Aidil Zafuan & Zaquan Adha

Keluarga Aidil Zafuan

Keluarga Zaquan Adha

LIKE jika suka :)

Jumaat, 25 Januari 2013

Feroz pertahan keaslian 'Sehangat Asmara'

25 Januari 2013 (24 Januari 2013)


Adi Putra, Rita Rudaini
Adi Putra, Rita Rudaini peneraju Sehangat Asmara
Cinta pandang pertama antara Kamilia Najwa dan Zainal Arief, di Sydney Australia, membawa mereka ke ikatan perkahwinan meskipun tanpa restu orang tua.

Namun kepulangan Zainal Arief ke tanah air membuatkan hidup Kamilia terumbang-ambing di negara orang. Di tambah dengan keadaannya yang hamil tanpa pengetahuan Zainal.

Sembilan tahun berlalu, Zainal kembali menagih cintanya. Mampukah Zainal menambat kembali hati isterinya?

Semuanya akan terjawab menerusi drama Sehangat Asmara yang diadaptasikan dari sebuah novel cinta popular hasil nukilan penulis Aisya Sofea terbitan Alaf 21.

Bersiaran selama 33 episod di saluran 134, Astro Mustika HD, jam 10 malam, setiap Isnin hingga Khamis, drama ini menampilkan gandingan mantap Rita Rudaini (Kamilia Najwa) dan Adi Putra (Zainal Arief).

Mendapat sentuhan daripada pengarah terkenal, Mohd Feroz Kader, drama adaptasi ini mempunyai keistimewaan dan kelebihan tersendiri.

“Sehangat Asmara bukanlah karya biasa yang ada dalam pasaran kerana novel ini ramai pengikutnya. Selain dapat mengetengahkan novel yang lebih  berkualiti dan cuba menarik minat peminat penonton drama tersebut,

"Kami mahu beri satu peluang buat peminat novel ini untuk menonton cerita yang sama dalam bentuk visual, ”kata pengarah Cinta Kasih dan Carlos ini.

Tak ubah 'sesuka hati'

Feroz berkata, pengalaman mengarahkan drama adaptasi novel ini tidaklah begitu berbeza berbanding drama lain. Cuma yang membezakannya hanyalah pada jalan cerita yang tidak boleh diubah sesuka hati.

Bagaimanapun, menurut Feroz, setiap babak yang terkandung dalam penceritaan novel adalah mustahil untuk dipenuhi sepenuhnya menerusi bentuk visual memandangkan ia dilakukan dalam jangka masa singkat.

“Dalam drama ini, jalan cerita adalah berdasarkan penulisan novel dan selebihnya kami telah mengolah mengikut kesesuaian watak dan keadaan. Kami cuba sedaya upaya mengekalkan jalan cerita yang sama supaya ia tidak lari jauh dengan penulisan novel tersebut.

“Walaupun tidak semua yang ditulis dalam novel dapat divisualkan, namun dalam keseluruhan episod ini sudah cukup untuk menceritakan keseluruhan babak yang ada dalam novel itu,” katanya yang turut menjalani penggambaran di Australia.

Tanpa membelakangkan penulis novel itu, Feroz memberitahu, dia juga turut berbincang dengan penulis novel itu bagi mendapatkan gambaran jalan cerita yang sebenar.

Keserasian Adi, Rita

Mengenai pemilihan barisan pelakon terlibat, Feroz berkata, pandangan daripada pembaca novel Sehangat Asmara juga diambil untuk menentukan pelakon yang sesuai membintangi drama ini.

“Pemilihan pelakon adalah berdasarkan kesesuaian watak, sedikit sebanyak membantu menjayakan drama ini.

"Saya turut berpuas hati dengan pemilihan pembaca. Ternyata gandingan Adi Putra dan Rita Rudaini serasi untuk drama ini. “Mereka merupakan pelakon yang sangat profesional dan mampu menghayati watak dengan berkesan," katanya.

Berkongsi pengalaman menjalani penggambaran mengarahkan drama tersebut, Feroz meluahkan rasa bersyukur kerana tiada sebarang kemalangan yang berlaku, cuma ada setengah penggambaran terpaksa dibatalkan kerana faktor cuaca.

Menurutnya, sepanjang menjalani penggambaran bersama produksi Sehangat Asmara, tiada sebarang masalah timbul memandangkan semua yang terlibat telah menunjukkan komitmen yang baik.

“Alhamdulillah, semua krew dan pelakon melakukan kerja mereka dengan baik dan segala  kesukaran dapat ditangani dengan sempurna.

“Sebagai pengarah, saya berpuas hati dan berharap drama ini dapat menarik penonton untuk sentiasa mengikuti kisahnya hingga ke akhir,” katanya.
 

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...