hadi Yahya.

Kami leka seketika: Aidil

1 Julai 2011


Aidil Zafuan
Aidil Zafuan
KEPUTUSAN 2-1 ketika menentang Taiwan kelmarin diakui masih belum selamat oleh pertahanan negara, Aidil Zafuan Abdul Radzak. 

Aidil yang membolosi gawang lawan pada minit ke-55 selepas kembali menyarung jersi kebangsaan tahun ini berkata, masih ada ruang yang perlu diperkemaskan sebelum bertemu semula anak buah Lo Chih-Tsung di laman lawan itu Ahad ini.
“Ada kelalaian yang membolehkan lawan menghasilkan gol, mungkin kami agak leka ketika terlalu mencuba mengasak kubu Taiwan. Perbezaan satu gol bukan satu jaminan baik dan kami perlu tingkatkan usaha untuk mengekang asakan lawan nanti.
“Biarpun saya menghasilkan gol, itu lebih kepada satu bonus. Saya akan cuba melakukan yang terbaik di Taiwan nanti,” katanya selepas perlawanan kelmarin. 

Aidil yang mengalami kecederaan ketika menentang Myanmar dalam perlawanan persahabatan dua minggu lalu, menyifatkan Malaysia masih ada sedikit kelebihan untuk mara ke pusingan seterusnya andai rakan sepasukan kekal fokus di atas padang. 

“Pada saya mereka (Taiwan) tidak mempunyai apa-apa kelebihan. Sebenarnya kami mendapat banyak peluang tetapi bahagian pertahanan juga perlu diperkemaskan,” kata pertahanan Negeri Sembilan itu. 

Awas jerat!

1 Julai 2011


pix_gal0
Taiwan mahu pamer corak sebenar perangkap Malaysia 

SILAP besar andai skuad kebangsaan berharap Taiwan bakal mempamerkan corak permainan sama pada perlawanan kedua pusingan pertama kelayakan Piala Dunia Zon Asia Ahad ini, selepas sekadar menang 2-1 ke atas lawan ranking lebih rendah itu di Stadium Nasional Bukit Jalil, kelmarin.
Skuad kendalian Datuk K Rajagobal yang berada di ranking 144 FIFA seharusnya membawa bekalan lebih besar ke Taiwan berdasarkan permainan kelmarin, tetapi dikejutkan dengan gol tunggal lawan yang berada pada ranking 165 dunia itu selepas barisan pertahanan negara terleka ketika mendahului dua gol.
“Kelebihan pasukan ini ialah permainan menyerang, tetapi di sini kami terpaksa bertahan kerana tahu kelebihan Malaysia,” kata jurulatih Taiwan, Lo Chih-Tsung. “Jadi selepas ini, kami akan menunjukkan permainan sebenar dan memburu kemenangan di laman sendiri Ahad ini. 

“Satu gol di tempat lawan menjadi sandaran utama kami untuk merampas kemenangan daripada Malaysia.” 

Kapten skuad kebangsaan, Safiq Rahim membuka jaringan pada minit ke-28, diikuti tandukan babak kedua (m-55) Aidil Zafuan Abd Radzak yang meletak Malaysia selesa di depan tetapi kelekaan pertahanan membawa padah apabila pemain tengah Taiwan, Chen Po-Liang mudah menewaskan penjaga gol Sharbinee Allawee dalam satu serangan balas pantas pada minit ke-75. 

Pada baki 10 minit, anak buah Chih-Tsung menunjukkan taring sebenar dengan asakan bertubi-tubi untuk mencari gol penyamaan tetapi benteng negara menangkis setiap cubaan bagi memastikan kemenangan kekal dalam genggaman. 
Berbekalkan hanya pemain amatur yang kebanyakannya pelajar kolej dan universiti, Taiwan menampilkan cabaran sengit ke atas juara Asia Tenggara itu. 

“Kami tetap mahu menang pusingan ini dan akan memastikan sasaran dicapai apabila Malaysia bertandang ke Taiwan pula,” kata Chih-Tsung. 

“Sepatutnya kami mampu bermain lebih baik tetapi sokongan padu penyokong Malaysia membuatkan pemain saya gugup dan gagal mempamerkan aksi sebenar. Di Taiwan, keadaannya mungkin berbeza, walaupun sejak dulu stadium kami tidak penuh, sekurang-kurangnya penyokong lawan juga tidak ramai.” 

Kehadiran lebih 45,000 penyokong Harimau Malaya tidak lagi boleh dijadikan pembakar semangat di Taiwan dan Rajagobal kini perlu memikirkan strategi terbaik bagi memastikan gawang negara tidak dibolosi Ahad ini. 

Aidil gembira tapi kecewa

1 Julai 2011


KEGEMBIRAAN berada dalam senarai penjaring hanya bertahan seketika buat Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak apabila menyaksikan benteng Malaysia dibolosi pemain Taiwan angkara kelekaan sendiri.
Biarpun puas hati dengan kemenangan 2-1 kelmarin, dia kecewa kerana pelawat berjaya ‘mencuri’ satu gol yang dianggap penting dalam kejohanan yang mengambil kira jaringan di tempat lawan.

“Saya gembira kerana menjaringkan gol tapi kecewa kerana melepaskan gol mudah berpunca kelekaan sendiri. Gol itu menyebabkan kedudukan kita belum selamat untuk melepasi pusingan pertama ini,” katanya selepas perlawanan itu kelmarin.
Pada perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil itu, Aidil berjaya menanduk masuk gol kedua selepas Safiq Rahim terlebih dulu menggegar gawang pada babak pertama.

Namun benteng yang dikawal Aidil, Mohd Fadhli Mohd Shas, Mohd Amirulhadi Zainal dan Mohd Asraruddin Putra Omar terleka seketika sehingga membiarkan pemain tengah pelawat, Chen Po-Liang merapatkan kedudukan 2-1.

Aidil yang terlepas detik gemilang Harimau Malaya menjulang Piala Suzuki AFF Disember lalu akibat kecederaan lutut tetap percaya mereka mampu menebus kesilapan itu dengan memperagakan aksi lebih mantap lagi di Taipei, Ahad ini.

'Kembalikan rentak sebenar'

1 Julai 2011



SAFEE (dua dari kanan) bersama rakan-rakan sepasukannya mula menyesuaikan diri dengan keadaan di Taipei.


JURULATIH kebangsaan, Datuk K. Rajagobal mengakuiyang anak-anak buahnya tidak mempamerkan rentak permainan sebenar ketika mereka menewaskan Taiwan 2-1 di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam kelmarin.
Justeru pengendali berusia 55 tahun itu mahu para pemainnya kembali tampil dengan aksi sebenar yang lebih berdisiplin pada aksi kedua pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia 2014 bagi Zon Asia di Stadium Perbandaran Taipei, Ahad ini.
"Kami bermula hambar pada 15 hingga 20 minit pertama dan tidak bermain secara agresif seperti biasa. Memang saya agak kecewa kerana selepas mendahului 2-0, barisan perta- hanan pula leka dan melakukan kesilapan mudah.
"Jadi saya mahu para pemain kembali kepada rentak sebenar permainan mereka apabila beraksi di tempat lawan pada Ahad ini.
"Saya lihat para pemain Taiwan cukup komited dan rajin pada perlawanan ini tetapi saya tetap yakin dan optimis kita akan dapat melakukan tugas dengan baik di Taipei.
"Cuma saya mahu para pemain jangan cepat hilang fokus dan main dengan lebih berdisiplin sepanjang 90 minit permainan," kata Rajagobal.
Skuad kebangsaan telah berlepas ke Taipei pada pagi semalam bagi menyesuaikan diri dengan keadaan di tempat lawan itu.
Dengan penyerang utama, Safee Sali mungkin tidak sempat pulih daripada kecederaan hamstring tendon yang memaksanya dikeluarkan pada waktu rehat aksi malam kelmarin, Rajagobal mungkin terpaksa menggunakan 'senjata sulit' pasukan negara, Norshahrul Idlan Talaha.
"Saya akan buat dua atau tiga pertukaran pada kesebelasan utama berikutan masalah kecederaan dan prestasi pada aksi pertama ini.
"Saya harap Norshahrul sudah bersedia untuk diturunkan. Jika keadaan memerlukan, saya akan menurunkannya di Taipei," jelas Rajagobal.
Dua lagi pemain yang mungkin kembali dalam kesebelasan utama skuad Harimau Malaya pada Ahad ini ialah penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat dan pemain pertahanan kanan, Mahali Jasuli.

