Aidil Zafuan & Zaquan Adha

Keluarga Aidil Zafuan

Keluarga Zaquan Adha

LIKE jika suka :)

Khamis, 25 Oktober 2012

Rajagobal Yakin Pertahan Piala AFF Suzuki

26 Oktober 2012


PETALING JAYA: Ketua jurulatih kebangsaan Datuk K. Rajagobal melahirkan keyakinan dengan 35 pemain yang dipilihnya bagi mempertahankan Piala Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) Suzuki, November ini.
Beliau berkata senarai 35 pemain tersebut termasuk tujuh pemain simpanan itu adalah barisan terbaik pada masa kini dalam usaha mereka mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada 2010 di Indonesia.
"Setiap orang boleh memberikan pandangan mereka yang tersendiri namun saya selaku jurulatih yakin dan percaya dengan kemampuan setiap pemain yang dipilih itu," katanya ketika ditemui Bernama di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)di sini, Jumaat.
Hari ini merupakan hari terakhir kesemua lapan pasukan yang bersaing pada pusingan akhir Piala AFF Suzuki untuk menghantar senarai 35 pemain kepada AFF.
Pada Isnin lepas, Rajagobal mengumumkan senarai awal 35 pemain yang bakal menggalas cabaran negara pada kejohanan yang bermula 23 November ini. Jurulatih berusia 56 tahun itu berkata beliau akan menilai segala kelemahan yang wujud dalam semua posisi melalui tiga perlawanan persahabatan antarabangsa pada bulan depan.
FAM telah mengatur tiga perlawanan persahabatan 'A' untuk skuad Harimau Malaya iaitu menentang Vietnam di Stadium My Dinh, Hanoi pada 3 Nov, berdepan Thailand di Stadium 700th Anniversary, Chiang Mai pada 7 Nov sebelum melengkapkan aksi menentang Hong Kong pada 14 Nov di Stadium Shah Alam.
"Contohnya di bahagian pertahanan kerana sebelum ini kerana saya memanggil dua pemain baharu (dari Kelantan) iaitu Nik Shahrul Azim Abdul Halim dan Mohd Rizal Fahmi Abdul Rosid.
"Kita akan lihat dengan gandingan dua pemain ini dengan pemain pertahanan yang lain seperti Mohamad Aidil Zafuan Abdul Radzak dan Mohd Fadhli Mohd Shas bagi mencari keserasian di posisi pertahanan," katanya.
Rajagobal berkata beliau akan memilih senarai akhir 22 pemain selepas mengharungi tiga perlawanan persahabatan tersebut. Pada kejohanan AFF Suzuki nanti, Harimau Malaya akan membuka kempen dengan menentang Singapura pada 25 November, diikuti Laos pada 27 November sebelum menutup aksi kumpulan berdepan Indonesia pada 1 Disember.
Kesemua perlawanan akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Senarai Pelatih:
Amar Rohidan, Baddrol Bakhtiar, Mohd Khyril Muhymeen Zambri (Kedah); Mohd Bunyamin Umar, Norazlan Razali, Safiq Rahim (Selangor); Mohd Farizal Marlias, S. Kunanlan (Negeri Sembilan); Khairul Fahmi Che Mat, Mohd Shakir Shaari, Norshahrul Idlan Talaha, S. Subramaniam, Nik Shahrul Azim Abdul Halim (Kelantan).
Muhammad Zubir Mohd Azmi, Mohd Faizal Muhamad (Terengganu); Azamuddin Mohd Akil, R. Gopinathan (Pahang); Gary Steven Robbat, Mahalli Jasuli, Mohd Fadhli Mohd Shas, Wan Zack Haikal Wan Nor (Harimau Muda A); Amiridzwan Taj Tajudin, Mohamad Aidil Zafuan Abdul Radzak, Mohamad Zaquan Adha Abdul Radzak, Mohd Azmi Muslim (ATM); Ahmad Fakri Saarani, Yong Kuong Yong (Felda United); Mohd Safee Mohd Sali (Pelita Jaya).
Pelatih Simpanan:
Mohd Amri Yahyah (Selangor), Ahmad Shakir Mohd Ali (Negeri Sembilan), D. Christie Jayaselan, Irwan Fadzli Idrus (ATM); Ahmad Hazwan Bakri, Mohd Affize Faisal Mamat, Mohd Izham Tarmizi Roslan (Harimau Muda A).
-BERNAMA

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...