Aidil Zafuan
JOHOR BAHRU – Setelah rayuan terhadap hukuman gantung perlawanannya ditolak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Aidil Zafuan Abdul Radzak sekadar mampu mendoakan kejayaan rakan seperjuangan apabila Johor Darul Ta’zim bertemu Pahang dalam perlawanan akhir Piala Malaysia esok.
Aidil Zafuan, 27, sudah menjangkakan perkara tersebut dan reda dengan keputusan dibuat oleh badan induk bola sepak itu dan berharap Harimau Selatan mampu meraih kemenangan walaupun tanpa khidmatnya.
“Saya menerima keputusan itu dengan hati terbuka kerana dari awal lagi sudah menjangkakannya. Sekiranya penggantungan ditarik semula, keputusan itu merupakan satu keajaiban.
“Setelah disahkan tidak dapat beraksi, apa yang perlu saya lakukan ialah memberi sokongan kepada rakan-rakan untuk meneruskan perjuangan bagi mencapai kejayaan,” katanya ketika ditemui.
Menurutnya, orang ramai hanya akan mengingati skuad JDT sekiranya bergelar juara, bukannya menduduki tempat kedua.
“Jadi, rakan-rakan sepasukan tiada pilihan selain bergelar juara pada malam Sabtu ini,” katanya.
Aidil Zafuan digantung satu perlawanan apabila menerima kad kuning pada aksi separuh akhir kedua menentang Felda United Sabtu lalu.
Ini kali kedua dia terlepas aksi final JDT setelah tidak bermain dalam perlawanan akhir Piala FA tahun lalu yang menyaksikan Harimau Selatan tewas kepada Kelantan 0-1 menerusi jaringan tunggal Nor Farhan Muhammad.
Ditanya tentang amanat yang diberikan kepada rakan-rakannya, kapten skuad JDT itu memberitahu, mereka sudah berpengalaman dan tahu apa yang perlu dilakukan di atas padang nanti.
“Saya tidak perlu menasihati kerana mereka sudah tahu apa yang perlu dilakukan. Rakan-rakan cukup berpengalaman dan itulah ramuan yang diperlukan untuk menjadi juara,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan