Aidil Zafuan & Zaquan Adha

Keluarga Aidil Zafuan

Keluarga Zaquan Adha

LIKE jika suka :)

Jumaat, 18 Januari 2013

Safiq Rahim gugur

18 Januari 2013 (17 Januari 2013)



Safiq Rahim

KUALA LUMPUR - Harimau Malaya semalam mengumumkan skuadnya dengan ketua pasukan Safiq Rahim tiada dalam senarai 26 pemain yang terpilih mengikuti latihan skuad kebangsaan

Selain Safiq, beberapa nama lain termasuk muka baharu dan lama kembali dipanggil oleh ketua jurulatih, Datuk K. Rajagobal untuk latihan pusat menghadapi Qatar pada perlawanan Kelayakan Piala Asia 2015 pada 6 Februari ini.

Safiq yang bersama Johor Darul Takzim FC pada Liga Malaysia musim ini, dilihat masih belum dapat menyesuaikan diri dengan pasukan baharunya dan pengguguran pemain tengah berusia 25 tahun itu mungkin bukan satu yang terlalu mengejutkan.

Di samping itu, pemain-pemain yang menganggotai skuad Piala Suzuki AFF 2012 yang turut digugurkan pada kali ini ialah Azmi Muslim, Ahmad Fakri Saarani, Ahmad Hazwan Bakri, sementara Zubir Azmi serta Baddrol Bakhtiar sekadar diletakkan dalam senarai menunggu.

Malah, pemain yang menyerlah pada awal saingan Liga Super musim ini seperti Mohd. Fauzi Roslan dari Pahang mendapat panggilan pertama menyertai Harimau Malaya.

'Ayam tambatan' Kelantan, Mohd. Norfarhan Muhammad turut kembali menambat hati Rajagobal untuk diserapkan dalam pasukan kebangsaan sejak kali terakhir pada tahun 2008.

Selain itu, Ashari Samsudin (Terengganu), K. Reuben (ATM), Asraruddin Putra Omar dan K. Gurusamy (Selangor) turut berada dalam perancangan di samping beberapa pemain lain seperti Yong Kuong Yong (Perak) serta Nik Mohd. Shahrul Mohd. Azim (Kelantan).

Gandingan Norshahrul Idlan Talaha dan Safee Sali dijangka terus mendapat pilihan utama apabila kedua-dua pemain Johor Darul Takzim itu masih disenaraikan bersama pemain-pemain lain seperti Farizal Marlias, Aidil Zafuan Abdul Razak, S. Kunanlan, Bunyamin Umar dan Khairul Fahmi Che Mat.

Kelibat pemain Harimau Muda A seperti Mohd. Fadhli Shas, Gary Steven Robbat dan Wan Zack Haikal Wan Noor terus ditagih oleh Rajagobal.

Namun, ke mana haluan sebenar ketiga-tiga pemain ini pasti timbul kerana pasukan bimbingan Ong Kim Swee itu akan berangkat ke Australia pada 23 Januari hingga ke 6 Februari ini.

Cuma yang menjadi persoalan berdasarkan kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ialah kelibat Amar Rohidan masih berada dalam perhatian Rajagobal walaupun sekadar menampilkan aksi sederhana bersama Felda United.

Walaupun persembahannya mendapat kritikan hebat semasa Piala Suzuki AFF 2012, nampaknya Amar menjadi pilihan pengendali Harimau Malaya yang berusia 56 tahun itu biarpun masih mempunyai beberapa pilihan lain di bahagian tengah seperti Mohd. Amirulhadi Zainal (Pahang) dan Rezal Zambery Yahya (ATM).

Selain itu, ketua pasukan Kelantan, Mohd. Badhri Radzi nampaknya masih belum mendapat kepercayaan Rajagobal walaupun telah menampilkan persembahan terpuji dalam beberapa perlawanan sebelum ini terutama ketika bertemu Johor Darul Takzim FC.

Semua pemain akan melapor diri pada 26 Januari ini di Wisma FAM sebelum berangkat ke Dubai, Emiryiah Arab Bersatu (UAE), 29 Januari bagi menghadapi Iraq dalam satu perlawanan persahabatan yang telah diaturkan pada 1 Februari ini.

Selepas itu, Harimau Malaya akan bertandang ke Doha, Qatar untuk berdepan ujian sebenar iaitu menentang Qatar pada perlawanan kelayakan Piala Asia 2015 pada 6 Februari.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20130117/su_01/Safiq-Rahim-gugur#ixzz2IJdhGUYS
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...