Impian skuad Harimau Malaya untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenangi dua tahun lalu tidak kesampaian apabila gagal melangkah ke final Piala Suzuki AFF 2012 selepas tewas 2-0 kepada Thailand pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Supachalasai, malam tadi.
Keputusan kontroversi pengadil dari Korea Selatan, Lee Minhu melayangkan kad merah kepada pertahanan Malaysia, Fadhli Shas pada minit ke-42 ternyata menjadi 'penyumbang' kejayaan Thailand yang mara dengan agregat 3-1 untuk bertemu Singapura pada final timbal balik, 19 dan 22 Disember ini.
Pada minit ke-42, susulan pergeseran ketika perebutan bola tinggi, Fadhli dan pemain Thailand, Datsakorn Thonglao kelihatan saling bertikam lidah menyebabkan pengadil melayangkan kad kuning kepada kedua-dua pemain tanpa menyedari Fadhli sudah pun mengutip kad kuning pertama pada minit ke-7.
Bersambung babak kedua, Thailand yang biarpun tanpa jurulatih, Winfried Schafer di bangku simpanan akibat digantung ternyata memanfaatkan sepenuhnya kelebihan beraksi lebih seorang pemain.
Gol pertama Thailand hadir pada minit ke-60 selepas Teerasil mudah merampas bola daripada Amar Rohidan seterusnya pantas melarikan bola dan mengatasi Aidil sebelum tenang melepaskan rembatan menewaskan Farizal di gawang.
Hanya selang empat minit, Thailand menambah gol kedua, kali ini menerusi rembatan pemain sayap, Theerathon Bunmathan ketika keadaan kelam kabut dalam kotak penalti selepas Farizal menepis bola sepakan percuma.
Seminit kemudian barulah jurulatih kebangsaan, Datuk K Rajagobal memasukkan Faizal Muhamad selepas mendapati gandingan pertahanan Amar-Aidil tidak mampu lagi menahan asakan jentera serangan Thailand.
Bagi segera mendapatkan dua gol untuk mengikat agregat 3-3, Rajagobal akhirnya memasukkan Safee Sali pada minit ke-72 menggantikan Baddrol Bakhtiar, namun sehingga wisel penamat, tiada jaringan terhasil, sekali gus berakhirnya kempen skuad Harimau Malaya kali ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan