Aidil Zafuan & Zaquan Adha

Keluarga Aidil Zafuan

Keluarga Zaquan Adha

LIKE jika suka :)

Sabtu, 26 Januari 2013

Kebangkitan Selangor

27 Januari 2013



PENYERANG ATM, Hairuddin Omar (dua dari kanan) melepaskan tandukan ke gawang Selangor pada aksi Piala FA malam tadi. Pada perlawanan tersebut, Selangor menang 3-2 menerusi sepakan penalti.


JUARA lima kali, Selangor kembali bangkit menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi penentuan sepakan penalti 3-2 dalam saingan pusingan pertama Piala FA 2013 di Stadium Shah Alam, malam tadi.
Terdahulu, kedua-dua pasukan terikat 2-2 sebaik perlawanan diheret ke masa tambahan.
ATM terlebih dahulu selesa mendahului 2-0 menerusi Marlon Alex James dan Mohd. Affize Faisal Mamat pada minit ketujuh dan 25 sebelum Selangor yang enggan mengaku kalah akhirnya kembali bangkit menyamakan kedudukan menerusi dua jaringan Mohd. Afiq Azmi pada minit ke-53 dan 57.
Ketika penentuan sepakan penalti, penjaga gol Gergasi Merah, Norazlan Razali akhirnya muncul wira tuan rumah selepas berjaya mengagalkan sepakan K. Reuben, Mohd. Affieze Faisal Mamat dan Bruno Martelotto.
Ketiga-tiga jaringan penalti Selangor berjaya disempurnakan oleh kapten, Asraruddin Putra Omar, Mahalli Jasuli dan S. Veenod sementara dua sepakan penalti ATM dijaringkan oleh Marlon dan A. Varanthan.
Perlawanan itu juga dicemari insiden tidak diingini di tengah padang ekoran pemain kedua-dua pasukan dilihat bertelagah sesama sendiri sebaik perlawanan tamat.
Dengan keputusan itu, Selangor bakal berdepan Sabah pada pusingan kedua yang dijadualkan berlangsung 26 Februari depan.
Begitupun, nasib empat lagi pasukan iaitu Selangor PKNS, Lions XII, UiTM FC dan juara edisi 2010, Negeri Sembilan hanya diketahui hari ini selepas perlawanan mereka terpaksa ditangguhkan akibat hujan lebat petang semalam.
Di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), PKNS berjaya mendahului Lions XII dengan keputusan 1-0 sementara Sang Rusa juga selesa mendahului UiTM FC dengan kelebihan 2-0 di Stadium UiTM Shah Alam.
Aksi keempat-empat pasukan itu terpaksa bermula semula dengan kedudukan 0-0 di venue yang sama petang ini.
Di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Johor Bahru, tuan rumah, Johor Darul Takzim (Johor DT) hanya mampu mengatasi Perak dengan kemenangan tipis 1-0.
Gol tunggal perlawanan hasil tandukan Mohd. Aidil Zafuan Abdul Razak pada minit ke-59 sudah cukup untuk menjadi pemisah kedua-dua pasukan dalam aksi yang cukup mendebarkan itu.
Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, Abd. Latiff Suhaimi muncul wira pasukan T-Team apabila menjaringkan gol kemenangan pada masa tambahan sekali gus menumpaskan Perlis 3-2.
The Titans terlebih dahulu mendahului 2-0 hasil jaringan Fazuan Abdullah minit ke-31 dan jaringan sendiri pemain pertahanan Perlis, Mohd. Hanif Mohd. Noor (32) sebelum Singa Utara kembali bangkit menyamakan kedudukan menerusi jaringan Hadi Syami Hamzah dan Mohd. Nurfirdaus Roswanan pada minit ke-37 dan 50.
Di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Pahang turut meneruskan kemaraan sebaik menumpaskan Johor dengan kemenangan tipis 3-2.
Gol-gol Tok Gajah dicetak oleh Mohamed Borji dan Mohd. Fauzi Roslan (dua gol) sementara Juan Muriel Orlando menjaringkan kedua-dua gol Johor.
Di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah memulakan kempen Piala FA 2013 dengan cukup bergaya apabila membenam pasukan berstatus kelab, Felda United dengan kemenangan 2-1.
Dalam perlawanan itu, gol-gol Sabah dihasilkan menerusi Koh Traore dan Juprey Amopor pada minit ke-14 dan 71 sementara gol sagu hati Felda United pula dicetak Mohammed Ghaddar menerusi sepakan penalti (63).
Sarawak pula menewaskan Melaka 3-0 di Stadium Negeri, Kuching sementara Kedah juga melakar keputusan sama mengatasi NS Betaria 3-0 di Stadium Darul Aman, Alor Setar.
Di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Pos Malaysia turut melakar kejutan apabila membelasah Kuala Lumpur 5-0 sementara PBAPP FC turut menang besar 5-1 ke atas kelab Kemboja, Preach Khan Reach FC di Stadium Bandaraya Pulau Pinang.
Di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, KL SPA tewas 1-3 kepada Terengganu sementara Shahzan Muda tewas 0-2 kepada Tentera Darat di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh manakala Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga terpaksa akur terkandas seawal pusingan pertama kali ini apabila tumpas 1-2 kepada Pulau Pinang di Stadium Hang Jebat, Melaka.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0126&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz2J6BcLxss 
Hakcipta terpelihara 

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...