Aidil Zafuan & Zaquan Adha

Keluarga Aidil Zafuan

Keluarga Zaquan Adha

LIKE jika suka :)

Khamis, 13 Disember 2012

Tak sempat uji padang

14 Disember 2012 (13 Disember 2012)


Pemain negara menjalani latihan di sebuah stadium kecil, Stadium Dhebhasadin di Bangkok semalam menjelang perlawanan separuh akhir kedua Piala Suzuki AFF menentang Thailand, hari ini.

BANGKOK - Jika kelmarin sesi latihan skuad kebangsaan diadakan di padang awam, satu lagi episod kurang selesa dilalui pasukan kebangsaan semalam apabila tidak dapat mencuba venue sebenar untuk separuh akhir kedua Piala AFF hari ini, iaitu Stadium Supachalasai.

Sebaliknya skuad Datuk K. Rajagobal menjalani latihan di sebuah stadium kecil yang dikenali Stadium Dhebhasadin, berhampiran di Stadium Supachalasai, di sini.

Penganjur memberi alasan perubahan veneu latihan semalam disebabkan mahu menjaga kualiti padang Stadium Supachalasai sebelum pertembungan sebenar hari ini..

Mujur alasan itu dapat diterima dengan baik kerana skuad Thailand juga tidak menjalani latihan di Stadium Supachalasai, sebaliknya ke sebuah lokasi lain.

Biarpun masih terkilan dengan isu berlatih di padang awam kelmarin, Rajagobal tidak mahu ia menjejaskan fokus untuk perlawanan penentuan skuad negara dalam kempen Piala Suzuki AFF.

Beliau yakin semangat para pemain tidak terjejas dengan isu layanan tuan rumah dan menyandarkan pengalaman semasa beraksi dalam aksi persahabatan bulan lalu mampu membantu Harimau Malaya hari ini.

"Sudah tentu saya sedih kerana segalanya tidak berjalan lancar terutama sesi latihan pertama kelmarin, tetapi saya menerimanya positif.

"Fokus saya dan pemain tidak akan terjejas sebaliknya pemain tetap bersemangat menjelang perlawanan sebenar esok.

"Kita pernah berdepan Thailand sebelum ini dan saya rasa para pemain tahu suasana perlawanan esok (hari ini), mereka tidak berasa takut berdepan tuan rumah, " katanya pada sidang media mesyuarat pengurus pasukan di Hotel Golden Tulip Sovereign, semalam.

Mengenai pemain yang cedera, hanya dua nama yang masih belum pasti dapat diturunkan iaitu Wan Zack Haikal Wan Nor dan Mohd. Shakir Shaari.

Walaupun begitu, Rajagobal berkata, ada perubahan dipamerkan oleh Wan Zack kerana pemain itu sudah mampu berlari semasa sesi latihan.

"Saya perlu mendapat kepastian daripada fisioterapi mengenai sejauh mana kecergasan Wan Zack, saya mahu tahu sama ada dia masih sakit semasa larian atau tidak.

"Kecederaan paha bukan perkara yang boleh dibuat main-main, tetapi itu memang satu petanda yang baik.
"Shakir pula masih dalam situasi meragukan, kecederaan buku lali mengambil masa yang lama untuk pulih dan saya belum pasti mengambil risiko menurunkannya kecuali terdesak, " katanya.

Sementara itu, jurulatih Thailand, Winfried Schafer mengakui Norshahrul Idlan Talaha perlu dikawal kerana sering memberikan masalah kepada benteng pertahanan pasukannya pada aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil, Ahad lalu.

"Kami tidak boleh banyak melepaskan bola tinggi kepada pemain itu (Norshahrul) pada jarak 50-60 meter dan perlu perhatian khusus mengawalnya," katanya. - UTUSAN


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20121213/su_01/Tak-sempat-uji-padang#ixzz2EzElkAuP
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...