Aidil Zafuan & Zaquan Adha

Keluarga Aidil Zafuan

Keluarga Zaquan Adha

LIKE jika suka :)

Sabtu, 11 Oktober 2014

JDT, Terengganu sepakat lawan 16 Oktober

12 Oktober 2014

PETALING JAYA - Setelah tercetus kontroversi dan drama, akhirnya isu penundaan tarikh perlawanan Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Terengganu menemui penyelesaian dengan kedua-dua pasukan bersetuju pertemuan mereka dalam suku akhir kedua Piala Malaysia dilangsungkan 16 Oktober, sehari lebih awal berbanding jadual asal.
Menurut Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT), Datuk Seri Afandi Hamzah, 16 Oktober dilihat sebagai tarikh neutral selepas dipersetujui oleh wakil Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) dan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT).
"Setelah mendapat kesepakatan semua pihak, kita bersyukur dapat menyelesaikan isu ini apabila 16 Oktober dipilih sebagai tarikh baharu perlawanan JDT dan Terengganu yang akan diadakan di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, Larkin pada pukul 8.45 malam.
"Saya lega dapat menyelesaikan isu ini secara bermesyuarat selepas tarikh yang kami berikan dipersetujui oleh kedua-dua pihak dan berharap tiada lagi masalah yang sama dalam soal ini.
"Tarikh ini kami (FAM) yang berikan dan pihak Johor serta Terengganu bersetuju secara dasarnya sebagai hari paling sesuai untuk diadakan perlawanan," katanya di Wisma FAM semalam.
Perbincangan berkenaan berlangsung kira-kira hampir empat jam dengan PBNJ diwakili setiausaha kehormat, Mohd. Fahmy Yahya manakala PBSNT diwakili setiausaha agungnya, Ardin Draman dan pengurus pasukan, Marzuki Sulong selain Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin.
Utusan Malaysia difahamkan Terengganu meminta perlawanan diadakan pada mana-mana tarikh antara 12-15 Oktober sementara JDT kekal pada tarikh yang diminta sebelum ini iaitu 17 Oktober, dan FAM meletakkan 16 Oktober sebagai tarikh yang paling adil bagi kedua-dua pihak.
Bagi memastikan tiada lagi kekalutan terhadap apa yang berlaku antara JDT dan Terengganu, Afandi mengakui bersedia mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) bagi perkara pindaan jadual perlawanan.
"Perkara ini kami telah bincangkan pada hari semalam (Khamis), apabila ada sesuatu permintaan daripada mana-mana pasukan dalam soal menunda jadual perlawanan maka pihak lain yang terbabit turut akan dimaklum lebih awal serta dipanggil untuk berbincang.
"Setelah semua perbincangan diadakan dan dipersetujui oleh pihak berkaitan, barulah keputusan rasmi akan dikeluarkan.
"FAM telah mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku dengan JDT serta Terengganu, (jadi) kami pastikan tidak akan berulang lagi pada masa hadapan," katanya.
Ekoran tarikh perlawanan yang ditunda, Afandi mengumumkan perlawanan separuh akhir pertama diubah ke 19 dan 20 Oktober berbanding tarikh asal 20 serta 21 Oktober. Perlawanan separuh akhir kedua kekal pada 24 dan 25 Oktober.
"Serentak dengan perubahan tarikh perlawanan antara JDT dan Terengganu yang diawalkan satu hari maka tarikh perlawanan separuh akhir pertama turut berubah iaitu 19 Oktober melibatkan Kedah dan PDRM/Pahang manakala bagi 20 Oktober pula antara pemenang Felda dengan JDT/Terengganu.
"Perubahan tarikh ini memberikan sedikit kelegaan kepada JDT atau Terengganu jika mereka layak ke separuh akhir untuk berehat sekurang-kurangnya lima hari. Tarikh perlawanan akhir Piala Malaysia masih kekal 1 November," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20141011/su_02/JDT-Terengganu-sepakat-lawan-16-Oktober#ixzz3Ft6O55fp
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...