Aidil Zafuan & Zaquan Adha

Keluarga Aidil Zafuan

Keluarga Zaquan Adha

LIKE jika suka :)

Isnin, 17 Disember 2012

Harimau Malaya tidak perlu dirombak - Khaidir

18 Disember 2012


KUALA LUMPUR - Bukan barisan pemain yang perlu ditukar, sebaliknya strategi mengikut keperluan semasa yang sepatutnya sentiasa diterapkan oleh jurulatih Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal ekoran kegagalan mempertahankan Piala Suzuki AFF, baru-baru ini.

Dengan tugasan lebih besar, Kelayakan Piala Asia 2015 kian menggamit mulai Februari ini, bekas jurulatih berpengalaman, Khaidir Buyong menganggap masanya sudah terlalu suntuk untuk merombak skuad negara.

"Hendak rombak pasukan negara besar-besaran? Rasanya masa yang ada (ke Kelayakan Piala Asia) terlalu singkat buat jurulatih Raja (melakukannya). Lagipun saya nampak itulah (skuad Piala Suzuki AFF) barisan yang terbaik, kita miliki sekarang.

"Mana lagi hendak cari yang lebih baik? Kalau hendak menilai dan mendapatkan pemain baru lain pun, Liga Malaysia hanya akan bermula Januari (bulan depan)," kata bekas jurulatih Selangor, Perak, Angkatan Tentera dan Telekom Melaka serta skuad belia negara ini, semalam.

Tegasnya, kalau ada pun segelintir muka baru yang boleh dipanggil Rajagobal, pasti perlu menempuh pula konflik berebut pemain dengan pasukan Liga M yang cuba mencari rentak permainan dan keserasian pasukan setibanya musim baru persaingan.

Kata Khaidir yang juga Setiausaha Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia, pemerhatiannya daripada Piala Suzuki AFF lalu mendapati skuad negara tersilap dalam percaturan permainan khususnya ketika dibenam Thailand 2-0 dalam separuh akhir kedua.

"Situasi ketika itu menuntut kita memburu gol besar di tempat lawan. Jadi mengapa hanya letakkan seorang penyerang (Norshahrul Idlan Talaha) dan mengapa tidak, dua atau tiga orang lebih awal di posisi itu dan hanya sampai babak kedua baru hendak memasukkan Mohd. Safee Sali.

"Kalaupun strateginya menggunakan penyerang tunggal, pasukan kita masih tiada sokongan daripada pemain tengah atau sayap apabila menyerang kubu Thailand," katanya, merujuk barisan berkenaan yang meliputi Safiq Rahim, Azammuddin Mohd. Akil, S. Kunanlan dan Baddrol Bakhtiar.

Kata Khaidir, strategi pemain Thailand juga dilakukan dengan berkesan yang merujuk kepada Datsakorn Thonglao yang 'mengapi-apikan' Mohamad Fadhli Mohd. Shas sehingga bek tengah Malaysia itu dibuang padang oleh pengadil, Lee Min-hu dari Korea Selatan kerana kad kuning kedua.

"Kita kalah kerana Thailand pasukan yang lebih baik dan pintar dalam strateginya.

"Pemain mereka hanya main hantaran pendek dan hanya sesekali dengan umpanan jauh, sehingga menghasilkan gol sulung (oleh Teerasil Dangda yang merampas daripada Amar Rohidan dan menewaskan Mohamad Aidil Zafuan Abd. Radzak)," katanya.

Mengenai Kelayakan Piala Asia 2015 dengan Qatar menanti sebagai lawan sulung di Doha, 6 Februari ini kata Khaidir: "Tugas kita semakin sukar kerana taraf lawan di peringkat Asia (khususnya negara Teluk) memang lebih tinggi daripada Piala Suzuki AFF (rantau Asia Tenggara).

"Namun, di sinilah kepentingan strategi manakah yang tepat digunakan oleh jurulatih dan pasukan negara apabila menentang mereka (termasuk Bahrain dan Yemen yang ranking kesemuanya lebih baik daripada Malaysia)."

Rajagobal selepas menerajui Malaysia menjulang Piala Suzuki AFF 2010, kerap menyatakan bahawa Kelayakan Piala Asia 2015 menjadi misi kemuncak kariernya sebagai jurulatih kebangsaan malah sedia berundur jika anak buahnya gagal layak ke pusingan akhir di Australia.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20121218/su_02/Harimau-Malaya-tidak-perlu-dirombak---Khaidir#ixzz2FO1BlW4s
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...