Menurutnya, perkara utama dalam sukan bola sepak adalah prestasi pemain semasa perlawanan dan bukan sebaliknya menerusi perbandingan di atas kertas ataupun rekod persembahan lampau.
“Saya tidak bimbang, walaupun pasukan kami belum pernah mencatatkan kemenangan ke atas mereka (Pahang), tetapi saya tidak bimbang.
“Saya juga tidak percaya dengan rekod pertemuan. Itu semua hanyalah statistik lampau dan tidak mempengaruhi perlawanan akhir Piala Malaysia yang bakal berlangsung nanti,” katanya sebelum berlepas ke Kuala Lumpur.
Pasukan yang dibarisi dengan ramai pemain bintang itu tewas 2-3 kepada Pahang di Kuantan dan mencatat keputusan seri 1-1 di Larkin dalam saingan Liga Super.
Kedua-dua pasukan turut mencatat keputusan seri 1-1 di Larkin dan tewas 0-1 di Kuantan dalam saingan separuh akhir Piala FA tahun ini.
Hodak berkata, isu sama juga pernah dibangkitkan ketika JDT berdepan pasukan ATM dengan rekod tidak pernah menang, tetapi keputusan akhirnya memihak kepada mereka.
“Kedua-dua pasukan mempunyai peluang yang sama rata dan perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil nanti akan menjadi penentu kepada segala-galanya,” katanya.
Walaupun pasukan JDT kehilangan dua pemain utama, tetapi moral dan semangat setiap pemain lain berada pada tahap tertinggi dan mereka sudah bersedia untuk berjuang merebut piala berprestij di tanah air itu.
“Ketiadaan mereka (Aidil Zafuan Abdul Radzak dan Mohd. Nazrin Mohd. Nawi) masih dapat ditampung oleh pemain lain yang sudah tidak sabar untuk turun bagi memburu kejuaraan, sekali gus membawa pulang Piala Malaysia ke Johor,” katanya.