Aidil Zafuan & Zaquan Adha

Keluarga Aidil Zafuan

Keluarga Zaquan Adha

LIKE jika suka :)

Ahad, 16 Disember 2012

Rajagobal kena 'buka mata'

17 Disember 2012


Pemain Malaysia meninggalkan padang dengan wajah kecewa setelah tersingkir daripada Piala Suzuki AFF apabila tewas 0-2 kepada Thailand pada separuh akhir kedua di Bangkok, Khamis lalu.

KUALA LUMPUR - Perjuangan Harimau Malaya dalam Piala Suzuki AFF 2012 berakhir setakat separuh akhir kepada Thailand di Stadium Supachalasai Bangkok, Khamis lalu setelah tersingkir dengan agregat 1-3.

Bukan satu yang mengejutkan Harimau Malaya tidak mampu melakar satu lagi sejarah kerana banyak kelemahan ketara telah dipamerkan sebelum kejohanan bermula selain kekuatan skuad Gajah Perang seyang mengalahkan Malaysia 2-0 pada aksi separuh akhir kedua tempoh hari.

Biarpun nada Datuk K. Rajagobal tetap berpuas hati dengan layak ke separuh akhir, hakikatnya perlu ada pembaharuan besar salam skuad.

Perkara utama ialah soal pemilihan pemain yang sesuai terutama dalam menghadapi kelayakan Piala Asia 2015, Februari ini.

Jika beliau masih mahu menggunakan pemain yang berdasarkan reputasi semata-mata tanpa mengambil kira prestasi semasa, tiada apa lagi yang boleh diharapkan pada kejohanan lain nanti.

Perancangan taktikal Rajagobal juga boleh dipersoalkan semasa bertemu Thailand baru-baru ini apabila Rajagobal lambat mengeluarkan S. Kunanlan yang tidak berfungsi pada sayap kiri selain berani mempertaruhkan Amar Rohidan di posisipertahanan tengah selepas Mohd. Fadhli Shas dikenakan kad merah.

Keputusannya itu membantu Thailand mendapatkan gol sulung melalui Teerasil Dangda pada minit ke-59 hasil kesilapan Amar yang gagal mengeluarkan bola daripada kawasan bahaya.

Kelemahan utama Harimau Malaya sepanjang kempen Piala Suzuki AFF adalah bahagian tengah yang diterajui oleh Safiq Rahim dan Amar Rohidan dan dua pemain ini juga paling kurang menyerlah ketika menentang Thailand di Stadium Supachalasai.

Memegang watak selaku jeneral di atas padang, Safiq tidak mampu memainkan peranan selaku perancang malahan gagal membantu Norshahrul Idlan Talaha yang terkapai-kapai berseorangan pada bahagian serangan.

Hantaran Safiq kepada rakan sepasukan kurang tepat dan kemerosotan prestasi bakal pemain Johor itu menimbulkan tanya tanya, selain hanya berperanan ketika sepakan percuma dan sepakan sudut.
Amar masih tidak mampu memberikan sebarang impak dan kehadirannya di atas padang tidak ubah selaku pemerhati, kecuali sesekali membantu ketika keadaan bertahan.

Selain daripada itu, faktor kecederaan pemain utama seperti Safee Sali, Wan Zack Haikal Wan Nor dan Shakir Shaari menjejaskan Harimau Malaya, selain kekurangan pengganti yang setanding.
Azamuddin Akil jelas tidak mampu menandingi apa yang dilakukan oleh Wan Zack pada bahagian sayap kanan.

Gary Steven Robbat masih memerlukan masa jika hendak mempamerkan keberkesanan yang ditunjukkan oleh Shakir.

Kunanlan, yang baru sembuh daripada kecederaan pangkal paha sebelum bertemu Thailand juga menghampakan kerana tidak mempamerkan prestasi seperti kejohanan dua tahun lalu.

Penggantungan Rajagobal terhadap Safee begitu ketara apabila bekas penyerang Pelita Jaya itu bergelut dengan masalah kecederaan, dia masih tidak mahu mengambil risiko menggunakan khidmat Ahmad Hazwan Bakri atau Ahmad Fakri Saarani.

Norshahrul memainkan peranannya dengan cukup baik selaku penyerang tunggal dalam dua perlawanan separuh akhir serta aksi peringkat kumpulan kecuali semasa bertemu Singapura.

Cuma satu sahaja masalahnya ialah kelajuan Norshahrul di atas padang tidak sama lagi seperti dahulu.
Kurang mendapat hantaran berkualiti, tidak banyak harapan boleh disandarkan kepada Norshahrul.
Satu boleh dipuji ialah barisan pertahanan yang diterajui Aidil Zafuan Abdul Razak dan Mohd. Fadhli Shas selain Mahalli Jasuli, Bunyamin Umar dan Zubir Azmi kerana persefahaman mereka cukup mantap.

Selepas bocor sebanyak tiga kali ketika bertemu Singapura, tiada lagi sebarang kelemahan terlalu ketara dipamerkan apabila menang ke atas Laos, Indonesia dan separuh akhir pertama dengan Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Prestasi Mohd. Farizal Marlias wajar diberikan pujian terutama dalam dua aksi separuh akhir dan membuktikan mengapa dia wajar diangkat sebagai penjaga gol No. 1 negara.

Apa-apa pun, kuasa memilih pemain tetap terletak di tangan Rajagobal.

Beliau lebih bijak memilih pemain yang dirasakan berhak berada dalam skuad kebangsaan dan jika pemain itu kurang menonjol, dia sepatutnya tahu mengapa ia berlaku.

Rajagobal perlu lebih membuka mata mencari pemain bersesuaian kerana masih ada permata dalam Liga Malaysia, selain beliau perlu lebih bijak merencanakan taktikal bersesuaian.

Semoga kita tidak berputih mata sekali lagi pada kelayakan Piala Asia 2015 kerana ia menjadi sasaran utama pengendali berumur 56 tahun berkenaan.

Jika gagal untuk layak, dia juga mungkin berputih mata apabila menyentuh masa depannya selaku jurulatih Harimau Malaya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20121217/su_02/Rajagobal-kena-buka-mata#ixzz2FHWzJFdS
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...