Aidil Zafuan & Zaquan Adha

Keluarga Aidil Zafuan

Keluarga Zaquan Adha

LIKE jika suka :)

Ahad, 13 Januari 2013

Fandi belum puas hati aksi anak buah

13 Januari 2013


JOHOR BAHRU - Biarpun Johor Darul Takzim berjaya mencatatkan kemenangan sulung menewaskan Perak 1-0 kelmarin, namun ia bukan satu kejayaan yang boleh dibanggakan skuad dibarisi ramai pemain berstatus bintang itu.

Kegembiraan jelas tidak terpancar pada wajah Ketua Jurulatih, Fandi Ahmad yang nyata kecewa dengan persembahan ditunjukkan anak buahnya pada perlawanan disaksikan lebih 30,000 penyokong Harimau Selatan.
Sambil menyifatkan para pemainnya perlu mengetepikan ego masing-masing apabila bermain dalam satu pasukan, sekali gus masih perlu bekerja keras untuk mencapai kemenangan lebih besar pada perlawanan akan datang.

"Saya memang tidak gembira dengan persembahan yang mereka tunjukkan. Mungkin masih ada lagi pemain yang masih tidak boleh serasi dengan corak permainan kita, namun sebagai seorang profesional ia sepatutnya tidak timbul.

"Bermain menentang sembilan pemain sepatutnya memberi kelebihan kepada kita, namun saya akui biarpun kita berjaya mengawal permainan tetapi ada masa mereka (pemain) nampak gementar, banyak perkara masih boleh diperbaiki.

"Bagaimanapun, saya berpuas hati kerana berjaya mengutip tiga mata penuh," katanya sambil menegaskan Johor Darul Takzim akan terus berusaha memperbaiki kelemahan yang ada dan pasti memberi fokus dalam mencapai misi mereka.

Pada saingan Liga Super menentang Perak yang bermain dengan sembilan pemain di Stadium Tan Sri Hassan Yunos kelmarin, skuad Harimau Selatan gagal memanfaatkan banyak peluang dan hanya menang tipis 1-0, hasil jaringan, Aidil Zafuan Abdul Razak.

Pada masa sama, Fandi yang turut menggalas tanggungjawab sebagai pengurus pasukan memberitahu, Safee Sali tidak diturunkan dalam kesebelasan utama kerana pemain itu masih tidak 100 peratus cergas.

"Dia tidak mempunyai sebarang kecederaan, dia belum capai kecergasan sepenuhnya, lima bulan tidak beraksi di Indonesia. Jadi, kita perlu 'lindungi' Safee kerana ramai mempunyai harapan yang tinggi terhadapnya.

"Setiap kali latihan, dia akan diberi latihan tambahan bagi memastikan kecergasannya kembali 100 peratus. Akan tiba masanya nanti kita dapat menyaksikan Safee mempamerkan kemampuan sebenar," katanya.

Dalam pada itu, Fandi turut merayu supaya tidak memberi tekanan kepada anak buahnya dengan melabelkan mereka sebagai pemain berstatus bintang kerana baginya semua adalah pemain bola sepak dan hanya nama yang membezakan mereka.

Beliau turut mengharapkan peminat terus memberi sokongan dan ruang serta tidak sesekali menghukum mereka dalam usaha menjadi sebuah pasukan mantap dan digeruni dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).

"Berilah mereka betul-betul serasi terlebih dahulu. Adalah tidak adil untuk menilai kita dan mengharapkan dapat menyumbat enam gol pada setiap perlawanan sedangkan mereka berlatih sebagai sebuah pasukan tidak sampai sebulan," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20130113/su_03/Fandi-belum-puas-hati-aksi-anak-buah#ixzz2HqNmexV3
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...