Aidil Zafuan & Zaquan Adha

Keluarga Aidil Zafuan

Keluarga Zaquan Adha

LIKE jika suka :)

Isnin, 17 Disember 2012

'Johor bukan tempat bercuti'

18 Disember 2012


Tunku Ismail Sultan Ibrahim (lima dari kiri) bersama pemain dan jurulatih yang akan menguatkan cabaran pasukan Harimau Selatan pada musim baru Liga Malaysia di Johor Bahru, semalam. - UTUSAN/Nasirruddin Yazid

JOHOR BAHRU - Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim memberi ingatan awal kepada pemain berstatus bintang pasukannya bahawa Johor bukan satu destinasi percutian kepada mereka.

Sebaliknya, Tunku Ismail berkata, mereka yang bermain untuk pasukan mempunyai misi dan tanggungjawab sekali gus perlu berusaha mencapai setiap misi yang dirancang pada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan terutama dalam usaha menjadi juara.

Menurut Tunku Ismail, beliau sedar bahawa pasukan Johor Darul Takzim kini menjadi tumpuan ekoran pembelian pemain ternama untuk skuad Harimau Selatan baik pemain tempatan dan import, namun perkara yang paling penting baginya ialah objektif pasukan.

"Johor bukan satu tempat percutian atau tempat ambil gaji tiap-tiap bulan. Kita mempunyai impian yang perlu dicapai dan mahu dikenali sebagai satu pasukan yang kuat, mantap dan digeruni. Bukan pemain yang perlu diberi tumpuan tetapi objektif pasukan.

"Kami ingin naikkan semula nama Johor dalam arena bola sepak tempatan dan saya amat gembira dengan pasukan yang kami ada ini. Kami telah merancang hampir setahun untuk mengenal pasti dan mendapatkan pemain berkualiti," katanya pada sidang media khas di sini semalam.

Turut hadir, pengurus pasukan merangkap ketua jurulatih, Fandi Ahmad.

Pada majlis itu juga peminat bola sepak negeri ini berpeluang bertemu dengan Norshahrul Idlan Talaha, Azmi Muslim, Safee Sali, Safiq Rahim, Aidil Zafuan Abdul Razak, Zaquan Adha Abdul Razak serta dua pemain import Johor Darul Takzim, Daniel Guiza dan Simone Del Nero.

Pada masa sama, Fandi juga turut memberi amaran kepada pasukannya, biarpun kebanyakan pemainnya berstatus bintang, namun ia bukanlah tiket untuk kesemua pemain kebangsaan yang menyertai pasukan Johor Darul Takzim dijanjikan tempat dalam kesebelasan utama pada setiap perlawanan.

"Semua pemain yang ada dalam pasukan berhak untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama. Saya amat mementingkan disiplin dan semangat berpasukan. Justeru, tidak semestinya semua pemain berstatus bintang akan mendapat tempat secara automatik, mereka perlu berusaha untuk itu," katanya.

Dalam pada itu, pemain yang hadir berjanji memberikan komitmen dan aksi terbaik untuk pasukan.

Bagi Safee, Norshahrul, Azmi, Safiq, Aidil Zafuan dan Zaquan Adha, mereka kini sudah bersedia untuk berjumpa rakan pasukan lain dan menjalani latihan bersama sekali gus menjadi pasukan yang kuat dan mantap dalam mengharungi saingan Liga M akan datang.

"Selepas dua tahun di Indonesia, saya harap saya dapat gunakan semua pengalaman di sana untuk membantu pasukan baru saya ini menjadi juara. Saya sudah tidak sabar untuk beraksi bersama Johor Darul Takzim yang sudah pun dilabel sebagai pasukan impian," kata Safee.

Kapten skuad kebangsaan, Safiq Rahim pula berkata, dia memilih untuk menyertai pasukan Harimau Selatan kerana inginkan satu cabaran baru demi karier bola sepaknya dan berjanji akan memberikan komitmen 100 peratus buat pasukan dan sudah pasti mahukan hanya yang terbaik.

Sementara itu, Norshahrul ketika ditanya mengenai cabaran bagi merebut Kasut Emas, dia yang dikenali sebagai Mat Yo berkata, persaingan antara dirinya, Safee dan Guiza dilihat dari sudut positif sekali gus yakin ia bakal menyaksikan Johor Darul Takzim muncul pasukan paling banyak mencipta jaringan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20121218/su_01/Johor-bukan-tempat-bercuti#ixzz2FNzE97Vz
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...