Hodak pada Khamis lalu, menyuarakan rasa tidak puas hati mengenai mutu permukaan padang stadium berkenaan yang dianggapnya tidak sesuai untuk perlawanan akhir sekadar berdasarkan pemerhatiannya terhadap gambar-gambar yang disiarkan di internet.

Namun, sangkaan bekas jurulatih Kelantan itu meleset sama sekali apabila meninjau sendiri keadaan padang tersebut semalam adalah jauh berbeza berban­ding yang dilihatnya menerusi gambar sebelum ini.

“Saya ingin memohon maaf kepada penganjur atas kenyataan saya sebelum ini yang melibatkan keadaan padang di sini (Stadium Nasional).

“Sebenarnya, saya cuma melihat menerusi gambar sahaja, bagaimanapun itu bukanlah isu lagi kerana selepas saya melihat sendiri keadaan padang, keadaannya nyata lebih baik.

“Saya fikir tidak menjadi masalah untuk beraksi di atas padang seperti ini dan tahniah kepada pihak penganjur kerana mereka telah melaksanakan tugas dengan baik,” katanya dalam sidang akhbar menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil semalam.

Ketua pasukan JDT, Safiq Rahim berkata mereka tidak akan mengenal kawan lagi apabila dia dan rakan-rakannya beraksi malam ini, sebaliknya menganggap pemain-pemain dalam skuad Tok Gajah sebagai ‘seteru’ mereka.

“Besok kalau nak gaduh, gaduhlah. Kita hanya membuat kerja ma­sing-masing ketika beraksi nanti. Istilah rakan perlu dilupakan sebab kami semua hadir dengan matlamat masing-masing.

“Untuk mengecapi impian menjulang Piala Malaysia, individu itu sendiri perlu memainkan peranannya. Kita perlu berusaha untuk mencapai sasaran dan kita akan berjuang habis-habisan,” katanya, yang menggalas jawatan ketua pasukan setelah Mohamad Aidil Zafuan Abd. Radzak digantung perlawanan.