Aidil Zafuan & Zaquan Adha

Keluarga Aidil Zafuan

Keluarga Zaquan Adha

LIKE jika suka :)

Khamis, 14 Julai 2011

Rajagobal kecewa...

15 Julai 2011


Image © AREPKULAL 
BUKIT JALIL 13 Julai 2011 - Pemain Malaysia Mohd Ashaari Shamsudin cuba melepasi pemain Arsenal Johan Djourudalam perlawanan persahabatan Jelajah Asia di Stadium Nasional Bukit Jalil Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR, (D5) - Datuk K. Rajagobal bukannya sedih disebabkan Harimau Malaya dibelasah Arsenal, sebaliknya sedih kerana beberapa pemainnya gagal menyerlah seperti yang diharapkan. 

Sambil menganggap kealpaan telah memberi penalti mudah pada awal permainan, pengendali itu berkata barisan pemainnya telah menampilkan permainan agresif dan berjaya memberi tekanan.

"Dalam kawasan bahaya ditempat lawan, pemain seperti tidak tahu untuk membuat keputusan, mereka tidak begitu tajam dan sekali lagi pertahanan tertidur sehingga memberi gol kepada lawan," katanya ketika ditemui dalam sidang media selepas perlawanan berakhir. 

Tambah Rajagobal, beliau lebih senang jika pasukan kebangsaan tewas dengan cara yang lebih baik sambil berpendapat pemain gantian juga tidak memberi perubahan kepada corak permainan negara. 

Sekaligus memberi amaran kepadanya untuk menilai di mana kesilapan pasukannya sehingga tertewas 4-0 kepada anak-anak buah Arsene Wenger. 

"Pemain tidak seharusnya gentar. 

"Ketika saya beraksi bersama skuad negara menentang pasukan Manchester United pada tahun 1981, kami tidak gentar. 

"Pemain tidak beraksi seperti biasa dan saya akan berbincang dengan pemain kerana bukannya tidak pernah bermain dalam suasana kapasiti di depan ribuan penyokong seperti di Indonesia. 

"Saya terkejut," luahnya. 

Arsene Wenger juga sependapat dengan Rajagobal mengenai corak permainan tuan rumah.

"Malaysia sebuah pasukan yang mampu membuat pergerakan, cukup tersusun. 

"Pantas mengubah daripada bertahan kepada serangan dan begitu juga sebaliknya. 

"Tetapi seperti yang dikatakan oleh rakan saya (Rajagobal), mereka tidak memiliki idea di kawasan bahaya," jelas Wenger yang berpuas hati dengan persembahan pertama pasukannya.

Liverpool ujian getir sebelum ke Singapura

14 Julai 2011


pix_gal0
SKUAD Harimau Malaya akan menerima satu lagi ujian getir menentang juara Eropah lima kali, Liverpool dalam Siri Jelajah Asia 2011, Sabtu ini - gelanggang persiapan baik buat anak didik Datuk K Rajagobal sebelum menentang Singapura dalam pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014, minggu depan. 

Liverpool tanpa kapten, Steven Gerrard dan ayam tambatan baru, Luis Suarez (atas) akan tiba ke tanah air, hari ini untuk membuat kemunculan buat julung kali ke Malaysia.
Menurut penganjur, pemain The Reds dijadual tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) awal pagi ini dari Guangzhou, China selepas mengadakan siri perlawanan persahabatan jelajah di sana.


Peminat boleh menyaksikan kelibat pemain pujaan mereka pada sesi latihan di Stadium Nasional, Bukit Jalil jam 7 malam ini. 

Bagaimanapun, sesi latihan itu dibuka kepada peminat yang mempunyai pas khas sesi latihan berkenaan sahaja. 

Sementara itu, penaja rasmi Liverpool - Standard Chartered dan Courts, masing-masing mempunyai program tersendiri meraikan ketibaan mereka. 

Bagi Standard Chartered Malaysia, acara “Standard Chartered Liverpool FC Fanzone” di Pavilon Kuala Lumpur adalah pesta bagi meraikan ketibaan pasukan serta peminat kelab EPL yang bermula sejak Isnin lalu. Antara acara kemuncak ialah penampilan skuad bola sepak itu pada jam 3 petang, esok. 
Sementara Courts juga turut mengatur sesi bertemu peminat di premisnya di Setapak dan Cheras juga pada jam 3 petang, hari yang sama. 

Pengajaran berguna: Rajagobal

14 Julai 2011


 PEMAIN Arsenal, Jack Wilshere (tengah)  menghalang pemain Malaysia pada  perlawanan persahabatan   di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.
PEMAIN Arsenal, Jack Wilshere (tengah) menghalang pemain Malaysia pada perlawanan persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.
Tidak adil banding dengan The Gunners

"INI satu pengajaran baik buat pemain," kata ketua jurulatih kebangsaan, Datuk K Rajagobal selepas menyaksikan Harimau Malaya dibenamkan Arsenal 4-0, malam tadi.
Dia turut membicarakan betapa tidak adil untuk membandingkan kekuatan skuad kebangsaan dengan barisan The Gunners yang dipenuhi bintang malah tidak dinafikan terdapat jurang di antara kedua-dua pasukan berkenaan dalam saingan persahabatan Jelajah EPL Asia 2011 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.


“Pemain kita harus pantas bangkit selepas ini dan belajar sesuatu daripadanya. 

“Arsenal adalah pasukan bertaraf dunia, memiliki pemain hebat. Begitupun, saya tidak nafikan kami tidak bermain dengan corak sebenar. Memang kecewa dan selepas ini saya akan duduk berbincang bersama pemain untuk mengetahui di mana kesilapan kami.”

Bagi pengendali Arsenal, Arsene Wenger, ujian pertama menentang skuad kebangsaan tetap mengejutkannya dengan beberapa percubaan pantas dianggap berbahaya.

“Malaysia mempunyai pasukan yang teratur, bermain secara teratur dan tidak terlalu memikirkan tentang tekanan. 
“Malah corak permainan di bahagian belakang dan depan juga baik dan pantas,” katanya yang percaya pasukannya turut belajar sesuatu menerusi perlawanan itu.

Meskipun hadir tanpa kelibat bintang utama yang juga kapten pasukan, Cesc Fabregas, Arsenal ternyata bukan lawan yang adil buat negara yang memiliki gabungan pemain senior Harimau Malaya dan Harimau Muda.

Arsenal 'bedil' Harimau Malaya

14 Julai 2011

Anak didik Rajagobal hilang arah kena belasah 4-0 di Bukit Jalil

BUKAN kemenangan yang dicari, tetapi tiga gol mudah hasil kelalaian barisan pertahanan mencemari permainan mantap barisan tengah dan jentera serangan negara pada perlawanan persahabatan antara skuad kebangsaan dan Arsenal di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.
Ketua jurulatih kebangsaan, Datuk K Rajagobal yang gigih menyiapkan pasukan menghadapi pusingan kedua kelayakan Piala Dunia bertemu Singapura pada 23 dan 28 Julai ini pasti mendapat pengajaran berharga hasil kekalahan 4-0 kepada kelab elit Inggeris itu.


Gawang negara dibolosi seawal minit kelima menerusi sepakan penalti Aaron Ramsey selepas pengadil, Yussof Mat Karim menyalahkan terjahan kasar Aidil Zafuan Abdul Radzak ke atas Jack Wilshere dalam kotak penalti.

Faktor kepantasan dan fizikal yang lebih memihak skuad kendalian Arsene Wenger menyaksikan serangan negara mudah dipatahkan. Minit ke-25, gawang Arsenal hampir dibolosi kapten kebangsaan, Safiq Rahim yang mengambil sepakan percuma dari jarak 35 meter, tetapi sempat ditepis penjaga gol Arsenal, Wojciech Szczesny.

Ketika harapan lebih 53,000 penonton menyaksikan Malaysia menyamakan kedudukan semakin memuncak, Arsenal sebaliknya menambah jaringan menerusi Walcott yang berjaya melepasi barisan pertahanan pada minit ke-38, sebelum melambung bola menewaskan Nasril buat kali kedua malam tadi.

Pada babak kedua, Khairul Fahmi Che Mat masuk menggantikan Nasril, tetapi permainan licik penyerang Arsenal, Carlos Vela menyaksikan gol ketiga diraih pemain asal Mexico itu. 
Pada masa tambahan, Arsenal terus menghukum kem kebangsaan kali ini Tomas Rosicky mudah menanduk masuk hantaran Robin van Persie untuk gol keempat pasukan.

Pujian harus diberi kepada barisan pemain negara yang bekerja keras cuba mengatasi kehebatan kelab gergasi Eropah itu dengan beberapa gerakan menarik dihasilkan sepanjang 90 minit permainan. 

Harimau 'parah'

14 Julai 2011


 NORSHAHRUL Idlan Talaha (kiri) dikawal ketat pemain Arsenal,  Traoe dalam perlawanan persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.
NORSHAHRUL Idlan Talaha (kiri) dikawal ketat pemain Arsenal, Traoe dalam perlawanan persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.
Arsenal peraga kelibat garang baham skuad negara 4-0

HARIMAU Malaya hilang taring, malam tadi buat memaksa anak didik Datuk K Rajagobal berundur dari Stadium Nasional, Bukit Jalil dengan menggigit jari selepas dibaham Arsenal 4-0 dalam perlawanan Siri Jelajah EPL Asia 2011.
Empat gol daripada Aaron Ramsey, Theo Walcott, Carlos Vela dan Tomas Rosicky di hadapan 53,000 penonton tidak banyak menceriakan penyokong tempatan yang harus membicarakan betapa tiga gol mudah hasil kelalaian barisan pertahanan menyentap cabaran tuan rumah yang akur betapa jauh jurang antara mereka dan bekas juara Inggeris itu.


Skuad negara akan menentang Liverpool, Sabtu ini dan juara lima kali Eropah itu akan hadir dengan kemenangan 4-3 ke atas Guangdong Sunray Cave di China, malam tadi.

Rabu, 13 Julai 2011

Aidil tekad buru jaringan gegar Arsenal

13 Julai 2011


  • Foto
Foto
SESI latihan skuad Arsenal mengundang hampir 5,000 penonton tempatan dan asing mahu melihat lebih dekat idola mereka di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam.


Tunai hajat besar di Bukit Jalil


MISI tampak mustahil, namun semangat yang membakar ketika ini selepas menyumbang dua gol di pentas antarabangsa, baru-baru ini hanya membuat Aidil Zafuan Abdul Radzak mahu membuktikan sesuatu.
Malam ini, skuad Harimau Malaya pimpinan Datuk K Rajagobal akan turun menentang bekas juara Inggeris, Arsenal di Stadium Nasional, Bukit Jalil dan pemain Negeri Sembilan itu menyuarakan hajat besar mahu memburu jaringan ketiga.


“Sentuhan jaringan dalam dua perlawanan lalu (kelayakan Piala Dunia menentang Taiwan) sudah memberi semangat dan keyakinan baru kepada kerjaya sama,” kata pemain pertahanan skuad negara itu, semalam.

“Misi ini tampak sukar kerana berdepan bintang Arsenal yang tersohor tapi saya akan mencuba membantu cabaran pasukan.”

Dia yang kembali selepas menyepi daripada skuad kebangsaan tidak menolak hakikat lawan pimpinan Arsene Wenger itu memiliki benteng kebal dan andai dapat menyumbat gol malam ini ia adalah satu bonus besar untuk dijadikan satu kenangan.

Sementara itu, dalam keghairahan peminat Arsenal, Aidil mengharapkan masih ada kibaran jalur gemilang dan jersi negara dipakai pada hari perlawanan malam ini. 
“Saya mahu lihat perbezaannya selepas negara muncul juara Sukan SEA dan Piala AFF Suzuki,” katanya.

“Jika pada perlawanan menentang Manchester United pada 2009, warna jersi pasukan lawan mendominasi stadium, adakah kali ini situasi sama akan berulang.”


Bukit Jalil jadi Stadium Emirates

GELANGGANG keramat skuad kebangsaan di Bukit Jalil bertukar menjadi Stadium Emirates milik Arsenal pada sesi latihan semalam apabila hampir 5,000 penonton hadir memberi sokongan padu kepada skuad kendalian Arsene Wenger itu.

Arsenal yang akan menentang anak buah Datuk K Rajagobal malam ini, menjalani sesi latihan terakhir di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam - sesi yang tampak lebih seperti latihan pertunjukan buat penyokong setianya di rantau Asia.

Setiap kali bintang Arsenal antaranya Robin van Persie, Samir Nasri, Jack Wilshere, Bacary Sagna, Andrei Arshavin, Alex Song, Tomas Rosicky, Maroune Chamakh dan Theo Walcott mendapat bola, sorakan gemuruh menyelubungi stadium.

“Kami terharu dengan sokongan diberi penyokong tempatan dan saya serta pemain tidak sabar mengharungi perlawanan bertemu pasukan kebangsaan Malaysia esok (hari ini),” kata Wenger selepas sesi latihan semalam.

Sementara itu, pemain tengah Arsenal, Wilshere terkejut dengan sambutan hangat peminat di Malaysia.

“Saya tidak sangka begitu ramai peminat Arsenal di Malaysia,” kata Wilshere yang turut menjadi tonggak utama pasukan kebangsaan England.

Awas Gunners!

13 Julai 2011



Jurulatih skuad negara, Rajagobal serius memberikan arahan kepada anak-anak buahnya pada sesi latihan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam. Malaysia akan menentang Arsenal, malam ini. - BERNAMA


KUALA LUMPUR - Status selaku gergasi Liga Perdana England - Arsenal bukan sesuatu yang menakutkan buat kapten Harimau Malaya, Safiq Rahim yang menyeru rakan sepasukannya agar mempersembahkan aksi terbaik malam ini.
Menjadikan pengalaman berdepan Manchester United dua tahun lepas sebagai pengalaman terbaik, perancang utama pasukan negara itu yakin Malaysia mampu membuat kejutan ke atas Arsenal.

''Ya, memang benar mereka mempunyai ramai pemain bertaraf dunia tetapi jangan terlalu awal menidakkan peluang kami untuk menyaingi Arsenal.

''Namun, saya harap rakan sepasukan boleh membuktikan sesuatu dan jangan terlalu menghormati lawan dalam perlawanan esok (hari ini).

''Selain itu, apa yang penting, berhadapan dengan pasukan lawan seperti Arsenal, kami boleh dapat belajar sesuatu daripada cara permainan mereka.

''Kami harus mengambil kesempatan terbaik ini, ramai pemain luar di sana mahu berhadapan dengan pasukan yang hebat seperti Arsenal, jadi saya berjanji akan menampilkan persembahan terbaik," katanya selepas sesi latihan skuad kebangsaan di Stadium Nasional, semalam.

Skuad negara yang kini dalam rangka persiapan menghadapi Singapura pada kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2014 pada 23 dan 28 Julai ini juga dijadual berdepan Liverpool pada 16 Julai ini.

Bagi penyerang, Abdul Hadi Yahaya yang dijangka menjadi pilihan utama jurulatih Datuk K. Rajagobal untuk digandingkan dengan Norshahrul Idlan Talaha selepas kecederaan Safee Sali, mengakui dia sudah tidak sabar lagi beraksi pada hari ini jika diberikan peluang.

''Menjelang perlawanan berhadapan dengan Singapura, saya anggap ini adalah persiapan paling bagus untuk meningkatkan keyakinan kami.

''InsyaAllah, jika diberikan peluang turun, saya berharap dapat menjaringkan gol untuk pasukan negara," katanya yang merupakan penyokong setia pasukan Chelsea.

Pada perlawanan hari ini, Rajagobal dijangka menurunkan Mohd. Shakir Shaari untuk beraksi di bahagian tengah bersama Safiq.

Khairul Fahmi Che Mat juga akan kembali mengawal gawang negara daripada Sharbinee Allawee selepas pulih daripada kecederaan bahu.

Malaysia tidak gentar

13 Julai 2011



SAFIQ (No. 8) bertekad membantu skuad Harimau Malaya mencipta kejutan ke atas Arsenal pada aksi persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini.


BERDEPAN bintang-bintang Arsenal bertaraf dunia bukan bermakna para pemain skuad bola sepak kebangsaan tidak berupaya untuk menandingi kehebatan mereka di atas padang.
Kapten skuad kebangsaan, Safiq Rahim melaungkan keyakinan untuk memastikan tentangan hebat diberi kepada kelab Liga Perdana England, Arsenal pada aksi persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini.
“Walaupun mereka (pemain Arsenal) semuanya berstatus bintang dunia tetapi itu tidak bermakna kita tak mampu menandingi mereka.
“Apa yang diharapkan esok (hari ini) ialah supaya kami dapat mencipta satu kejutan.
“Peluang ini bukan senang nak dapat. Tak semua pemain dapat peluang seperti ini dan harap rakan-rakan sepasukan memanfaatkannya,” kata Safiq ketika ditemui selepas sesi latihan di Stadium Nasional petang semalam.
Safiq, 24, yang bakal mengemudi jentera tengah sku- ad kebangsaan sama ada bersama Amar Rohidan atau Shakir Shaari, kini berada pada prestasi terbaik.
Pada dua aksi terakhir bersama skuad kebangsaan iaitu bertemu Taiwan pada pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia 2014, Safiq telah menjaringkan satu gol pada aksi pertama di Bukit Jalil dan aksi kedua di Taipei.
“Saya berharap dapat bela- jar sesuatu apabila berdepan lawan kuat seperti Arsenal ini. Kami akan cuba yang terbaik dan kalau ada rezeki saya mahu menjaringkan gol,” jelas pemain tengah Selangor itu.
Sementara itu, jurulatih kebangsaan, Datuk K. Rajagobal terpaksa menyimpan suaranya untuk memberi arahan sepanjang 90 minit perlawanan malam ini setelah mengalami masalah sakit tekak semalam.
“Tak kisahlah (jika Arsenal memandang rendah). Yang penting saya mahu pemain beraksi dengan baik dan dari situ nanti barulah kita akan mendapat pengiktirafan dari- pada Arsene Wenger (pengurus Arsenal).
“Buat para penyokong yang akan ke stadium, harap semua rakyat Malaysia memberikan sokongan padu sambil hadir dengan memakai jersi Malaysia sama ada kuning atau biru,” kata Rajagobal.

Selasa, 12 Julai 2011

Ayu Raudhah & Rozita Che Wan Berlakon Bersama Dalam Drama “Hilang”.

13 Julai 2011


Rozita Che Wan yang sentiasa menjadi tarikan masyarakat untuk mendekatinya beserta adik kesayangannya Ayu Raudah bakal menyerikan slot Ratu dengan drama berjudul Hilang di samping Zul Ariffin dan adik Mya Sara.
Slot Ratu-‘Hilang’ yang mengandungi 15 episod telah mula disiarkan setiap Isnin dan Selasa bermula 5 Julai 2011 di TV9. ‘Hilang’ mengisahkan tentang keluarga Salina dan Salimah (Rozita Che Wan dan Ayu Raudah), dua saudara yang begitu akrab. Salina dan Azrul merupakan pasangan kekasih dan akhirnya mereka telah melangsungkan perkahwinan. Walaupun telah beberapa bulan berkahwin, kepercayaan Salina terhadap suaminya Azrul kian pudar kerana Azrul sering diganggu oleh setiausahanya bernama Malina (Julia Ziegler) dan Salina risau jika Azrul tergoda dengan pujuk rayu Malina.
Suatu hari, Salina mendapat tahu dirinya mengandung. Ini membuatkan seluruh keluarganya berasa gembira tetapi Malina pula berperasaan sebaliknya. Ketika kandungan Salina berusia tujuh bulan, Salina terlibat dengan kemalangan ketika pulang dari berjalan-jalan bersama Azrul. Akibat kemalangan tersebut, Salina telah hilang ingatan dan anak di dalam kandungannya terpaksa dikeluarkan tidak cukup bulan. Setelah keadaan Salina pulih, dia dimasukkan ke dalam wad mental.
Azrul tidak tentu arah dan dia bernasib baik kerana Fauziah, ibu mertuanya serta Salimah membantunya menguruskan anaknya yang ‘kehilangan’ ibu itu. Fauziah amat bersyukur kerana Salimah sanggup menjaga Rina, anak kakaknya itu. Salimah mempunyai teman lelaki tetapi apabila Fauziah meluahkan hasrat hatinya untuk mengahwinkan Salimah dengan Azrul, Salimah berasa serba salah. Namun, demi kakak tersayang, Salimah telah mengorbankan cintanya. Ini membuatkan Malina semakin berdendam kerana usahanya untuk memikat dan menggoda Azrul tidak menjadi.
Ketika menghadiri mesyuarat, Azrul mendapat panggilan daripada hospital mengatakan bahawa ingatan Salina telah pulih. Azrul, Salimah dan Fauziah amat gembira namun pada masa yang sama risau kerana tidak tahu bagaimana hendak menerangkan kepada Salina keadaan terkini keluarga mereka.

pelakon HILANG 

Jaringan Aidil Zafuan Tersenarai Dalam 10 Gol Terbaik Kelayakan Piala Dunia

13 Julai 2011



Salam,

Percayakah anda, salah satu gol yang mendapat 10 tempat terbaik pada minggu ini adalah gol jaringan Mohd Aidil Zafuan ketika Malaysia bertemu Taiwan tempoh hari.

Mengikut laporan daripada 101GreatGoal, undian telah menetapkan jarigan Aidil menjadi jaringan yang paling terbaik. Anda juga boleh mengundi untuk jaringan Aidil.




Jaringan Aidil mendapat undian tertinggi.

1. Rodolph Austin (assist Diego Guastavino) (Sarpsborg v Brann, June 27, 2011)



2. Monica Ocampo (Mexico v England, June 29, 2011)
3. Lee Trundle (Aalesund v Neath, June 30, 2011)
4. Andriy Yarmolenko (Dynamo Kiev v Astra Ploiesti, July 1, 2011)
5. ‪Heather O’Reilly (United States v Colombia, July 2, 2011)
6. ‪Darlington Nagbe (Sporting Kansas City v Portland Timbers, July 2, 2011)
7. Andy Najar (DC United v Philadelphia Union, July 2, 2011)
8. Mohd Aidil Zafuan (Taiwan v Malaysia, July 3, 2011)
9. Marta (Brazil v Norway, July 3, 2011) (pictured)
10. Jonas Svensson (Rosenborg vs Sarpsborg, July 3, 2011)

Saksikan ulang tayang video jaringan hebat Aidil


http://www.youtube.com/watch?v=k2E77-13Q5o&feature=player_embedded

Serang, serang!

12 Julai 2011


pix_gal0
Rajagobal mahu Harimau Malaya turun dengan ‘hati besar’ hadapi Arsenal

“BERMAIN dengan strategi bertahan bukan formula terbaik menentang lawan hebat seperti Arsenal. Jadi, kami akan bermain secara menyerang dan menyerang,” kata jurulatih negara Datuk K Rajagobal menjelang pertemuan aksi persahabatan menentang kelab Liga Perdana Inggeris itu, malam esok.

Mengakui lebih meminati Manchester United dan menjadikan aksi persahabatan itu sebagai medan menguji pemain, Rajagobal mengharapkan pemain yang melangkah masuk ke Stadium Nasional, Bukit Jalil nanti turun dengan ‘berhati besar’ dan tidak gentar dengan reputasi lawan itu.
“Saya dan pemain tidak sabar menanti perlawanan ini kerana ia medan terbaik mereka memperagakan aksi masing-masing kerana saya menjadikan perlawanan menentang Arsenal dan Liverpool (Sabtu) sebagai medan menilai keupayaan menjelang tugasan lebih penting menentang Singapura dalam pusingan kelayakan Piala Dunia,” katanya dalam sidang media bersama pengurus Gunners, Arsene Wenger di Subang, semalam.


Rajagobal yang mengakui berkongsi falsafah dengan Wenger mengenai bakat dan potensi pemain muda berjanji mencatur permainan menarik serta menghiburkan, sekali gus cuba memberi tentangan sengit kepada lawan yang diketuai Robin Van Persie.

Penyerang terbanyak Piala AFF, Safee Sali tidak akan diturunkan kerana masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan tetapi jurulatih Harimau Malaya itu mengakui ia bukan masalah besar kerana ada beberapa calon pengganti.

“Begitu juga penjaga gol, Khairul Fahmi (Che Mat) yang sudah pulih dan sedia beraksi. Namun, saya mungkin memberi peluang kepada semua pemain untuk mengutip pengalaman berharga dalam perlawanan istimewa dalam karier mereka,” katanya.

Malaysia pernah menewaskan Arsenal 2-0 dalam perlawanan persahabatan pada 1975 hasil jaringan Mokhtar Dahari, tetapi lawan menebus kekalahan itu dengan angka jaringan sama ketika pada 1999 menerusi Nicolas Anelka dan Emmanuel Petit. 

Idaman anak kembar

12 Julai 2011



AYU sememangnya sangat teruja untuk bergelar seorang ibu.