Ayu Raudhah Mahu Anak Kembar

30 Jun 2011


Lama tidak mendengar cerita tentang Ayu Raudhah dan suaminya, Zaquan Adha selepas mereka berkahwin awal tahun lalu.
Senyap daripada sebarang berita, menurut Ayu dia tidak berniat untuk menyisihkan dirinya daripada perkembangan dunia seni ini, tetapi kata Ayu diamnya kini diam berisi, kerana dia sibuk dengan penggambaran drama yang tidak putus-putus. 
"Sebenarnya saya hanya sempat cuti kahwin selama dua minggu saja, selepas itu tawaran kerja dan drama datang tidak putus-putus.
"Walaupun pada masa itu suami cuti, tapi dia tetap kena pergi latihan, jadi memandangkan dia sibuk dipadang, saya pun ambik tawaran lakonan pada ketika itu, tetapi semakin lama semakin ramai yang tawarkan saya drama dan jadual saya sentiasa penuh dengan penggambaran.
"Suami tidak melarang, malahan dia faham tugas saya. Kalau dia cuti, dia akan temankan saya di lokasi, dan begitu juga sebaliknya.
"Selepas berkahwin, memang banyak perubahan, lebih-lebih lagi sekarang. Walaupun sibuk, saya perlu menyiapkan urusan rumah tangga dengan baik, berbanding sewaktu bujang dulu, tidak berapa ambil kisah tentang rumah pun tak apa.
"Kami juga sekarang menetap dirumah sendiri di Seremban, jadi banyak habiskan masa berulang alik dari sana ke Kuala Lumpur. Nasib baik, saya ada pembantu yang boleh bawa kereta, jadi saya tidak penat memandu.
"Tentang anak pula, setakat ini masih belum ada rezeki untuk mendapatkannya. Kalau boleh memang nak secepat mungkin, tapi masih belum ada rezeki. Teringin juga nak anak kembar, saya mahu anak lelaki, suami pula teringin nak anak perempuan, kalau ada rezeki dapat dua-dua serentak memang saya bersyukur sangat-sangat,"jelas Ayu Raudhah.

Impian menyala

30 Jun 2011


PEMAIN Taiwan berjalan kecewa  ketika  pemain Malaysia meraikan gol kedua yang dijaringkan Mohamad Aidil Zafuan Abd Razak dalam perlawanan pertama, pusingan pertama kelayakan Piala Dunia 2014 zon Asia di  Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.
PEMAIN Taiwan berjalan kecewa ketika pemain Malaysia meraikan gol kedua yang dijaringkan Mohamad Aidil Zafuan Abd Razak dalam perlawanan pertama, pusingan pertama kelayakan Piala Dunia 2014 zon Asia di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.
Harimau Malaya harus lebih garang pertemuan di Taiwan, Ahad ini

KEPUTUSAN ini di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi harus menerbitkan sedikit perasaan gelisah buat skuad Harimau Malaya walaupun bermula dengan langkah kanan menewaskan Taiwan.
Kemenangan 2-1 dalam perlawanan pertama, pusingan pertama kelayakan Piala Dunia 2014 zon Asia mencipta rasa bangga tetapi anak didik Datuk K Rajagobal perlu menyajikan kelibat lebih garang dalam pertemuan timbal balik di Taiwan, Ahad ini andai memasang impian mahu layak ke pusingan kedua.
Apa pun, dua gol jaringan jaringan kapten, Safiq Rahim dan pemain pertahanan, Aidil Zafuan Abdul Razak pada setiap babak permainan menepati sasaran awal jurulatih dan keputusan seri dalam perlawanan kedua nanti sudah memadai untuk mengharungi halangan berikut menentang pasukan tetangga, Singapura.

Tuan rumah yang bermula agresif membuka tirai jaringan pada minit ke-28 menerusi Safiq yang berpunca daripada gerakan Abdul Hadi Yahya sejurus selepas masuk menggantikan Helmi Remeli.

Hadi tidak menunggu lama memecah bentang pertahanan dari sisi kanan sebelum melorong bola kepada S Kunanlan dan umpanan pemain tengah itu mudah disempurnakan Safiq yang merembat kencang menewaskan penjaga gol Taiwan, Lin Po-Cheng. 

Pada babak kedua, Rajagobal memasukkan Ahmad Fakri Saarani menggantikan Safee Sali yang mengalami kecederaan di akhir babak pertama, dan penyerang muda itu hampir menambah jaringan selepas menerima hantaran leret Baddrol Bakhtiar, tetapi tolakannya tersasar. 
Minit ke-55, Aidil yang kembali menyarung jersi kebangsaan tahun ini selepas pulih daripada kecederaan, menceriakan lebih 45,000 penyokong tuan rumah apabila menanduk masuk gol kedua yang bermula daripada sepakan sudut Safiq.

Kelebihan dua gol kem negara bagaimanapun dicemari gerakan pantas jentera serangan Taiwan yang melakukan asakan dari sebelah kanan gawang dan pemain tengah, Chen Po-Liang mudah menewaskan penjaga gol kebangsaan, Sharbinee Allawee pada minit ke-76. 

‘Pertahanan tidur’

30 Jun 2011


LINCAH...Safiq cuba memperdayakan pemain Taiwan, malam tadi.
LINCAH...Safiq cuba memperdayakan pemain Taiwan, malam tadi.
PERMULAAN baik dilakar skuad Harimau Malaya pada perlawanan pusingan pertama kelayakan Piala Dunia 2014 apabila mencipta kemenangan 2-1 ke atas Taiwan semalam namun hakikat yang terpaksa ditelan, ranjau masih berliku menanti mereka kerana kedudukan itu belum selesa buat anak buah Datuk K Rajagobal.
Kealpaan benteng pertahanan ketika selesa mendahului dua gol menerusi jaringan Safiq Rahim dan Mohd Aidil Zafuan Radzak memudahkan Taiwan mendapat satu gol hasil jaringan Chen Po-Liang yang pastinya amat berharga dalam kejohanan yang mengambil kira gol di tempat lawan.

Biarpun tidak berpuas hati dengan pemain pertahanannya yang dikatakan tidur oleh Rajagobal sehingga pintu gawang mereka dibolosi, pengendali negara itu masih yakin skuad juara Piala Suzuki AFF itu mampu melepasi halangan perlawanan kedua di Taiwan Ahad ini.
“Kemenangan ini satu permulaan yang baik kerana bukan mudah untuk beraksi dalam perlawanan pertama dalam satu-satu kejohanan.

“Menang tetap menang... Kalau kita tidak mencapai kemenangan pada perlawanan ini barulah kita akan berasa lebih tekanan dan berdepan situasi lebih sukar.

“Pemain pertahanan saya tidur, mereka tidak sepatutnya membenarkan Taiwan menjaringkan gol. Saya berharap mereka lebih fokus dan lebih berdisiplin pada perlawanan kedua nanti,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas perlawanan.
Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil yang disaksikan 45,000 penonton, Malaysia mendahului permainan pada babak pertama selepas rembatan deras kapten, Safiq di penjuru kanan kotak penalti gagal diselamatkan penjaga gawang pasukan pelawat, Lin Po-Cheng pada minit ke-28.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...