Aidil Zafuan & Zaquan Adha

Keluarga Aidil Zafuan

Keluarga Zaquan Adha

LIKE jika suka :)

Khamis, 21 Februari 2013

Presiden PBNJ kesal mutu pengadilan

21 Februari 2013


Penyerang Johor Darul Takzim, Norshahrul Idlan Talaha (dua dari kiri) diasak dua pemain Lions XII dalam saingan Liga Super yang berakhir dengan keputusan seri 2-2 di Stadium Larkin, Johor Bahru, kelmarin.

JOHOR BAHRU - Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim tidak berpuas hati dan kesal dengan mutu pengadilan bola sepak tanah air sejak bermulanya kancah Liga Malaysia musim ini.

Setelah kedua-dua pasukan Harimau Selatan menempuhi tujuh perlawanan, beliau mendakwa sudah tidak boleh bersabar melihat kualiti sistem pengadilan dan menggesa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengambil tindakan segera.

"Keputusan saya untuk menyuarakan permasalahan ini bukanlah berdasarkan perlawanan pada malam ini (kelmarin), tetapi ia berlaku sejak awal musim lagi. Cuma saya tidak boleh lagi bersabar kerana ia berlaku sekali lagi pada malam ini (kelmarin).

"Malah, saya tegaskan, ia bukan sahaja membabitkan pasukan Johor dan Johor Darul Takzim, bahkan turut melibatkan semua kelab dan pasukan negeri yang berada dalam industri bola sepak tempatan," katanya pada sidang akhbar di Hotel Thistle di sini, malam tadi.

Tunku Mahkota Johor itu berkata, musim baharu Liga Malaysia kini lebih kompetitif kerana semua pasukan saling bersaing untuk meraih kemenangan, namun mengakui standard sistem pengadilan berada pada tahap yang amat mengecewakan.

Tambah beliau lagi, PBNJ sudah bersedia untuk mengemukakan bukti dalam bentuk rakaman visual dan surat rasmi kepada FAM bagi membincangkan isu berkenaan, sekali gus mencari penyelesaian terhadap permasalahan tersebut.

"Saya akui, kedua-dua pasukan Harimau Selatan pernah menjadi mangsa disebabkan mutu pengadilan yang teruk ini, akan tetapi melalui pemerhatian saya, pasukan lain turut mengalaminya," ujarnya.

Tunku Ismail menegaskan, beliau tidak menghadapi masalah dengan Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah tetapi mahu mempersoalkan kewibawaan pegawai-pegawai FAM dalam meningkatkan prestasi pengadilan di negara ini.

"Adakah pengadil di negara ini tidak berkelayakan? Pasukan Johor Darul Takzim sendiri ada beberapa peluang mendapatkan penalti dalam perlawanan terdahulu, namun dinafikan," katanya yang mahukan penjelasan.

Tunku Ismail menambah, beliau sangat kecewa senario ini boleh berlaku tatkala dirinya bersungguh-sungguh untuk membangunkan semula era kegemilangan pasukan bola sepak Johor dan membantu memantapkan liga tempatan.

"Kalah atau menang itu belakang kira. Asalkan mutu permainan dan pengadilan yang ditampilkan di tahap terbaik, saya berpuas hati.

"Jika kenyataan saya ini salah, hukumlah, saya tidak kisah. Apa yang penting, saya mahu lihat individu bertanggungjawab mengambil tindakan sewajarnya bagi menjawab kesemua persoalan saya," tegasnya.

Beliau juga bersedia untuk menghadiri sebarang mesyuarat bersama FAM bagi membincangkan perkembangan bola sepak negara seterusnya memberi kerjasama bagi membantu menyelesaikan kelemahan yang ada.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20130221/su_03/Presiden-PBNJ-kesal-mutu-pengadilan#ixzz2LXA0zkfd
© Utusan Melayu (M) Bhd 


Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...