Aidil Zafuan & Zaquan Adha

Keluarga Aidil Zafuan

Keluarga Zaquan Adha

LIKE jika suka :)

Selasa, 4 Disember 2012

Aidil Zafuan janji rantai gerakan Teerasil

05 Disember 2012



K. RAJAGOBAL memberi arahan kepada pemain pada sesi latihan skuad negara di padang Wisma FAM, Kelana Jaya semalam. - UTUSAN/ABDUL NAZIR MOHAMED

PETALING JAYA - Demi memastikan Harimau Malaya tidak berputih mata pada perlawanan separuh akhir Piala Suzuki AFF Ahad ini, kelibat penyerang berbisa Thailand, Teerasil Dangda wajar disekat.

Pertahanan skuad negara, Mohd. Aidil Zafuan Abdul Razak berkata, dia tidak akan membiarkan Teerasil bergerak bebas dan berjanji akan merantai pemain itu.

Menurut Aidil, dia menonton permainan Thailand dalam saingan Kumpulan A dan mengakui jentera serangan pasukan lawan begitu hebat dengan diketuai oleh Teerasil.

“Teerasil memang bahaya. Untuk itu jurulatih telah memberikan arahan taktikal khas untuk mengawal penyerang Thailand itu pada sesi latihan.

“Kami perlu menjaga Teerasil jika mahu menang dalam kedua-dua perlawanan ke atas Thailand dan saya yakin jurulatih mempunyai perancangan tersendiri terhadap penyerang lawan itu," katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Wisma FAM, semalam.

Teerasil yang beraksi dengan kelab Muangthong United, meledak jaringan hatrik semasa membantu Thailand menang 4-0 ke atas Myanmar pada perlawanan peringkat Kumpulan A.

Memiliki 1.81 meter, Teerasil pernah bersama Manchester City pada tahun 2008 sebelum dipinjamkan ke Grasshopper II di Liga Switzerland.

Gandingan Aidil dan Mohd. Fadhli Shas pada bahagian pertahanan buat pertama kali berjaya mempertahankan gawang negara daripada dibolosi semenjak enam perlawanan selepas membantu Harimau Malaya menang 2-0 ke atas Indonesia.

Ditanya mengenai keserasian bahagian pertahanan dengan penjaga gol, Aidil tidak menghadapi sebarang masalah digandingkan bersama Khairul Fahmi Che Mat atau Mohd. Farizal Marlias.

“Khairul atau Farizal, mereka ada kekuatan tersendiri dan saya boleh beraksi dengan mana-mana penjaga gol, saya tahu corak permainan masing-masing.

“Di dalam padang, memang sukar untuk pemain berkomunikasi kerana suasana bising di dalam stadium dan kalau bercakap pun, memang tidak akan dengar.

“Jadi, setiap pemain mesti memahami gerak-geri rakan sepasukan dan di situ persefahaman menjadi perkara paling penting, tidak boleh melakukan sebarang kesilapan," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20121205/su_01/Aidil-Zafuan-janji-rantai-gerakan-Teerasil#ixzz2E8QDAuFU
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...