
Dua pemain penyerang Harimau Malaysia Safee Sali (kanan) dan Norshahrul Idlan Talaha menjalani latihan bersama-sama di padang Wisma FAM, Petaling Jaya semalam. - UTUSAN/Roy Azis Abd. Aziz
PETALING JAYA - Peluang untuk menyarung jersi Harimau Malaya masih belum tertutup bagi pemain-pemain dalam skuad ke Sukan Asia 2014, dan Dollah Salleh akan mengikuti mereka ke Incheon, Korea Selatan untuk meninjau jika terdapat pemain yang boleh diletakkan tanggungjawab untuk memikul tugasan bersama skuad senior negara.
Menurut Dollah dia akan ke Korea Selatan pada 16 September bagi menyaksikan skuad Bawah 23 tahun negara berdepan dengan Laos.
Berasa kurang berpuas hati dengan corak permainan anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee semasa perlawanan persahabatan dengan Yemen pada 6 September lepas, Dollah mahu menilai sekali lagi sejauh mana tahap kemampuan beberapa pemain yang sering kali menyarung jersi Harimau Malaya sebelum ini.
"Selepas perlawanan persahabatan dengan Indonesia pada 14 September di Surabaya, saya akan terus ke Incheon bagi mengikuti perlawanan skuad bola sepak Sukan Asia yang akan menentang Laos pada 17 September.
"Saya masih dalam fasa pemilihan dan perlu melihat aksi semua pemain memandangkan dalam skuad Sukan Asia ada ramai daripada mereka yang sering kali bersama Harimau Malaya seperti Zubir Azmi, Aidil Zafuan, Junior Eldstal dan Nor Farhan Muhammad.
"Saya kena tengok juga aksi mereka secara dekat selain pemain-pemain lain kerana saya mahu memastikan saya mendapat 22 pemain terbaik untuk Kejohanan AFF November ini," katanya ketika ditemui selepas sesi latihan Harimau Malaya di Wisma FAM semalam.
Bagi perlawanan persahabatan dengan Indonesia, Dollah mengesahkan Razman Roslan, S. Chanturu, Mohd. Badhri Mohd. Radzi dan Abdul Manaf Mamat tidak akan dibawa kerana masing-masing baru pulih daripada kecederaan.
Namun, peluang mereka untuk beraksi berdepan Kemboja dalam perlawanan persahabatan pada 20 September di Stadium Shah Alam masih ada dengan syarat kesemua mereka berada pada tahap kecergasan terbaik.
Selain itu, Dollah memberitahu Harimau Malaya mendapat satu lagi perlawanan tambahan iaitu menentang Terengganu, empat hari selepas bertemu Kemboja, sambil berharap tiada lagi masalah kecederaan menghantui pemainnya.
"Hanya empat pemain tidak dibawa kerana masalah kecederaan namun selebihnya akan ke Surabaya tetapi mereka yang tercedera ini tidak bermakna mereka digugurkan bagi berdepan Kemboja dan Terengganu nanti.
"Saya berharap mereka ini akan pulih kerana mungkin saya akan tukar separuh daripada pemain yang beraksi di Indonesia dengan pemain lain ketika bertemu Kemboja selain Terengganu pada 24 September," katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140911/su_02/Dollah-ke-Incheon-intai-anak-buah-Kim-Swee#ixzz3CzE5IpFm
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan