Aidil Zafuan & Zaquan Adha

Keluarga Aidil Zafuan

Keluarga Zaquan Adha

LIKE jika suka :)

Sabtu, 1 Disember 2012

Tidak sanggup bolos lagi

1 Disember 2012



MOHD. FADHLI MOHD. SHAS

PETALING JAYA - Dua nadi pertahanan negara, Mohd. Aidil Zafuan Abdul Razak dan Mohd. Fadhli Mohd. Shas bertekad untuk tidak membiarkan gawang Harimau Malaya 'ternganga' apabila berdepan asakan Garuda di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Menyimpan sedikit rasa terkilan kerana telah melepaskan empat jaringan kepada pihak lawan, Aidil yang dianggap antara pemain senior dalam pasukan mengakui, dia dan rakan gandingannya, Fadhli baru menemui rentak selepas berjaya menumpaskan Laos 4-1, Rabu lalu.

"Kalau diikutkan, saya memang tidak berpuas hati dengan prestasi dalam beberapa perlawanan persahabatan sebelum berjumpa Laos.

"Namun, kalau boleh saya tidak mahu gawang negara dibolosi lagi pada perlawanan dengan Indonesia kerana saya dan Fadhli telah melepaskan empat gol dalam dua perlawanan.

"Jurulatih juga berulang kali mengingatkan kami jangan melakukan kesilapan mudah yang dilakukan sebelum ini dan saya harap pada perlawanan dengan Indonesia... Kami dapat mengelakkan situasi sama berulang dengan menghadiahkan gol kepada pihak lawan.

"Semua pemain lawan adalah sama, tidak kira Andik atau Bambang. Sebelas pemain lawan perlu diawasi kerana dalam bola sepak, prestasi seorang pemain tidak menentu. Sesiapa sahaja mampu menjaringkan gol kepada pasukan, kami tekad untuk memastikan gawang negara tidak bocor lagi," katanya yang ditemui di Wisma FAM, semalam.

Sejak menewaskan Hong Kong 3-0 di tempat lawan, kubu pertahanan negara tidak pernah lekang dibolosi lawan dalam enam perlawanan terakhir termasuk dua pertemuan dengan Singapura dan Laos selain Vietnam, Thailand, Hong Kong dan Bangladesh dalam aksi persahabatan.

Dalam pada itu, menurut Fadhli yang menjadi salah satu tonggak penting membawa skuad negara menjuarai Piala Suzuki AFF 2010, bersetuju dengan pandangan Aidil bahawa rekod pertahanan negara perlu diperbaiki dan mahu menjadikan perlawanan dengan Indonesia sebagai permulaan mengekalkan rekod bersih.

"Empat gol itu memang banyak, sebagai pemain yang bertanggungjawab di bahagian pertahanan.. Memang saya kecewa.

"Namun, saya rasa kami sudah mula menemui keyakinan selepas menang 4-1 dengan Laos dan bersedia menghadapi Indonesia," katanya.

Tidak mahu merendahkan kekuatan Indonesia tetapi Fadhli secara jujurnya tidak menganggap pasukan kendalian Nil Maizar kali ini tidak segagah dua tahun lalu.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20121201/su_04/Tidak-sanggup-bolos-lagi#ixzz2DnUTYOLi
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...