Aidil Zafuan & Zaquan Adha

Keluarga Aidil Zafuan

Keluarga Zaquan Adha

LIKE jika suka :)

Isnin, 9 Jun 2014

Penangan Aura Selebriti Bola Sepak

10 Jun 2014



Mereka bukan sahaja popular dengan aksi lincah ketika menggelecek bola di padang, namun mereka juga popular di luar padang apabila tidak terlepas daripada perhatian lensa kamera dunia hiburan. Ada yang digosipkan serta berkahwin dengan selebriti, malah tidak kurang juga ada yang dilantik sebagai duta produk.

Ketika era 90-an, pemain bola sepak kebangsaan, Azman Adnan mula mendapat perhatian selepas berkahwin dengan pelakon dan penyanyi, Haleeda. Walau bagaimanapun, mereka bercerai setelah lapan tahun berumahtangga dan setahun kemudian, Azman berkahwin dengan Asfarina Muhamad atau lebih popular sebagai As Feminin. Pemain bola sepak Selangor, Subadron Aziz juga turut mendapat perhatian apabila berkahwin dengan penyanyi popular era 80-an, Salwa Abdul Rahman.

Pemain bola sepak era sekarang juga tidak kurang hebatnya terkena tempias aura selebriti. Pasangan kembar Aidil Zafuan dan Zakuan Adha antara contoh pemain bola sepak yang popular selepas berkahwin dengan selebriti. Populariti Aidil lebih menyerlah berbanding Zakuan memandangkan kisah perceraian Aidil dengan pelakon Rita Rudaini hangat diperkatakan.
Walaupun sudah bercerai dengan Rita, namun peminat masih mengikuti perkembangan pemain pasukan Johor Darul Takzim (JDT) ini termasuklah kisah cinta dan perkahwinannya dengan wanita bernama Zarema Zainal. Terbaru, Zakuan dihimpit gosip apabila dia didakwa cuba bermain cinta dengan seorang gadis menerusi aplikasi WeChat. Ayu Raudhah bagaimanapun menafikan perkara itu dan mendakwa ada pihak yang cuba memporak-perandakan perkahwinannya.
Seorang lagi pemain skuad JDT, Mahali Jasuli juga turut menerima tempias dalam industri hiburan tempatan apabila dikaitkan dengan pelakon Tasha Shilla. Jejaka berusia 25 tahun ini dikatakan menjalin hubungan cinta dengan Tasha apabila mereka sering mengungkap kata-kata cinta dan sayang di laman Twitter masing-masing. Tasha juga pernah pergi ke stadium bagi memberi sokongan terhadap Mahali. Namun, kedua-duanya mengklasifikasikan status hubungan mereka sebagai kawan rapat sahaja.
Pemain pertahanan pasukan Selangor, Mohd Asraruddin Putra Omar atau lebih mesra dengan panggilan Asra juga pernah menggemparkan industri seni tanah air pada tahun 2009 apabila dikaitkan dengan pelakon cantik, Rozita Che Wan. Walaupun kedua-dua mereka lebih selesa mengunci mulut mengenai hubungan mereka, namun ada pihak memberitahu pasangan ini pernah keluar bersama bagi menonton wayang dan bersiar-siar.
Che Ta juga turut dilihat hadir ke perlawanan persahabatan antara pasukan Malaysia dengan Manchester United (MU) di Stadium Nasional Bukit Jalil di mana Asra turut beraksi ketika itu. Che Ta menafikan kehadirannya adalah bagi menyokong Asra dan memberitahu hanya membawa anaknya yang meminati pasukan MU.

Nama Wan Zack Haikal Wan Noor mula meniti di bibir peminat-peminat wanita ketika dia bermain untuk skuad Harimau Muda A. Selain aksi lincahnya sebagai pemain tengah skuad tersebut, Wan Zack juga popular kerana memiliki wajah tampan. Namun, apabila Wan Zack mengakui mempunyai teman wanita bernama Zzati Rashid yang juga merupakan pendatang baharu dalam industri nyanyian, ramai gadis yang kecewa.
Walau bagaimanapun, perkenalan yang bermula di Twitter ini tidak kekal lama dan berakhir pada Oktober 2013 kononnya disebabkan sikap mengongkong Zzati selain dilabel sebagai pisau cukur. Tidak lama kemudian, Wan Zack telah bertunang dengan seorang gadis bernama Nur Syahifah Azmi dan pasangan ini baru saja melangsungkan pernikahan pada 30 Mei lalu.

Penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat atau lebih popular dengan panggilan Apex mula popular selepas aksi hebatnya di AFF Suzuki Cup pada tahun 2010. Dari situ, peminat mula mengikuti perjalanan kariernya sehinggalah ke kisah peribadinya. Biarpun bukan artis, namun percintaan Apex dengan seorang gadis bernama Dahlia Teck menjadi tumpuan hangat masyarakat. Pasangan ini bagaimanapun putus dan tidak lama selepas itu, timbul pula cerita kononnya Apex dikaitkan sebagai punca pemilik butik, Nur Eilunie Natasha Nazri atau Leuniey putus tunang.
Aura selebriti jejaka kelahiran Kelantan ini mula terserlah apabila dia dilantik sebagai duta wangian jenama Simplysiti. Lebih menarik, Apex turut bergandingan dengan Leuniey dalam iklan komersial tersebut. Dari situ, mereka menjalin hubungan cinta, bertunang seterusnya berkahwin sehinggalah dikurniakan cahaya mata perempuan pada awal Februari lalu.

Selain itu, nama-nama seperti Safee Sali dan Safiq Rahim juga tidak terlepas dari diperkatakan di mana Safee pernah dikaitkan dengan pelakon Julia Hana manakala Safiq pula pernah digosipkan bercinta dengan seorang pelakon dan pengarah muda, Nurul Ain Nordin. Hebat sungguh penangan aura selebriti mereka sehingga membuatkan mereka lebih popular mengalahkan artis tempatan. Walau bagaimanapun, diharap kehebatan aura selebriti mereka juga seiring dan sama hebat ketika beraksi di padang bola!

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...