Berikutan status yang dimuat naik oleh Zaquan Adha berkenaan babak isterinya yang teruk dibelasah Iqram dalam filem 'Lagenda Budak Setan 3: Kasyah', Ayu Raudhah tampil memberi penjelaskan mengenai perkara ini. 
 
"Saya pernah maklumkan suami mengenai babak yang saya akan lakonkan dalam LBS3 tetapi ketika itu dia tak nampak keadaan sebenar babak berkenaan. Hanya selepas menontonnya sendiri, baru dia cakap seperti apa yang ditulisnya di laman Twitter.
 
"Cuma tak sangka pula, dia akan muat naik status berkenaan. Malah ketika pratonton, dia memang tengok separuh jalan filem itu. Mungkin tak tahan tengok saya 'dipukul' dalam filem berkenaan ditambah dengan anak saya menangis," ujar Ayu menerusi Berita Harian Online. 
 
Menyentuh mengenai lakonannya yang memerlukan banyak adegan pukul-memukul antara suami isteri, Ayu mengakui trauma dengan babak yang dilakonkannya.  
 
"Trauma juga dengan setiap babak itu. Tapi bila tengok hasil babak yang dilakukan, ia nampak cukup mengesankan padahal ketika penggambaran azabnya hanya Tuhan saja yang tahu. Ada ketika penggambaran memang ada babak saya dicekik Iqram, hingga saya tak boleh bernyawa.
 
"Kepala saya ditunjal pun ada. Babak saya ditendang betul seperti yang ditulis Farid pun benar-benar saya alami. Bahkan ada juga babak saya ditolak sampai jatuh ke lantai," tambah Ayu yang menjelaskan Iqram akan meminta maaf dengan apa yang dilakukannya. 
 
Dalam pada itu, Iqram Dinzly memohon maaf kepada Zaquan Adha dan isterinya, Ayu Raudhah dengan isu berbangkit yang mencetuskan rasa kurang senang. Iqram menjelaskan apa yang dilakukan dalam filem itu adalah sebahagian daripada tugasnya sebagai pelakon.
 
"Untuk Ayu, jika apa yang saya lakukan ketika penggambaran membuatkan dia rasa tak selesa atau sakit, saya mohon maaf. Apa yang kita lakukan ketika itu atas perbincangan bersama. Saya memang tak ada isu dengan Ayu seperti yang diakuinya juga.
 
"Untuk Zaquan, jika rasa lakonan itu membuatkan dia rasa tak suka atau mungkin mencabar dirinya sebagai suami yang tak berkelakuan sedemikian, saya minta dia kalau tak sanggup jangan tengok filem ini," kata Iqram.