Aidil Zafuan & Zaquan Adha

Keluarga Aidil Zafuan

Keluarga Zaquan Adha

LIKE jika suka :)

Sabtu, 1 Disember 2012

Harimau hilang super sub

1 Disember 2012 (30 November 2012)


Skuad negara menjalani latihan ringan di Wisma FAM, semalam menjelang menentang Indonesia, esok. - UTUSAN/Shahril Azman Zain

KUALA LUMPUR - Belum sempat meraikan kegembiraan menang 4-1 ke atas Laos Rabu lalu, kem Harimau Malaya menerima khabar duka apabila hampir pasti kehilangan Mohd. Khyril Muhymeen Zambri pada perlawanan menentang Indonesia, esok kerana masalah kecederaan pangkal paha.

Perkara itu disahkan oleh pengendali Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal yang berkata, dia sedang menunggu laporan rasmi mengenai tahap kecederaan pemain Kedah itu sebelum melihat peluang pemain itu diturunkan.
Bagaimanapun, beliau mengakui kecederaan pangkal paha mengambil masa sekurang-kurangnya seminggu untuk pulih.

“Hari ini (semalam), Khyril tidak dapat berlatih kerana dia mengalami masalah di bahagian pangkal paha dan menjalani latihan ringan sahaja.

“Saya sedang menunggu laporan penuh daripada fisioterapi tetapi saya kena tengok pada hari esok (hari ini) sebelum membuat keputusan," katanya ketika ditemui pada sesi latihan skuad kebangsaan di Wisma FAM, semalam.
Sementara itu, Khyril yang ditemui berkata, dia mengalami kesakitan ketara di bahagian pangkal paha dan mengakui sukar untuk beraksi.

“Tidak tahulah boleh bermain atau tidak tetapi saya hendak berjalan pun rasa sakit... Rasa lambat nak pulih," katanya.
Khyril menjadi penjaring gol keempat negara pada minit ke-79 selepas menggantikan Safee Sali melalui gerakan solo menarik dari sebelah kanan sebelum mudah menewaskan penjaga gol Laos.

Sementara itu, Norshahrul Idlan Talaha memberikan peringatan kepada rakan sepasukan supaya merantai pergerakan Elie Aiboy dan Andik Vermansyah pada perlawanan kedua-dua pasukan di Stadium Nasional Bukit Jalil.
“Elie dan Andik, kedua-dua pemain ini perlu diberi perhatian khusus oleh barisan pemain kita jika mahu menang pada Sabtu ini (esok).

“Kedua-dua mereka mempunyai kelajuan dalam melakukan serangan dan kami perlu berhati-hati dengan keupayaan mereka," katanya.

Dia yang mempamerkan aksi menarik ketika membantu Harimau Malaya menang ke atas Laos mengakui langsung tidak tertekan walaupun belum menemui sentuhan jaringan dalam dua perlawanan.

Dalam pada itu, penyerang kebangsaan, Safee Sali mengakui masih dahagakan jaringan walaupun telah memecah kebuntuan dengan menjaringkan gol membantu kemenangan 4-1 ke atas Laos, kelmarin.

“Saya berharap masih mendapat kepercayaan jurulatih, Datuk K. Rajagobal untuk menerajui rangkaian serangan skuad kebangsaan terutama sekali ketika berdepan Indonesia," katanya.

Safee yang beraksi bersama kelab Indonesia, Arema mengakui bahawa tugasnya sebagai penyerang ialah meledak gol buat Malaysia dan ia sudah dilakukan ketika bertemu Laos dan berharap ia berterusan sehingga esok.

Rangkaian pertahanan Indonesia sudah pasti gusar apabila Safee kembali mendapat sentuhannya, malah mengingatkan kembali peristiwa hitam yang melanda mereka pada perlawanan akhir 2010 apabila dia berjaya menyumbat tiga gol.

“Ini adalah misi hidup dan mati, mahu tidak mahu kami perlu menang ke atas Indonesia bagi menempah tempat ke separuh akhir. Saya akui ia bukan tugas mudah tetapi ia juga bukan satu alasan untuk kami mengaku kalah sebelum berjuang," katanya.

Pemain berusia 28 tahun itu mengakui gopoh di depan gawang Laos kelmarin, namun dia berharap dapat memperbaiki kelemahannya itu ketika berdepan Indonesia, esok.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20121130/su_01/Harimau-hilang-super-sub#ixzz2DnVLDAAZ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...