Aidil Zafuan & Zaquan Adha

Keluarga Aidil Zafuan

Keluarga Zaquan Adha

LIKE jika suka :)

Jumaat, 7 Disember 2012

Tak layan psikologi Thailand

08 Disember 2012

Pemain skuad kebangsaan menjalani latihan di padang Wisma FAM, Kelana Jaya semalam. - utusan/ABDUL NAZIR MOHAMED

PETALING JAYA - Datuk K. Rajagobal enggan melayan gertakan jurulatih Thailand, Winfried Schafer kononnya skuad Gajah Putih sudah menemui cara untuk mengalahkan Malaysia pada separuh akhir Piala Suzuki AFF, esok.
Jurulatih kebangsaan itu juga tidak kisah dengan dakwaan Schafer bahawa mereka akan menyekat bahagian tengah skuad Malaysia, yang akan melumpuhkan serangan skuad Harimau Malaya.

Kata Rajagobal, dia tidak perlu meniru cara rakan sejawatannya itu untuk mencetuskan perang psikologi menjelang pertembungan esok.

Malah beliau tidak perlu melihat rakaman corak permainan Thailand sebaliknya cukup menggunakan pengalaman ketika perlawanan persahabatan November lalu walaupun ketika itu Malaysia tumpas 0-2 di Bangkok.

"Kita tahu apa yang perlu dilakukan ketika bertemu Thailand Ahad ini (esok), memang mereka mempunyai kekuatan di bahagian tengah tetapi kita tidak perlu terlalu memikirkan kekuatan mereka," katanya ketika ditemui media selepas latihan semalam.

Schafer dalam laman web rasmi Piala Suzuki AFF 2012 semalam menyatakan bahawa dia sudah melihat kekuatan Malaysia melalui rakaman perlawanan dan ia akan digunakan sebaik mungkin untuk perlawanan separuh akhir nanti.

"Kita hanya turun beraksi dengan apa yang kita ada, untuk bertemu Thailand tidak perlu sampai melihat rakaman perlawanan mereka.

"Tujuh hingga lapan pemain mereka yang beraksi dalam perlawanan persahabatan sebelum ini berada dalam skuad Thailand sekarang.

"Gunakan peluang dan pengalaman ketika perlawanan persahabatan tempoh lalu, itulah pentingnya perlawanan persahabatan barulah kita dapat gambaran mengenai kekuatan pasukan lawan," kata jurulatih berusia 56 tahun itu.

Kata Rajagobal, beliau akan melihat kembali posisi pemain menjelang perlawanan tersebut, kerana masih ada masa untuknya melihat kekuatan Thailand dari semua posisi serta melihat cara mereka bermain.

"Saya sudah beritahu pemain untuk sedaya upaya mencari keputusan yang positif dan tidak perlu bermain dalam tekanan sebab kita sudah sampai peringkat separuh akhir," katanya.

Katanya, pemain hanya perlu menikmati perlawanan esok sebaik mungkin walaupun berdepan dengan masalah kecederaan termasuk Wan Zack Haikal Wan Nor, Safee Sali dan Shakir Shaari.

"Saya juga sudah nampak beberapa calon yang akan menggantikan mereka dalam perlawanan Ahad ini, saya hanya menilai mereka seperti biasa ," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20121208/su_01/Tak-layan-psikologi-Thailand#ixzz2EROQ7jB4
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...