Aidil Zafuan & Zaquan Adha

Keluarga Aidil Zafuan

Keluarga Zaquan Adha

LIKE jika suka :)

Khamis, 27 Jun 2013

Fandi kecewa aksi anak buah

27 Jun 2013

FANDI AHMAD
JOHOR BAHRU - Jurulatih Johor Darul Takzim, Fandi Ahmad kecewa dengan persembahan anak-anak buahnya yang gagal mengutip tiga mata penuh pada pertemuan menentang Felda United kelmarin meskipun bermain di laman sendiri.
Tegas Fandi, sesetengah pemain tidak beraksi baik dan gagal mengikut arahan yang diberikan sehingga menyebabkan pasukan pelawat berjaya mencuri satu mata pada pertemuan itu.
Menurut beliau, ada antara pemain tidak mempunyai semangat juang yang tinggi dan bermain mengikut emosi sehingga menjejaskan persembahan keseluruhan pasukan.
"Saya kecewa dengan keputusan ini, pemain kurang semangat dan kesungguhan. Kena guna akal untuk bermain, mereka seharusnya berikan 100 peratus atau 200 peratus apabila berada di padang.
"Ia bukan hari untuk kita, ia bukan mudah tetapi saingan masih belum tamat," katanya kepada pemberita selepas perlawanan berkenaan.
Pada pertemuan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin kelmarin, Johor Darul Takzim sekadar mencatatkan keputusan seri 1-1 dengan Felda United.
Skuad Harimau Selatan memperoleh jaringan pada minit ke-64 menerusi pemain gantian, Muhd. Haidin Azman sebelum pemain gantian Felda United, Rudie Ramli menyamakan kedudukan ketika perlawanan berbaki tujuh minit.
Fandi mengakui persembahan Johor Darul Takzim tidak konsisten sepanjang musim ini dan dengan keputusan yang dicatatkan itu menyukarkan lagi laluan mereka untuk menjulang kejuaraan Liga Super.
Beliau berkata, para pemain seharusnya memperbaiki mutu persembahan mereka dan perlu memberikan tumpuan sepenuhnya kepada perlawanan selain mengikut arahan yang diberikan.
"Dengan keadaan seperti ini, kemungkinan pada perlawanan terakhir akan menentukan pemenang. Kita memang tidak konsisten sepanjang musim tetapi saya percaya kepada keajaiban," katanya.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...