Aidil Zafuan & Zaquan Adha

Keluarga Aidil Zafuan

Keluarga Zaquan Adha

LIKE jika suka :)

Sabtu, 12 Januari 2013

Pahang, Johor DT tampil dengan rentak garang

12 Januari 2013



PENYERANG Pahang, Mohamed Borji (tengah) menjaringkan gol pasukannya pada aksi menentang Felda United dalam saingan Liga Super di Stadium MBPJ semalam.


PENDATANG baharu Liga Super, Pahang semakin garang.
Semalam, skuad Tok Gajah itu terus mengukuhkan kedudukan di persada Liga Super selepas menundukkan Felda United 1-0 menerusi jaringan tunggal penyerang import, Mohamed Borji pada aksi yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor.
Biarpun masih segar dengan kejayaan menewaskan pasukan gergasi tempatan, Johor Darul Takzim FC 3-2 pada aksi pembukaan di Stadium Darul Makmur, Kuantan sebelum ini, namun skuad bimbingan Dollah Salleh itu terpaksa bekerja keras sebelum meraih tiga mata berharga di gelanggang lawan.
Usaha keras mereka akhirnya berbalas apabila Borji berjaya menjaringkan gol kemenangan pada minit-minit terakhir perlawanan.
"Apa yang mustahak adalah kami berjaya meraih tiga mata.
"Saya masih menaruh kepercayaan kepada pemain import Pahang dan saya berharap gol itu dapat memberikan suntikan motivasi kepada semua pemain menjelang perlawanan akan datang," kata Dollah selepas tamat perlawanan tersebut.
Pada aksi tersebut, corak persembahan Tok Gajah dilihat sedikit terjejas ekoran padang basah.
Penggempur Felda, Mohammad Ghaddar mempamerkan aksi memberangsangkan apabila sering kali memberikan masalah kepada kubu pertahanan Pahang.
Pahang kembali mengatur serangan namun ketangkasan penjaga gol tuan rumah, Mohd. Helmi Eliza Alias menafikan mereka daripada meloloskan diri.
Selepas menyaksikan perlawanan tersebut seakan-akan berkesudahan seri, Dollah membawa masuk Borji pada lima minit terakhir perlawanan dan langkah tersebut berbaloi apabila Borji berjaya memecah kebuntuan sekali gus menghadiahkan kemenangan berharga buat Pahang.
Sementara itu, di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Negeri Sembilan gagal memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri apabila sekadar seri tanpa jaringan ketika menentang Terengganu.
Sementara itu, Johor Darul Takzim (Johor DT) membuktikan segala kritikan dan cacian yang dilontarkan ke atas pasukan berstatus bintang itu, akhirnya dibalas dengan kemenangan sulung semalam.
Beraksi di hadapan kira-kira 50,000 penonton di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, skuad Harimau Selatan itu jelas menggunakan sebaiknya peluang menentang Perak yang beraksi dengan sembilan pemain menerusi kemenangan 1-0.
Paling manis, kejayaan semalam turut menghadiahkan tiga mata sulung buat skuad kendalian Fandi Ahmad itu selepas menerima pelbagai kritikan ekoran kekalahan 2-3 kepada Pahang di Kuantan Selasa lalu.
Pada aksi semalam, Johor DT berada pada landasan terbaik untuk mencatat kemenangan selepas dua pemain pasukan lawan diperintah keluar padang pada babak pertama.
Episod malang skuad kendalian Mohd. Azraai Khor Abdullah itu bermula pada minit ke-37 selepas Khairi Kiman dilayangkan kad merah apabila mengasari Daniel Guiza. Khairi sebelum itu dilayangkan kad kuning pertama pada minit ke-26.
Pada minit ke-45, giliran Mohd. Hisyamuddin Md. Shaari pula dilayangkan kad merah ekoran kekasaran ke atas pemain import Johor DT, Simone Del Nero.
Bersambung babak kedua, Johor DT pantas membuka jaringan pertama menerusi jaringan Mohd. Aidil Zafuan yang bijak menanduk bola hantaran lintang kapten pasukan, Safiq Rahim.
Perak hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-53 tetapi tandukan Rafael Souza Silva Novais berjaya ditepis penjaga gol tuan rumah, Mohd. Zamir Selamat.
Johor DT mempunyai beberapa peluang terbaik untuk menambah jaringan namun gagal memanfaatkannya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0112&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz2HkUdRoSI 
Hakcipta terpelihara 

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...