Aidil Zafuan & Zaquan Adha

Keluarga Aidil Zafuan

Keluarga Zaquan Adha

LIKE jika suka :)

Jumaat, 8 Ogos 2014

Tidak amal sikap 'berat sebelah'

08 Ogos 2014

SKUAD Harimau Malaya menjalani latihan pusat di Wisma FAM, Kelana Jaya sejak Jumaat lalu sebagai persiapan menentang Tajikistan di Dushanbe malam ini.


MASA jelas mencemburui pengendali Harimau Malaya, Dollah Salleh menjelang kempen Piala Suzuki AFF 2014 yang akan membuka tirainya pada November depan.
Hanya memiliki tempoh kurang empat bulan demi memenuhi sasaran untuk sekurang-kurangnya layak ke pentas final, ia bagaimanapun bukan bermakna Dollah mengambil jalan mudah dalam menentukan kesebelasan utama skuad Harimau Malaya pada kempen dwi-tahunan itu nanti.
Sebaliknya, beliau enggan bersikap 'berat sebelah' dan nekad memberikan peluang sama rata kepada kesemua pelatih kebangsaan membuktikan kemampuan masing-masing, bermula ketika berdepan Tajikistan dalam aksi persahabatan antarabangsa di Dushanbe, malam ini.
"Tiada istilah kesebelasan utama. Bagi saya, kesemua pelatih merupakan pemain utama pasukan kebangsaan.
"Jadi, saya akan memberikan peluang sama rata bagi setiap pemain membuktikan kemampuan dalam setiap aksi persahabatan sebelum saingan Piala Suzuki AFF bermula," katanya kepada Kosmo! semalam.
Pada edisi ke-10 kempen Piala Suzuki AFF kali ini, Harimau Malaya diundi bersama juara bertahan, Singapura selain Thailand serta juara kumpulan kelayakan dalam Kumpulan B dan bakal beraksi di Stadium Nasional, Singapura.
Aksi Kumpulan A di Stadium Mydinh, Hanoi pula melibatkan tuan rumah bersama yang juga juara edisi 2008 - Vietnam bersama Filipina, Indonesia dan naib juara peringkat kelayakan.
Mengulas lanjut, Dollah juga mengakui bersemangat untuk memburu kemenangan sulung sebagai jurulatih skuad kebangsaan menjelang pertemuan berdepan Tajikistan malam ini.
"Ia bukan sekadar aksi persahabatan kerana kami memiliki objektif tersendiri sebagai persiapan ke kempen Piala Suzuki AFF.
"Lagipun, saya hanya berpeluang mengumpul semula kesemua pelatih pada September depan, jadi kami tidak ke sini (Tajikistan) untuk tewas," kata Dollah.
Dollah berkata, beliau turut berharap pemain dapat segera pulih daripada keletihan ekoran tempoh penerbangan yang panjang tempoh hari selain segera menyesuaikan diri dengan cuaca panas terik di bumi Dushanbe.
"Kesemua pemain juga bersedia diturunkan kerana bebas daripada sebarang kecederaan, jadi saya harap semua pihak dapat mendoakan kejayaan kami kali ini," kata beliau.
Dollah, 51, yang dilantik secara rasmi sebagai jurulatih skuad Harimau Malaya pada 28 Jun lepas bagi menggantikan Datuk K. Rajagobal telah memulakan tugasnya mengendalikan sesi latihan bermula Jumaat minggu lepas.
Ketika ini, Malaysia berada di kedudukan ke-151, manakala Tajikistan di tempat ke-124 dalam ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0808&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz39miIbvYu 
Hakcipta terpelihara 

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...