Pemain Johor DT, Simone Del Nero (kanan) diasak pemain T-Team  di Stadium Tan Sri Hassan Yunus Larkin, kelmarin.Pemain Johor DT, Simone Del Nero (kanan) diasak pemain T-Team di Stadium Tan Sri Hassan Yunus Larkin, kelmarin.
Johor Bahru: Johor Darul Takzim (DT) perlu segera memperbaiki kelemahan pemain yang ditakrif cepat penat dan gagal beraksi konsisten dalam 90 minit andai mahu bersaing di puncak carta Liga Super selepas skuad bimbingan Fandi Ahmad itu sekadar bernasib baik meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas T-Team, malam kelmarin.

Apa yang disajikan skuad bergelar Harimau Selatan di hadapan lebih 20,000 penyokong terserlah hanya pada babak pertama, namun agak lesu pada 20 minit terakhir babak kedua hingga membolehkan anak buah Peter Butler menguasai perlawanan serta hampir meragut tiga mata yang berada dalam genggaman. 
Malah penolong jurulatih, Ismail Ibrahim yang hadir pada sidang media ketika Fandi sibuk memberi taklimat kepada pemain di bilik persalinan selepas perlawanan itu mengakui tanpa Simone Del Nero yang terpaksa dikeluarkan kerana berlaga dengan Mohd Nuraliff Zainal Abidin dalam perebutan bola di udara menjejaskan rentak permainan terutama di posisi tengah yang dikuasai T-Team. 


Elak tercicir mata

“Kami terpaksa menggantikan Simone (Del Nero) yang tampak tidak stabil selepas berlanggar dengan pemain T-Team dan dia terpaksa dibawa ke hospital bagi mendapat rawatan lanjut walaupun keadaan tidak serius dan akan beraksi pada perlawanan menentang Lions XII, malam esok.

“Apa pun tiga mata yang diraih sudah memadai dan kita perlu atasi segera setiap kelemahan terutama di posisi tengah, malah kelibat Safiq Rahim bukanlah selaku perancang utama, sebaliknya dia lebih gemar mengumpan bola dan tidak menggunakan kepakaran menjana gerakan berbahaya,” katanya.

Ismail juga belum beri kata putus sama ada Aidil Zafuan Abd Radzak yang terpaksa direhatkan pada perlawanan itu akan kembali dalam kesebelasan utama apabila skuad Harimau Selatan melayani kunjungan jiran Lions XII, selain kelibat Mohd Tuah Iskandar yang turut alami kecederaan.