USIA perkahwinan aktres jelita Ayu Raudhah Che Wan, 27, dan pemain bola sepak kebangsaan, Zaquan Adha Abdul Razak, 24, baru berusia enam bulan. Sungguhpun begitu, Ayu sebenarnya sudah tidak sabar untuk bergelar seorang ibu dengan kehadiran cahaya mata dalam rumahtangganya.
Malah, dia khabarnya mengidam mahu mendapat anak kembar.
Menurut Ayu yang ditemui pada majlis pelancaran drama terbarunya berjudul Hilang di restoran Bora Ombak, Ampang, Kuala Lumpur baru-baru ini, walaupun beberapa kali khabar angin mengatakan dia sedang hamil muncul, semuanya itu tidak benar kerana mereka masih belum dikurniakan rezeki untuk menimang anak.
“Nak buat macam mana belum ada rezeki, kalau boleh saya memang nak ada anak cepat. Saya teringin ingin anak lelaki tetapi suami mahukan anak perempuan, kalau dapat kembar dan dapat sepasang perempuan lelaki memang saya bersyukur sangat-sangat,” ujarnya.
Mungkin, khabar angin hamil itu timbul disebabkan badannya yang sedikit berisi sewaktu awal perkahwinan, tetapi penampilan terbaharunya, Ayu kelihatan semakin kurus.
“Sebenarnya saya hanya turun dua kilogram sahaja, tetapi ramai yang tegur saya makin kurus, mungkin disebabkan penurunan berat badan saya kelihatan ketara berbanding dulu yang sedikit berisi. Sebelum ini, badan saya berisi itu yang orang ingat hamil sebenarnya mana ada apa-apa.
“Kalau boleh saya lagi nak cepat mengandung, kalau ada anak bertambah meriah rumahtangga kami. Jadi, tolong doakan kami supaya cepat dapat anak ya,” ucapnya sambil ketawa.
Penurunan berat badannya itu berkumungkinan besar ada kena mengena dengan jadual waktunya yang semakin padat sejak dia kembali daripada cuti perkahwinan selama dua minggu.

SEJAK mengahwini Zaquan, Ayu turut terpengaruh dengan corak pemakanan suaminya yang sistematik itu.



“Saya senyap daripada publisiti bukan bermakna saya tidak buat apa-apa, sebenarnya saya sangat sibuk sampaikan tidak sempat untuk memenuhi undangan sesi fotografi. Alhamdulilah, sebenarnya saya hanya sempat cuti kahwin selama dua minggu kerana selepas itu tawaran lakonan tidak putus-putus.
“Walaupun pada masa itu suami cuti tetapi dia tetap menjalani latihan seperti biasa, memandangkan dia sibuk di padang, daripada tidak buat apa-apa lebih baik saya pun ambil tawaran kerja yang datang ketika itu, tetapi sejak itu jadual kerja saya makin padat dengan tawaran lakonan yang lain,” luahnya.
Tambah Ayu, suami tidak melarangnya untuk terus berlakon, sebaliknya memahami kerjanya dan memberi sokongan kepadanya.
“Suami tidak melarang, malahan dia faham tugas saya. Kalau dia cuti, dia akan temankan saya di lokasi, dan kalau saya cuti, saya pula akan temannya di padang,” katanya.
Sibuk sebagai isteri
Akuinya, walaupun jadual kerja mereka suami isteri makin padat dan Ayu pula terpaksa berulang-alik antara Kuala Lumpur dan Seremban setiap hari, itu bukan alasan untuk dia tidak menunaikan tanggungjawabnya sebagai isteri.
“Selepas berkahwin, memang banyak perubahan, lebih-lebih lagi sekarang. Walaupun sibuk, saya perlu menyiapkan urusan rumahtangga dengan baik, berbanding sewaktu bujang dulu, tidak berapa ambil kisah orang lain pun tidak apa tetapi sekarang saya ada suami yang perlu dijaga.
“Walaupun hari-hari kami sibuk, tetapi saya tetap akan masak terutamanya pada waktu cuti. Saya berkahwin dengan atlet, jadi faham-faham sahaja pemakanan mereka yang agak sihat dan teratur, secara tidak langsung saya juga semakin sihat berbanding dulu kerana terikut gaya pemakanannya. Bab kerja rumah pula, saya lebih suka melakukan semuanya sendiri.
“Kami juga sekarang menetap di rumah sendiri di Seremban, jadi banyak habiskan masa berulang alik dari sana ke Kuala Lumpur. Nasib baik, saya ada pembantu yang boleh bawa kereta, jadi saya tidak letih memandu, yang saya tahu hafal skrip dan bersedia untuk berlakon,” terang Ayu lagi.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...