Aidil Zafuan & Zaquan Adha

Keluarga Aidil Zafuan

Keluarga Zaquan Adha

LIKE jika suka :)

Jumaat, 26 Oktober 2012

SYABAS ATM! Kami berbangga menjadi peminat anda!

27 Oktober 2012


SYABAS Angkatan Tentera Malaysia! Tiada sebab buat anda berasa kecewa selepas mengheret juara Liga Super, Kelantan beraksi ke masa tambahan sebelum tewas 2-3 pada final Piala Malaysia 2012 yang berlangsung di Stadium Shah Alam malam semalam.
Jaringan Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-96 meranapkan impian juara Liga Perdana, ATM untuk menjulang gelaran sulung mereka dan kejuaraan berganda sebaliknya melengkapkan musim treble ‘kelas pertama’ buat The Red Warriors mengikut jejak Kedah pada 2006/07 & 2007/08.
Bermula daripada perlawanan pertama liga, kemenangan tipis 2-0 ke atas NS Betaria, ATM menampilkan graf persembahan meningkat daripada perlawanan ke perlawanan, sehingga mencipta kejutan mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia yang pertama sejak trofi baru diperkenalkan pada 1967.
Diundi dalam Kumpulan Maut bersama Kelantan; finalis musim lalu, Terengganu dan pemenang 4 kali, kedah tidak ramai yang mempertaruhkan harapan buat ATM untuk mara, namun ATM membuktikan sebaliknya untuk menjadi pasukan pertama untuk melayakkan diri ke pusingan kalah mati.
Berdepan juara bertahan, Negeri Sembilan di suku akhir, mimpi ke final dinyalakan menerusi dua kemenangan di tempat sendiri dan lawan sebelum menyingkirkan wakil luar negara, Lions XII dalam penentuan penalti dramatik 5-4 di Stadium Selayang.
Namun, tuah kapten, Hairuddin Omar yang mengiringinya dalam empat penampilan sebelum ini meninggalkannya kelmarin dengan tangisan air mata, melenyapkan impian ATM untuk memahatkan diri sebagai pasukan ke-15 untuk mencium trofi keagungan bola sepak tanah air.
Tiada apa yang mampu dilakukan Hai-O, jeneral yang mengetuai barisan soldadu di atas padang dengan kesemua 11 dan perajurit di bangku simpanan yang sudah melakukan segala-galanya buat 10,000 peminat di stadium, 26,000 di facebook, twitter dan laman web dan ribuan yang menonton di kaca televisyen.
Pemain paling bernilai Liga Malaysia 2011, Norshahrul Idlan Talaha atau ‘Mat Yo’ membuktikan kehebatannya apabila menjaringkan gol pembukaan apabila percubaannya dari sayap kanan gagal ditangkap kemas Mohd Farizal Harun sebelum meleret masuk pada minit ke-44 untuk kedudukan 0-1 berpihak kepada Kelantan pada detik rehat.
Ia bukannya petanda buat ATM untuk rebah, sebaliknya anak buah B Sathianathan menyamakan kedudukan empat minit memasuki babak kedua kemudian menerusi percubaan cantik bak peluru berpandu Rezal Zambery Yahya yang dibias Obinna Nwaneri sebelum menerjah masuk.
Ia adalah jaringan sulung Rezal pada kempen Piala Malaysia ini dan yang pertama buat pemain kelahiran Batu Pahat berusia 34 tahun pada pentas final.
Begitu pun, kegembiraan ATM tidak bertahan lama dengan Kelantan kembali mendahului menerusi gol kedua ‘Mat Yo’ sebaik perlawanan dimulakan semula selepas meluru masuk dari sayap kanan sebelum meledakkan rembatan yang terkena Aidil Zafuan Abd Radzak.
Tindakan Sathia memasukkan supersub, Venice Elphi Danny Kaya bagi menggantikan Christie Jayaseelan di sayap kiri pada minit ke-61 mengubah wajah perlawanan dengan kelajuannya gagal dibendung Shakir Shaar yang dilayangkan kad kuning.
Shakir terpaksa menghadiahkan sepakan percuma selepas mengasari Venice dengan Rezal melambungkan bola ke arah penyerang tinggi lampai, Marlon Alex James yang menanduk tepat buat jaringan ke-12 dalam kempen Piala Malaysia dan gol keempat sepanjang penampilan final.
Sambutan keraiannya selepas itu menggambarkan kegembiraannya dengan pemain kelahiran St Vincent & Grenadines itu memeluk erat patung bayi yang bakal dilahirkan berikutan isterinya yang lima bulan mengandung.
Kedudukan kekal 2-2 selepas 90 minit dengan aksi dilanjutkan masa tambahan. ATM yang hampir mendahului menerusi tandukan Aidil Zafuan Abd Radzak yang tersasar pada minit ke-95 tersentak seminit selepas itu apabila Indra merembat masuk dari sudut kanan selepas menerima umpanan Mohd Badhri Radzi.
Marlon kemudiannya memasukkan bola ke dalam jaring pada minit ke-98 tetapi golnya dibatalkan kerana ofsaid. ATM terus mengasak kubu the Red Warriors namun jaringan penyamaan yang berjaya ditemui ketika bertemu Lions XII gagal kunjung tiba dengan tandukan Bruno Sebastian Martelotto pada detik terakhir masa kecederaan gagal menemui sasaran.
“Final ini seperti yang saya kata, adalah perlawanan sengit. Tiada apa yang mampu saya harapkan lagi daripada pemain, ada di antara mereka mengalami kekejangan dan keletihan, tetapi mereka berjaya bertahan sehingga akhir,” kata Sathia yang ditemui sejurus perlawanan berakhir.
Ketika diajukan pertanyaan mengenai masa depannya bersama ATM pada kempen Liga Super musim depan:  “Saya tidak tahu lagi, saya perlu melihat kontrak terlebih dulu sebelum membuat keputusan.”
Selepas 10 bulan mengharungi suka duka bersama ATM daripada kemenangan Liga Perdana ke kemaraan ke final Piala Malaysia, www.atmfa.my  mengucapkan sekalung penghargaan kepada pemain, Sathia, kumpulan ultras ‘Helang Rimba’ dan peminat yang setia memberikan sokongan di stadium dan di luar, penggiat media dan segala pihak yang berada di sebalik tabir lakaran gemilang ATM pada musim ini.
Buat Kelantan, sekalung tahniah atas kejayaan anda. Kami tidak sabar untuk melanjutkan perseteruan pada musim depan di pentas Liga Super 2013.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...